SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Khamis, 23 Februari 2012

MENGUBAH SUAI MODUL BAHASA MELAYU TING 3

Cuti terus berlalu, dalam kelapangan masa yang begitu panjang saya terus menyiapkan modul BM Ting 3 terbaru dengan mengubah suai corak dan bentuk modul serta boleh di edit dan digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Namun, dalam menyiap modul berkenaan banyak masa saya mengadap komputer riba yang telah setengah abad. Jika ada pelajar ting. 5B 2010 mungkin masih ingat komputer berkenaan jatuh dari meja semasa saya sedang mengajar dengan berbantukan LCD. Pada masa itu, saya agak panik kerana menjangkakan hayatnya tak lama, namun saya dapat menggunakannya sehingga ke hari ini, tetapi pada penghunjung tahun lepas saya terpaksa menggantikan CPU yang baru tetapi komputer tersebut masih lagi digunakan. Alhamdulillah, jelas komputer riba jenis HP memang tahan lasak.
        Pada peringkat awal saya tak percaya saya sanggup mengusahakannya kerana saya terpaksa menaip semula setiap patah perkataan serta perlu mengubah suai bentuk dan menambah bahan terutama isi kandungan komsas ting. 1, 2, dan 3 yang telah diperkenalkan sejak tahun 2010 dan yang terbaru bahan komsas untuk tingkatan 3 yang diperkenalkan pada  awal tahun. Selain, saya cuba memasukkan bahan ringkasan, karangan berpandu dan umum yang baru. Telah beberapa kali usaha saya itu terbengkalai kerana kesakitan akibat kecederaan tulang peha dan trauma kemalangan, selain saya terpaksa mendapat sokongan daripada melakukan aktiviti seharian yang memerlukan bantuan anak saya kerana pergerakan saya terhad. Kadang kala saya bersukur dan mengucapkan terima kasih kepada anak saya yang sedang menunggu keputusan peperiksaan. Beliaulah yang membantu saya untuk menguruskan kebersihan diri saya kerana saya tidak boleh ke tandas, apatah lagi mandi dan hanya berada di atas katil. Sesiapa yang pernah mengalami insiden ini yang tahu situasinya bak kata pepatah berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Cukup seksa saya rasakan impak kemalangan berkenaan. Selain kesedihan saya kerana kehilangan kereta Toyota Innova yang saya rasa cukup selesa dan sesuai untuk kegunaan harian dan keluarga terutama untuk kami begerak satu famili.
            Namun, saya pasrah kerana itu adalah ketentuan dan takdir Ilahi, tetapi jika saya fikirkan kuasa Tuhan, saya perlu bersyukur kerana impak kemalangan tersebut saya seorang saja tercedera kerana isteri dan anak-anak saya selamat. Alhamdulillah. Kini saya sedang menunggu keputusan pihak insuran yang sedang menilai kos ganti rugi akibat kemalangan tersebut. Jika difikirkan, banyak kerugian yang saya perlu tanggung terutama kehilangan kereta dan kos perubatan saya kerana sehingga kini saya terpaksa ke hospital untuk rawatan fisiterapi. Menurut doktor saya perlu menjalani rawatan fisioterapi sekurang-kurangnya dua kali seminggu dan setakat ini saya hanya mampu ke sana sekali seminggu memandangkan masalah jauh dan kelapangan isteri saya. Selain itu, sehingga sekarang saya telah menjalani rawatan doktor pakar sebanyak tiga kali dan setiap perjumpaan dengan doktor dan pakar fisioterapi memerlukan pembayaran. Namun, kerana saya ada perlindungan insuran Etiqa, kuranglah bebanan saya sedikit.
                Sehingga kini saya telah berjaya menaip 161 muka surat isi kandungan tatabahasa, komsas antologi 70  muka surat, ringkasan 25 muka surat, karangan berpandu dan umum masih belum saya sentuh, begitu juga novel tingkatan 1,2, dan 3. Namun, kini saya yakin saya mampu menyiapkannya sebelum saya menghabiskan cuti ini dengan harapan semasa saya balik semula bekerja, bahan berkenaan boleh saya gunakan untuk aktiviti pengajaran dalam kelas. Saya juga berhasrat untuk menebitkan modul tingkatan 5. Saya berdoa Allah memberi kekuatan kepada saya untuk melakukan sesuatu kepada anak murid saya. InsyaAllah. Kadang-kadang menulis bahan dalam blog ini juga memakan masa tetapi saya suka jika ada pelajar yang mengetahui pergerakan hidup saya kerana kehidupan ini penuh dengan warna warninya adakalanya setiap kejadian tersebut mematangkan kita sebagai insan kerdil yang sentiasa memerlukan rahmat Tuhan.
                

