SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Selasa, 31 Ogos 2010

SAMBUTAN AMBANG KEMERDEKAAN DAN COUNTDOWN 12.00 MALAM 30/8/10 SMKASAS

Pada tahun ini Sambutan Ambang Kemerdekaan dan Countdown Kemerdekaan diadakan secara meriah di Dewan Besar SMKASAS. Terdapat suatu perkara yang diberi penekanan oleh Tuan Pengetua dalam ucapan perasmiaannya iaitu erti kemerdekaan yang sebenar ialah usaha para pelajar untuk menghancurkan segala penjajahan minda seperti mengelakkan tidur semasa belajar, mengelakkan malas belajar dan menjauhi perkara mungkar. Dalam ucapan beliau, antara pengertian sebenar kemerdekaan sebenarnya telah dipraktikkan oleh pelajar dalam ibadah puasa yang sudah masuk minggu ketiga, pelajar telah menjalani tadarus Al Quran, Qiamulail, Sembahyang Terawih dan pelajar sendiri menghadapi peperiksaan dalam bulan Ramadhan Al Mubarak justeru, bagi beliau Sambutan Kemerdekaan pada tahun ini amat besar ertinya.
           Sepanjang Program Sambutan Ambang Kemerdekaan pada tahun ini pelbagai acara yang telah dijalankan dan perjalanan program dijayakan oleh Kaonselor dan juga Badan Pra Siswazah SMKASAS. Antara acara yang dijalankan ialah gimik perasmian dengan Tuan Pengetua diminta untuk menyempurnakan cap jari pada bendera yang dipenuhi dengan cap jari pelajar membentuk bendera Malaysia. Setelah acara perasmian diadakan tayangan media khas memaparkan acara sepanjang program bulan kemerdekaan dijalankan. Kemudian diadakan deklamasi sajak oleh peserta yang berjaya memenangi deklamasi sajak dalam bulan kemerdekaan, persembahan nasyid dan acara yang paling menarik ialah pertandingan deklamasi sajak antara guru yang mewakili Jabatan Bahasa yang diwakili  Cikgu Ahmad Sirajuddin b. Ahmad Tahir, Pn. Norhanan bt. Abdul Rahman mewaklili Jabatan  Pendidikan Islam, Encik Faizal B. Uyub Jabatan Sains, En. Faizul Akhyar mewakili Jabatan Kemanusian dan Pn. Rosna mewakili Pentadbiran sekolah. Pengadil pada malam itu ialah En. Mohd. Ramsul Abd. Rahiman dengan dibantu oleh dua orang pelajar Ting. 6 Rendah. Sememangnya kesemua peserta terlibat mendeklamasi sajak mereka dengan penuh patriotik dan diiringi dengan tepukan gemuruh dari pelajar, guru dan Tuan Pengetua. Keputusannya En. Faizal Uyub dinobatkan sebagai pendeklamasi sajak terbaik, diikuti dengan Cikgu Ahmad Sirajuddin b. Ahmad Tahir dan Pn. Norhanan b. Abd. Rahman tempat ketiga.
        Kesimpulannya, sepanjang Program Sambutan  Ambang Kemerdekaan pada tahun ini mempunyai keistimewaannya tersendiri. Sesungguhnya Tuan Pengetua amat gembira dan mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Sambutan Ambang  Kemerdekaan kerana berjaya menghidupkan suasana sambutan tambahan pula penggunaan Perkakasan Multimedia Nasyid Kluster memantapkan audio pada malam tersebut terutama semasa nyayian lagu Negaraku dan Jalur Gemilang. Tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan program berkenaan sama ada yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.

Rabu, 25 Ogos 2010

MALAM INI KERJA BERTAMBAH DAN BANYAK DATA PERLU DISELESAIKAN KERANA SETIAP DATA YANG DISEDIAKAN PENTING UNTUK KECEMERLANGANGAN PELAJAR SMKASAS

