SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Selasa, 30 Oktober 2012

MAJLIS RESTU ILMU PELAJAR TING. 5 DAN 6 TAHUN 2012

         Pada pukul 12.00 tgh hari ini, semua pelajar ting. 5 dan 6 atas berkumpul di Dewan Besar As-Shafie untuk Program Restu Ilimu. Turut serta dalam pertemuan berkenaan ialah Puan Pengetua, Penolong Kanan Pentadbiran, Guru-guru Kanan Bidang, dan Guru Mata Pelajaran. Apabila, program seperti ini dijalankan, bermakna Peperiksaan Umum iaitu SPM dan STPM semakin hampir. Mana tidaknya, Peperiksaan SPM dan STPM akan berlangsung pada 5/11/2012, yakni Isnin minggu hadapan. Dalam perjumpaan berkenaan Puan Pengetua, Guru Kanan Bidang, Ketua Panitia Mata Pelajaran dan guru-guru berucap dan merestukan ilmu yang telah dicurahkan selama ini dan mendoakan pelajar-pelajar yang akan menghadapi peperiksaan agar berjaya dengan cemerlang.
          Situasi di Dewan bertambah sebak, apabila sesi bersalaman antara pelajar dan guru. Pada situasi ini, ada pelajar yang mengalirkan air mata kemungkinan meminta guru-guru mendoa dan merestukan ilmu yang dicurahkan kepada mereka selama ini. Ada yang berpelukan dengan guru mata pelajaran. InsyaAllah, gunakan masa yang masih berbaki untuk melengkapkan kemahiran dan ilmu yang masih goyah, dan guru-guru terus membimbing pelajar dan membantu pelajar jika mereka memerlukan bantuan. Dalam pada itu, Puan Jumilah selaku penyelaras peperiksaan telah mengumumkan pada hari Sabtu ini tiada sebarang kelas dan kem, atas permintaan pelajar kerana mereka ingin mengulangkaji pelajaran secara persendirian. Bagi saya, jika pelajar memerlukan bantuan, saya tidak keberatan untuk turun padang kerana berdasrkan pengalaman, saat-saat inilah, guru mampu mengurai sebarang permasalahan pelajar, dan paling penting ialah lompang atau kemahiran mana yang perlu dibantu. Cuma paling penting, saya lebih suka jika pelajar memaklumkan terlebih dahulu, bahagian format atau kemahiran berbahasa yang mana perlu difokuskan dalam pertemuan berkenaaan kerana insyaAllah, saya akan berusaha untuk menumpukan bahagian berkenaan dengan bahan seperti 'powerpoint' kerana dengan cara ini pelajar akan lebih faham dan akan dapat menyelesai dan membantu mereka sebelum peperiksaan berlangsung. 
           Pada situasi hari berbaki beberapa hari ini, mereka tidak perlu diberikan latihan tetapi lebih kepada memfokus  latihan yang diberi sebelum ini dan berbincang bahagian mana mereka masih tidak faham. Semoga,  masa berbaki tinggal beberapa hari saya akan mampu untuk memberi bantuan dan pertolongan kepada mereka. SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN SPM DAN STPM, KAMI GURU-GURU DAN WARGA SMKASAS MENDOAKAN ANAK-ANAK DIDIK SMKASAS AKAN MAMPU MELAKAR KEJAYAAN DAN KECEMERLANGAN DALAM PEPERIKSAAN AWAM 2012. SETERUSNYA, KAMI MENDOAKAN KEJAYAAN PELAJAR PMR YANG TELAH MENGHADAPI PEPERIKSAAN AWAM SEBELUM INI. AMIN

Isnin, 29 Oktober 2012

BERSEMBANG DENGAN PUAN PENGETUA DI MAKMAL KOMPUTER

           Pada pagi ini, saya bergegas ke SM Vokasional kerana terlibat sebagai  Fasilitator Untuk Program Pelajar Harapan Lulus Daerah Perak Tengah Anjuran PPD. Program ini dijalankan untuk membantu pelajar di daerah Perak Tengah untuk lulus dalam Peperiksaan SPM 2012 kerana ke semua pelajar terpilih ialah pelajar yang gagal dalam peperiksaan Percubaan SPM. Antara sekolah terlibat di Zon Seri Iskandar ialah SMK Iskandar Shah, Parit, SM Vokasional dan SMK Seri Iskandar.
           Sesampai saya di SM Vokasional, saya cuba mencari tempat program tersebut dijalankan dan terus menghubungi penyelaras program, Penyelia Vokasional dan Teknik PPD, En. Hamim dan beliau meminta saya bertanya ke pejabat SMV, malangnya salah seorang pekerja yang kebetulan berada di laur pejabat memaklumkan bahawa dia tidak tahu tempat program berkenaan. Kemudian saya bertanya salah guru sekolah berkenaan yang kebetulan mengawas peperiksaan akhir tahun di dewan besar, dan dia terus menelefon PK Pentadbirannya, kemudian saya dimaklumkan program tersebut dijalankan di Bilik Kemanusian.Saya terus mengambil laptop, wayar penghubung elekterik, dan lcd yang saya pinjam daripada bilik PK Pentadbiran SMKASAS, kerana sejarahnya lcd berkenaan adalah usaha Ustaz Arip Sa'ya dengan memohon bantuan PIBG sekolah untuk membelinya setelah saya bersuara semasa mesyuarat guru suatu masa dahulu apabila mengenangkan daifnya guru BM yang tidak mempunyai kemudahan sokongan mengajar, berbanding guru PPSMI ( Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) yang telah dimansuhkan pada tahun ini kerana kegagalannya dalam Pendidikan di Malaysia.
            Dalam pada itu, dua orang pelajar telah membantu saya membawa peralatan berkenaan setelah diminta bantu oleh guru B. Melayu sekolah berkenaan, almaklumlah kondisi saya yang bertongkat kerana kaki saya masih perlu sokongan tongkat terutama ketika menaiki tangga untuk tingkat dua menuju ke bilik kemanusian. Sesampai saya di sana, rakan saya Cikgu Sharifah sedang mengajar pelajar Program Halus dan setelah berbincang, beliau dan saya memutuskan untuk membahagikan sesi program. Beliau akan mengambil sesi jam 8.00 hingga 10.00 pagi dan saya akan mengambil slot untuk pukul 11.00 pagi hingga 1.00 petang. Tambahan pula, saya lambat hadir kerana tiada maklumat sebenar program berkenaan kerana tidak hadir semasa mesyuarat awal program kerana tidak ada malumat bersurat. Cuma selepas itu, saya dihubungi En. Hamim tentang program berkenaan, dan apabila saya lihat daripada jadual porgram, slot saya pukul 11.00 pagi untuk kertas 2, dan Cikgu Sharifah untuk slot pagi. Tambahan pula bilangan pelajar terlibat tidaklah seramai yang dijangka.
                Untuk menunggu slot selanjutnya saya ke luar ke Seri Iskandar untuk membeli tetikus 'wireless' laptop saya untuk memudahkan pergerakan saya semasa berceramah. Hal ini kerana, pengajaran pelajar untuk program ini berbeza dengan pelajar SMKASAS, memerlukan bahan sokongan iaitu menggunakan semua peralatan ICT, iaitu laptop, lcd dan bahan program powerpoint. Bahan untuk powerpoint telah saya 'upgrade'  sehungga jam 3.00 pagi tadi kerana misi saya untuk membantu pelajar berkenaan jika tidak saya sudah membayangkan situasi yang akan berlaku, seperti pelajar mengantuk, tidak menumpu perhatian kepada perbincangan dan sekurang-kurangn bahan sokongan tersebut akan membantu saya dalam berceramah.
                   Dalam perjalanan ke kereta, dua orang pelajar SMV tersebut saya minta menghantar semula wayar dan lcd yang saya bawa untuk disimpan semula ke dalam kereta kerana saya dimaklumkan, dalam bilik kemanusian tersebut sudah ada lcd. Setelah membeli tetikus dengan harga RM35.00, saya kembali semula ke SMV dan masuk ke bilik Matematik tempat memastikan bahan yang saya buat sedia untuk digunakan. Apabila saya masuk ke bilik kemanusian, saya dapati lcd sekolah berkenaan mempunyai masalah walaupun cuba dibantu oleh beberapa orang pelajar terlibat. Kemudian mereka memanggil juruteknik sekolah dan setelah lebih kurang 30 minit, barulah masalah berkenaan selesai dan saya berpuas hati sepanjang program berkenaan pelajar menumpu perhatian dan bertindak balas dalam perbincangan mengenai bahan yang saya sediakan. Pailing menyeronokkan, pelajar India terutamanya begitu aktif memberikan pandangan dan pendapat, dan diakhir slot, mereka bersalaman dengan saya mengucapkan terima kasih kerana seronok dengan penyampaian saya sepanjang slot. Sedangkan pelajar Melayu, hanya sekadar mengucapkan terima kasih dan keluar daripada bilik kerana mungkin saya mengambil masa lebih kurang 10 minit lewat sedikit untuk memastikan mereka menguasai kertas 2, untuk lulus dalam peperiksaan yang akan berlangsung pada hari Isnin (5/11/2012). Paling saya geli hati, soalan pelajar India tersebut, "Cikgu..cikgu ada adik beradik di sinikah?"  Saya bertanya balik kenapa. Rupanya, dia perasan Cikgu Sayuti, guru di sekolah berkenaan ada iras rupa saya. Saya jawab, emak saya belum lagi melahirkan adik saya untuk menjadi guru di sekolah berkenaan dan kemudian, dia dan saya ketawa.
                   Semasa saya ke kereta, saya telah berbual dengan salah seorang guru Bahasa Melayu sekolah berkenaan. Antara soalan yang ditanya keada saya berkenaan perbualan saya dengan dua orang pelajar yang membantu saya tadi. Saya memaklumkan bahawa pelajar berkenaan bertanya saya cara untuk memulakan pengenalan karangan dan saya berusaha untuk menjawab soalan mereka tetapi masa tidak mengizinkan untuk memberi penerangan yang panjang lebar. Mereka sendiri mengucapkan terima kasih atas apa yang saya terangkan. Memang saya kasihan kepada mereka. Kemudian guru berkenaan  memaklumkan pelajar SMV berbeza dengan pelajar SMKASAS, dan menyatakan masalah untuk mengajar di SMV dan dia memaklumkan saya, bahawa dua orang pelajar  yang mebantu saya tadi antara pelajar yang sering ponteng kelas. Saya memang suka sangat menjawab persoalan berkenaan, kerana rata-rata guru di Perak Tengah seolah-olah menganggap mengajar di SMKASAS mudah. Antara alasan saya, memang guru-guru di sekolah lain cuba untuk meningkatkan prestasi pelajar, dan saya balas balik, guru di SMKASAS menghadapi dua masalah, iaitu pertama untuk meningkatkan prestasi pelajar dalam peperiksaan dan kedua mengekalkan prestasi. Kesimpulannya, guru di SMKASAS lagi bermasalah, jika prestasi pelajar merundum, masyarakat, PPD, JPN, dan Bahagian Sektor Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia akan turun pandang membuat post mortem dan mengemukan soalan kenapa prestasi pelajar  sebegitu rupa. Akhirnya guru berkenaan mengakui kata-kata saya. Cuma saya kata kepada beliau yang penting misi kita dengan pelajar. Jika saya hendak tulis banyak pengalaman saya sebelum mengajar di SMKASAS kerana saya juga guru sekolah rendah dulu, dan buat pertama kali saya mengajar di sekolah tempat jin bertendang, iaitu di SK Lengkuas Parit, kemudian di SK. Padang Tenggala dan sebelum ke SMKASAS saya mengajar di SK Seri Iskandar. Cuma semuanya meninggalkan nostalgia yang mengajar saya menjadi seorang guru dan saya mendoakan agar saya menjadi guru cemerlang dan diterima Allah Ar-Rabb, itu misi saya untuk melahirkan Insan Kamil sebagai mana terpampang slogan tersebut di Dewan Besar As-Shafie. Cukuplah coretan saya ini bab Program Halus.
          Berbalik perbualan saya dengan Puan Pengetua, di Makmal Komputer bersama dengan Cikgu Mohd Noor serta Kanselor Sekolah, Cikgu Fazuan. Antara yang menarik perhatian saya mengenai kejayaan sekolah terbaru iaitu berjaya menjadi Johan Kantin Tercantik, Tandas Tercantik, Bilik Kaunselor Tercantik, Asrama Bitara Daerah, Menang Pelbagai Kategori Untuk Kokurikulum daerah dan tak terkata lagi. Saya tambah lagi dalam perbualan tersebut Panitia BM Cemerlang berdasarkan ulasan nazir persekutuan lebih kurang tiga minggu lepas, Ustazah..... dalam hati saya bukan hendak membangga diri tetapi letih......Cuma di hujungnya, saya berkata kepada Puan Pengetua, kami letih Ustazah........... Kemudian dia ketawa. Saya kata lagi mari kita berdoa Ustazah semoga Pelajar PMR, SPM, dan STPM 2012 juga akan cemerlang tahun ini kerana itulah misi utama kita. Ustazah ketawa lagi. SMKASAS Cemerlang dan Memang Saya Bangga Menjadi Pendidik SMKASAS. Alhamdulillah.
           Sebelum keluar daripada makmal komputer, Ustazah Naemah mempelawa kami untuk hadir ke Clear Water Sentuary, Batu Gajah pukul 3.00 petang ini kerana PIBG ingin menjamu selera guru-guru sebagai Penghargaan kepada Guru-guru SMKASAS yang berusaha bersungguh-sungguh mencemerlangkan Warga SMKASAS dan saya tidak dapat pergi kerana keletihan dan selera makan pun tak seberapa. Cuma Terima Kasih YDP PIBG kerana menganjurkan majlis tersebut, cuma waktunya saja tidak sesuai kerana baru di maklumkan pada hari ini. Alhamdulillah sekali lagi.

Jumaat, 26 Oktober 2012

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA

Dengan Jari Disusun Menadah Doa Dibaca. Saya (Mohd. Ramsul b. Abd. Rahiman), Rozita Bt. Hj. Hamzah ( Isteri), Firdaus, Fitri, Fahmi, Anis, Faqih, dan Ceha ( Anak-anak) Mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha Kepada Sanak Saudara, Rakan-Rakan Seperjuangan di SMKASAS, Pelajar SMKASAS Terutama Kelas 3K, 3S, 4K, Dan 5S, Serta Bekas-Bekas Pelajar, Rakan-Rakan Semasa Di MPTI, Rakan-Rakan Semasa di Institut Sofar, Ipoh, dan Sesiapa Sahaja Yang Mengenali Saya, Maaf Zahir Batin. Maafkan saya sekiranya ada kekhilafan saya, sama ada tutur kata, mahupun perbuatan yang pernah menyinggung perasaan semua. Saya sedar saya Insan Yang Lemah dan tidak dapat lari daripada membuat kesilapan. Maaf juga jika ada kesalahan anak-anak saya. Sekali lagi bagi pihak semua, maafkan kami. Doakan kami sentiasa dirahmati Allah dalam melayari kehidupan dunia yang penuh mencabar. Kepada anak-anak, saya sayang akan kamu. Semoga keluarga kita akan bahagia. Amin Ya Rabbal Alamin. Selamat Hari Raya Aidil Adha Sekali Lagi.

Selasa, 23 Oktober 2012

ESOK DIISYTIHARKAN CUTI SEMPENA HARI ANUGERAH KOKURIKULUM 2012

        Warga SMKASAS terkedu kegembiraan apabila PK Pentadbiran Pn. Noor Hasnah mengumumkan esok cuti kira-kira jam 7.10 minit pagi tadi melalui sistem hebahan sekolah. Isu cuti ini telah menjadi buah mulut warga pendidik sekolah kerana JPN tidak meluluskan permohonan cuti sempena Hari Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum yang diadakan pada pukul 2.00 petang ini. Namum, pengumuman cuti berkenaan sekurang-kurangnya mengubati keletihan guru-guru dan para pelajar turut gembira menerima keputusan berkenaan. Selain pada sebelah pagi telah diadakan persembahan Kawat Kaki Badan Beruniform sekolah, sementera Unit Kelab dan Sukan mengadakan pameran berkaitan unit masing-masing. Suasana sekolah pada pagi ini agak ceria kerana pihak pentadbiran telah menangguhkan peperiksaan akhir tahun ke minggu hadapan. Nampak wajah-wajah ceria pelajar menghabiskan program pada pagi dan bersedia untuk program petang, dan ada yang sudah tidak sabar untuk pulang bercuti dan menyambut Hari Raya Haji di kampung. Namun, pelajar yang menghadapi peperiksaan iatu SPM terutamanya, kepulangan mereka pada minggu ini membawa bersama bekal kerja yang diberikan oleh guru mata pelajaran masing-masing. Tidak ketinggalan kepada pelajar 5S, siapkan kerja yang saya berikan kerana, peperiksaan hanya tinggal beberapa hari lagi. Jika di rujuk jadual, perjumpaan dengan pelajar hanya tinggal dua kali pertemuan sahaja dan ditambah perjumpaan tuisyen pada minggu hadapan. Elakkan merungut kerana kerja rumah banyak sangat tetapi niatkan kerja tersebut sebagai tanggungjawab dan hasilkan hasilan kerja yang berkualiti. Semoga ada akan mendapat sesuatu daripada kerja yang anda lakukan. Ingat, jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.
            Menurut, En. Sarip, kakitangan sekolah, sedihnya ada pelajar telah menempah tiket untuk balik ke Kuala Lumpur pada hari Khamis. Semoga pelajar berkenaan akan dapat pulang kepangkuan keluarga lebih awal lagi. Kira-kira pukul 1.50 minit tengah hari, En. Zaudi b. Lebai Mat, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Perak Tengah telah hadir ke sekolah sebagai VIP jemputan dan perasmi Hari Anugerah Kokurikulum Sekolah 2012. Pada masa yang sama, saya terpaksa ke Ipoh untuk mengambil anak perempuan saya kerana sekolahnya mulai bercuti esok dan mereka dibenarkan pulang pada pukul 1.30 hari ini. Saya sempat memaklumkan perkara tersebut kepada Ustaz Sidek b. Aliman, PK Hem tentang hal berkenaan.

         Kepada pelajar ting 5, sila buka atau layari laman Guru Bahasa Melayu di bawah blog saya ini kerana ada banyak ilmu yang akan anda peroleh daripada laman-laman berkenaan. Semoga, anda akan mendapat bahan untuk membantu anda menyelesaikan kerja rumah dan sebagai persiapan untuk menghadapi peperiksaan SPm 2012.  Ingat, maklumat di hujung jari.

       " Selamat Bercuti Dan Menyambut Hari Raya Korban 2012 . Maaf Zahir dan Batin."
             

Isnin, 22 Oktober 2012

KUNJUNGAN MANTAN PENGETUA USTAZ ARIP SA'AYA

         Kira-kira pukul 1.15 petang tadi, semasa saya memasuki bilik guru setelah menjadi guru ganti untuk mengawas peperiksaan akhir tahun Kelas Ting. Satu Ibnu Sina, saya terpandang tubuh orang yang tidak asing bagi saya iaitu, Mantan Pengetua SMKASAS, Ustaz Arip Sa'aya. Sebagai seorang mantan pengetua yang mudah berinteraksi dengan kakitangannya, beliau menegur dan bertanya khabar kepada saya. Sesungguhnya, saya begitu terharu kerana sepanjang beliau menjadi pengetua, beliau beberapa kali menyuruh saya untuk mengisi kekosongan untuk jawatan Guru Cemerlang Bahasa Melayu, iaitu pada tahun 2009 tidak silap saya, pada ketika itu saya tidak layak untuk mengisi jawatan yang ditawarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia kerana saya tidak mencapai keputusan Peperiksaan Prestasi Guru. Sebenarnya, saya sudah mendapat keputusan cemerlang dalam salah satu kertas peperiksaan berkenaan, cuma satu kertas lagi yang agak berat bagi saya. Memang rezeki tidak menyebelahi saya ketika itu, kerana sesiapa yang mengisi permohonan tersebut akan diterima oleh kementerian atas sokongan tuan pengetua. Jelas dia kecewa kerana saya tidak mengisi permohonan tersebut.
           Dalam pertemuan singkat tersebut, beliau bertanya kepada saya tentang keputusan pemantauan Guru Cemerlang yang telah diadakan ke atas saya pada tahun 2010 kerana pada ketika itu saya mengisi borang permohonan guru cemerlang berkenaan. Saya menjawab mungkin tidak ada rezeki dan memang Kementerian Pelajaran Malaysia Putra Jaya ada menelefon saya mengenai perkara tersebut dan meminta saya menghantar maklumat diri saya setelah dipantau, kemudian tidak ada sebarang keputusan selepas itu. Saya memaklumkan kepada beliau, saya lebih senang dan selesa menjalankan tugas saya seperti biasa kerana hanya Allah, dan pelajar saya sahaja yang mampu menilai kerja-kerja saya. Namun, saya akan mencuba mengisi borang untuk Guru Cemerlang DG 48, tahun hadapan jika ada ruang dan diizinkan oleh Al-Rabb. Selain itu, hanya Tuhan saja yang mengetahui sama ada saya akan dapat meneruskan tanggungjawab saya sebagai guru pada tahun hadapan, di samping faktor kesihatan. Semoga saya sentiasa diberi kekuatan untuk meneruskan usaha untuk melahirkan pelajar Kamil yang diharapkan, insyaAllah.
           Selain itu, beliau bertanya perkembangan anak-anak saya kerana semasa pentadbir beliau saya pernah mempertikai beberapa keputusan pentadbiran. Namun, saya beranggapan nostalgia lama itu perlu saya padam dari memori saya, kerana yang penting bagaimamana tindakan saya untuk mengelokan anak-anak saya untuk masa hadapan mereka. Begitulah, prihatinnya mantan pengetua saya ini kerana apa yang saya perkatakan kepada beliau ada juga betulnya, kerana saya bercakap sebagai  'platform' ibu bapa kepada dua orang anak saya di sekolah tersebut, sekolah tempat saya bertugas. Namun, saya perlu sedar salah saya juga kerana gagal untuk mendidik mereka sebaik-baiknya, kerana saya juga mengharapkan guru-guru lain mengajar sebagaimana saya mengajar pelajar-pelajar lain. Namun, terima kasih Ustaz Arip kerana banyak membentuk saya sebagai seorang guru, serta mempercayai saya sehingga melantik saya untuk menerajui Panitia Bahasa Melayu SMKASAS semenjak 2009. InsyaAllah atas nasihat beliau, saya akan cuba mempertingkat usaha saya untuk menjadi Guru Yang Profesional. InsyaAllah. Untuk makluman kedatangan Ustaz Arip kerana menziarahi adiknya yang meninggal dunia. Al-Fatiha. Semoga roh adiknya di samping roh-roh muslimin dan muslimat yang disayangi Al Rab.. Tuhan Penguasa Alam. Kini beliau bertugas sebagai Ketua Sektor Bahagian Pendidikan Islam, JPN Sarawak. Terima kasih juga ke atas beliau yang tidak pernah lupa singgah ke SMKASAS setiap kali balik ke Semenanjung, sama ada atas urusan rasmi atau peribadi.

Sabtu, 20 Oktober 2012

HUJUNG MINGGU YANG MENENANGKAN FIKIRAN TETAPI TUGASAN TETAP ADA

      Cuti hujung minggu kali ini agak menenangkan dan ketika ini kerja-kerja sampingan saya lakukan iaitu menebas keliling rumah dan mengemas rumah. Situasi ini tidak dapat saya lakukan kebelakangan ini kerana tugas yang sentiasa banyak tambahan pula sekolah sering menjadi sasaran kedatangan orang luar. Tambahan pula, badan yang sudah sampai ke tahap separuh abad perlu mengeluarkan peluh. Setelah letih menebas, malam ni mengantuk dan badan rasa keletihan pula.
        Namun begitu, tugasan menyemak kertas bahasa Melayu Ting. 4K perlu diteruskan, dan karangan pelajar 5S banyak pula nak disemak, beri kerja kepada pelajar mudah tetapi nak menyemaknya satu masalah kerana mengambil masa dan bukan senang hendak mendapatkan impresion untuk menyemak penulisan pelajar. Malam ni terpaksa laksanakan tugas. Apabila saya teringat ibu bapa di kampung, hati berasa sayu kerana sudah dekat dua bulan tak balik menjeguk mereka. Oleh sebab, teringatkan mereka saya sempat menghubungi kedua ibu  bapa dan bertanya khabar, dan barulah rasa lega hati apabila dapat bercakap dengan emak di kampung.
           Berbalik pula dengan masyarakat taman, saya sudah lama tidak turun ke surau. Entah apa pandangan mereka terhadap saya. Hai inilah tugas, ada saja kerja yang perlu dibuat Memang betul, jika dikaji tugas guru di SMKASAS perlu banyak bersabar dan tugasnya hanya Tuhan saja yang tahu, itupun jika kita bertanggungjawab. Bab bertanggungjawab yang banyak menyebabkan masa saya habis untuk melaksanakannya. Namun, malam ni nak pergi tetapi, dua orang anak saya pula bercuti dan ada di rumah. Seorang, saya jemput di hadapan Kedai Minyak Shell pukul 2.50 pagi dari Melaka, dan seorang di KPM Seri Iskandar. Dua orang lagi belum bercuti lagi, seoarang di RPS Ipoh dan seorang lagi di Politeknik Behrang. Bila mengenang tugas yang banyak, mana tidaknya, selama ini tiga hari dengan kelas tuisyen ting. 3K, 3S dan 5S bermakna tiga malam ke sekolah. Kemudian ada pelajar dari Bruas yang datang belajar ke rumah belajar BM SPM. Selalunya, dia akan datang setiap malam Jumaat atau Sabtu, tetapi esok dia akan sampai pukul 9.00 pagi. Paling bermasalah dan saya kalah apabila ada pelajar dan ibu bapa yang meminta ilmu daripada saya, selalunya, saya tidak akan menolak jika seseorang mengharapkan ilmu daripada kita. Saat paling saya terharu, apabila pelajar dari Bruas cuba meminta bahan daripada 'external hard disk' saya, mulanya saya kata bahan tersebut untuk kegunaan saya berceramah atau untuk pelajar sekolah saya saja. Terus dia berkata,"Cikgu, ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya."  Hai perli tuk guru nampaknya", kata saya. Jawabnya pula,"Cikgu yang cakap." Akhirnya saya beri juga bahan tersebut, asalkan dia menggunakannya dengan cara yang baik dan tujuan untuk memahami kemahiran tatabahasa dan kemahiran mengarang.
          Selepas ini saya perlu menyemak kertas peperiksaan akhir tahun Ting 4K dan kerja penulisan 5S, boleh ke selesai malam ni saya pun tak tahu. Jika boleh malam ini saya perlu menyelesaikan pemeriksaan kertas 2, dan jika selesai, perlu pula buat post mortem. Kertas 1 belum sentuh lagi. Tambahan pula perjumpaan untuk semakan kertas 2, PMR akan berlangsung pada 5-7 Oktober dan 18-19 Oktober, hai kerja lagi. Selepas itu penyemakan kertas 2 SPM pulak. Memang tiap-tiap tahun itulah kerjanya.Selalunya, semuanya akan beres. InsyaAllah dan yang paling penting kerja jangan bertangguh.

Khamis, 18 Oktober 2012

TAHNIAH PANITIA BM, ALHAMDULILLAH

      Sesampai saya ke sekolah pada pagi ini, Puan Pengetua telah berjumpa dengan saya dan melahirkan ucapan keramat yang mengurai dan menghilangkan rasa penat serta stress, sebelum, semasa dan selepas pemantauan Jemaah Nazir ke SMKASAS. TAHNIAH, CIKGU! Apa rahsia, apa agenda dan apa yang Panitia BM lakukan sehingga dipuji oleh Jemaah Nazir dan JPN. Ringkasnya, ucapan terima kasih dan Tahniah juga kepada Puan Pengetua. Secara seloroh, saya menjawab ringkas, jangan tidur, buat tuisyen, buat post mortem, laksana tugas seorang guru kepada pelajar, laksanakan latihan yang banyak kepada pelajar dan semak hasilan pelajar.
        Namun, kesyukuran saya panjatkan kepada Ilahi, terima kasih kepada guru-guru Bahasa Melayu, dan terima kasih kepada pelajar yang selama ini memberi penuh kerjasama kepada saya sebagai Ketua Panitia. Khasnya terima kasih kepada Cikgu Sirajuddin, Cikgu Rahayu, Cikgu Hasnimah, Cikgu Hermawany, dan Cikgu Arifin kerana kejayaan tersebut tidak akan dicapai tanpa kerjasama. Seterusnya, Puan Pengetua meiminta saya memberikan saranan dan penerangan kepada Panitia lain kenapa Panitia BM boleh menerima pujian atas prestasi cemerlang mata pelajaran BM dan pengurusan fail Panitia BM yang baik. Saya sendiri terkedu, apabila menerima keputusan Jemaah Nazir tersebut. Cuma saya mampu mengangguk-anggukkan kepala dan terima kasih. Persoalan yang saya coretkan semalam juga menjadi tanda tanya kepada saya, kenapa saya disoal siasat dalam tempoh masa yang singkat. Mungkin peleraiannya, lihat sendiri fail Panitia BM yang diurus oleh Setiuasaha saya Cikgu Hasnimah dan setahu saya saya telah memasukkan pelbagai post mortem untuk semua keputusan peperiksaan tingkatan, headcount semua peperiksaan tingkatan, bandingan pencapaian peperiksaan tingkatan, post mortem bertulis dan contoh bukti hasilan jawapan pelajar yang telah saya bentang di dalam kelas, dan saya bentang semasa Program Kecemerlangan PMR di Pusat Latihan UITM Sungai Galah, Kampung, Gajah dan hasil Post Mortem yang saya bentang di hadapan Puan Pengetua melalui program Powerpoint. Bahan-bahan tersebut saya cetak daripada data "laptop" saya dan saya cetak sehingga pukul 4.00 pagi sebelum pemantauan kerana bahan tersebut sudah siap saya buat selama ini. Selain itu, post mortem yang saya bentangkan di hadapan Puan Pengetua melibatkan kajian menyeluruh dari segi analisa pencapaian pelajar ting. 3,  kekuatan dan kelemahan pelajar, serta rancangan mengatasi untuk mencapai hasilan di akhir program kecemerlangan mata pelajaran BM PMR dan SPM. Semuanya telah dibuat bersama panitia-panitia lain. Namun, kesyukuran atas keputusan Jemaah Nazir tersebut.
        Apa yang saya perkatakan dulu menjadi kenyataan setiap bebanan tugas dan susah payah yang kita buat selama , adalah untuk pelajar. Hasilannya nikmat menjadi guru tidak boleh dikongsi dengan orang lain. Itulah hakikat seorang guru. Terima kasih semua atas pencapaian ini terutamanya Cikgu Sirajuddin yang tidak pernah kenal erti letih dan bosan membantu saya. Saya bersyukur kerana ditemulan dengan seorang guru seperti beliau  Selain itu mengamalkan  konsep kita tidak menyusahkan orang lain, tetapi kita cuba menolong orang lain atas profesion tanggungjawab seoarang guru banyak mengajar saya menjadi seorang guru yang sebenar. Alhamdulillah kepada Tuhan atas nikmat yang diberi kepada saya selamai ini.
         Malam ini juga saya menerima telefon daripada pelajar ting. 5S bahawa malam ini kelas tuisyen, sedangkan saya tertidur kerana keletihan menyemak karangan mereka malam tadi. Akibatnya, saya terlompat dari atas katil. Jam menunjukkan lagi 5 minit pukul sembilan, terpaku saya mendengar suara anak murid saya Anis, kerana saya meminta dia mengingatkan saya setiap kali kelas tuisyen diadakan jika saya terlupa. Rupan-rupanya saya telah berjanji dengan mereka untuk kelas tuisyen pada pukul 8.00 malam ini. Entah mengapa saya mengiakan, dan tunggu. Terus saya berkemas dan saya sendiri heran kerana saya sampai di sekolah pada pukul 9.10 minit, sesampai di luar Dewan Kluster mereka sabar menunggu kedatangan saya. walaupun saya terlambat tetapi erti ilmu tersebut terpancar kerana perjalanan kelas berlangsung dengan suasana cukup menghiburkan saya. Mereka memberi tumpuan kepada perbincangan tatabahasa. Saya terkejut kerana pelajar lelaki bersalam dengan saya dan pelajar perempuan mengucapkan terima kasih atas kehadiran saya. Sekali lagi, nikmat menjadi guru saya peroleh hari ini. Alhamdulillah Allah mempermudah perjalanan hidupku sebagai guru. Keletihan tetapi nikmatnya hanya Allah yang tahu. Terima kasih semua.
           Selain itu, pada hari ini pihak sekolah dilawati pemantau keceriaan Kantin dan persekitaran sekolah untuk pertandingan keceriaan daerah dan juga PPD yang memantau pertandingan Kebitaraan Asrama. Hai banyak sangat program. Minggu hadapan Hari Anugerah Kokurikulum dan pemantauan Kecemerlangan Kokurikulum oleh Jemaah Nazir. Hai......macam macam ada. Entahlah.....SPM lebih kurang lagi 25 hari lagi. Sabar...... teruskan usaha untuk kecemerlangan SPM pula.

Rabu, 17 Oktober 2012

ISITILAH BOMBASTIK "BERISTIREHAT"

        Pada hari ini usai sudah pemantauan Jemaah Nazir Kementerian Pelajaran Malaysia dan saya juga terpanggil menghadap Jemaah Nazir untuk berbicara soal Panitia Bahasa Melayu. Alhamdulillah setiap soalan yang ditanya saya jawab dan saya cuba untuk membuktikan setiap aktiviti dan data yang diperlukan. Oleh sebab keterbukaan saya berbicara, Nazir berkenaan hanya meluangkan masa hanya lebih kurang 10 minit menyoal siasat saya. Seribu kesyukuran dipanjatkan kepada Ilahi atas situasi yang berlaku. Konsep saya mudah, dia ( Nazir ) menjalankan tugas dan saya juga menjalankan tugas, tidak ada apa yang saya takutkan selain Tuhan Pencipta Alam.
         Namun, dalam pertemuan yang singkat mungkin terkandung beribu-ribu persoalan, iaitu apakah  rumusan jemaah nazir? Jawapannya, pentadbiran sekolah telah mengadap Jemaah Nazir untuk mengetahui rumusan pemantauan pada hari ini, maaf semalam kerana semasa saya menulis coretan ini, jam menunjukkan pukul 3.30 pagi. Pertemuan dengan Nazir tersebut pada peringkat awal melibatkan semua guru dan pentadbir di Bilik Gerakan SMKASAS tetapi akhirnya kami dimaklumkan guru-guru boleh balik pukul 3.00 petang, alhmadulillah. Bukan saya tak tidur malam ni tetapi sesampai di rumah petang tadi lebih kurang pukul 4.40 petang, saya tertidur sehingga saya sedar jam 12.00 tengah malam. Kemudian saya menyiapkan skema jawapan Soalan Kertas BM 1, dan 2 Peperiksaan Akhir Tahun Ting. 4, saya terus tidak boleh tidur dan saya terpaksa qadho sembahyang yang tertinggal ( Kewajiban). 
       Seterusnya, saya teringat kejadian petang tadi, semasa saya naik ke bilik guru. Saya bertanya kepada salah seorang guru praktikum UPSI tentang Cikgu Sirajuddin kerana selalunya abang saya ni balik lewat tetapi "laptop"nya tiada di atas meja seperti biasa. Lucunya, cikgu tersebut menjawab, " Cikgu Sirajuddin dah balik, cikgu, dan dia kata nak "beristirehat". Cikgu tersebut mengulang semula kata-katanya," tetapi cikgu dia kata betul-betul "beristirehat". Adakah tujuannya untuk menguatkan maksud kata tersebut, bukan beristeri dan rehat. Tetapi berehat setelah penat bekerja. Istilah beristirehat tersebut mencuit hati saya terutama mengenang Tuan Punya Badan Orang Yang Bercakap tu. Geli hati saya....... Sekurang-kurang istilah tersebut mengendurkan stress saya kerana saya juga ke bilik pekerja tadi dan dapat melelapkan mata selama 15 minit sebelum naik ke bilik guru. Apapun, syukur kepada Allah kerana kerja saya beres sedikit malam ni, namun saya perlu menyemak karangan 5S yang dihantar petang tadi dan apabila menyemak karangan SHAMAD dan Mashitah agak lega saya kerana karangannya pada peringkat Cemerlang Atas. Tahniah , pelajar-pelajar saya dua orang ni, terutama SHAMAD yang mampu mengekalkan prestej karangannya setakak ini. Justeru, perjuangan PMR dan tamat, kini saya terpaksa menjurus kepada kecemerlangan BM SPM pula, doakan saya sentiasa sihat untuk tujuan tersebut. Wasalam. ( Coretan 4.00 pagi / 17/10/2012 ).

Isnin, 15 Oktober 2012

KEHADIRAN NAZIR MENGUBAH RENTAK KEHIDUPAN GURU SMKASAS

        Seawal pukul 7.20 pagi,  lapan orang Jemaah Nazir Kementerian Pelajaran Malaysia tiba di perkarangan sekolah. Dimaklumkan mereka akan berkampung di SMKASAS selama dua hari dua malam.Pada masa yang sama, pelajar Ting. 1, 2, dan 4 sedang menjalani peperiksaan akhir tahun, manakala pelajar PMR sedang menghadapi kertas peperiksaan PMR 2012. Justeru, antara yang dipantau ialah kelas bukan peperiksaan dan guru yang dipantau agak rimas kerana ditujukan soalan bertalu-talu mengenai semua perkara berkaitan profesion mereka. Sebagai seorang guru yang telah mengajar 22 tahun, memang suasana tersebut sudah biasa bagi saya, cuma kali ini saya tidak dipanggil untuk berhadapan dengan mereka. Cuma saya diberi borang untuk pemantauan Panitia Bahasa Melayu. Antara isi kandungan borang berkenaan adalah berkaitan dengan enrolmen guru bahasa serta kekuatannya, penglibatan persatuan Bahasa Melayu dan keahliannya. Disamping itu, ditanya juga pengurusan kewangan perkapita pelajar (PCG). InsyaAllah saya akan menghantar borang tersebut kepada nazir berkenaan esok.
               Pada masa yang sama juga, kami pihak guru dikejukan dengan Sistem Pengurusan Guru secara online yang perlu diisi pada hari ini juga. Justeru, Puan Pengetua telah menguar-uarkan guru-guru perlu berada di Makmal Komputer untuk mengisi data berkenaan.Dapatan berkenaan telah diperingatkan oleh Jemaah Nazir yang datang kerana jika data berkenaan tidak dimasukkan bermakna guru-guru SMKASAS tiada rekod berkursus sama ada kursus dalaman atau diajalankan oleh PPD, JPN atau Kementerian. Beginilah keadaan guru zaman ICT memerlukan ketangkasan dalam menerima maklumat. Apabila teringat suasa begini, teringat pula data Harmis yang masih belum lengkap diisi. Namun begitu, terpancar kelegaan hati setiap guru, apabila maklumat di dalam sistem berkenaan memaklumkan bahawa tempoh memasukkan data dipanjangkan sehingga ke tarikh 19/10/2012. Alhamdulillah.
                 Seterusnya, jemaah nazir akan terus memantau keadaan asrama sehingga ke malam. Kesian juga dengan warden, dan mengingatkan saya semasa saya menjadi warden selama tiga tahun. Sudah pasti warden sekarang pening kepala kerana dari segi dokumen, kemungkinan juga dipantau, begitu juga dengan keadaan perjalanan pelajar asrama sepanjang dua hari mereka berada di bumi SMKASAS. Malam ini juga saya telah dimaklumkan oleh PK Pentadbiran melalui mesej sms supaya bersedia melengkapkan Rancangan Mengajar dan saya memaklumkan semuanya telah saya bereskan dan jika mereka hemdak memantau tiada masalah kerana saya sudah melengkapkan bukan setakat Fail Rancangan Mengajar tetapi juga mengemaskinikan Fali Panitia Bahasa Melayu. InsyaAllah pada tengah hari esok mereka akan membuat rumusan hasil pemantauan mereka sepanjang 2 hari setengah. Cuma saya sering mengingatkan kawan-kawan itu adalah tugas mereka dan kita sebagai guru cuma melengkapkan tugas dan tanggungjawab yang perlu kita jalankan. Apa nak ditakutkan dengan mereka kerana mereka juga manusia biasa, ada kekuatan dan kelemahan. Paling utama tugas kita-kita jalankan. InsyaAllah kita akan sentiasa bertenang walaupun tugasan bertimpa-timpa dan diakhirnya kita akan merasai nikmat menjadi seorang guru. Cuma paling penting, bagaimana kita membahagi masa dan menggunakan masa itu sebaik-baiknya kerana "masa itu emas" dan guru ibarat lilin membakar dirinya untuk kesenangan orang lain. Selain itu tanamkan konsep " saya tidak pernah menyusahkan orang lain, mungkin orang lain meminta pertolongan saya." Teruskan tanggungjawab sedia ada, sekiranya anda seorang guru. Wasalam dan sekian coretan untuk malam ini.
                 Walaubagaimanapun, selambak buku karangan dan latihan tatabahasa di atas meja, mengingatkan saya betapa kerja yang perlu dibereskan pada malam ini. Mata dah mula mengantuk dan untuk meneruskan coretan di blog ini juga mengambil masa. Tak apa, kerana pengalaman dan coretan ini boleh dikongsi bersama dengan para pelajar tentang situasi sekolah pada masa ini. Sementata bekas pelajar yang bakal menjadi guru boleh melihat sendiri perjalanan seorang guru pada zaman internet ini. Apabila saya tanya, guru parktikum UPSI yang akan menamatkan latihan mereka di SMKASAS minggu ini, mereka sedar betapa hebatnya pengorbanan guru-guru SMKASAS dan begitulah cerminan mereka terhadap guru-guru di sini untuk melahirkan Insan Kamil yang diharapkan untuk memimpin generasi akan datang.

Selasa, 9 Oktober 2012

MESYUARAT PERSIAPAN LAWATAN NAZIR

                   Pada hari ini, sekali lagi mesyuarat diadakan untuk persediaan menghadapi  kedatangan Jemaah Nazir Kementerian Pelajaran Malaysia pada 15 dan 16 Oktober 2012 yakni Isnin dan Selasa minggu hadapan. Justeru guru-guru diminta mengemaskinikan fail-fail berdasarkan tugasan. Justeru, sebagai Ketua Panitia sudah pasti saya perlu menyediakan satu set sukatan pelajaran BM, satu set Huraian Sukatan Pelajaran, Rancangan Jangka Panjang ( Pelan Strategik), Rancangan Jangka Pendek ( Pelan Taktikal), Fail Panitia Bahasa Melayu, Semakan buku latihan pelajar, mengemaskinikan Fail Rancangan Mengajar, dan bla.....bla....dan bla. Hari ini balik lambat lagi kerana semalam balik pukul 5.30 petang sebagai latihan dan taklimat terakhir dengan pelajar ting 3K dan 3S. 
                    Bagi saya memang tugasan tersebut menambah bebanan yang ada tetapi terpaksa dihadapi dan paling utama, tanggungjawab perlu dilunaskan. InsyaAllah semua akan beres. Semoga kedatangan mereka akan menambah koleksi sejarah SMKASAS. Selamat datang, (Ahlan Wahsalan) ke SMKASAS kepada mereka.

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN MENENGAH RENDAH 2012

Saya, Cikgu Mohd. Ramsul b. Abd. Rahiman, Cikgu Sirajuddin, dan Cikgu Rahayu mendoakan pelajar Ting. 3K, 3S, 3H, dan 3B akan berjaya menjawab soalan Kertas Bahasa Melayu 1 dan 2 pada hari ini . Semoga anda mendapat keputusan yang cemerlang. Begitu juga dengan kertas mata pelajaran lain. SELAMAT MENGHADAPI PMR 2012.

Ahad, 7 Oktober 2012

PEPERIKSAAN PMR 2012

            Pelajar ting. 3, sedang membuat persediaan terakhir sebelum peperiksaan berkenaan akan bermula pada 9 Oktober 2012. Pada pagi tadi, dari pukul 8.00 hingga 10.00 pagi telah diadakan perbincangan kedua terakir di Dewan Makan dan fokus perbincangan ialah Kertas Satu, Percubaan Pulau Pinang. InsyaAllah, esok telah diperuntukkan dua masa untuk slot BM iaitu bermula pada pukul 12.30 hingga 2.15 petang dan pukul  3.00 hingga 4.30 petang. InsyaAllah perbincangan esok akan bertumpu kepada soalan kertas dua Percubaan Pulau Pinang, dan fokus utama ialah Ringkasan, Pemahaman Teks, Karangan Berpandu, dan Komsas Novel. Kemungkinan pada sebelah petang akan ditumpukan kepada soalan kertas 1 Percubaan Kelantan.
             Pada kesempatan ini, saya memohon kepada semua warga SMKASAS, dan bekas-bekas pelajar yang mengikuti blog ini sama-sama mendoakan kejayaan mereka. Doakan mereka berjaya menjawab semua kertas peperiksaan dan mendapat gred "A" keseluruhannya. Amin.

Sabtu, 6 Oktober 2012

PERISTIWA BERLAKU SEPANJANG SEMINGGU

Alhamdulillah, saya berjaya mengharungi liku-liku kehidupan sebagai guru sepanjang minggu ini dengan jayanya. Bermula hari Selasa, Rabu, dan Khamis, saya berjaya hadir untuk kelas tuisyen malam untuk Ting 3S, 5S bermula pukul 9.00 malam hingga 10.00 malam kecuali hari Khamis bermula pukul 8.15 malam atas permintaan pelajar kelas Ting. 3K. Pada minggu ini juga saya dimaklumkan saya dan bertugas Cikgu Mohd. Zafrullah bertugas, dan oleh sebab Cikgu Zafrullah sibuk, maka saya terpaksan mengendalikan ucapan guru bertugas semasa perhimpunan mingguan pada hari Jumaat.
       Selain itu, pada hari Rabu telah diadakan post  mortem untuk peperiksaan Percubaan SPM 2012 dan sekali lagi saya terpaksa menyiapkan powerpoint untuk tujuan tersebut. Pada pukul 2.45 petang, setelah post mortem STPM diajalankan dari pukul 12.30 hari, semua ketua panitia berada di dewan besar bersama mendengar post mortem berkenaan. Hal ini jarang berlaku di SMKASAS tetapi atas kehendak Puan Pengetua. Diharapkan pelajar akan mendengar rintihan guru mata pelajaran hasil pembentangan Ketua Panitia Mata Pelajaran. Dalam pembentangan post mortem tersebut, saya telah menyelitkan peristiwa mengembirakan guru-guru bahasa Melayu, apabila pada tahun 2009, daripada 122 orang pelajar SPM, seramai 111 orang pelajar telah mendapat gred "A+" sementara 11 pelajar pula mendapat gred "A" dalam mata pelajaran bahasa Melayu. Justeru, saya meminta pelajar bersungguh-sungguh membuat persiapan dalam menghadapi peperiksaan SPM dan sentiasa cuma menghasilkan hasil kerja yang cemerlang. Bak kata pepatah jika tidak dipecahkan runyung, manakan dapat sagunya. Seterusnya, peribahasa Melayu juga ada menyebut, Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Post Mortem tersebut berlangsung sehingga pukul 6.00 petang. Saya terpaksa balik awal dengan kebenaran Tuan Pengetua kerana pada sebelah malamnya saya ada kelas tuisyen.ini.
       Pada hari Jumaat juga, pada pukul 10.30 pagi Tuan Pengetua mengarahkan semua pelajar Ting. 3  dan Guru Mata Pelajaran ke Dewan Besar untuk Majlis Restu Ilmu kerana pelajar Ting. 3 akan menghadapi peperiksaan PMR pada hari Selasa ini bersamaan 9/10/2012. Dalam ucapan saya, pelajar dimaklumkan bahawa prestasi terbaik PMR adalah pada tahun 2010 kerana daripada 129 orang pelajar yang menduduki peperiksaan PMR hanya dua orang calon mendapat B, pada tahun 2010 seramai 13 orang calon mendapat B dan gred tersebut disumbangkan oleh pelajar Ting. 3B. Justeru, pada tahun ini saya memberi kepercayaan kepada pelajar Ting. 3B untuk menyumbangkan keputusan yang memberangsangkan guru kerana kejayaan pelajar akan meyentuh perasaan guru kerana jika keputusannya baik guru akan bergembira bersama pelajar sebaliknya jika pelajar tidak berjaya mendapat keputusan cemerlang, guru turut bersedih dengan keputusan tersebut. Saya juga berkata, guru-guru tidak akan mengalah sehingga tarikh sebenar peperiksaan berlangsung. Justeru, pada hari Ahad ini akan diadakan sesi kem BM untuk pelajar bermula pukul 8.00 pagi hingga 10.00 pagi dan pada hari Isnin kem BM akan bermula pada pukul 12.00 tengah hari sehingga 4.00 petang. Oleh sebab itu, kami guru BM akan sentiasa membuat perancangan terbaik untuk mereka InsyaAllah.
        Namun begitu, untuk kem hari Ahad, kami terpaksa berbahagi tugas kerana Cikgu Sirajuddin akan mengendalikan Program Pecutan SPM untuk BM yang berlangsung di Pusat Latihan UITM, Sungai Galah apabila Panitia BM menjemput Hajah Zaiton Guru Pakar BM DG 52 rakan saya sama-sama menyemak kertas BM2 untuk memberi ceramah kepada pelajar SPM Ting. 5, dan insyaAllah saya dan Cikgu Rahayu akan mengendalikan Kem PMR di sekolah. Sesungguhnya hati saya ingin ke Pusat Latihan UITM, tetapi saya perlu memberi keutamaan untuk pelajar PMR di sini kerana mereka semaikin hampir dengan peperiksaan.
          Untuk makluman, seramai 100 orang pelajar ting. 5 dan leebih kurang 60 orang pelajar STPM kini berada di Pusat Latihan UITM, Sungai Galah menyertai Program Pecutan SPM dan STPM anjuran pihak sekolah. Jika saya hendak luahkan, badan saya dah hilang tenaga untuk mengerjakan semua tugasan. Tambahan pula, saya bersyukur kepada Allah, dalam sesibuk macam mana pun, saya berjaya juga mengendalikan Teknik Menjawab SPM di SMK Lambor Kiri, namun saya tidak berpuas hati kerana semasa menyiapkan bahan Powerpoint, saya tergesa-gesa memandangkan tugas saya yang begitu banyak. Namun kesyukuran juga kepada Allah kerana taklimat yang saya sampaikan selama dua jam dapat memberi sumbangan kepada pelajar Melayu di sana. Cuma oleh sebab masa yang terhad saya hanya dapat memberi tumpuan kepada rumusan, pemahaman umum, pemahaman prosa moden, pemahaman prosa klasik, pemahaman puisi dan soalam komsas novel. Untuk bahagian tatabahasa saya hanya dapat menyentuh sedikit sahaja kerana kekangan masa. Alhamdulillah saya berjaya juga menjalankan tugas saya yang agak mencabar pada minggu ini. Keluhan ini hanya akan dirasa oleh seorang guru yang bergelar guru. Nikmatnya hanya Allah yang tahu. Alhamdulilah.
           Tidur saya sungguh nyenyak malam tadi, belum sempat berfikir panjang, saya labuhkan kepala ke bantal, saya sudah melupakan masalah dan kerja bertimbun. Nikmatnya tidur saya malam tadi. Alhamdulillah sekali lagi. Cuma saya akan meneruskan tugasan dengan terus merancang program untuk hari-hari yang mendatang. Apabila saya terjaga daripada tidur, teringat pula satu tugasan besar yang mungkin tugasan atau bebanan........Aset kerajaan MYSPATA masih belum siap lagi. Kuatkan diriku Ya Allah dalam menangani tugasan yang bertimpa kerana sebalik bebanan ada kemanisannya.