SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Rabu, 19 Oktober 2011

SEBAGAI SEORANG GURU AKU TERPAKSA MELEPASKAN KEMARAHAN SUPAYA PELAJAR BERDISIPLIN

Pada setiap tahun api kemarahan perlu dilempias kepada pelajar dan nawaitunya untuk mendisiplinkan mereka dan mengukir penyataan tersirat tentang hampirnya peperiksaan. Mungkin ada bekas-bekas pelajar SMKASAS telah menerima impak kemarahan saya, dan tidak terkecuali kena penangan saya jika P@P saya tidak diberi perhatian. Tujuannya untuk memastikan mereka betul-betul faham setiap kemahiran dan format soalan agar mereka dapat menjawab soalan di dalam dewan peperiksaan. Saya tidak kisah jika pelajar membenci saya kerana menerima penangan saya, hatta jika seorang bapa pun akan melakukan perkara yang sama jika terpaksa. Namun, selalunya saya akan "counter" balik tindakan yang saya ambil dan rasionalnya saya berbuat demikian.
          Hari ini, kejadian yang sama berlaku di Pusat Sumber Sekolah, semasa program sentuhan akhir SPM. Semasa kejadian, kelas 5K, 5S, 5H, dan 5B terlibat. Pada peringkat awal, saya berseloroh dengan pelajar perempuan kerana pelajar lain lambat masuk ke PSS, dan saya berkata beginilah konsep P@P moden, guru terpaksa menunggu pelajar, namun perasaan seorang guru mulai menguasai diri saya dan saya terpaksa mengulangi perkara yang sama setiap tahun tetapi tahun ini saya cuma beredar dari pusat sumber dan memberi arahan kepada pelajar supaya "meminang " saya di bilik guru jika program ingin diteruskan. Dalam masa 15 minit, seorang pelajar muncul di bilik guru dan mengajak saya ke PSS untuk program berkenaan. Saya pun bergerak dan sesampainya di PSS, saya mengarahkan pelajar seramai 77 orang supaya berada di ruang tayangan untuk memberi penerangan prosedur dan aktiviti yang perlu dilakukan pada hari itu. Api kemarahan mulai menggelodak apabila hanya segelintir pelajar lelaki yang berkumpul di belakang pelajar perempuan. Memang jika suasana pembelajaran tidak sesuai pelajar tidak memberi tumpuan arahan saya, ada yang bersembang di kerusi membaca di sudut sebelah pejabat pengurusan PSS, ada yang membaca akhbar dan pelajar perempuan dah mulai gelisah kerana mungkin dah nampak muka saya kemerahan.......memang sesiapa yang pernah melihat saya marah akan tahu betapa nada suara saya bergema di dalam PSS. melempiaskan kemarahan dan untuk mengelakkan daripada sesuatu berlaku saya terus ke luar dan meminta Cikgu Arifin yang kebetulan baru sampai di PSS mengambil alih program. Cikgu Sirajuddin pula terkebil-kebil di dalam pejabat pengurusan PSS dan mukanya kemerahan terkejut mendengar jeritan saya. Saya maklum, cikgu Sirajuddin memang takut apabila saya marah. Saya memang ingat nasihat salah seorang guru besar semasa saya mengajar di sekolah rendah dulu, antara nasihatnnya, jika cikgu marah ke luar cepat dari kelas kerana takut pelajar akan mendapat kesannya. Memang saya risau, jika ada kalangan pelajar yang bertindak bercakap, dan menunjukkan pergerakan yang tidak saya suka, pelajar tersebut memang saya tampar. Alhamdulillah tahun ini saya dapat mengelakkan sebarang penangan kena kepada pelajar berbanding tahun-tahun sebelumnya. Jika ada pelajar yang terkena penangan saya pada masa lalu, itulah hakikat seorang guru untuk mendidik semuanya perlu saya lakukan kerana dulu saya semasa belajar tidak ada guru yang prihatin dengan pelajarnya, akibatnya saya cuma mendapat gred yang rendah dalam mata pelajaran bahasa Melayu dan terpaksa mengambil kertas peperiksaan Julai  untuk memperbaik gred saya. Jika tidak saya tidak akan menjadi seorang guru sekarang. Pada kesempatan ini, saya memohon kepada pelajar-pelajar yang pernah kena penangan saya memaafkan tindakan saya dan saya lakukan semua atas kesedaran untuk mendidik.
            Impaknya, beberapa orang pelajar Ting. 5B berjumpa saya memohon maaf atas kejadian yang menyebabkan saya begitu marah di hadapan seramai 77 orang pelajar dan mereka kesal kerana kejadian berkenaan. Saya maklum, baru beberapa hari lalu saya memuji kelas 5B tahun ini kerana bersih daripada tindakan yang saya lakukan berbanding pelajar Ting. 5B tahun lepas kerana 7 orang pelajar kelas tersebut menerima penangan saya. Alhamdulullah, keputusan BM mereka cemerlang.Saya cuba menjelaskan bahawa ting. 5B tahun ini masih saya hormati kerana kemarahan saya di PSS tersebut melibatkan kelas lain yang masih tidak tahu cara saya mengajar. Apapun, tahniah kepada mereka kerana latihan yang saya arah dihantar pada hari Jumaat lepas telah ada di atas meja selepas kejadian saya telefon cikgu Ariffin untuk mengarahkan Rabiatul mengumpul semua kerja berkenaan. Saya teruja apabila  beberapa orang pelajar yang datang berjumpa saya dengan air muka ketakutan kerana lambat menghantar kerjanya dan saya menyatakan kepada mereka jangan takut itulah erti seorang guru mendidik, membuat tindakan berbentuk hukuman jika berlaku kesalahan. Saya berkata, hari semalam jangan dikenang kerana saya lebih mengutamakan hari-hari yang mendatang kerana itu lebih utama. Memang pada hari ini saya cuba mengelak dari bertembung dengan pelajar ting. 5 tetapi terjumpa juga dan kebanyakan pelajar ting. 5B memohon maaf daripada saya. Dalam pada masa yang sama sebenarnya saya ada menyediakan bahan powerpoint untuk mereka dan bahan berkenaan saya bina sehingga pukul 4.00 pagi bertajuk "Masteri Penulisan Karangan Kertas 1". Keadaan tersebut yang menyebabkan saya marah kerana sifat saya jika dah marah saya akan membebel dan masa akan habis begitu saja. Saya juga teruja kerana menurut cikgu Sirajuddin kelas senyap saja pada hari itu. Alhamdulillah aku seorang guru. 
             Pada masa yang sama saya terus ke bilik PAI untuk menumpu perhatian kepada 20 orang pelajar lagi yang digolongkan dalam kumpulan pelajar elit ting 5 kerana mereka diberi keutamaan sebagai pelajar yang diharapkan mendapat keputusan semua A dalam semua mata pelajaran SPM 2011. Namun, kelas elit tidak memberi kepuasan mengajar kerana mereka dah pandai dan kebanyakan pelajar saya di tingkatan 3 dulu. Salah seorangnya pernah saya tampar dulu  semasa di kelas elt 3K, inilah erti kemarahan seorang guru untuk mendidik anak muridnya dan pada masa yang sama saya tegur pelajar berkenaan dan dia ketawa kepada saya. "Betul cikgu", mungkin katanya dalam hati secara monolog.

