Peribahasa di atas memang mempunyai pengertian yang besar pada saya dan memang saya akui orang-orang Melayu terdahulu memang hebat mencipta bait-bait bahasa kerana setiap bait bahasa tersebut mempunyai unsur tersirat dan tersuratnya. Jelasnya, maksud tersirat darpada peribahasa tersebut ialah orang yang menanggung, menampi, menjalankan, menurut amanah, bertanggung jawab terhadap sesuatu kerja merupakan orang yang mengetahui erti susah senangnya kerja yang diamanahkan kepadanya.Walaupun orang lain yang cuba menterjemah kesusahan tersebut tetapi terjemahan yang mereka lakukan tidak akan dapat menyetarakan kesusahan yang dialami oleh orang yang yang memikul tugas tersebut.
Namun, sebagai insan kerdil, saya cuba untuk membantu orang lain kerana inilah prinsip hidup saya sejak dahulu sehinggalah sekarang. Mungkin ada sesetengah orang cuba untuk mengelak daripada menerima tugasan tambahan, namun bagi saya itulah cabaran yang perlu saya hadapi kerana di penghujung liku-liku kerja yang bertambah ada habuannya dan habuan itu orang lain tidak akan nampak, dan pastinya di hujung setiap likuan hidup akan lahir kematangan. Kematangan inilah yang tidak akan dapat dirasai oleh orang yang tidak pernah ingin cabaran. Namun, pada petang tadi semuanya terjawab apabila saya terpaksa ke klinik untuk mengetahui tahap kesihatan saya, kerana sepanjang hari ini badan saya tidak selesa, kepala saya berdenyut dan ada seoarang rakan saya bertanya, adakah denyutan saya alami di bagahagian hadapan kepala atau di belakang kepala, terutama bahagian leher belakang. Persoalan ini sebenarnya bukan asing bagi saya kerana saya sudah beberapa kali diingatkan oleh orang terdahulu kerana jika denyutan itu dibahagian hadapan kepala bermakna itu bukanlan penyakit tetapi berkumpulnya segala tugasan menyebabkan denyutan terkumpul di kepala. Sebaliknya, jika denyutan itu berpaksi di bahagian belakang kepala bermakna itu adalah tanda-tanda penyakit sudah mendekati kita, tidak lain penyakit itu ialah darah tinggi. Setelah tamat taklimat Tn. Pengetua mengenai Program Bertemu dengan waris pada hari Sabtu, saya terus singgah di Klinik Bota Kiri untuk mendapat pengesahan tentang punca denyutan di kepala saya.
Alhamdulillah setelah saya mendapat pengesahan daripada pengamal perubatan di klinik Bota Kiri, semuanya melegakan kerana didapati tekanan darah saya stabil dan dia bertanya adakah saya kaki bola sehingga menonton tv hingga larut malam, saya kata tidak. Kemudian pembantu perubatan tersebut mengambil kesempatan berbual dengan saya kerana saya merupakan klien yang sering ke sana untuk mendapat rawatan. Beliau bukanlah asing bagi saya, kerana beliau pernah ke SMKASAS untuk membuat perkhidmatan kesihatan apabila Kelab 3K menjalankan program Jom Sihat semasa Sukan SMKASAS yang lalu. Beliau berkata cikgu dari SMKASAS ye? Saya mengganggukan kepala. Oh, patutlah, katanya. dan dia merungkaikan pendapatnya dengan mengatakan bahawa saya sudah pasti sibuk kerana sekolah itu baginya adalah sekolah yang berprestij di Perak Tengah dan sehinggalah perbualan kami ke NKRA yang sibuk diperkatakan sekarang. Terkejut juga saya kerana beliau bergitu tertarik untuk berbincang tentang NKRA kerana program tersebut adalah porgram terbaru Kementerian Pelajaran untuk menentukan tahap prestasi sesebuah sekolah disamping memberi imbuhan kepada warga pendidik bagi 200 sekolah yang terbaik di Malaysia. Program ini juga akan mengakhiri porgram sekolah Kluster, namun nama yang telah dianugerahkan kepada sekolah seperti SMKASAS akan diteruskan cuma peruntukkan tidak akan ditambah. Cikgu, katanya saya yakin SMKASAS akan termasuk dalam rangking NKRA tersebut. InsyaAllah kata saya. Sebenarnya dalam taklimat Tn. Pengetua sebelum saya ke klinik ini, kami telah dimaklumkan sehingga ke hari ini SMKASAS menduduki rangking ke 110 daripada 2 ribu lebih buah sekolah menengah di Malaysia. Timbul pula rasa bangga saya kerana saya adalah guru SMKASAS dan sekurang-kurangnya ada dua ubat yang saya terima satu ubat yang perlu saya makan untuk menghentikan denyutan di kepala saya dan satu lagi ubat yang berbentuk kata-kata perangsang. Saya bangga menjadi guru SMKASAS dalam hati saya.
Sebenarnya, saya telah dimaklumkan oleh Tuan Pengetua bahawa saya akan memegang satu amanah lagi. Saya terpaksa menerima satu kelas Bahasa Melayu lagi iaitu kelas 2S. Oleh sebab itu, saya berasa satu pemberatan tugas yang amat dasyat dalam hidup saya kerana saya terpaksa menanggung tugas mengepalai Panitia Bahasa Melayu, mengajar tiga kelas peperiksaan iaitu Kelas Ting. 3K, 3H dan Ting. 5B. Kini kepala saya menjurus kepada bahan Pengajaran dan Pembelajaran yang akan saya gunakan untuk berhadapan dengan kelas 2S pula. Ya, Allah berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi semua dugaan-MU, tetapi saya berasa bangga kerana itulah liku-liku kehiudpan yang akan mematangkan diri saya.
Dalam pada itu, saya terkenang pula tugas saya sebagai warden malam tadi, pertama apabila saya dimaklumkan blok asrama blok B, menghadapi masalah elektrik menyebabkan blok tersebut bergelap dan ketika itu saya baru saja sampai di bilik guru untuk meneruskan tugas mengisi maklumat Amalan PASAK yang dikehendaki JPN, setelah menjamu selera hidangan roti canai di Dewan Makan Asrama. Pada masa yang sama, kepala saya sudah berserabut mencari pelajar yang ketawa semasa kami sedang sembahyang berjemaah di masjid, kepala saya pening kerana apabila ditanya siapa yang ketawa seorang pelajarpun tidak mengaku dan rasa marah saya mulai memuncak tetapi saya tidak boleh marah kesemua pelajar kerana hanya beberapa orang pelajar yang terlibat. Sampai saat itu, rasa marah saya tidak habis-habis. Sesampai saya di asrama ketika itu jam menunjukkan pukul 11.30 malam, memang blok B bergelap, apa saya nak buat itu persoalan yang timbul, saya cuba hubungi Pn. Bainah HEM tidak berjawab, begitu juga Ustaz Zaki, Cikgu Faisal dan Fazuan. Baru saya teringat, saya telefon En. Ali, penyelia asrama dan setelah dimaklumkan tempat ibu sawat elektrik aspura sayapun masuk ke bilik tersebut dan membetulkan kedudukan punat kawalan elektrik tersebut, alhamdulillah semua baik dan asrama mendapat bekalan elektrik semula. Kemudian saya ke bilik guru semula untuk meyambung kerja dalam pada itu, saya terlihat kelibat dua orang pelajar berada di kelas 2K, dan saya cam pelajar tersebut. Setelah perbuatan mereka di ketahui pelajar tersebut terhendap-hendap lari terhendap-hendap seperti cuba untuk mengelakkan saya mengecam mereka dan saya ke asrama semula untuk mengesan mereka, dan apabila berjumpa dengan pelajar tersebut saya soal siasat sehingga saya mengesan pelajar yang ketawa di masijid tadi. Alangkah geram dan marah saya kerana setelah 3 jam berlalu pukul 12.00 malam baru persoalan di kepala saya terjawab dan kesemua pelajar yang terlibat saya arah turun ke bilik warden dan kebetulan Cikgu Fazuan dan Cikgu Faisal baru balik dan mereka turut menyoalsiasat pelajar berkenaan. Atas dasar 'empoverment' dan pekeliling membenarkan warden bertindak kepada pelajar yang melanggar disipilin sekolah saya terpaksa menghukum mereka agar hukuman tersebut memberi pengajaran kepada mereka dan pelajar asrama yang lain. Setelah di soal siasat dan dimaklumkan kesalahan yang mereka lalukan dan mereka faham akan kesalahan mereka, saya mengambil tindakan. Bagi saya, saya lebih suka memaklumkan kesalahan tersebut terlebih dahulu dan membenarkan mereka membela diri agar mereka tidak mendendami saya kerana itu tugas saya sebagai warden, jika tidak apa ertinya warden kepada mereka. Salah seorang daripada mereka saya lepaskan kerana terbukti tidak bersalah kerana tersilap dan bangun berdiri selepas tahyat kedua sedangkan kami yang lain sedang tahyat kedua. Kesalahan empat pelajar lagi kerana cuba mendiamkan diri semasa saya bertanya di masjid dan saya maklumkan jika mereka mengaku semasa saya bertanya mungkin saya tidak mengambil apa-apa tindakan. Sementara empat pelajar lagi yang berada di kelas pada masa ditetapkan saya serahkan kepada Cikgu Fazuan sebagai kaunselor sekolah kerana kes tersebut tidaklah seberat mana. Setelah selesai kes tersebut saya ke bilik guru semula dan meneruskan kerja membuat post mortem PPT untuk laporan panitia. Saya tiba di rumah pukul 2.30 pagi. Oleh sebab keletihan, saya terus tidur walaupun ketika itu Ghana bertemu dengan Jerman kerana pada saya, saya perlu menenangkan fikiran kerana esok saya akan meneruskan tugas di sekolah. Namun, para pelajar perlu sedar tugas warden sebenarnya berat, pertama kami sentiasa ingin pelajar di asrama sentiasa dalam kondusif, pelajarnya patuh kepada peraturan asrama, menjalankan tugas sebenar semasa prep dan saya pula sering menyatakan kepada pelajar sama ada pelajar sekarang atau bekas-bekas pelajar saya terdahulu, bahawa saya boleh dianalogikan seperti seekor kucing yang jinak boleh didekati, boleh bermesra, boleh dijadikan kawan, tetapi jangan disangkan seekor haiwan yang jinak tidak boleh merubah perwatakannya kerana kadang-kadang kucing yang jinak boleh menjadi seekor harimau yang garang. Ini prinsip saya, dan perwatakan saya sebenar sudah berubah kerana ketika saya di sekolah rendah saya tidaklah seperti saya sekarang. Itu mungkin disebabkan situasi dan keadaan dan ini terbukti ada bekas-bekas pelajar saya yang takut dan segan bercakap dengan saya sedangkan mereka adalah bekas pelajar di sekolah rendah dulu. Kini mereka mengakui dan meminta maaf kepada saya setelah mereka berada di luar sana. Saya bangga kepada mereka setelah menghubungi saya, kerana saya tetap mantan guru mereka.
Jelasnya, peribahasa di atas memberi makna yang besar dalam tugas saya pada hari ini dan semalam. Cuma saya ingin meneruskan catatan ini dalam blog ini untuk tujuan melepaskan sedikit tekanan stress yang saya hadapi. Alangkah berbezanya tugas saya daripada guru-guru yang lain. Mungkin mereka sedang nyenyak tidur dan bersama keluarga masing-masing dan kehidupan saya sebagai seorang guru dihabiskan dengan kerja tambahan seperti ini dan malam ini saya sepatutnya mengajar tuisyen kelas 5B dan semalam dengan 3K, terpaksa saya kecualikan agar kesihatan stabil dan juga setelah saya melawat kelas 5B selepas Isya, saya terus menyuruh mereka menyiapkan tugasan karangan yang saya beri dengan harapan pada hari Jumaat nanti mereka dapat menghantar karangan PPT yang tidak dijawab semasa peperiksaan dan hasilannya lebih bermutu. Namun, sekali lagi saya beryukur kerana saya masih sihat dan tekanan darah saya normal seperti guru-guru lain. Namun, saya terfikir sampai bila saya boleh menjadi seorang warden? Kedua, banyak sangat sejarah saya di SMKASAS walaupun saya bertugas di sini selama 9 tahun, kenangan sebagai Setiusaha Sukan, Kenangan sebagai Setiusaha PIBG dan kini sebagai warden dan Ketua Panitia Bahasa Melayu. Barulah saya sedar semua ini mematangkan saya sebagai seorang guru. Tamat diari saya untuk hari malam ini.Jam menunjukkan pukul 10.00 malam, saya cuba untuk membuat post mortem PPT Ting. 3 dan Ting. 5. Sesungguhnya dengan adanya post mortem dengan membuat 'scan' kertas jawapan pelajar, saya dapat memaparkan keistimewaan dan kelemahan jawapan pelajar sebagaimana saya lakukan untuk pelajar ting. 3K dan 3S tahun lepas. Memang tugas ini berat, apalah salahnya saya luangkan masa untuk kepentingan pelajar saya. Guru ibarat lilin, menerangi orang lain. Justeru, tugas saya perlu diteruskan selagi nadi masih berdenyut, selagi tenaga masih ada, walaupun sudah ada tanda Allah mulai menarik sedikit pancaindera saya kerana dulu saya boleh melihat tanpa menggunakan cermin mata tetapi sekarang tidak lagi. Namun, doa anak didik saya sama ada mereka sekarang berstatus bekas pelajar atau pelajar saya akan memberi kekuatan kepada saya untuk meneruskan kerjaya saya sebagai seorang guru untuk melahirkan Insan Kamil Yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang. Wasalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan