Alhamdulillah pada pukul 8.30 pagi
tadi, saya telah menerima sms daripada Pn. Noor Hasnah bt. Alang, PK
Pentadbiran SMKASAS untuk menghadiri mesyuarat Kewangan SMKASAS yang sepatutnya
bermula pada pukul 9.00 pagi. Agak terkejut saya menerima mesej berkenaan,
namun saya sampai ke sekolah pada pukul 8.50 pagi kerana sudah semestinya ada
hal penting yang ingin dibincangkan. Antara perbincangan yang diadakan bersama
dengan Puan Pengetua, beberapa ketetapan telah dibuat, antaranya hasil
pembentangan yang dibuat oleh Pn. Nubiha berkaitan dengan wang masih terkumpul
dalam akaun kerajaan perlu dihabiskan untuk memastikan penggunaan wang sekolah
sifar. Keputusannya wang berbaki berkenaan akan digunakan untuk membeli ‘ink
printer’ untuk kegunaan guru-guru, dan pembelian pen ‘white board dan refillnya
sekali’. Saya memuji tindakan Puan Pengetua dan PK. Pentadbiran kerana buat
pertama kali mengundang kami ketua panitia mata pelajaran berbincang tentang
kewangan sekolah dan saya mencadangkan Puan Pengetua sentiasa memberi ruang
kepada kami ketua panitia untuk sama-sama berbincang dan membuat keputusan
bersama dengan pentadbiran sekolah, selain dapat membuat keputusan dengan
cepat, dan telus.
Dalam perbincangan tersebut Puan Pengetua
memaklumkan secara tidak rasmi bahawa keputusan PMR 2012 akan diumumkan pada
19/12/2012. Di samping itu, Puan Pengetua meminta kami memberi pandangan
perihal perjalanan sekolah pada tahun hadapan. Saya mencadangkan supaya pihak
sekolah memberi ruang kepada guru-guru untuk menggunakan peralatan Pengajaran
dan Pembelajaran seperti Lcd , makmal komputer, bilik bahasa, dan dewan
kluster untuk memantapkan sistem pembelajaran pada tahun hadapan. Selain itu,
saya mencadangkan supaya ada penambahbaikan dalam menjalankan teknik atau
program menjawab soalan sama ada PMR atau SPM yang telah dijalankan di Pusat
Latihan UITM Sungai Galah. Antaranya ialah jadual program, kerana fokus utama
yang perlu diambil kira ialah ruang masa yang penuh perlu ditumpukan kepada
program menjawab soalan, justeru, jadual program perlu ditepati, terutama
jangan ada lagi masalah pelajar lambat sampai ke dewan semasa program berkenaan
dijalankan kerana situasi ini akan merugikan pelajar kerana motivator akan
gagal menyampaikan input terutama untuk membantu pelajar dari segi teknik
menjawab soalan peperiksaan. Paling utama adalah untuk menjaga nama dan imej
sekolah berdasarkan pandangan motivator yang diundang, kemungkinan pelajar akan
dipersalahkan kerana tidak menepati jadual program sedangkan, faktor utamanya
adalah kerana dalam program tersebut ada program lain seperti tazkirah dan
sebagainya. Saya mencadangkan supaya waktu tazkirah tersebut dipinda ke waktu
yang lain supaya pelajar berada di dewan selepas solat Maghrib. Saya
berpandangan sedemikian kerana saya sendiri mengalami masalah berkenaan kerana
ketika menyampaikan kuliah pada program berkenaan pelajar sampai lewat dan ada
pengisian yang tidak dapat disampaikan sepenuhnya tempoh masa program yang
terhad.