Isnin, 17 Oktober 2011

SEKALI BERTEMU DENGAN PUAN PENGETUA PANJANG BICARA

Alhamdulillah buat pertama kali saya bertemu dengan Puan Pengetua panjang bicaranya. Sebagai seorang pendidik bicara berfokus adalah keutamaan saya. Falsafah ini saya guna pakai sepanjang saya menjadi pendidik di SMKASAS, dan saya masih ingat nostalgia lama bicara dengan Tuan Pengetua dahulu, bermula dengan Allahyarham Ustaz Suhot Sayuti, Ustaz Musa, dan paling akhir Ustaz Arip dan terkini dengan Puan Pengetua, Ustazah Naemah. Perbicaraan saya telus, kerana saya tidak suka berselindung semasa berbicara. Jika saya tidak suka saya nyatakan ketidaksukaan saya, jika saya suka, saya nyatakan kesukaan saya.
          Sebagai seorang pendidik yang profesional, pada hari ini saya berbicara dengan Puan Pengetua selama satu jam. Alhamdulillah, perbicaraan saya memang berfokus tentang kerjaya dan permasalahan saya. Saya lebih suka berbicara secara telus kerana berbicara dengan Puan Pengetua keputusannya akan lebih tepat berbanding berbicara dengan orang lain yang tidak tentu keputusannya. Saya tidak mahu perbicaraan saya dimanipulasi dengan pelbagai andaian oleh orang lain, impaknya keputusan tidak dapat dibuat dan kemungkinan besar saya pula dipandang serong oleh orang lain. Saya berkata kepada Puan Pengetua konsep saya bekerja berfokus kepada " memberi dan menerima " dan bukan pula saya hendak sesuatu kelebihan atau keistimewaan tetapi saya hendak kepuasan bekerja kerana apabila kita puas bekerja hati kita akan tenang. Saya dapat memberi input kepada kemenjadian Insan Kamil di SMKASAS.
           Saya juga tidak suka menunjuk-nunjuk kerana konsep saya bekerja, pekerjaan saya dinilai  oleh Maha Kuasa yang meminjamkan saya kudrat, pemikiran, dan cara saya bekerja. Saya kata kepada Puan Pengetua, rumah saya adalah pejabat saya untuk saya memikir tindakan dan pelaksanaan saya dalam P@P dan saya apabila bekerja menekankan soal tanggungjawab kerana saya lebih memikirkan soal ketentuan Tuhan yang baik dibalas pahala dan jahat dibalas dengan dosa kerana profesion guru ialah "periuk nasi" saya Itu adalah perjanjian kita dengan Tuhan. Saya bersyukur kerana itulah cara saya lakukan jika saya ada masalah dan setelah empat generasi SMKASAS ditadbir pentadbir SMKASAS cara begini lebih berkesan dan apabila kita berbicara yang benar kita akan dapat kebenarannya. Alhamdulillah, saya mendapat nikmat dan hakikat bertugas sebagai seorang guru.
             Terima kasih Puan Pengetua kerana memahami diri saya seadanya. Kita bersama-sama meningkatkan kualiti SMKASAS sebagai sebuah Institusi Pendidikan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Akhirnya, saya menyatakan konsep diri saya tidak suka bercakap tanpa keperluan kerana saya bangga menjadi pendidik di SMKASAS untuk melahirkan lebih ramai insan kamil. Doakan saya sentiasa bekerja dan berusaha untuk melahirkan kecemerlangan insan yang dapat memberi sesuatu kepada agama dan bangsa. Banggalah anda menjadi seorang pendidik kerana seorang insan yang digelar pendidik mempunyai pelbagai keistimewaan. Pendidik ialah seorang pelawak untuk mengembirakan pelajarnya, pendidik seorang ibu dan bapa untuk menjaga kebajikan anak didiknya, pendidik seorang doktor untuk merawat pelajar yang memerlukan rawatannya, pendidik seorang jurutera untuk membina insan kamil sempurna, pendidik seorang peguam untuk membela dan menghukum pelajarnya, pendidik seorang tukang sapu untuk mengujudkan keceriaan pelajarnya, pendidik seorang penjual kerana menjual ilmunya, banyak lagi kerja pendidik. Justeru, jika pendidik dipanggil kerahmatullah gelaran pendidik kekal bermain dimulut anak muridnya kerana pendidik tetap mendidik dan generasi insan kamil akan sentiasa ingat kepada pendidiknya.

PULANGNYA BAPA SEORANG PELAJAR KERAHMATULLAH

Pada petang Ahad, kira-kira pukul 4.30 petang saya dihubungi oleh seorang pelajar, Intan Musfirah pelajar Ting. 4S tetapi saya sendiri tidak perasan deringan telefon bimbit saya, tetapi apabila saya lihat ada panggilan tertunda saya pun menghubungi nombor berkenaan. Apabila saya angkat, saya terdengar suara pelajar berkenaan dan kemudian  ibunya bercakap dengan saya melalui telefon menyampaikan berita kepulangan seorang bapa dan suaminya  kerahmatullah. Justeru, ibu berkenaan memohon agar anaknya berada di rumah kerana masih kesedihan atas pemergiaan bapanya yang meninggal dunia petang semalam kerana menghidap kanser. Beliau meminta pandangan saya atas kesedihan anaknya dan meminta pendapat saya kerana anaknya akan pulang semula ke sekolah pada petang Selasa. Beliau risau kerana peperiksaan akhir tahun akan bermula esok.
          Sebagai insan seagama, seorang guru yang mengajar anaknya mata pelajaran BM, saya lebih dahulu meminta beliau bersabar kerana itu adalah ketentuan Tuhan Maha Kuasa, saya mengucapkan takziah atas kejadian yang menimpa keluarganya, dan lebih dahulu tugas beliau yang utama sebagai seorang ibu menenangkan perasaan  anaknya  dan mengenai peperiksaan akhir tahun  anaknya  saya memaklumkan boleh  ditunda kemudian. Saya memberitahunya bahawa saya akan menguruskan peperiksaan tertunda anaknya dengan guru kelas, guru mata pelajaran dan setiausaha peperiksaan. Saya juga faham, ibunya sebagai seorang guru sebenar maklum dengan situasi berkenaan. Apapun bacaan Al Fatihah saya sedekahkan kepada Allahyarham, semoga Allah menghimpunkan rohnya dalam kalangan orang mukmin. Jika sesiapa membaca blog ini sedekahkan Al Fatihah kepada roh ayahanda pelajar berkenaan.

Ahad, 16 Oktober 2011

PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN UNTUK PELAJAR TING. 1, 2, 4, DAN 6 RENDAH 2011

Esok 17/11/2011 pelajar tingkatan 1, 2, 4 dan  6 rendah akan menghadapi Peperiksaan Akhir Tahun 2011. Saya berdoa agar anda akan mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran. InsyaAllah. Berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan.

Jumaat, 14 Oktober 2011

SELAMAT BERCUTI SEMPENA HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN KOKURIKULUM SMKASAS 2011

Tahniah saya ucapkan Majlis Pengerusi-Pengerusi Kokurukulum SMKASAS, Penyelaras Unit Kokurikulum, Jawatankuasa Pelaksana, Kru Muktemidia Kokurikulum dan sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung dan tidak langsung menjayakan program Hari Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum SMKASAS 2011. Tahniah juga kepada setiap unit kokurikulum kerana dalam masa terhad anda memang kreatif dalam menjayakan pameran unit-unit masing-masing. Buat pertama kali setiap unit diberi peluang untuk mendedahkan aktiviti, peralatan dan demontrasi setiap aktiviti melibatkan setiap unit Kelab dan Persatuan, Unit Beruniform dan Unit Kelab Sukan dan Permainan. Tahniah juga kepada kru multimedia yang diketuai oleh saudara Ikhwan Rusli dan Mohammad Faiz kerana persembahan multimedia di Dewan Besar menggamatkan setiap pelajar yang menyaksikannya. Walaupun masa tayangan tersebut singkat iaitu selama 7 minit memang banyak memberi impak kepada penonton mengenai aktiviti Kokurikulum di SMKASAS pada tahun 2011.
          Sempena Hari Anugerah berkenaan PK Pentadbiran telah mengisytiharkan cuti peristiwa esok pada pukul 4.30 petang setelah selesai program berkenaan. Walaupun begitu, saya terpaksa ke PPD pada pukul 3.00 petang untuk menghadiri Mesyuarat Pelaksanaan Program Galus Perak Tengah. Namun, saya amat gembira kerana memang para pelajar SMKASAS kreatif dan mempunyai bakat kepimpinan yang diharapkan. Tahniah, dan Selamat Bercuti kepada guru-guru dan para pelajar. Perasmi Hari Anugerah berkenaan ialah Dato' Hj. Zaim b. Abu Hasan Adun Belanja.

