SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Sabtu, 29 September 2012

PROGRAM SEMINAR KEIBUBAPAAN, BACAAN YASIN, SOLAT HAJAT (SIRI KE-3), PAMERAN KERJAYA, DAN PAMERAN PENCEGAHAN DADAH.

           Pada hari ini telah diadakan program empat serangkai iaitu Program Seminar Keibubapaan, Bacaan Yasin, Solat Hajat (siri ke-3), Pameran Kerjaya, dan Pameran Pencegahan Jenayah. Antara objektif program ini adalah untuk menyedarkan ibu bapa, pelajar yang akan mengambil peperiksaan awam pada hujung tahun ini betapa pentingnya hari-hari berbaki sebelum peperiksaan bermula. Hal ini kerana PMR akan bermula  9 hari lagi, SPM 36 hari, dan STPM 46 hari lagi. Disamping itu sebagai acara selingan diadakan pameran kerjaya melibatkan beberapa buah IPTA, pameran dadah serta klinik kesihatan untuk ibu bapa dan guru-guru.
            Semasa slot Program Seminar Keibubapaan, Tuan Hj. Mior Shahrin b. HJ. Mior Mohd Yusuf, Yang Dipertua PIBG SMKASAS meminta ibu bapa supaya lebih perihatin terhadap anak-anak yang akan menghadapi peperiksaan pada tahun ini kerana kejayaan anak-anak juga bergantung kepada tanggungjawab ibu bapa. Tambahan pula pihak sekolah telah menjalankan pelbagai usaha untuk kejayaan anak-anak mereka. Puan Pengetua dalam ucapannya, mengharapkan ibu bapa sentiasa mengawasi anak-anak  terutama ketika bercuti kerana baru-baru ini Peperiksaan Pra PMR telah diadakan dan beliau kecewa kerana keputusannya prestasi pencapaian mereka jatuh berbanding keputusan Peperiksaan Percubaan PMR kendalian Jabatan Pelajaran Perak. Antara faktor yang dikesan mempengaruhi kejatuhan keputusan berkenaan adalah kerana anak-anak dibenarkan balik kampung selama tiga hari sempena cuti Hari Jadi Malaysia yang lalu. Pengerusi Majlis menambah (Mohd. Ramsul Abd. Rahiman), pada masa yang sama pihak sekolah berpendapat kebenaran bercuti diberi memandangkan seminggu sebelumnya pelajar tingkatan 3 telah menghadiri Kem Kecemerlangan Di Pusat Latihan UITM, Sungai Galah, di Kampung Gajah. Sepanjang Kem tersebut guru-guru pakar Mata Pelajaran telah dijemput untuk memberi teknik menjawab kepada pelajar. Namun, malangnya kemungkinan pelajar tidak mengambil kesempatan mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Pra PMR ketika bercuti di kampung. Tambahan pula, peperiksaan tersebut hanya dijalankan peringkat sekolah sahaja dan kemungkinan mereka tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Justeru, diharapkan baki hari yang tinggal sebelum peperiksaan PMR selama 9 hari perlu digunakan oleh pelajar untuk persediaan menghadapi peperiksaan dan guru-guru mata pelajaran akan berusaha untuk menyediakan pembelajaran secara sistematik dan berkualiti untuk membantu pelajar bersedia menghadapi peperiksaan awam. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu menenangkan jiwa anak-anak dan tidak memberi tekanan kepada mereka, kerana kegagalan anak-anak bukan bermakna kegagalan dalam peperiksaan sebenar dan berilah kepercayaan kepada sekolah terutama guru-guru mata pelajaran untuk mengatasi situasi tersebut, dan ibu bapa pula perlu berdoa agar anak-anak mereka berjaya kerana doa mereka mustajab.
             Slot terkakhir ialah ceramah keibubapaan oleh Ustaz Yasruddin bin Osman salah seorang penceramah bebas yang sering kedengaran suaranya di Radio FM Perak. Konklusinya, beliau memberi penegasan untuk berjaya cemerlang dalam peperiksaan, ibu bapa dan anak-anak perlu memberi penekanan kepada kecemerlangan iman, amalan positif yang ditegaskan oleh Rasulullah dan sahabat perlu diberi penekanan, selain usaha anak-anak dan diakhiri dengan doa ibu bapa, pelajar, guru-guru dan warga sekolah. Ceramah tamat jam 12.15 tengah hari dan ibu bapa disajikan makanan dan minuman yang siap dibungkuskan. Ibu bapa dan guru kemudiannya bergerak ke masjid untuk menunaikan Solat Zohor secara berjemaah dan kemudian membaca Surah Yasin dan Solat Hajat untuk meminta Allah menenang dan mempermudah anak-anak menjawab soalan peperiksaan awam pada bulan Oktober dan November ini. Sama-samalah kita mendoakan kejayaan mereka. Wasalam.
           

Jumaat, 21 September 2012

BERSAMA PELAJAR UNTUK KELAS TUISYEN BM

      Pada malam ini, kira-kira pukul 9.00 malam saya tiba di sekolah untuk kelas tusiyen BM kelas 3K. Tumpuan saya pada malam ini adalah untuk membincangkan Kertas 1 Bahasa Melayu Peperiksaan Pra PMR. Oleh sebab, masalah sama juga berlaku untuk kelas 3S, saya kumpulkan semua pelajar berjumlah 63 orang di kelas 3K kerana saya ingin berbincang jawapan pelajar. Rata-rata pelajar tidak dapat menjawab soalan dengan baik kerana soalan yang diambil daripada Soalan Percubaan PMR negeri Perlis. Umumnya, hanya seorang pelajar yang dapat menjawab betul 32 soalan dan lain-lain hanya menjawab bawah 32 soalan betul dan paling rendah 19 jawapan betul daripada 40 soalan.
         Memang saya faham soalan kertas 1 Bahasa Melayu merupakan kertas yang mencabar, dan graf prestasi pelajar bagaikan ombak kerana tidak pernah mantap. Cuma persoalan yang saya hamburkan kepada pelajar kenapa ada soalan yang mudah tetapi pelajar tidak dapat menjawab dengan tepat. Ada juga soalan yang pernah keluar dan beberapa kali dibincangkan pun pelajar tidak boleh menjawab dengan tepat. Oleh sebab tidak tahan sebak di dada, saya mengaku mungkin saya yang bersalah dan segera pelajar menepis andaian saya tersebut dengan mengatakan bahawa kesilapan tersebut berlaku atas kesalahan mereka. Tambahan pula, ada pelajar menjelaskan antara kesalahan yang mereka lakukan adalah kerana tidak membaca soalan dengan betul dan terus menjawab soalan, terutama soalan yang ada kecuali. Kemudian, saya membuat rumusan bahawa peperiksaan Pra PMR yang dilakukan secara drastik, maksudnya dalam sehari pelajar perlu menjawab empat kertas peperiksaan dan pelajar menghadapi stress. Pelajar bersetuju dengan rumusan saya tersebut. 
            Berdasarkan dapatan tersebut, saya lega kerana memang saya sudah mengagak masalah berkenaan akan berlaku dan ada juga baiknya berlaku awal sebagai pengajaran kepada mereka supaya tidak melakukan kesalahan yang sama semasa peperiksaan lagi. Seterusnya, saya memaklumkan keputusan tuan pengetua yang akan menghantar laporan post mortem berkenaan kepada PPD. Kebanyakan pelajar resah dengan dapatan yang diterima oleh mereka pada malam ini. Namum, sebagai usaha untuk mengendurkan keadaan, saya berharap mereka bersabar kerana soalan negeri Perlis tersebut agak sukar dan standardnya tinggi, justeru mereka mulai bertenang semula. Namun saya tetap tidak puas hati dengan situasi berkenaan dan akan cuba membuat post mortem dan merancang langkah mengatasinya. Cuma, post mortem yang lengkap akan dapat dihasilkan setelah semakan kertas 2 selesai. Sesungguhnya, pada malam ini saya sudah menyelesaikan sesuatu, terutama untuk mengendurkan keadaan sesetengah pelajar yang kecewa dengan prestasi mereka menjawab kertas 1. 
            Sesungguhnya, pelajar mungkin tidak tahu betapa terbakarnya hati saya setelah menyemak kertas 1 berkenaan dan sekarang saya sedang menyemak kertas 2, pelajar kelas 3S. Begitulah keluh kesah hati seorang guru mengajar kelas peperiksaan dan saya mendoakan masa yang masih berbaki ini untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. InsyaAllah pengalaman banyak mengajar saya dan dengan usaha dan doa semua masalah mampu di atasi. Sekian untuk malam ini.
          

Rabu, 19 September 2012

POST MORTEM KEPUTUSAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN PMR 2012 BERSAMA DENGAN TUAN PPD PERAK TENGAH SERTA ROMBONGAN

            Pada hari ini 19 September 2012,  Tuan Hj. Mohamad Zalkornain b. Jaafar, PPD Perak Tengah, En. Zaudi b. Lebai Mat, Timbalan PPD. Perak Tengah, En. Mohd. Ramdzan b. Hj. Muhktar, Penolong PPD. Kurikulum Bahasa, Tn. Syed Azelan b. Syed Abu Hassan, Penolong PPD ( Matematik dan Sains) dan rombongan telah bersama-sama mendengar taklimat Post Mortem Peperiksaan Percubaan PMR 2012.
            Dalam taklimat tersebut, setiap Panitia Mata Pelajaran membentangkan Head Count dan analisa perbandingan Peperiksaan Percubaan PMR 2012 dengan  keputusan Peperiksaan PMR 2011 serta dapatan pelajar yang masih belum mencapai keputusan yang diharapkan oleh pihak sekolah. Antara fokus perbincangan dan soal jawab antara Tuan PPD Perak Tengah serta rombongan dengan setiap ketua panitia adalah untuk menggandakan usaha supaya sasaran yang diharapan oleh PPD Perak Tengah iaitu seramai  90 orang mendapat semua "A" dalam 9 mata pelajaran yang terlibat.
               Pelbagai saranan dan idea hasil perbincangan dicapai merealisasikan usaha  tersebut dan Tuan PPD yakin dengan usaha yang bersungguh setiap panitia dan guru mata pelajaran, sasaran yang diharapkan akan menjadi kenyataan. Tuan Pengetua, Puan Naemah bt. Ramli menjelaskan pelbagai usaha telah dijalankan oleh guru-guru dan pentadbiran sekolah sepanjang tahun ini untuk mencapai sasaran tersebut. Sebagai rumusan, setiap panitia dikehendaki membuat post mortem kedua berdasarkan Peperiksaan Pra Percubaan PMR  yang masuk hari kedua pada hari ini dan keputusan post mortem tersebut akan dihantar kepada Tuan PPD. Justeru, keputusan telah dibuat oleh Tuan Pengetua agar guru mata pelajaran terlibat menyiapkan semakan pada hari Selasa minggu hadapan untuk di analisa oleh setiap panitia. En. Mohd. Ramsul Abd. Rahiman sebagai Pengerusi Majlis pada pertemuan berkenaan mengucapkan ribuan terima kasih atas kehadiran Tuan PPD Perak Tengah serta rombongan kerana hasil perbincangan dan perkongsian pintar antara dua Institusi Pendidikan ini mengambarkan komitmen kedua-dua belah pihak untuk melihat lebih ramai pelajar SMKASAS cemerlang dalam Peperiksaan Menengah Rendah pada tahun ini. Sekaligus, SMKASAS diharapkan dapat meneruskan agenda dan harapan PPD Perak Tengah sebagai institusi yang menyumbangkan kecemerlangan Pendidikan  Daerah Perak Tengah. InsyaAllah.

PEPERIKSAAN PRA PERCUBAAN PMR 2012

        Pada hari ini, 18 September 2012, pelajar tingkatan tiga seramai 127 orang menghadapi peperiksaan Pra Percubaan PMR. Sebanyak tiga kertas akan dijawab oleh mereka pada hari ini, iaitu kertas Bahasa Melayu Kertas 1 dan Kertas 2, Kertas Sains Kertas 1 dan 2 serta kertas bahasa Inggeris. Peperiksaan Pra Percubaan PMR tersebut akan dijalankan selama tiga hari melibatkan sembilan mata pelajaran.
         Diharapkan pelajar akan menjawab kertas tersebut dengan sebaik mungkin dan peperiksaan tersebut dijalankan untuk menyesuaikan pelajar dengan suasana peperiksaan sebenar PMR, di samping menjawab pelbagai soalan yang dipilih daripada soalan percubaan negeri-negeri lain. Selamat Menghadapi Peperiksaan Pra Percubaan 2012.  Semoga anda berjaya mendapat keputusan cemerlang.

PROGRAM PERTUKARAN PELAJAR SEKOLAH KLUSTER DAN TEKNIK MENJAWAB M/PELAJARAN BAHASA MELAYU

        Pada hari ini, 18 September 2012, seramai lapan orang pelajar daripada SMK Convent Taiping telah tiba di sekolah untuk menyertai program pertukaran pelajar antara sekolah kluster. Di samping itu, salah seorang Guru Bahasa Melayu sekolah berkenaan telah dijemput untuk meyampaikan ceramah teknik menjawab peperiksaan untuk mata pelajaran bahasa Melayu. Ceramah menjawab soalan bahasa Melayu tersebut telah diadakan dari pukul 10.30 pagi sehingga pukul 12.30 tengah hari di bilik kluster SMKASAS.
      Antara kemahiran yang di sentuh oleh Pn. Hasanah bt. Shahidan ialah kemahiran menjawab soalan Kertas 2, iaitu berkaitan kemahiran menjawab soalan komsas novel, kemahiran tatabahasa dan kemahiran menjawab soalan peribahasa. Seramai 105 orang pelajar tingkatan empat SMKASAS terlibat dalam program tersebut bersama-sama lapan orang pelajar SMK Convent, Taiping yang turut serta dalam program pertukaran pelajar berkenaan. Sepanjang mereka  berada di SMKASAS, mereka akan melihat secara lebih dekat program keagamaan yang dijalankan di sekolah, disamping akan bersama pelajar tingkatan empat dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Mereka akan berada di SMKASAS sehingga hari Jumaat. Terima kasih kepada Pn. Hasanah bt. Shahidan atas kesudian untuk memberi ceramah kepada pelajar ting. empat dan selamat datang juga diucapkan kepada lapan orang pelajar SMK Convent ke SMKASAS.

Ahad, 16 September 2012

PROGRAM ALUMNI SMKASAS 2012 EXCELENT, TAHNIAH PENGANJUR.

Pada 15/9/2012, buat pertama kali pengajur Majlis Tautan Budi Sulaman Ukhrawi Ziarah Eidulfitri ASAS 2012 dapat mengumpulkan ratusan bekas pelajar pelbagai bacth ( 29 batch) bersama guru-guru dan pengetua sekarang (Ustazah Naemah Ramli),bekas guru dan Pengetua Kedua SMKASAS Ustaz Megat di Casa Putra Bistro Sungai Buluh, Selangor dan kejayaan ini amat bermakna untuk semua. Justeru, penganjuran yang sama telah diserahkan kepada batch ketiga untuk tugasan yang sama pada tahun hadapan dan ini merupakan langkah yang bijak untuk memastikan penganjuran majlis sebegini besar akan berterusan dan terima kasih kepada pihak Penganjur iaitu Hj. Alwi Yunus, En. Mir Hazil Azran Ramli, Pn. Liza Duazi, Pn. Rauzita Mohd Judin, Pn. Jihan Rashid, serta rakan satu batch serta wakil batch dan rakan-rakan kerana bertungkus-lumus menganjur perjumpaan ini.. Semoga Allah merahmati usaha mengumpul hati-hati yang pernah berada di bawah satu bumbung SMKASAS.

Jumaat, 14 September 2012

KERJA DALAM CUTI UNTUK PELAJAR TING 3K DAN 3S

Assalamualaikum, kepada pelajar 3K dan 3S. Selamat bercuti dan untuk makluman saya ada memberikan kerja rumah untuk disiapkan iaitu menulis karangan umum iaitu pertama karangan fakta dan kedua karangan peribahasa berbentuk cereka. Justeru, pelajar boleh memilih atau merujuk sumber rujukan bebas, sama ada buku atau internet tetapi pastikan karangan anda salin cemerlang. Sekiranya pelajar ingin menulis sendiri karangan tersebut dibenarkan.

        a) Karangan fakta ( Tajuk Bebas)
                        i)  Pastikan pengenanalannya menarik ( Terpulang pengenalan jenis apa pun)
                       ii)  Isi perlu dikembangkan menggunakan kaedah deduktif yakni, perlu ada ayat isi, ayat
                            huraian, ayat contoh, dan ayat penegas + frasa menarik.
                      iii)  Penutup, perlu ada ayat cadangan dan ayat harapan. Sebaik-baiknya ayat cadangan perlu
                            lebih satu ayat.
                      iv)  Pastikan karangan yang anda bina sifar kesalahan ejaan, kesalahan imbuhan, binaan ayat
                            perlu gramatis dan tanda baca digunakan pada tempatnya.

       b) Karangan Peribahasa berbentuk cereka ( Tajuk Bebas)
                      i)   Pastikan karangan anda salin cemerlang.
                     ii)   Antara kriteria kecemerlangan karangan cereka berdasarkan peribahasa:-
                           a)   Karangan bertepatan dengan maksud peribahasa.
                           b)   Perkembangan plot menarik dengan pengenalan yang baik, perkembangan 
                                 mempunyai konflik dan susunan konflik perlu disusun menuju konflik cerita dan
                                 ada peleraiannya.
                           c)   Setiap plot cerita perlu ada teknik plot seperti menyelitkan teknik imbas kembali
                                 ( flashback), imbas muka, teknik dialog, monolog, atau monolog dalaman, 
                                 teknik pemerihalan.
                           d)  Elakkan kesalahan ejaan, imbuhan, tanda baca tepat, dan binaan ayat mesti gramatis.
                     iii)   Sekiranya anda ingin mengarang sendiri digalakkan.

   Pastikan kerja anda siap dan bersedia untuk menghadapi peperiksaan Pra Percubaan PMR 2012 pada hari Selasa  hadapan (18/9/2012) dan selamat bercuti. Tolong ingatkan rakan-rakan anda yang lain. 
    Pastikan juga anda membuat ulangkaji terutama formula tatabahasa, dan saya akan sentiasa meneliti prestasi anda dari semasa ke semasa. Jika berlaku kesalahan kertas Bahasa Melayu 1 sila buat pembetulan dua kali setiap kesalahan. Harap maklum. Sekian.
  
                 

Khamis, 13 September 2012

MINGGU PENUH DENGAN AKTIVITI DAN TUGASAN

Minggu ini dan minggu lepas memang menyebabkan saya keletihan, bukan sahaja keletihan fizikal tetapi juga keletihan minda. Bermula post mortem bersama Ketua Sektor Pendidikan Islam JPN, Kem Bahasa Melayu, dan minggu ini, boleh dikatakan setiap hari ada taklimat dan sampai di rumah pukul 4.30 petang dan esok aktiviti Bahasa Melayu sempena dengan Bulan Kemerdekaan akan diadakan selepas sesi persekolahan. Antara acara yang dipertandingkan ialah deklamasi sajak dan pidato, selain menyediakan bahan untuk latihan dan Peperiksaan Pra PMR. Tambahan pula minggu ini kelas flexi untuk PMR juga  bermula. Akibatnya, masa untuk menyemak kertas percubaan SPM pun bermasalah. Apatah lagi setelah selesai Peperiksaan Percubaan SPM kelas flexi kelas SPM pula akan bermula. Tambahan pula usaha memasukkan data ke dalam MYSPATA berkaitan Aset Sekolah masih belum selesai iaitu sistem online internet untuk memasukkan data bangunan tak alih. Secara tidak langsung kehadiran Nazir selama dua hari bermula pada hari Selasa dan Rabu juga meresahkan kerana perlu pula persediaan untuk menerima hakikat di pantau oleh mereka. InsyaAllah pada 15/9/2012 saya dan beberapa orang pentadbir, guru kanan, dan guru akan ke Sungai Buluh bertemu dengan bekas pelajar.
     Pada 29/9/2012 pula ada jemputan untuk Teknik Menjawab Kertas 2 SPM di SMK Lambor Kiri, bahan masih belum dikemaskinikan lagi. Bila nak rihat pun tak tahu. Akibatnya saya terpaksa berehat di rumah semalam walaupun ada kelas Tuisyen Ting. 3S dan esok kelas Tuisyen Kelas 3K. Hati tu nak juga pergi ke kelas tambahan, tetapi isteri minta buat kelim tuntutan mengawas dan tuntutan perjalanan menjaga Peperiksaan UPSR. Esok pula, isteri akan balik lewat kerana peperiksaan UPSR akan tamat pada pukul 4.00 petang dan apahal pula dengan anak yang akan balik pada pukul 12.00 untuk pra-sekolah dan anak saya yang berada di tahun empat, perlulah pulang awal untuk mengambil mereka dan kemudian ke sekolah semula pada pukul 3.00 petang untuk aktiviti bahasa Melayu. Namun itulah hakikat tugas seorang guru sekarang. Kadang-kadang ada juga kebenarannya apabila guru yang sudah bersara mengatakan " bebanan tugas terlerai apabila bersara". Hakikatnya tugas perlu dibereskan untuk mendapat ketenangan fizikal dan rohani. Semoga Allah memberi kekuatan untuk meneruskan tugasan yang berbaki selama 13 tahun lagi, InsyaAllah.
      

Isnin, 10 September 2012

SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI

InsyaAllah, esok, 11 September 2012, Beberapa orang pegawai dari Kementerian Pelajaran Malaysia akan datang ke sekolah untuk membuat pemantauan usrusan menentukan sama ada  SMKASAS layak untuk diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi. Untuk makluman, kedatangan mereka adalah merupakan proses awal dan antara yang dipantau esok adalah untuk menentukan Tahap Pembudayaan Teknologi (ICT) Sekolah sama ada mencapai Standard  'SMART SCHOOL QUALIFICATION STANDART'.  Justeru, saya mengharapkan bekas-bekas pelajar mendoakan ke hadrat Illahi agar proses mengiktirfkan SMKASAS sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi akan berjalan dengan lancar.. InsyaAllah.

PERTEMUAN ALUMNI SMKASAS DENGAN GURU DI SUNGAI BULUH, SELANGOR.

          Pada 15 Sepetember 2012, guru-guru SMKASAS telah dijemput untuk bertemu dengan bekas-bekas pelajar SMKASAS di di Casa Putra Bistro Saujana Utama, Sg Buloh, Selangor. Perjumpaan berkenaan telah dianjurkan oleh pelajar 'bacth' tahun kelima penubuhan SMKASAS ( Saya tidak berapa pasti tahun bila ). Namun, saya berbangga kerana jemputan tersebut, walaupun ketika itu saya masih belum mengajar di SMKASAS kerana saya baru sebagai guru pada tahun 1989. Kemudian, setelah 15 tahun mengajar, pada tahun 2002 saya mendapat tawaran mengajar di SMKASAS sehinggalah kini. Cuma saya berasa gembira kerana, buat pertama kali bekas pelajar atau Alumni menjemput guru-gurunya ke satu majlis yang saya rasa besar ertinya untuk mereka yang bergelar "Guru SMKASAS".
               Namun, bekas-bekas pelajar mungkin boleh bertemu beberapa orang guru yang mengajar mereka kerana banyak guru yang telah bertukar sekolah, berpencen, dan yang paling menyedihkan, ada yang telah meninggalkan kita bertemu Maha Kuasa.Cuma usaha berkenaan amat dialu-alukan, walaupun sebelum ini ada beberapa pertemuan yang telah diadakan di sekolah. Diharapkan usaha ini bukan setakat di situ sahaja, dan teruskanlah sepanjang masa kerana di situlah tempat "Insan Kamil Dilahirkan".
            
   

KEM KECEMERLANGAN PMR DI PUSAT LATIHAN UITM KAMPUNG GAJAH

      Pada 7,8, dan 9 September 2012, serama 127 orang pelajar Ting. 3 telah menjalani Kem Kecemerlangan PMR di Pusat Latihan UITM Kampung Gajah. Antara mata pelajaran yang terlibat dalam program tersebut ialah Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, dan dua mata pelajaran lain iaitu Pendidikan Islam dan KH telah diadakan di sekolah.
      Sesungguhnya, harapan sekolah amat tinggi agar kem yang dijalankan akan dapat membantu meningkatkan penguasaan pelajar terhadap mata pelajaran yang terlibat. Pelajar  Ting. 3 tahaun ini amat bertuah kerana keselesaan yang mereka peroleh sepanjang program kerana tempat penginapan, dewan makan, dan tempat ceramah mempunyai pendingin hawa.
            Alhamdulillah, untuk mata pelajaran BM saya sendiri memberi ceramah, dibantu oleh Cikgu Sirajuddin serta Cikgu Rahayu. Walaupun masa agak singkat kerana kehadiran pelajar ke dewan kuliah agak lewat iaitu kira-kira pukul 9.05 malam sedangkan program perlu bermula pada pukul 8.30 malam dan berkakhir pukul 10.30 malam tetapi saya terpaksa memanjangkan sedikit waktu ceramah sehingga pukul 8.45 malam. Saya mendoakan agar input yang diberikan dapat membantu pelajar untuk menjawab kertas 2 kerana kertas satu perlu dijalankan di sekolah akibat kesuntukan masa.
                    Pada hari tersebut juga saya menerima berita menyedihkan apabila nenek belah emak saya meninggal dunia di Gopeng. Oleh sebab itu saya menziarahi Allahyarhamah Hajah Noriah bt. Yahya dan terpaksa bergegas ke Pusat Latihan UTIM Kampung Gajah bersama isteri dan dua orang anak kira-kira pukul 6.00 petang dan selamat sampai ke destinasi pada pukul 7.45 malam. Program berkenaan tamat pada pukul 12.30 petang dan saya beredar dari sana pada pagi Sabtu untuk menghantar isteri dan anak kerana isterinya saya terlibat tuisyen murid tahun 6 di sekolahnya. Selepas itu, saya ke sekolah kerana pada hari Sabtu ialah sekolah ganti.