InsyaAllah, pada malam ini saya akan menyediakan data untuk persediaan Mesyuarat Panitia Bahasa Melayu esok, dan banyak data perlu disediakan ke arah post mortem prestasi pelajar terutama pelajar ting. 3 yang telah tamat peperiksaan percubaan. Dalam pada masa yang sama, peperiksaan Kertas Percubaan SPM sedang dalam proses dan bakal dibuat post mortem selepas ini. Justeru, esok setiap guru Bahasa Melayu diharapkan akan dapat melengkap data post mortem melibat borang post mortem  Klinikal Mata Pelajaran, Borang HSR-PMR, Borang PM2-PMR, Borang PM2-SPM. Diharapkan dengan data yang lengkap setiap maklumat post mortem akan dapat menjelaskan kedudukan pelajar dan perancangan kecemerlangan pelajar dalam baki masa sebelum peperiksaan sebenar PMR pada bulan Oktober nanti.
      Pada hari Isnin, 30 Ogos 2010 mesyuarat Kurikulum akan diadakan khas untuk merumus post mortem keputusan Peperiksaan Percubaan PMR 2010. Setiap Ketua Panitia Mata Pelajaran akan membentangkan post mortem keputusan Peperiksaan Percubaan, justeru, Mesyuarat Panitia Bahasa Melayu esok banyak memberi impak kepada keputusan Peperiksaan Percubaan yang akan dibentangkan pada mesyuarat berkenaan.

Khamis, 19 Ogos 2010

KEHILANGAN SEORANG RAKAN PENDIDIK

Pada pagi tadi saya dikejutkan satu berita iaitu kehilangan seorang rakan pendidik iaitu Alahyarham Cikgu Termizi. Beliau merupakan rakan sepasukan saya dalam permainan sepak takraw PSKPP era tahun 1980-an. Kehilangan beliau amat menyedihkan sungguhpun saya telah meninggalkan alam pendidikan sekolah rendah ,namun nostalgianya masih lagi menebal dalam memori. Allahyarham merupakan Guru Besar SK Besaut dan kehilangan beliau sangat besar bagi dunia pendidikan dalam umurnya setahun tua daripada saya. Semoga Allahyarham tergolong dalam golongan orang mukmin. Amin dan marilah kita menyedekahkan Umul Kitab Alfatihah kepada Allahyarham. Kepada Fadlin Sakina, harap bersabar kerana Allah amat menyanyangi ayahanda inti, cuma kita berdoa agar rohnya tergolong dalam golongan orang-orang beriman. Saya berdoa agar Fadlin dapat meneruskan pengajian dan mengotakan harapan ayahanda inti untuk melihat inti pelajar yang cemerlang seterusnya menjadi insan kamil yang cemerlang, gemilang dan terbilang. InsyaAllah.
                  Beginilah alam pendidikan zaman globalisasi, penuh dengan cabaran dengan kerenah pelajar, pentadbiran dan tugasan. Jika kita tidak pandai mengadaptasi tugasan dalam sesebuah organisasi akan ada pihak yang akan menghadapi masalah kerana sebuah organisasi boleh dianalogikan seperti sebatang pokok, setiap bahagian pokok berkenaan mempunyai peranannya sendiri, dan apabila setiap bahagian memainkan peranannya sudah pasti pokoknya akan subur dengan daunya hijau merendang menaupi bumi dengan suasana kesegaran dan proses fotosintisis memberikan ruang kepada mahkluk di muka bumi menikmati  gas oksigen. Jika bahagian akar saja berfungsi menyedut garam galian, air, dan mineral tetapi daun gagal melakukan proses fotisintisis pokok juga tidak boleh hidup subur, begitu juga sebaliknya jika akar tidak memainkan peranannya, daun juga tidak dapat berfungsi untuk menghasilkan makanan kepada pokok. Justeru, untuk melahirkan sebuah organisasi pendidikan yang kondusif, dan selesa kualiti dan kuantiti produk atau prestasi pelajar sahaja tidak akan seimbang jika tidak diikuti dengan kebajikan  tenaga pendidik kerana pendidik yang berada dalam kondisi yang tidak kondusif sudah pasti berada dalam zon tidak selesa dan memerlukan perhatian dengan adanya tindakan yang berbentuk keputusan secara berbincang dengan tindakan ibarat menarik rambut dalam tepung, biarlah rambut yang ditarik tidak putus dan tepung yang sedia ada tidak berterabur.Kita tidak mahu kehilangan aset yang berharga dalam membuat sebarang tindakan kerana sejarah sudah menunjukkan kegagalan sesebuah organisasi terjadi apabila sesuatu keputusan diambil tidak mengambil kira cara penyelesaian sesuatu masalah. Setiap masalah pula perlu diperhalusi kerana kesilapan yang dilakukan  dalam merungkai sesuatu masalah mungkin akan mendatangkan kemudaratan kepada pihak yang lain.
          

Isnin, 16 Ogos 2010

PELAJAR TING. 5 ALIRAN SAINS SUDAH MULAI MENJALANI PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2010

Saya berdoa semoga semua pelajar SPM aliran sains dapat menjawab soalan peperiksaan percubaan pada hari pertama siang tadi dan pelajar Ting. 5B akan menjalani peperiksaan buat pertama kalinya esok. Selamat Menghadapi Peperiksaan semoga anda berjaya mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan berkenaan.
       Pada malam ini saya amat teruja apabila bekas pelajar iaitu Mohamad Huzair b. Zakhal menjadi imam sembahyang Isya dan Sunat Terawih di Surau Al Furqan Batu 30 Titi Gantong. Beliau merupakan bekas pelajar di SK Seri Iskandar dan pernah belajar di SMKASAS pada tahun 2001 sebelum melanjutkan pelajar di Afrika Selatan dalam pengajian Al-Quran. InsyaAllah beliau akan  kembali ke Afrika pada 19.9.2010 untuk meneruskan pengajian tahun terakhirnya.. Tahniah diucapkan kerana lahirnya seorang lagi Insan Kamil.

Sabtu, 14 Ogos 2010

HARAPAN TUAN PENGETUA DAN CABARAN SERTA KESUNGGUHAN YANG PERLU ADA PADA PELAJAR DAN GURU.

Menyingkap kembali suasana resah pelajar ting. 3 sebelum menghadapi  peperiksaan percubaan PMR minggu lepas sudah terurai, tetapi kini impak daripada keputusan peperiksaan menjadi igauan bukan sahaja dirasai pelajar malah pentadbir dan warga pendidik yang terlibat dengan kelas peperiksaan. Sehingga kini, pelajar ting. 3H resah menunggu keputusan markah mereka sedangkan pelajar ting. 3K, 3S sudah boleh bertenang kerana keputusan mereka boleh dikatakan cemerlang apabila semua pelajar berkenaan mendapat gred A dalam peperiksaan berkenaan. Sehingga kini, saya masih lagi menyemak kertas jawapan pelajar ting. 3H. Setiap kali bertemu, pelajar 3H bertanya keputusan mereka. Untuk makluman pelajar, saya boleh mempercepat semakan tetapi impaknya jika saya berbuat demikian sudah pasti menjurus kepada kualiti semakan. Justeru, saya lebih suka menyemak dan mengesan kelemahan pelajar kerana pengesanan masalah pelajar membolehkan saya merangka program pemulihan dan menentukan kaedah yang perlu diambil setelah peperiksaan. 
        Perlu diingat, masa yang masih berbaki sebelum peperiksaan sebenar paling penting dan ketika ini latihan akan menjurus kepada pengukuhan kemahiran yang masih lemah, antaranya masalah utama yang dapat saya kesan kalangan pelajar ting. 3H ialah  kemahiran mereka memilih isi teks ringkasan, dan cara menjawab soalan pemahaman teks, masalah menulis karangan berpandu dan karangan umum, serta menjawab soalan komsas novel. Mereka kerap tersasar semasa menulis beberapa isi teks samada kerana kelemahan memilih perkataan yang sesuai atau meminda isi menyebabkan isi mereka tidak membawa maksud isi sebenar sehingga tersasar dari skema jawapan, begitu juga dari segi menjawab soalan pemahaman teks terutama soalan ketiga, mereka gagal menjawab soalan secara bercapah iaitu menjurus kepada kesan kepada pelajar, keluarga, institusi pendidikan, masyarakat, dan jawapan yang diberi hanya menjurus kepada pelajar sahaja dan jika ada jawapan yang ditulis tersasar terlampau jauh sehingga kepada perpaduan, dan ekonomi negara.
       Begitu juga karangan berpandu, terdapat segelintir pelajar gagal menggunakan stastitik yang terdapat dalam graf untuk memulakan penulisan sehingga karangan mereka terlampau umum dan hanya menyingkap peningkatan keputusan PMR sahaja semasa mengarang. Justeru, jawapan mereka seoalah-olah tidak berpandu kepada graf tetapi menjawab soalan karangan secara umum. Sungguhpun begitu kebanyakan pelajar berjaya menulis faktor-faktor menyebabkan berlakunya peningkatan jumlah pelajar memperoleh gred A dalam PMR. Malangnya, ada segelintir pelajar masih gagal menulis frasa menarik dalam karangan mereka. Justeru, kesimpulannya pelajar gagal menjawab soalan yang berpandukan graf dan latihan yang menjurus kepada soalan ini akan dipertingkat dan dipelbagaikan. Sementera soalan berkaitan karangan umum ada pelajar yang masih gagal membina ayat yang gramatis, menyelitkan frasa menarik dalam karangan mereka sedangkan berkali-kali saya mengingatkan peri penting istilah dan frasa menarik dalam karangan mereka untuk menentukan karangan tersebut cemerlang. Pelajar seolah-olah tidak membuat semakan setelah mengarang. Jika mereka membaca semula karangan mereka sudah pasti mereka akan mengesan kesalahan ayat samada dari segi pemilihan perkataan, mahupun dari segi semantiknya ataupun dari segi makna atau maksud ayat yang tidak mengambarkan maksud sebenar yang hendak disampaikan.
            Akhir sekali, kebanyakan pelajar gagal membaca kehendak soalan komsas novel. Jawapan mereka kebanyakan menjurus kepada peristiwa sedih dan gembira watak utama berdasarkan satu novel sahaja sedangkan soalan meminta mereka menulis peristiwa sedih dan gembira watak utama novel Merdeka!Merdeka dan Kapten Hassan Wira Bangsa. InsyaAllah, apabila sesi persekolahan dibuka semula dan pelajar balik semula ke sekolah, saya akan cuba untuk membuat post mortem jawapan pelajar, tetapi malangnya kertas jawapan kelas 3K yang saya harapak dikumpulkan pada hari ini masih belum saya terima. Hali ini berlaku kerana pada pagi tadi saya tersilap membaca jadual dan terlepas pandang waktu kelas 3K dan sehingga habis kelas saya tidak dipanggil. Mungkin tidak rezeki saya untuk masuk ke kelas 3K hari ini kerana saya sibuk menyemak kertas 3H.
             Sementara pelajar Ting.5, minggu depan anda pula akan menghadapi peperiksaan percubaan SPM. Saya berdoa agar anda dapat menjawab soalan peperiksaan berkenaan dengan sebaik-baiknya dan aplikasi semua kemahiran semasa menjawab soalan. Saya berdoa semoga anda sukses dan berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut. InsyaAllah. Sesungguhnya, Tuan Pengetua, Guru-guru mendoakan semua pelajar ting. 3 dan 5 akan mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Justeru, kepada pelajar dan guru terlibat, harapan dan amanat tersebut merupakan cabaran dan sama-sama kita berusaha untuk memastikan kecemerlangan berterusan terutama dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan umumnya mata pelajaran yang lain. Saya telah memutuskan untuk mengadakan mesyuarat Panitia Bahasa Melayu pada hari Khamis minggu depan untuk membincangkan post mortem keputusan Peperiksaan Percubaan PMR dan mengatur program dan latihan yang perlu untuk mengatasi format soalan peperiksaan yang masih belum dikuasai pelajar kerana melalui perbincangan bersama sudah pasti sebarang permasalahan akan dapat dirungkai. InysaAllah.

Jumaat, 13 Ogos 2010

SELAMAT BERPUASA DAN BALIK KAMPUNG KEPADA PELAJAR SMKASAS

Sebagai ingatan kepada pelajar ting. 3K dan 3H, sila selesaikan soalan PMR kertas 2007 bahagian ringkasan teks dan pemahaman serta soalan komsas novel. Selamat Berpuasa dan Isi Ruang Cuti Anda Dengan Menjalankan Tanggungjawab seorang Muslim dan seorang pelajar.

Isnin, 9 Ogos 2010

SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN

Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Yang Mulia kepada semua warga SMKASAS, bekas-bekas pelajar, dan sesiapa sahaja yang mengenali saya. Semoga di bulan mulia ini kita sama-sama mengambil kesempatan menjalankan ibadat puasa dan amalan sunat yang dituntut agama dengan sempurna dan merebut limpahan rahmat Allah dan pahala yang berlipat ganda yang dijanjikan. Di kesempatan ini juga saya memohon maaf kepada semua pengunjung blog ini jika saya ada melakukan kesalahan, baik dari segi gerak geri perbuatan, mahupun kesalahan tutur kata. Sudah tentu  saya sebagai insan yang lemah mempunyai kesalahan dan saya memohon kemaafan.
       Kepada Tuan Pengetua, Ustaz Arip b. Sa'aya, PK Pentadbiran, Pn. Bainah Ab. Dollah, PK Hem Ustaz Sidek Aliman dan juga PK Kokurikulum Tn. Syed Roslan b. Habib Baharom, saya mohon maaf sekiranya ada tulisan saya di dalam blog ini yang menyinggung perasaan kerana setiap tulisan saya adalah pendapat  dan saya faham bukan semua teguran saya itu semuanya tepat dan saya suka dikritik jika saya membuat kesilapan kerana saya mengharapkan sesuatu yang terbaik untuk anak didik dan sekolah yang saya sayangi. InysaAllah saya sentiasa melakukan yang terbaik berdasarkan kemampuan saya. Kepada rakan guru saya juga memohon kemaafan dan begitu juga kepada anak didik dan bekas pelajar yang saya sayangi, cikgu mohon maaf jika ada teguran saya  menyinggung perasaan dan semua saya lakukan adalah untuk kejayaan anta dan inti semua. Sekali lagi, Selamat Menyambut Kedatangan Bulan Ramadhan Yang Mulia.

Sabtu, 7 Ogos 2010

KERTAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN PMR DAN UJIAN SELARAS 2 TING. 2

Minggu yang sibuk menyemak kertas Peperiksaan Percubaan PMR untuk ting. 3K dan 3H, sementara Ujian Selaras 2 saya perlu mememeriksa kertas Ujian Selaras ting. 2H. Buat masa ini, saya sudah menyemak kertas Objektif kertas 1 untuk kelas 3K dan 3H, sementara kertas 2 saya baru menyemak soalan Ringkasan, pemahaman teks, karangan berpandu dan baru mula menyemak kertas karangan umum dan beberapa soalan komsas novel. Sepanjang semakan saya terhadap kertas soalan ting. 3, rumusan yang boleh saya buat ialah berlaku peningkatan bilangan pelajar mendapat gred A bagi kertas soalan objektif kertas satu terutama pelajar ting. 3K sementara bilangan pelajar 3H mendapat gred A juga bertambah tetapi prestasi keseluruhan kelas terbut juga agak kurang memuaskan, namun saya masih belum dapat membuat post mortem terperinci kerana masih belum menyemak keseluruhan kertas jawapan pelajar. InsyaAllah mungkin dalam minggu ini saya mampu untuk menyelesaikan semakan. Namun, kesimpulan yang boleh dibuat setakat ini, program formula tatabahasa yang saya dedahkan semasa kem ting. 3 baru-baru ini memberi impak yang positif kerana banyak pelajar yang boleh mendapat gred A dalam kertas 1 bahasa Melayu, begitu juga impaknya kepada pelajar ting. 3B berdasarkan perbualan saya dengan cikgu Sirajuddin. InsyaAllah selepas ini, saya akan cuba untuk merancang menjalankan kem kecemerlangan untuk kertas 2 PMR bersama guru-guru mata pelajaran ting. 3. Semakan kertas Ujian Selaras 2 Ting. 2H akan saya laksanakan setelah kertas peperiksaan Ting. 3 selesai saya semak. Saya berdoa, saya dapat menyemak kesemua kertas menengah bawah sebelum kertas Peperiksaan Percubaan SPM dijalankan pada 18/8/2010 kerana saya perlu menyemak kertas ting. 5B.
          InsyaAllah pada hari Rabu, jam 7.30 hingga 11.30 pagi, saya akan menjurus melaksanakan kem kecemerlangan Ting. 5, susulan kem tatabahasa sebelum ini. Antara fokus yang akan saya sampaikan adalah cara untuk memperoleh markah cemerlang dalam penulisan karangan berpandu dan umum SPM. Selain itu, saya akan memberi penekanan kepada pelajar peri pentingnya mereka memfokus untuk memperoleh markah cemerlang  kertas 1, hal ini kerana kertas ini memperuntukkan 130 markah dan baki markah diperuntukkan kertas bahasa Melayu 2, 110 markah. Tegasnya, kertas 1 paling banyak memperuntukkan markah dalam kertas Bahasa Melayu SPM. InsyaAllah saya akan memberi sepenuh komitmen untuk meningkatkan kecemerlangan anak didik saya dan saya juga mendoakan anak saya diberi komitmen yang sama dan itulah konsep memberi dan menerima yang saya harapkan selama ini. Sehingga kini saya berasa beryukur walau banyak mana kerja yang saya terima saya dapat laksanakan dengan sebaik-baiknya. Terima kasih kepada rakan-rakan sekerja dan juga kesyukuran juga saya panjangkan kepada Allah Penguasa Alam yang memberi dan meminjamkan tenaga, akal fikiran dan cara menyelesaikan masalah untuk saya menjadi seorang guru kepada anak-anak didik saya. Alhamdulillah.

Khamis, 5 Ogos 2010

POST MORTEM PPT TING. 5 DAN KISAH SEORANG IBU

Pada pukul 2.10 petang, Tuan Pengetua dan Ketua Panitia Mata Pelajaran Ting. 5 bersidang buat kali kedua setelah persidangan pertama membincangkan post mortem PPT Ting. 3  yang dijalankan pada minggu lepas. Antara tujuan post mortem ini dijalankan adalah untuk melihat sejauh mana perkembangan markah TOV, ETR dan keputusan OTI dan ATR yang menjadi tumpuan dalam membicarakan prestasi pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan awam samada PMR mahupun SPM. Namun, fokus perbincangan pada hari ini menjurus kepada prestasi 20 pelajar berpotensi mendapat keputusan A penuh dalam peperiksaan SPM dan sedikit perbincangan mengenai program kepung atau gempur 100. Cuma dalam perbincangan, hari ini banyak masa difokuskan kepada pelajar yang berprestasi dan dalam masa yang sama pelajar yang dikepung kurang diberi perhatian samada keberkesanannya dan masalah yang dihadapi. Saya sendiri tidak terfikir untuk bertanya tentang keberkesanannya kerana pada masa yang sama saya terpaksa bersedia dengan data untuk menjawab sebarang soalan daripada Tuan Pengetua. Sedangkan jika diambil kira daripada masa dan tempoh program tersebut agak lama, kerana pelajar yang dikepung sudah tidak pulang ke rumah dalam tempoh sebulan dan seterusnya mereka hanya dapat menginjak kaki ke rumah masing-masing pada cuti Hari Raya. Sepatutnya agenda bertumpu kepada keberkesanan program berkenaan tetapi Tuan Pengetua lebih berminat membicarakan 20 orang pelajar berpotensi sahaja sedangkan perbincangan perlu menjurus kepada kualiti prestasi keseluruhan pelajar. Mungkin Tuan Pengetua ingin melihat prestasi mereka ketika keputusan Percubaan SPM  apabila diketahui  dan peperiksaan tersebut akan bermula pada 18/8/2010. InsyaAllah kita lihat perkembangannya nanti.
         Disamping itu, perbincangan juga berfokus kepada perebutan panitia mata pelajaran untuk mengambil ruang menjalankan aktiviti kecemerlangan terutama melibatkan mata pelajaran kritikal dan sebagai ketua panitia Bahasa Melayu saya juga mengambil kesempatan untuk meminta tuan pengetua memberi ruang untuk Panitia B. Melayu menjalankan akitiviti kecemerlangan, tambahan pula mata pelajaran bahasa Melayu diharapkan oleh Tuan Pengetua mengekalkan prestasi kesemua pelajar mencapai gred A+ dan A dalam peperiksaan SPM pada tahun ini dan saya berpendapat panitia Bahasa Melayu juga berhak untuk mendapat keistimewaan yang selama ini diberikan kepada panitia yang lain. Tambahan pula, saya telah ditegur oleh Tuan Pengetua ETR Panitia Bahasa Melayu perlu menjurus kepada keputusan terbaik SPM dan slalah satu rujukannya ialah berdasarkan keputusan SPM terbaik tahun sudah.Alhamdulillah, akhirya Tuan Pengetua bersetuju memberikan ruang kepada semua panitia untuk menjalankan program kecemerlangan masing-masing.Pada pandangan saya situasi ini amat baik dan membina kerana setiap panitia mengetahui tugasan dan  objektif yang perlu dicapai bedasarkan ETR yang disasarkan di awal tahun. Justeru, komitmen seperti ini perlu diteruskan agar pencapaian prestasi pelajar sekolah ini terus meningkat selaras dengan taraf sekolah kluster akademik yang diperoleh pada tahun lepas.
          Dalam masa yang sama, di hujung pembincangan saya telah dimaklumkan salah seorang pelajar telah disyakki mengalami simptom demam denggi dan kebetulan saya bertugas sebagai warden hari ini. Sebagai tindakan susuluan saya terpaksa membawa pelajar berkenaan ke Hospital Changkat Melintang setelah habis mesyuarat kira-kira pukul 4.50 petang.  Kebetulan pula, dalam taklimat berkenaan saya telah menyatakan bebanan kerja saya yang bertambah kerana bertugas sebagai guru mata pelajaran peperiksaan dua ting. 3 dan satu ting. 5 dan satu lagi untuk kelas ting. 2. Sebagai impaknya saya terpaksa berada di hospital sehingga pukul 6.40 petang. Saya lebih suka membicarakan masalah tersebut dalam mesyuarat untuk melepaskan stress, tambahan pula saya juga ketua panitia Bahasa Melayu dan saya berharap Tuan Pengetua mengetahui bebanan tugas saya tersebut. Jika perlu saya rela jawatan warden dilepaskan kepada orang lain dan setakat ini saya masih mampu bertahan. Sesampai di rumah jam menunjukkan pukul 7.20 petang dan pada pukul 7.50 saya menghantar anak saya ke kelas tuisyen kemudian saya mandi dan sembahyang Maghrib. Selepas itu, saya amat keletihan dan tertidur dan digerakkan isteri saya untuk mengambil anak saya di kelas tuisyen. Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk tidak ke sekolah kerana yang penting saya perlu merehatkan diri saya. Nasib saya baik, kerana Ustaz Zaki ada di hospital kerana menghantar baju pelajar ting. 6 bawah yang mengalami sakit perut dan ditahan di wad. Oleh sebab, pelajar lelaki yang saya bawa dibenarkan pulang Ustaz Zaki mencadangkan pelajar berkenaan pulang ke asrama mengikut beliau.
          Berbalik kepada  kisah seorang ibu, saya tertarik melihat reaksi seorang ibu yang  kebetulan membawa anaknya ke hospital akibat kemalangan jalan raya. Beliau begitu tabah dan cekal kerana dalam keadaan terhinjut-hinjut memapah anaknya yang berdarah di bahagian muka dan kaki ke luar daripada kereta dan pemuda yang membawa anaknya pula seorang pemuda yang prihatin kerana sanggup menghantar mereka ke hospital walaupun tidak mempunyai kaitan persaudaraan. Kalau dilihat daripada situasi awalnya, saya berpendapat ibunya juga terlibat dalam kemalangan yang melibatkan lori dan motor di Changkat Cermin. "Makcik sakit kaki , entah mengapa makcik hilang sakit kaki tersebut kerana terkejut melihat anak makcik berada di bawah lori," katanya dalam keadaan menahan air mata daripada menitis ke pipinya.Katanya lagi," Makcik ingat anak makcik dah tiada kerana motosikal yang dinaikinya juga berada di bawah lori. Makcik dah tak peduli handpone dan beg duit makkcik tertinggal di tempat kejadian, yang paling penting  ialah nyawa anak makcik. " Begitulah kisah kehidupan yang saya lihat sendiri semasa saya menunggu keputusan doktor samada  pelajar yang saya bawa perlu dimasukkan ke dalam wad atau dibenarkan pulang ke asrama. Apa yang penting di sini adalah nilai tabah dan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya. Diharapkan pelajar-pelajar perlu sedar betapa seorang ibu kasih dan sayang kepada anda. Oleh sebab itu tunaikan tanggungjawab anda belajar dan memenuhkan harapan ibu bapa untuk melihat anda berjaya samada di sekolah mahupun di IPT. Jadilah insan kamil yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Rabu, 4 Ogos 2010

PEPERIKSAAN PERCUBAAN PMR DAN UJIAN SELARAS 2

         Hari ini pelajar-pelajar SMKASAS menghadapi  Peperilksaan Percubaan PMR untuk hari ketiga. Sementara pelajar  ting. 1,2,4, dan Ting. 6 Bawah mereka juga menghadapi Ujian Selaras 2 iaitu ujian yang menjurus kepada soalan berdasarkan format soalan yang terpilih. Justeru, terdapat perbezaan ketara antara kedua item soalan ketas berkenaan kerana bagi pelajar ting. 3, soalan peperiksaan yang dihadapi menjurus kepada format peperiksaan sebenar dan paling utama keputusan peperiksaan tersebut selalunya membayangi keputusan peperiksaan PMR.         
         Sementara Ujian Selaras 2 hanya sekadar menilai aspek kecil soalan berdasarkan soalan format sebenar. Walau bagaimanapun kedua-dua pengujian berkenaan penting, baik kepada pelajar mahupun guru mata pelajaran terlibat kerana kedua-duanya  menguji tahap penguasaan kemahiran pelajar terhadap kemahiran yang diajar. Oleh sebab itu,  pelajar-pelajar berkenaan diharapkan dapat menjawab soalan peperiksaan dan ujian berkenaan dengan teliti dan menjawabnya dengan sebaik-baik yang boleh. InysaAllah, Tuan Pengetua telah mengarahkan panitia  mata pelajaran  membuat post mortem setiap mata pelajaran berkenaan untuk melihat perbezaan keputusan setiap pelajar dan seterusnya melaksanakan langkah samada kaedah, strateji , dan pendekatan terakhir untuk melonjakkan kecemerlangan pelajar berkenaan. Diharapkan usaha ini akan dapat meningkatkan prestasi keputusan pelajar dalam peperiksaan PMR 2010.
          Namun, kepada pelajar SPM 2010, nasib anda juga akan dinilai dua minggu lagi kerana pada 18//8//2010 anda akan menghadapi Peperiksaan Percubaan SPM. Justeru, masa berbaki ini gunakan untuk membuat ulangkaji terutama untuk mengatasi kemahiran bagi mata pelajaran yang belum anda kuasai. Banyak bertanya kepada guru setiap kemahiran dan soalan yang anda belum kuasai kerana dengan cara ini anda dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi.  Selamat Menghadapi Peperiksaan dan Ujian Selaras 2.

Ahad, 1 Ogos 2010

TAHNIAH KEPADA BEKAS-BEKAS PELAJAR YANG BERJAYA DALAM KERJAYA ATAU PENGAJIAN DI IPT

Sebelum terlambat saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA dan IPTS, ingat proses pembelajaran berlangsung sehingga ke akhir hayat. Justeru, pastikan anda menjurus ke arah pembelajaran berkualiti kerana hanya mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan yang luas, berketrampilan, berpesonaliti mulia, beragama, dan kreatif sahaja yang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Namun, ilmu tanpa amalan dan praktikal tidak mencukupi kerana masyarakat zaman sekarang kekeringan pemimpin yang mampu membimbing mereka ke arah  menghadapi cabaran hidup yang berliku serta penuh dengan ranjau dan duri Tanpa pemimpin yang berkualiti, kehidupan mereka sentiasa dalam keadaan kegelapan Oleh sebab itu, pemimpin yang mempunyai iman, ilmu, dan  amal sahaja yang mampu memandu mereka ke arah jalan yang benar jalan yang diredhai. Siapa lagi insan itu, jika tidak insan kamil. Andalah orang yang sepatutnya memandu masyarakat terebut dan jika anda gagal menjalankan tanggungjawab tersebut sudah pasti institusi yang melahirkan anda sebagai insan kamil gagal  dalam merealisasi visi dan misimya kerana antara slogan yang diberi penekanan  semasa melahirkan insan kamil  cemerlang ialah Sentiasa Menerajui Kegemilangan Akhlak, Sahsaih, Akademik, dan Sosial.
         Jika anda tidak mampu memimpin masyarakat, pimpinlah diri anda, jika lebih luas, pimpinlah keluarga anda kerana merekalah yang paling hampir dengan anda. Agak malang, sekiranya insan kamil yang dihasilkan gagal memimpin dirinya sendiri dan impaknya nama SMKASAS sendiri akan tercemar kerana andalah yang menjadi lambang kejayaan institusi Pendidikan Agama Yang Tertua di negeri Perak Darul Ridzuan. Sesungguhnya, warga SMKASAS sentiasa berbangga melihat kejayaan anda di luar sana tetapi akan  berasa sayu dan sedih pabila insan yang diharapkan untuk menjadi pemimpin menerangi kegelapan orang lain gagal memainkan peranan dan tanggungjawabnya dalam masyarakat malah akan bertambah sedih jika mereka sendiri gagal memimpin diri mereka sendiri. Justeru, pastikan diri anda berada pada situasi yang sesuai dan bertepatan dengan kehadiran dan fungsi anda dalam masyaraka. Warga SMKASAS sangat berbangga jika anda berjaya meletakkan posisi anda sesuai dengan tempatnya dalam masyarakat setempat.