Khamis, 16 Februari 2012

DORONGAN DAN SOKONGAN KEPADA ISTERI SERTA PERHATIAN KEPADA ANAK

             Pada 11/2/2012 merupakan tarikh yang bermakna kepada seorang isteri apabila beliau telah mendaftar diri ke Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani mengikuti  Program Pengsiswazahan Guru Lepasan Diploma. Sebagai seorang suami, keputusan saya muktamad kerana memang saya menyokong selagi mana beliau berminat untuk melanjutkan pelajaran. Memang situasi yang saya alami kini sudah tentu memberi sedikit impak untuk kemudahan beliau belajar terutama soal pengangkutan atau kenderaan beliau untuk ke IPGSAH, namun atas bantuan kakak ipar dan biras yang sanggup menguruskan pendaftaran beliau, selesai sedikit masalah yang dialami. Ucapan terima kasih atas sokongan mereka.
              Dalam pada itu, cuti saya yang disambung lagi bukan sekadar memberi nafas kepada saya, namun situasi tersebut juga memberi impak kepada anak didik saya di SMKASAS, namun itulah takdir dan pada masa yang sama 25/2/2012 isteri saya sepatutnya akan ke IPGSAH untuk jadual pertemuan Program Pengsiswazahan kali pertama. Namun, dalam masa yang sama, Penyelaras Jabatan Hal Ehwal Pelajar telah memberi alternatif dengan menyokong permohonan isteri saya untuk memohon pertukaran Pusat Pengajian daripada IPGSAH ke IPG Ipoh dan borang permohonan telah diisi dan telah dihantar semalam kerana tarikh tutup permohonan pada hari ini Khamis ( 16/2/2012). Saya mendoakan permohonan untuk pertukaran pusat pengajian tersebut diluluskan atas sokongan Ketua Jabatan IPGSAH. Beliau menyatakan rasa dukacita dengan situasi kami sekarang dan telah menefon saya untuk tindakan yang perlu dilakukan isteri dan sebagai seorang suami semua email dan surat menyurat dan bukti sokongan mengenai urusan tersebut saya lakukan. Ucapan terima kasih saya ucapkan kepada En. Ahmad Nadri b. Mat Daud, Ketua Jabatan HEP IPGSAH yang telah menelefon dan memberi maklumat serta sanggup membantu urusan pertukaran berkenaan." Jika kita membantu orang yang dalam kesusahan, insyaAllah Tuhan akan membantu kita pula jika kita dalam kesusahan'" itulah kata beliau dalam emailnya semasa membalas email saya. Hanya Allah yang akan membalas jasa baik Tuan.
                Selain itu, timbul pula soal rawatan mata anak saya ke Hospital Besar Kuala Lumpur pada 21/2/2012. Berdasarkan rawatan doktor pakar di Hospital Manjung, mereka telah memanjangkan rawatan tersebut ke hospital berkenaan dan setakat ini memang agak susah juga untuk membuat sebarang keputusan dan kemungkinan, temujanji berkenaan mohon ditangguhkan ke hari yang lain jika dibenarkan. Namun, saya berdoa agar Allah memudahkan perjalanan kehidupan kami sekeluarga dan dalam cuti ini saya sedang menyiapkan modul PMR dan  saya juga menyediakan modul SPM untuk memudahkan saya menyambung dan mengisi bahan pengajaran untuk pelajar Ting.3 dan Ting. 5 yang mungkin tertinggal sepajang saya bercuti. Alhamdulillan kini saya cuba menyelesaikan modul PMR dan diikuti mengumpul bahan untuk modul SPM. Saya berdoa semoha Allah memberi kekuatan kepada saya menyiapkan modul berkenaan kerana banyak perubahan yang perlu dilakukan terutama melibatkan perubahan sukatan bahasa Melayu KOMSAS. Semoga tempoh cuti yang berlalu akan terisi dengan aktiviti yang bermakna. InsyaAllah. Semoga saya akan boleh berjalan dan bertugas semula seperti biasa.
              

TEMPOH CUTI DIPANJANGKAN DAN MASIH BELUM MAMPU BERTUGAS

           Pada 14/2/2012 saya ke Hospital Pantai Puteri berjumpa Dr. Pakar Tulang dan saya diminta menjalani  x-ray untuk mengetahui  perkembangan tulang peha yang patah. Setelah dilihat daripada filem x-ray nampak dilihat pecahan tulang terbahagi kepada tiga sisi yang patah dan hanya sebahagian kecil sudah mula tumbuh. Menurut Dr. Vasan hanya besi yang di gerudi  sepanjang tulang yang memegang tulang berkenaan dan dia mencadangkan saya  tidak berjalan lagi selama sebulan iaitu sehingga pada 15/3/2012 sebagai temujanji seterusnya.Beliau menasihatkan saya berehat tetapi melakukan senaman yang diajar oleh pakar fisioterapi.      
          Apabila saya bertanya apa akan jadi jika saya ke sekolah untuk bertugas, jawabnya mudah, boleh pergi tetapi bertongkat dan jika saya terjatuh impak pada bahagian tulang peha yang patah, kritikal.Beliau menunjukkan semula gambar x-ray. Memang sehingga kini bahagian yang patah memang sengal apabila saya cuba memijaknya dan setiap kali balik dari fisioterapi kaki saya sakit kerana pergerakan yang saya lakukan semasa latihan fisioterapi akan terasa pada keesokkan harinya.Sebagai alternatif Dr. Vasan mencadangkan saya memakan ubat kalsium untuk meningkatkan pertumbuhan tulang saya yang patah.
          Semasa saya ke kantin saya berjumpa rakan lama saya Cikgu Rahim dan baru hari itu saya tahu Nadhirah pelajar tingkatan 4S dan sekarang 5S anaknya, dan beliau ke sana atas urusan isteri yang memerlukan rawatan di Hospital Pantai Puteri. Semasa saya berbual dengannya di kantin hospital, beliau menyatakan kemalangan yang agak sama pernah menimpanya, dan memang tulang peha susah nak baik dan mungkin makan masa 3 atau 4 bulan baru baik. Cuma saya terfikir, rakan-rakan guru yang sekarang menanggung beban saya sepanjang saya bercuti. Cuma Allah yang akan membalas jasa mereka, dan memang perasaan untuk ke sekolah semula memang kuat tetapi apakan daya, situasi tidak mengizinkan.Nampak gayanya terpaksalah saya meneruskan cuti lagi. Saya berdoa biarlah tempoh cuti ini yang terakhir untuk saya kembali ke sekolah semula. InsyaAllah.


Selasa, 7 Februari 2012

SESEKALI MENATAP FACE BOOK

    Sebagai manusia, ingatan daripada insan bergelar pelajar, dan sahabat, adakalanya menyentuh perasaan. Kadang-kadang perasaan hiba menyelubungi jiwa, namun lazimnya ingatan berkenaan membawa kegembiraan. Namun, sesekali membuka 'face book' timbul perasaan sedih apabila insan-insan kamil tanpa rasa jemu menyimpulkan ucapan salam, ucapan kesyukuran, mendoa agar kesejahteraan dan kesempurnaan kerana kelangsungan hidup semasa tarikh kelahiran saya, ucapan terima kasih atas sumbangan yang tak seberapa dan bersama-sama mengedur kesedihaan pabila saya  berduka atau ditimpa malapetaka . 
      Pabila sesekali melihat bait-bait kata berkenaan di muka 'face book', lahir juga rasa bersalah kerana tidak membaca keseluruhan bait-bait dan ungkapan daripada insan-insan yang pernah mengenali saya. Rasa bersalah berkenaan memang tidak akan dibalas dengan hukuman, namun dalam hati ini berasa sedihnya terutama tidak dapat membalas bait-bait dan ungkapan berkenaan. Justeru, saya mengucapkan terima kasih atas ingatan insan-insan kamil dan maaf kerana acapkali saya gagal menatap bait-bait dan ungkapan ingatan anta dan inti tersebut apatah lagi untuk membalasnya. Sesekali membuka 'face book' tersenarai nama-nama yang kadang kala sukar untuk saya mengenalinya terutama  mereka yang menggunakan nama samaran kecuali bagi mereka menggunakan nama sebenar. Cuma dalam blog ini saya sekali lagi mengucapkan terima kasih atas ingatan insan-insan yang tidak pernah rasa jemu serta bosan menziarahi saya di ruangan 'muka buku'. Sesungguhnya kehadiran anta dan inti tersebut meneruskan hubungan silaturahim yang tiada kesudahannya antara kita. Salam Maal Hijrah Untuk Semua.

Isnin, 6 Februari 2012

BAHAN-BAHAN BOLEH MENINGKATKAN PENGETAHUAN BAHASA MELAYU

       Assalamualaikum kepada pelajar yang dikasihi. Jika anda rajin dan tahu, di bahagian bawah blog saya ada banyak laman blog guru BM seluruh negara yang telah saya paut. Cuba buka blog tersebut kerana ada banyak ilmu bahasa yang anda akan jumpa dan anda boleh menggunakan blog berkenaan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu anda. Rajin-rajinlah membuka blog berkenaan semoga anda mendapat sesuatu dalam kehebatan alam 'cyber' kini.
         Justeru, apabila pelajar pulang bercuti, gunakan kesempatan berkenaan untuk melayari laman berkenaan. Sekiranya ada kekeliruan terutama latihan atau fakta yang diberikan diberikan, anda boleh merujuk kepada guru bahasa Melayu anda di sekolah. Cara belajar begini lebih menyeronokkan kerana setiap guru mempunyai gaya penyampaian yang berbeza dan ada kalanya penulisan guru di dalam blog lebih mudah difahami terutama pelbagai slot perbincangan diutarakan sama ada fokus perbincangan tatabahasa, karangan umum, karangan berpandu,pemahaman teks, ringkasan teks, rumusan, dan info-info terkini tentang bahasa.  Anda juga boleh memilih slot perbincangan untuk pelajar PMR, SPM dan juga untuk kegunaan pelajar kelas bukan peperiksaan. Kesimpulannya, gunakan masa anda untuk meningkatkan penguasaan bahasa kerana proses pembelajaran seharusnya berlaku sepanjang masa.

BERCUTI PANJANG TETAPI MEMBOSANNKAN SEMOGA ADA PENGAKHIRANNYA

Hari demi hari berlalu dan kini sudah masuk sebulan lebih saya di rumah, kadang kala terasa beban saya ditanggung oleh rakan-rakan guru di sekolah terutama Cikgu Sirajuddin, Cikgu Ariffin dan Cikgu Rahayu kerana mereka sekarang mengambil alih kelas peperiksaan iaitu Ting. 3K, 3S dan 5S yang sepatutnya berada di bawah pengurusan saya sebagai seorang guru mata pelajaran Bahasa Melayu. Buat mereka, terima kasih banyak-banyak kerana sudi memberi pengisian ilmu kepada anak didik berkenaan. InsyaAllah, apabila sihat semula dan boleh berjalan seperti biasa, saya akan mengambil alih semula kelas berkenaan. Saya berdoa semoga pelajar yang sedia ada akan memperoleh ilmu kebahasaan daripada ketiga-tiga rakan guru di atas.
       Saya juga tidak pasti untuk kelas seterusnya, kerana sepatutnya saya perlu mengajar sebuah kelas lagi, rasanya ting. 4. Apa pun, diharapkan kelas berkenaan juga diuruskan guru bahasa Melayu dengan baik. Buat masa ini, saya masih bercuti dan setiap minggu saya ke Hospital Pantai Puteri untuk rawatan fisoterapi dan pada 14/2/2012 saya akan berjumpa Dr. Pakar untuk mengetahui perkembangan diri saya. Pagi Sabtu lalu,saya ada bertanya kepada pakar fisioterapi untuk mengetahui jangka masa saya boleh berjalan semula dan beliau mengagak kemungkinan saya boleh berjalan dalam masa sebulan lagi. Jawapan fisioterapi tersebut agak mengecewakan saya kerana saya berharap saya boleh berjalan semula dalam jangka masa terdekat dan tidaklah selama yang dijangkakannya. Saya berdoa semasa pertemuan dengan Dr. Pakar pada hari Selasa depan keputusan sebenar akan diputuskan kerana cuti saya akan tamat pada tarikh berkenaan. Buat masa sekarang pergerakan saya terbatas apabila terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan. Semoga saya boleh berjalan seperti biasa selepas ini. 
         Kini saya rindu akan alam persekolahan untuk mengajar seperti biasa.  Perasaan rindu akan pelajar, rakan-rakan guru dan persekitaran sekolah kerap melanda. Saya juga risau kerana saya mengajar kelas peperiksaan dan kini sudah sebulan lebih mereka belajar tanpa saya dan buat masa kini saya mengharapkan guru ganti berkenaan mengganti tugasan saya. Sesungguhnya jasa mereka sukar saya lupakan, cuma ucapan terima kasih atas pengorbanan mereka selama ini. Kepada para pelajar yang disayangi, doakan saya supaya boleh bertugas seperti biasa semula. Memang saya rindu kepada anak didik saya. Semoga kita dapat berjumpa semula. InsyaAllah.
          Kepada pelajar yang menziarahi saya, terima kasih saya ucapkan. Pada hari ini saya telah dikunjungi oleh Rashid dan sahabat-sahabatnya, setelah menghadiri majlis perkahwinan rakan sekelas mereka Fatin. Selamat pengantin baru kepada Fatin, semoga bahagia ke anak cucu.

Khamis, 2 Februari 2012

PENGUMUMAN SPM 2011

Secara tidak rasmi keputusan SPM 2011 akan diumumkan pada 22 Mac 2012 bersamaan hari Selasa. Semoga pelajar SPM 2011 terus berdoa dan saya berharap para pelajar SMKASAS akan mendapat keputusan cemerlang. InsyaAllah.