Pada masa yang sama juga, saya
mengucapkan terima kasih kepada Puan Pengetua dan PK Pentadbiran kerana buat
pertama kali mengurangkan bebanan guru dalam p & p. Sehinggakan cadangan
pembahagian guru mata pelajaran yang dicadangkan oleh panitia diubah dan setiap
guru hanya dibenarkan mengajar dua kelas peperiksaan sahaja. Contohnya, jika
sebelum ini dalam perbincangan panitia, saya akan mengajar kelas ting 3S, 3B,
4S, dan 5K tetapi jadual baru yang ditunjukkan kepada saya, saya akan mengajar
dua kelas ting 4, dan dua kelas ting. 5. Namun, semasa PK Pentadbiran
menunjukkan jadual yang telah siap disediakan, saya tidak melihat secara teliti
kelas mana yang akan saya ajar tahun hadapan tetapi yang pastinya saya akan mengajar ting 5K
kerana pelajarnya ialah pelajar ting 4K tahun lepas. Apapun, tahniah kepada
pentadbir sekolah kerana saya pernah bercakap dalam mesyuarat, apa tindakan
pentadbir untuk mengurangkan kerja kami yang sentiasa berat. Justeru dalam
mesyuarat akhir guru 2012, guru-guru akan terkejut dengan reformasi yang dibuat oleh
Puan Pengetua. Namun, apa yang diharapkan oleh Puan Pengetua ialah Ketua
Panitia Mata Pelajaran perlu berbincang dengan guru mata pelajaran di bawahnya
untuk merancang p & p berkesan. Maksudnya, walaupun saya tidak mengajar
kelas ting. 3, saya boleh menyumbangkan tenaga semasa tuisyen, penyediaan bahan p & p,
penyelenggaraan rancangan mengajar, dan sebagainya. Justeru, saya nampak betapa
hebatnya jika mesyuarah diutamakan dalam merancang program sekolah kerana perbincangan untuk menentukan sesuatu perubahan perlu disertai setiap organisasi yang ada dalam struktur sekolah.
Dalam perbincangan tersebut,
Puan Pengetua mengharap dan mendoakan keputusan PMR dan SPM tahun ini meningkat. Justeru,
kami sebulat suara menyokong Puan Pengetua dan bersama-sama mendokan
kecemerlangan pelajar setelah menjalankan pelbagai usaha untuk peningkatan
pencapaian akademik pelajar. Hal ini kerana, kami dimaklumkan selepas ini JPN,
BPI dan PPD akan sering melawat sekolah berdasarkan laporan Lembaga Nazir yang
telah berkampung di sekolah pada bulan November dahulu. Cuma saya cadangkan
kepada Puan Pengetua untuk mendapatkan kertas laporan tersebut untuk memudahkan
pihak sekolah mengkaji kelemahan dan kekuatan hasil pemantauan yang dijalankan.
Hal ini kerana, untuk membuat perubahan PPD, Ketua Sektor Pendidikan Islam JPN
dan BPI perlu turun ke sekolah untuk berbincang dan memantapkan
pentadbiran sekolah dan tidak perlu ada unsur merahsiakan kelemahan dan kekuatan
sekolah kerana kelemahan tersebut perlu diperbaiki dan kekuatan pula perlu ada
usaha penambahbaikan, barulah kecemerlangan boleh terhasil. InsyaAllah, kami
guru-guru SMKASAS akan memberi sokongan dan bantuan kepada pihak pentadbir
sekolah kerana kami mahu SMKASAS menjadi institusi pendidikan yang cemerlang
bukan di peringkat daerah sahaja, malah negeri dan juga kebangsaan.
Dalam perbincangan tersebut juga,
ketetapan dibuat untuk mengkaji dan membuat keputusan dalam usaha memartabatkan
SMKASAS perlu ada doktrin atau prosidur dalam menetapkan supaya pelajar yang
tidak mencapai tahap kecemerlangan diharapkan akan ditukarkan ke sekolah lain.
Namun, dalam prosidur berkenaan perlu ada kaedah amaran dengan memanggil ibu bapa
ke sekolah berbincang keputusan pelajar
sebelum tindakan menukar sekolah diambil. Justeru, dengan adanya pendekatan sedemikian, sekurang-kurangnya pelajar akan ada kesedaran dan usaha untuk memastikan mereka adalah dalam kalangan pelajar cemerlang dan pelajar kluster untuk terus berada di institusi pendidikan ini. Di samping itu, setiap doktrin yang
diperkenalkan perlu diperhalusi dengan membawa perbincangan tersebut ke
peringkat PIBG, PPD, JPN dan BPI kerana tindakan ini melibatkan perundangan.
Apapun yang penting pelajar SMKASAS perlulah pelajar kluster, bukan sekadar
pelajar yang menumpang belajar di sekolah kluster.
Kesimpulannya, tahniah pentadbir
sekolah kerana reformasi yang dilakukan dan sama-sama kita berdoa setiap
perubahan itu akan ada kebaikannya. Kepada pelajar dan bekas pelajar, doa anda
diperlukan dalam memperkasakan SMKASAS. Doakan pelajar PMR dan SPM 2012
cemerlang dan doakankan juga usaha sekolah dan doakan juga kesihatan guru-guru
SMKASAS untuk melahirkan lebih ramai “Insan Kamil” cemerlang. InsyaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan