SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Sabtu, 26 April 2014

PROGRAM PENANDAAN KERTAS BAHASA MELAYU 1 DAN 2 UNTUK GURU-GURU BAHASA MELAYU PERAK TENGAH

       Alhamdulillah dua aktiviti kemahiran penandaan kertas bahasa Melayu melibatkan guru-guru Bahasa Melayu telah berjaya di jalankan di SMKASAS pada 17 dan 24 April 2014. Pada 17 April 2014, Program Penandaan Kertas 2 telah diadakan melibatkan guru-guru bahasa Melayu Tingkatan 4 dan 5. Sebagai melengkapkan kemahiran penandaan kertas bahasa Melayu dalam kalangan guru-guru bahasa Melayu, pada 24 April 2014 sekali lagi program berkenaan diadakan. Dua orang penceramah telah dijemput hadir berkongsi ilmu dan pengalaman untuk program penandaan kertas berkenaan. Kertas Bahasa Melayu 2,  telah disampaikan oleh En. Hasnan b. Zainuddin, guru SMK Kuala Kurau, dan kertas bahasa Melayu 1 telah disampaikan oleh Tuan. Haji Zawawi b. Mat Ghazali, guru SMK Ayer Tawar, Perak. Sepanjang dua program berkenaan berjalan, banyak impak dan pengaliran ilmu berlaku dan guru-guru bahasa Melayu Ting. 4 dan 5 banyak diberikan pendedahan selok-belok penandaan kertas bahasa Melayu 1 dan 2. Paling memberangsangkan pelbagai soalan dikemukan oleh peserta kepada penceramah dan ini menggalakkan lagi proses penguasaan kemahiran penandaan kertas sepanjang bengkel berlangsung, dan saya mengucapkan tahniah atas kepekaan dan fokus setiap peserta bengkel yang melibatkan 15 buah sekolah menengah Daerah Perak Tengah. Justeru, saya mengharapkan dua objektif program berkenaan dijalankan akan memberi impak kepada peningkatan pencapaian bahasa Melayu Perak Tengah terutama terhadap Peperiksaan SPM 2014. Pertama sebagai Penolong PPD Kurikulum Bahasa, diharapkan bengkel penandaan Kertas 1 dan 2 berkenaan guru akan dapat mengaplikasikan ilmu berkenaan semasa menyemak Kertas Bahasa Melayu Untuk Peperiksaan Pertengahan tahun 2014 yang dihadapi pelajar dalam minggu berkenaan. Selain itu, sebagai serampang dua mata, guru-guru berkenaan boleh memberikan panduan kepada pelajar bagaimana untuk menjawab soalan kertas 1 dan 2 secara berkualiti kepada para pelajar mereka. Disamping itu, saya mengharapkan guru-guru berkenaan akan memberi input yang diterima sepanjang bengkel kepada rakan-rakan guru di sekolah melalui program LADAP atau kursus dalaman di sekolah masing-masing.

         Sebagai memantapkan lagi usaha meningkatkan kualiti PdP di sekolah, saya telah menurun muat bahan Modul Bahasa Melayu yang telah saya hasilkan untuk kegunaan pelajar SMKASAS pada tahun 2014 tetapi saya tidak berkesempatan menggunakannya kepada pelajar saya kerana saya telah dipertanggungjawabkan sebagai Penolong PPD Kurikulum Bahasa di PPD Perak Tengah ke dalam CD. Hal ini bertujuan untuk berkongsi ilmu dengan guru-guru di Perak Tengah dan tidak ada apa yang perlu saya simpan kerana ilmu berkenaan adalah hak bersama. Selain itu, saya juga telah memuat turun Program Analisa Item yang saya guna pakai di SMKASAS tetapi telah saya buat penambahbaikan dengan bantuan dua orang rakan sejawat saya semasa di SMKASAS iaitu saudara Mohd. Noor Hamzah dan saudara Khairi. Berdasarkan pengalaman saya, program berkenaan dapat mengesan kelemahan dan kelebihan pelajar dalam menguasai kemahiran item terutama untuk kertas bahasa Melayu 2. Pada masa yang sama, program berkenaan mampu menentukan aras kesukaran soalan yang akan menentukan soalan yang dibina pada aras tinggi, sederhana, atau mudah.dan boleh menjadi pengukur kepada JSU semasa membina soalan. Saya mengedarkan program berkenaan dengan harapan Ketua Panitia bahasa Melayu sekolah dan guru mata pelajaran Bahasa Melayu mencuba mempraktikkan program berkenaan dengan memasukkan markah pelajar ke dalam sistem yang saya namakan Analisa Peperiksaan Bahasa Melayu Menegah Atas atau APMB(K) Versi1 dan APMB (T) Versi 1. InsyaAllah, semasa Mesyuarat Panitia Bahasa Melayu Daerah Kali Ke-2, saya akan memberi penerangan cara penggunaan program berkenaan kepada ketua panitia. Justeru, pengedaran awal program atau sistem berkenaan untuk mendapatkan maklum balas daripada guru-guru bahasa Melayu terutama untuk membantu saya membuat penambahbaikan sistem yang saya bina sendiri atas pengalaman mengajar di SMKASAS selama 12 tahun. Berdasarkan penelitian saya, banyak impak saya peroleh terutama dalam merancang program dan latih tubi yang perlu diberikan kepada pelajar setelah saya mengesan kelemahan mereka dalam menjawab soalan peperiksaan terutama pada item soalan yang sukar.

         Untuk makluman, sistem berkenaan dipecahkan kepada dua iaitu APMB(K) Versi1 dan APMB (T) Versi1 adalah kerana sistem berkenaan mempunyai perkaitan. APMB(K) Versi 1 melibatkan guru mata pelajaran kerana 'K' bermaksud kelas. APBM(T) pula berkaitan dengan tingkatan kerana 'T' bermaksud tingkatan. Justeru, apabila guru kelas telah memasukkan data ke dalam APBM(K), penyelaras tingkatan boleh mengumpul maklumat ke dalam sistem APBM(T) yang akan menganalisa item untuk keseluruhan pelajar di sesuatu sekolah. Oleh sebab itu, guru-guru di sekolah perlu menguasai kemahiran asas sistem excell, terutama kemahiran 'copy' dan 'paste'. Kesimpulannya, pada tahun ini Perak Tengah mempunyai kekuatan dalam meningkatkan kualiti dalam mata pelajaran bahasa Melayu SPM, cuma paling utama usaha dan peranan semua warga pendidik terutama guru-guru bahasa Melayu, Peranan Pengerusi Panitia Mata Pelajaran Bahasa Melayu Daerah, serta peranan setiap pengerusi Kelompok Prorgam CO akan mampu memberi impak besar kepada usaha untuk memartabatkan keputusan bahasa Melayu di peringkat daerah. Saya akan cuba berusaha untuk memperkasakan Mata Pelajaran bahasa Melayu Daerah Perak Tengah kerana itu merupakan tugas saya sebagai Pen. PPD kurikulum Bahasa. Saya berdoa agar Allah sentiasa memberikan saya kekuatan untuk saya terus membantu memperkasakan mata pelajaran yang merupakan sumbernya daripada bahasa ibunda kita. Amin.
GAMBAR SEPANJANG BENGKEL PENANDAAN KERTAS 1 DAN 2
PROGRAM TRANSFORMASI DAERAH (DTP)
PPD DAERAH PERAK TENGAH DENGAN KERJASAMA PANITIA BAHASA MELAYU
DAERAH PERAK TENGAH DI SMKASAS









          

Tiada ulasan: