SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Sabtu, 14 September 2013

NUKILAN HATI WARGA PENDIDIK SMKASAS BERDASARKAN SENARIO SEMASA

     Sebagai seorang pendidik yang telah berada di bumi pendidikan bergelar kluster ini selama 12 tahun, saya melihat jati diri pelajar SMKASAS semakin merundum. Pelbagai situasi berlaku dan ada kalanya sukar untuk kita fikirkan kenapa perkara itu boleh berlaku dalam kalangan pelajar yang telah diiktiraf sebagai pelajar sekolah kluster. Gelaran kluster bukan mudah dicapai oleh kebanyakan sekolah, begitu juga SMKSAS. Pelajar perlu faham, generasi pelajar terdahulu penyumbang kepada kejayaan SMKASAS yang ada sekarang, selain usaha para guru yang sentiasa berusaha untuk memastikan kecemerlangan sentiasa berkekalan. Namun, generasi pelajar sekarang seperti sudah alpa dan sering menimbulkan kebimbangan kepada golongan pentadbir, guru-guru dan warga SMKASAS. Begitu juga, pelbagai pihak sudah mula menunding jari kepada pentadbir dan guru-guru SMKASAS kerana prestasi pelajar semakin kurang konsisten dalam mengekalkan kecemerlangan sekolah. Kini sudah ada usaha antara Sekolah Menengah Kebangsaan Agama yang cuba untuk mengubah sejarah dengan mengatasi kecemerlangan SMKASAS. Persoalannya, mahukah kita melihat SMKASAS berada di bawah antara tiga sekolah yang sama di Perak. Maksud saya, di Perak cuma ada tiga buah sekolah SMKASAS iaitu SMKASAS sendiri, SMKA Krian, SMKA Slim River.
       Malah, Pegawai Pendidikan Daerah Perak Tengah juga sering mengingatkan bahawa sepatutnya SMKASAS sebagai sekolah kluster perlu bersaing bukan sahaja dengan SMKA di Perak tetapi perlu bersaing dengan SBP dan MRSM. Apabila saya melihat senario ini, saya ingin menyarankan pelajar SMKASAS perlu mengubah sikap, antaranya pelajar sentiasa bersedia untuk menghadapi Peperiksaan. Bukan pelajar tingkatan tiga dan lima sahaja bersedia tetapi semua warga pelajar termasuk tingkatan satu, dua, dan empat, begitu juga dengan tingkatan enam bawah. Sepatutnya, belajar di akhir waktu peperiksaan bukan jalan terbaik kerana pelajar sepatutnya pelajar kluster perlu bersedia bila-bila masa  peperiksaan. Dalam masa yang sama, pelajar SMKASAS sepatutnya menggunakan masa sepenuhnya waktu persediaan atau prep untuk melakukan tugasan seperti menyiapkan kerja rumah, mengulangkaji pelajaran, dan mebuat latih tubi sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan agar mereka tidak terkial-kial semasa menghadapi kertas peperiksaan. Tambahan pula, hasil kerja pelajar perlu bermutu dan mengikut arahan guru sebagai mana kriteria cemerlang yang digarapkan dalam pembelajaran di dalam kelas. Namun, terdapat segelintir pelajar masih berada ditakuk lama dengan menghasilkan kerja mereka ibarat melepas batok di tangga. Situasi ini berlaku kepada pelajar saya sendiri, kerana pelajar yang ingin berjaya sudah mula mengorak langkah dalam menghadapi peperiksaan dengan menghasilkan kerja yang ditugaskan dengan penuh amanah, bertanggungjawab dan sentiasa mengekalkan dan paling manis cuba menggapai prestasi cemerlang atas. Pada masa yang sama, pelajar yang masih alpa kerap mengabaikan arahan dan tugasan mereka. Apabila ditegur dan dinasihatkan, mereka masih lagi dalam situasi yang sama seperti dulu. Persoalannya, kenapa mereka bersikap demikian, di sinilah yang dikatakan lemah jati diri, dan mereka ini pelajar yang tidak ada objektif, dan tidak tahu kenapa mereka berada di SMKASAS. Sekiranya mereka bersikap sedemikian rupa, mereka sepatutnya mengingati bahawa ada lagi insan yang prihatin yang perlu mereka hargai jasa mereka sekiranya mereka tidak ingin mendengar nasihat guru. Mereka ini ialah ibu bapa mereka yang sentiasa mengharapkan anak-anak mereka mencapai kecemerlangan semasa berada di SMKASAS. Namun, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pelajar yang ingin berjaya dan sedar akan tugasan mereka. Tahniah kepada pelajar yang sentiasa mendampingi guru kerana mereka faham untuk berjaya, dorongan dan bantuan tambahan daripada guru diperlukan. Namun, berapa orang bersikap sedemikian rupa, boleh dibilang pelajar yang berbuat demikian.
       Saya sayang akan sekolah yang mengajar dan mematangkan diri saya sebagai seorang pendidik, namun saya kesal jika ada pelajar yang masih alpa, berbual kosong semasa prep, tidak menyiapkan hasil kerja dengan cemerlang, kenapa perkara ini perlu berlaku? Sama-sama kita berfikir untuk mengatasi persoalan tersebut. Justeru, sebagai pelajar kluster ubah sikap anda, jadilah seorang pelajar kluster sebenar.  Dalam pada itu, saya berharap pengorbanan guru-guru juga perlu dibalas bukan dengan wang ringgit dan hadiah bernilai cukup sekadar dengan menghadiahkan keputusan yang cemerlang, hasil kerja yang cemerlang, dan sikap pelajar kluster yang cemerlang. Saya merupakan seorang guru yang mementingkan kecemerlangan walaupun saya bukanlah seorang guru yang cemerlang. Adakalanya saya bersikap terbuka dengan mengkritik sesiapa sahaja atas dasar kecemerlangan, baik pentadbir, tetapi semua saya lakukan atas dasar inginkan SMKASAS benar-benar mengikut kiteria sebagai sekolah kluster kecemerlangan. Namun,  inginkan tegaskan bahawa saya bukan seorang guru cemerlang tetapi ingin melihat SMKASAS terus cemerlang selagi saya berada di bumi pendidikan bertuah ini. Sekali lagi saya memohon maaf, kerana nukilan ini perlu saya tulis walaupun saya mempunyai tugasan yang banyak ketika ini. Jika saya tidak mencoret nukilan ini, kekesalan yang terbuku di dada ini tidak ada kesembuhannya, tetapi sekurang-kurangnya saya sudah menjalankan tugasan saya. InsysaAllah saya mengharapkan pelajar SMKASAS berubah dari sekarang sebelum terlambat kerana apabila ssuatu yang sudah cemerlang kita calarkan untuk membaiki calaran tersebut memang susah. Malah kepercayaan orang kita kepada kita akan hilang dan generasi pentadbiran, guru-guru, dan generasi pelajar terdahulu akan menyalahkan kita, termasuk saya apabila kita sendiri memudarkan nama baik SMKASAS yang sudah lama bersinar. Mohon maaf jika coretan ini menyentuh perasaan mana-mana pihak dan ikhlas daripada saya Pendidik Yang Bangga Dengan SMKASAS. Wasalam.