Khamis, 13 Oktober 2011

HASIL PEMANTAUAN PERSEDIAAN PAMERAN SEMPENA HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN KOKURIKULUM 2011

Sesampai saya di sekolah pada pukul 9.20 malam, ada segelintir pelajar sedang menyiapkan premis mereka dan mulanya timbul tanda tanya ke mana pelajar yang lain kerana hanya ahli Persatuan Bahasa Melayu yang berada di premis mereka dan begitu juga ahli kelab Sepak Takraw yang sedang mengalas meja untuk pameran. Apabila saya tanya ahli kelab dan unit beruniform yang lain mereka berkata, kebanyakan mereka berada di dalam makmal bahasa. Saya terus memantau aktiviti unit berkenaan. Apabila saya sampai di makmal bahasa seperti tidak ada tanda pelajar di dalam kerana tidak ada satu kasut pelajarpun di luar. Setelah saya buka pintu makmal bahasa, saya rasa teruja kerana setiap unit berada di tempat duduk komputer berkenaan kerana masing-masing cuba menyiapkan maklumat dengan melayari internet.
         Saya dapati, ada antara mereka sedang mencetak bahan, dan saya bertanya adakah dikenakan bayaran untuk setiap helai bahan berkenaan, dapatan saya sehelai bahan bercetak RM0.30 dan jika hitam putin RM0.10. Tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada pelajar, kerana sanggup menggunakan wang sendiri untuk tujuan pameran di premis mereka. Kedatangan saya pada malam ini selain memantau adalah untuk membantu Kelab Bola Baling saya kerana Mohammad Faiz bercadang untuk mencetak bahan untuk premis mereka. Dalam masa yang sama Kelab Bola Sepak juga meminta simpati daripada saya untuk mencetak bahan mereka. Atas dasar ingin memberi motivasi kepada mereka saya pun memberi ruang mencetak bahan mereka, cuma terdapat sedikit masalah kerana "pendirive" mereka mengandungi banyak virus. Memang, saya takut "virus" berkenaan akan merosakkan sistem komputer saya kerana terdapat banyak bahan p@p dalam simpanan  tetapi atas dasar tidak mahu mengecilkan hati dan memberi motivasi, saya cuba scan "pendrive" berkenaan dan kesannya sebayak 70 jenis virus dikesan dalam dua "pendrive" tersebut.
            Dengan tawakal dan nawaitu membantu mereka, saya pun terus mencetak bahan berkenaan kebanyakan berbentuk gambar dan ada juga maklumat. Cuma saya menyelami hati pelajar dan mengandaikan saya berada di tempat mereka betapa besar hati saya jika seorang guru membantu saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Hidzir, Cikgu Sirajuddin dan Ustazah Hanan kerana berada bersama pelajar kerana ketika inilah guru-guru berfungsi membantu pelajar kerana pelajar memang memerlukan bantuan untuk aktiviti sebelum dan semasa Hari Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum esok. Memang saya keletihan, kerana petang tadi pukul 4.30 baru balik ke rumah dan semalam menyelaraskan mesyuarat perancangan dan persiapan untuk pameran dan kelas petang dan balik pukul 5.00 petang. Hanya Allah yang tahu tanggungjawab seorang guru, dan balik ke rumah mengadap laptop untuk perancangan pengajaran esok pula dan begitulah setiap malam. Saya pernah bertekak dengan dua orang  ibu bapa apabila mereka mempertikaikan kerja guru SMKASAS lima tahun yang lalu sehinggakan saya menghempas meja dan keluar dari kelas serta meminta Ustazah Rodziah ketika itu sebagai guru kedua untuk melayan kerenah ibu bapa kerana di SMKASAS sebenarnya bukan tempat untuk bersenang lenang. Hanya mereka yang bertugas di bumi SMKASAS akan mengetahui situasi berkenaan.Ibu bapa berkenaan mempertikaikan keputusan anaknya dalam peperiksaan kerana mendapat gred "B" dalam peperiksaan, setelah saya nyatakan keputusan tersebut boleh diperbaiki dan setiap guru mengambil berat setiap pelajar yang berada di SMKASAS. Namun, bapa pelajar berkenaan terus menyalahkan guru dan pentadbir menyebabkan anaknya mendapat gred "B" dalam mata pelajaran tertentu. Selain itu, bapa pelajar tersebut juga menyalahkan PIBG, saya terpaksa mempertahankan guru dan pentadbir serta PIBG kerana saya ketika itu setiusaha PIBG. Saya terus menyatakan bahawa kerja seorang guru di SMKASAS berat dalam pada itu saya dan guru-guru di SMKASAS akan berusaha untuk memastikan anak-anak pelajar mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Ibu bapa berkenaan tetap menyatakan bahawa kerja guru-guru mudah dan disampuk oleh seorang ibu bapa dengan membandingkan kerja di sekolahnya kerana beliau seorang guru. Oleh sebab saya tidak dapat menahan marah dan sebelum keluar daripada kelas semasa perjumpaan ibu bapa pelajar dengan guru, saya menyuruhnya berjumpa dengan pengetua jika dia masih tidak berpuas hati. Apabila saya terkenang peristiwa tersebut, saya ketawa kerana bekerja sebagai seorang guru, kita mesti tabah melawan arus serta onak dan duri. Jika benar, kita perlu mempertahankan kebenaran. Pada masa yang sama ketika itu saya sibuk dengan aktiviti bahas ala parlimen dan pada tahun tersebut peserta bahas menjadi johan peringkat negeri.
           Namun saya beryukur kerana dalam kesibukan berkenaan, tiga artikel dapat saya tulis pada hari ini. Tujuan saya menulis di blog ini sekadar untuk memaparkan suasana di SMKASAS dan sepatutnya para pelajar bertuah kerana berada di bumi SMKASAS. Pada pandangan saya, jika para pelajar dapat menggunakan kesempatan yang ada, di sinilah para pelajar dapat menempa ilmu kepimpinan dan menjadi seorang pelajar kreatif dalam mengendalikan sebarang program sekolah selain daripada menimba ilmu akademik. Agak malang jika pelajar SMKASAS menjadi "katak bawah tempurung" tanpa mempedulikan sebarang aktiviti yang sentiasa berjalan di sini. InsyaAllah, apabila keluar daripada SMKASAS, ilmu yang anda tempa di sini amat berguna ketika anda berada di IPT dan di tempat kerja nanti. Buktinya ramai pelajar yang berjaya di luar sana telah menggunakan masa dan kreativiti mereka selama berada di bumi pendidikan bertuah ini. Segala onak duri yang dialami di sini akan berbuah menghasilkan buah yang enak apabila anda keluar dari institusi pendidikan ini.

Rabu, 12 Oktober 2011

PERSEDIAAN UNIT KOKURIKULUM SEBELUM HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN KOKURIKULUM

InsyaAllah selepas saya menulis artikel ini saya akan ke sekolah untuk memantau persiapan Unit Kokurikulum yang ditugaskan untuk membuat pameran pada pagi sebelum hari anugerah. Setiap cawangan unit yang terbagai kepada Unit Beruniform, Kelab dan Persatuan, dan Kelab Sukan Permainan telah diberi tugasan untuk mempamerkan unit masing-masing. Begitulah amanat yang telah diberikan keada setiap unit. Contohnya Unit Kelab Sukan dan Permainan telah diamanahkan untuk membuat tayangan mengenai pencapaian aktiviti Sukan dan Permainan sepanjang tahun 2011 dan memberikan tips-tips ringkas cara untuk menggunakan alatan sukan dan cara untuk bermain permainan berkenaan. Tugasan berkenaan telah dipikul oleh saudara Ikhwan Rusli dan saudara Mohamad Faiz. InsyaAllah tayangan multimedia tersebut akan diadakan di Dewan Kluster. Selain itu, pengerusi unit permainan pula akan mempamerkan alatan yang terbabit dengan kelab mereka serta membuat demontrasi. Antara demontrasi yang akan dijalankan pada sebelah pagi ialah acara sepak raga ratus, congkak, memanah.
         Begitu juga unit beruniform akan menunjukkan kawad kaki setiap unit melibatkan PKBM Laut, KRS, Puteri Islam dismping setiap unit berkenaan akan mempamerkan pakaian dan aksesori pakaian unit berkenaan. Sementara, Kelab dan Persatuan akan mempamerkan maklumat dan aktiviti yang melibatkan aktiviti kelab dan bahan yang berkaitan contohnya Persatuan Bahasa Melayu akan mempamerkan buku skrap, buku-buku dan majalah berkaitan bahasa, dan sebagainya. Diharapkan setiap unit memberikan persembahan mengikut kreativiti masing-masing, begitulah antara amanat yang diberikan kepada setiap unit semasa taklimat penyelaras dan majlis pengerusi-pengerusi Kokurikulm semalam. Untuk memastikan persiapan berjalan lancar, pada malam ini saya akan ke sekolah untuk membuat pemantauan. Semoga setiap unit akan memainkan peranan mereka. Langkah ini diambil untuk mendidik setiap pengerusi, jawatankuasa kelab dan ahli persatuan dan unit beruniform berdikari disamping menonjolkan kreativiti masing-masing sebagai seorang pelajar sekolah kluster.

AMANAT PUAN PENGETUA UNTUK PELAJAR TING.1,2,4, DAN 6 RENDAH 2011

PK Pentadbiran telah menyampaikan amanat Puan Pengetua kepada pelajar Ting. 1, 2, 4,dan 6 Rendah berkaitan dengan Peperiksaan Akhir Tahun yang dijadualkan pada 17/10/2011. Puan Pengetua memberi peringatan bahawa setiap pelajar yang akan menghadapi peperiksaan akhir tahun perlu mengelakkan diri daripada mendapat gred E dan gagal dalam peperiksaan berkenaan. Sekiranya pelajar mendapat gred berkenaan mereka perlu menghadapi peperiksaan ulangan.
                     Justeru, sebagai langkah tambahan pelajar Ting. 1,2,4 dan 6 Rendah tidak dibenarkan balik ke rumah untuk memastikan mereka membuat persiapan menghadapi peperiksaan pada cuti hujung minggu. Saya memang bersetuju dengan tindakan berkenaan kerana antara faktor utama menyebabkan keputusan peperiksaan selaras yang disediakan oleh sekolah mahupun JPN rendah kerana pelajar mengambil mudah peperiksaan berkenaan. Tambahan pula, keputusan peperiksaan berkenaan akan diambil kira sebagai tov untuk bandingan dengan peperiksaan dan ujian pada tahun hadapan. Tambahan lagi, keputusan tersebut akan diambil sebagai bidang keberhasilan yang ditetapkan di bawah NKRA yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan. Secara mudahnya, melalui bidang keberhasilan ini pihak kerajaan menawarkan new deal atau satu Bai’ah baru  kepada semua pengetuan dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing. Justeru, pendidik terutama guru SMKASAS dan pelajar perlu mengambil peluang untuk meningkatkan prestasi keputusan setiap peperiksaan kerana penilaian akan dibuat daripada semasa ke semasa oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menilai peningkatan prestasi pelajar dalam peperiksaan.Bukan wang yang kita perlu dahulukan tetapi standard kualiti sekolah, jika boleh membuktikan standard kualiti cemerlang setelah dianugerahkan sebagai sekolah Kluster Akademik kita perlu mencapai sekolah berprestasi tinggi sama taraf dengan sekolah berasrama penuh yang lain.
                  Saya berkata begitu kerana SMKASAS tidak ada bezanya dengan sekolah berasrama penuh lain  kerana pelajar yang diterima masuk ke sekolah ini merupakan pelajar yang mencapai keputusan terbaik sama ada peringkat UPSR untuk kemasukan ting. 1 mahupun PMR untuk kemasukan ting. 4. Cuma guru dan pelajar perlu faham apakah maksud bidang keberhasilan dan new ideal atau baiah yang dimaksudkan. Semoga usaha pihak pentadbiran, guru-guru dan pelajar akan menyerlahkan kehebatan SMKASAS sebanar. Semoga SMKASAS akan berdiri antara sekolah berprestasi tinggi di Malaysia. InsyaAllah.

Isnin, 10 Oktober 2011

HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN KOKURIKULUM 2011

Sedar atau tidak sesi Persekolahan 2011 semakin sampai ke penghujungnya. Disamping itu, satu lagi acara gilang gemilang selain hari anugerah kurikulum atau hari anugerah kecemerlangan akademik ialah Hari Anugerah Kecemerlangan Kokrikulum kerana pada hari tersebut akan diumumkan Tokoh Pelajar Lelaki, Tokoh Pelajar Perempuan, Tokoh Guru Lelaki dan Perempuan Cemerlang Kokurikulum, Persatuan, Kelab Sukan dan Permainan, serta  Unit Beruniform paling aktif pada tahun 2011 akan disytiharkan pada hari berkenaan. Mereka atau Unit Kokurikulum yang dinobatkan paling aktif dalam aktiviti kokurukulum akan menerima sijil penghargaan dan kepada pelajar dan guru yang terpilih sebagai individu paling aktif akan menerima plak, sijil penghargaan dan tokoh pelajar mungkin akan menerima sepasang baju sukan.
                 Alhamdulillah, pada pagi tadi kira-kira pukul 10.45 pagi, jawatankuasa pemilih melibatkan saya sebagai penyelaras Kelab Sukan dan Permainan, Cikgu  Ahmad Sirajuddin sebagai penyelaras Unit Beruniform dan Cikgu Rahayu sebagai penyelaras Kelab dan Persatuan bersama Cikgu Syed Noh sebagai jawatankuasa induk membentangkan hasil pemantauan Papan Kenyataan, Fail, dan keaktifan setiap unit yang dipertanggungjawapkan untuk memilih unit-unit kokurukulum paling aktif dan juga tokoh pelajar dan guru melibatkan kategori lelaki dan perempuan untuk menerima hadiah yang disediakan untuk Hari Anugerah Hari Kecemerlangan tersebut. Semua nama berkenaan "RAHSIA" untuk mendebarkan para hadirin termasuk tetamu kehormat yang hadir pada hari tersebut. Disamping itu, tadi juga dibincangkan acara-acara yang akan diadakan pada hari tersebut. Untuk memantapkan acara, esok akan diadakan mesyuarat antara Majlis Pemimpin pelajar serta kru penting hari anugerah Kokurikulum 2011 untuk memastikan persediaannya kerana Hari Anugerah Kokurikulum tersebut akan diadakan pada 13 Oktober 2011 bersamaan hari Khamis, tiga hari daripada sekarang. Banyak kerja yang perlu dijalankan disamping  latihan penuh untuk acara tersebut akan dijalankan pada pagi hari Khamis .
                     Didoakan acara tersebut akan berjalan dengan mantap disamping mengekalkan antara acara yang paling "grand" dalam diari SMKASAS.

TERIMA KASIH KEPADA TETAMU YANG MENJENGUK BLOG INI

Adakalanya, saya teruja apabila melihat "geovisite" widget yang boleh mengesan kehadiran tetamu blog ini kerana mereka bukan sahaja dari Malaysia tetapi Moscow, Tapei, Jepun, Mesir USA, dan banyak lagi. Saya pasti mereka "INSAN KAMIL YANG PERNAH BERADA DI BUMI SMKASAS". Terima kasih kerana mengunjungi blog ini dan saya bangga anda menjadi wakil SMKASAS di setiap penjuru dunia. Teruskan usaha anda menimba ilmu setinggi yang boleh dan kemudian bertebaranlah di bumi Allah ini menjalankan tugasan masing-masing. Ingat-ingatlah kami di sini dengan mendoakan kesihatan kami warga pendidik, kejayaan adik-adik dalam peperiksaan PMR, SPM dan STPM sebagaimana anta dan inti pernah berada di tempat yang sama seperti mereka. Sekali-sekala khabarlah berita jika sibukpun dengan ucapan salam semoga hubungan kita sentiasa terjalin.
Doakan agar saya dapat terus menulis di dalam blog ini.

PMR SEMAKIN HAMPIR PENGHUJUNGNYA DAN SPM SUDAH MENGGAMIT PELAJAR TING. 5 2011

Setelah bergelumang dengan pelajar Ting. 3, tugasan untuk Ting. 5 perlu diberi fokus utama supaya mereka mampu membuat persiapan menghadapi peperiksaan SPM. Namun, semangat pelajar Ting. 5 terutama pelajar Ting. 5B amat membanggakan saya kerana pada hari Jumaat lepas salah seorang pelajar mencadangkan saya hadir pada sebelah malamnya untuk mengajar dan saya mencadangkan kelas tersebut diganti pada hari lain untuk saya membuat persiapan yang mantap agar setiap pengisian untuk kelas tersebut dapat memberi impak maksima kepada pelajar.
           Namun, setelah saya memberi penjelasan dan alasan saya kepada pelajar berkenaan, dia bersetuju kerana saya akan cuba untuk menentukan tajuk yang akan dibincang serta bahan yang perlu digunakan. Antaranya saya akan cuba membuat bahan pengajaran dengan menggunakan  Powerpoint dan menggunakan laptop dan LCD kerana cara begini dapat memberi kesan yang mendalam kepada pelajar. Tambahan pula, saya telah menggunakan kaedah yang sama di dalam kelas dalam proses pengajaran dan pembelajaran penulisan karangan menggunakan teknik Jadual Pengembangan Idea untuk menunjukkan betapa perenggan pengenalan, isi dan penutup perlu ditulis dengan baik supaya karangan yang dibina berkesan. Begitu juga  pelajar didedahkan cara menyisipkan frasa menarik kerana jika saya bercakap sahaja pelajar tidak ,memberi penumpuan yang berfokus semasa perbincangan. Impaknya, semasa mengarang mereka tidak menulis karangan mereka secara kreatif dan sering mengabaikan kriteria karangan cemerlang yang diharapkan.
            Walaupun proses menyediakan bahan mengambil masa yang panjang kerana penyediaan bahan saya perlu  memikirkan kesesuaian bahan dengan tajuk yang hendak diajar,  menyusun bahan dari mudah ke senang dan menyelitkan selingan berupa gambar, catatan sama ada fakta atau video agar tumpuan pelajar dapat dimaksimakan tetapi kesan penggunaan sebegini  amat mujarab semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung di dalam kelas. Paling saya utamakan ialah proses P @ P berjaya. Tambahan pula, dari hari ke hari, dari minggu ke minggu, bulan ke bulan bahan P@P saya bertambah dan bahan tersebut  boleh saya aplikasi  semasa mengajar dan boleh dibuat penambaikan dari semasa ke semasa. Adakalanya, saya terpaksa menganggap malam itu siang untuk menyediakan bahan berkenaan kerana saya faham erti sebenar menjadi seorang guru. Barulah saya sedar sekarang kata-kata guru saya terdahulu, guru ibarat lilin membakar dirinya untuk orang lain.
               Pada malam ini, saya terpaksa meluangkan masa untuk menyediakan bahan untuk P @ P esok tetapi  apabila saya lihat jadual, esok saya akan mengajar kelas ting. 4S sahaja dan kelas ting. 3 tidak berjalan kerana mereka akan menghadapi peperiksaan PMR untuk hari yang keempat dan lusa terakhir. Kelas ting. 4 pula satu masa sahaja dan esok saya akan membincangkan latihan Kertas Contoh Peperiksaan Buku Latihan Twitter kertas 2 set 2. Baru saya teringat hari Rabu ini  puan pengetua meminta semua ketua panitia mata pelajar menghantar post mortem peperiksaan percubaan SPM 2011dengan analisa secara terperinci kekuatan dan kelemahan pelajar semasa menjawab soalan tersebut. Pada masa yang sama, di sudut meja, saya terpadang buku latihan karangan pelajar belum bersemak, ada dua kerja yang perlu saya buat, dan esok pula akan diadakan mesyuarat antara Ketua Penyelaras Kokurikulum dengan PK Kokurikulum untuk menentukan Kelab Sukan dan Permainan yang perlu dianugerahkan Sijil dan Hadiah semasa Hari Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum yang akan dijalankan pada minggu hadapan. Nasib baik saya sudah memantau Papan Kenyataan, Fail Kelab Sukan dan Permainan serta kejayaannya pada tahun 2011 pada minggu ini, bukan minggu lepas kerana jam menunjukkan pukul 1.00 malam kerana saya juga Ketua Penyelaras Kelab Sukan dan Permainan.
              Nak diceritakan satu persatu tugas, banyak, jangan cerita tugas lain di luar sekolah. Kesimpulannya, kepada pelajar yang telah berjaya mendapat gred cemerlang BM, terima kasih kerana itulah hadiah yang paling berharga untuk saya. Susah juga untuk melahirkan seorang insan kamil yang berjaya. Fikir-fikirkanlah. Namun, tugas guru paling murni dan ceritanya ada dalam sajak yang saya siarkan dalam blog ini.

Jumaat, 7 Oktober 2011

PEPERIKSAAN PMR 2011 SESI MINGGU PERTAMA BERAKHIR

Alhamdulillan peperiksaan PMR 2011 telah berakhir. Apabila saya tanya beberapa orang pelajar, kertas bahasa Melayu Kertas 1 aras soalannya agak tinggi, dan kertas bahasa Melayu 2 rata-rata pelajar menyatakan soalannya mudah kerana kebanyakan soalan telah dibincangkan dan ada soalan yang keluar semasa  peperiksaan percubaan Negeri Perak. Saya juga berasa gembira kerana dalam kekangan masa saya telah membuat penekanan terhadap kemahiran tatabahasa ketika Program Pecutan X-Plus PMR 2011 iaitu sehari sebelum peperiksaan PMR dan penjelasan saya menggunakan formula tatabahasa memang berkesan. Cuma pelajar yang tidak mengambil peluang untuk mendengar penerangan saya sewaktu program tersebut akan rugi, terutama pelajar yang berada di belakang Bilik Kluster. Namun saya segera membuat teguran kepada pelajar yang duduk di belakang agar serius mendengar penjelasan saya kerana masa yang tinggal cuma 1 jam 20 minit lebih kurang.
               Ketika ini saya cuma mampu berdoa mereka akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksan tersebut. Setelah saya baca dan analisis soalan kertas satu PMR 2011, memang saya setuju dengan kata-kata pelajar bahawa aras soalan kertas berkenaan memang tinggi tetapi pelajar yang menguasai kemahiran tatabahasa akan mendapat kelebihan menjawab soalan berkenaan. Semoga mereka berjaya mendapat kecemerlangan. Amin.
                   Peperiksaan PMR 2011 akan bersambung semula pada hari Isnin dengan mata pelajaran Matematik 1 dan 2, dan Kemahiran Hidup dan hari Selasa mata pelajaran Bahasa Arab. Justeru, dalam masa yang berbaki tiga hari ini pelajar akan menghadiri kem untuk mata pelajaran yang berlangsng pada minggu kedua. Semoga, program tiga hari yang dijalankan oleh guru  mata pelajaran terbabit akan memberi kesan maksima kepada pelajar. InsyaAllah.

Selasa, 4 Oktober 2011

NUKILAN SEORANG INSAN BERGELAR GURU

Seorang pujangga pernah menukil cheritera,
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta...
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Kata orang,
Dialah kandil kemerlap pada malam gelita
Diala purnama berkaca dalam cerah cahaya
Dialah dian yang membakar diri
Dialah memberi tanpa meminta balasnya budi
Dialah menghulur tanpa diketahui tangan kirinya
Dialah anak jati yang bersemangat tinggi

Dia, guru itu
Saban hari, kerjanya mengajar tulis, baca, kira
Di situ, anak-anak mengenal erti huruf dan suku kata
Di situ, anak-anak mengerti makna kata dan gunanya
Di situ, anak-anak memahami erti, ilmu itu apa?
Wajah hatinya sebersih wajah nabi.
Hari ini kuajar mengenal huruf agar esok nanti mengenal kata,
Hari ini kau kenal makna esok nanti kau tahu bual bicara,
Hari ini seorang guru mencatat cerita hidupnya dalam diari kecil sahaja
esok nanti catatanya menjadi riwayat seorang Perdana Menteri.


Dialah, guru itu
Dialah yang melukis dengan berus cinta dan kanvas putihnya
Dialah yang mencorak garis, kotak, bulat, bujur dan segala bentuknya
Dialah yang menghias bunga, daun, ranting dan segala bentuk pohonnya

Dialah, guru itu
Hari ini masih mengajar di situ dan saban pagi muridnya memanggilnya, guru
Dialah nanti orang panggil guru meski jalannya bertongkat kayu
Dialah nanti orang panggil guru meski nanti hanya tinggal nisannya yang kaku.



 INGAT, 
WALAUPUN HUJAN RIBUT, TAUFAN MELANDA SABAN WAKTU,
AKU MASIH SEORANG GURU,
BERKELANA KERANA INGAT YANG SATU,
BERKORBAN DIRI SEBAGAI SEORANG GURU,
UNTUK SESIAPA INSAN DAHAGAKAN ILMU.

SAMPAI BILA PERJALANAN HIDUPUKU?
SELAGI MANA INSAN KAMIL MEMERLUKU....
HADIAHKANLAH AKU KECEMERLANGANMU.
SUPAYA HIDUPKU......CERIA....SELALU,
AKU BERGELAR SEORANG GURU... 

DOAKALAH KESIHATANKU,
MENONGKAH ARUS SEMAKIN BERLIKU.

Isnin, 3 Oktober 2011

PROGRAM BERSAMA PUAN PENGETUA, PK. PENTADBIRAN, GURU-GURU MATA PELAJARAN DAN PELAJAR SPM 2011

Pada hari ini, Puan Pengetua dan PK Pentadbiran Mengarahkan Pelajar Ting. 5 yang akan mengambil peperiksaan SPM 2011,  Guru-Guru Mata Pelajaran SPM untuk berada di Dewan Kluster SMKASAS secara "ad hoc" kerana ada sesuatu yang ingin dibincangkan secara telus.  Program bersama dengan Puan Pengetua ini diadakan untuk meluahkan perasaan Pentadbir, Guru-guru mata pelajaran di hadapan pelajar Ting. 5. Saya secara ikhlas memuji tindakan drastik Puan Pengetua kerana mengumpulkan semua pendidik dan pelajar untuk meluahkan rasa hati masing-masing supaya rasa tidak  puas hati yang terbuku dalam kalangan pendidik diluahkan terus di hadapan pelajar.
                 Pokok perbincangan dari hati ke hati pada pertemuan ini merujuk kepada keputusan Peperiksaan Percubaan SPM 2011 yang mengecewakan bukan sahaja guru-guru malah pentadbiran. Intipati pertemuan ini bukan terus menyalahkan para pelajar tetapi sekurang-kurangnya para pelajar akan dapat memahami bahawa pentadbir dan guru mata pelajaran memang mengambil berat setiap perkembangan akademik pelajar terutama prestasi mereka. Hal ini kerana rumusan keputusan Peperiksaan Percubaan SPM 2011 yang telah berakhir seminggu yang lepas menunjukkan tidak seorangpun pelajar mendapat keputusan semua "A" dan ini jika dibiarkan boleh memberi impak kepada keputusan SPM sebenar.  Hanya seorang pelajar sahaja yang mendapat 10 A, dan kertas Matematik Tambahannya pula sekadar mendapat gred "D".Justeru, antara yang perlu dilakukan oleh setiap pelajar adalah mengubah sikap mereka terutama untuk membuat persediaan dalam masa 40 hari sebelum peperiksaan SPM bermula. Guru-guru telah membuat satu ketetapan untuk terus membantu pelajar dan situasi ini perlu disahut oleh setiap pelajar.
                   Walaupun situasi ini mencalar prestasi peperiksaan Percubaan SPM buat pertama kalinya di SMKASAS tetapi saya yakin, kesedaran dan pertemuan bersemuka guru-guru dan pelajar pada pagi tadi memberi impak yang besar kepada pelajar Ting. 5. Tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada Puan Pengetua dan Penolong Kanan Pentadbiran kerana pertemuan ini memberi kesan yang besar kepada pelajar yang selama ini mungkin berasa perkembangan akademik mereka tidak diperhatikan secara serius oleh pihak pentadbiran dan guru mata pelajaran. Justeru, sikap belajar di saat-saat akhir perlu dibanteras daripada terus menular dalam kalangan pelajar dan saya mengharapkan kepada pendidik SMKASAS anggaplah ini sebagai satu cabaran dan kepada pelajar pula anggaplah suasana pagi dianalogikan sebagai situasi penjaga atau ibu bapa menasihati anak-anaknya. Ingat tidak ada guru atau ibu bapa yang ingin melihat kegagalan pelajarnya.
                         Kesimpulannya, disamping usaha pendidik SMKASAS mengubah senario yang berlaku, perlu ada suatu kesedaran dalam kalangan pelajar iaitu tidak ada sesiapa yang boleh mengubah nasib dirinya melainkan orang itu sendiri yang mengubah nasibnya. Saya mendoakan tindakan Puan Pengetua, PK Pentadbiran dan guru-guru mampu membantu peajar untuk mengubah segala-galanya pokoknya kesedaran disamping kerjasama erat antara warga SMKASAS. Tidak ada sifat malu untuk kita berkongsi masalah kerana dengan masalah itu akan menjurus kepada kejayaan. Pelajar SMKASAS boleh dan ingat, adik-adik PMR telah menunjukkan peningkatan kualilti akademik terbaik dalam Peperiksaan Percubaan PMR 2011 dan esok mereka akan menghadapi peperiksaan sebenar dan diharapkan anda menunjukkan presatasi sebenar semasa peperiksaan SPM, insyaAllah. Pelajar ting. 5 boleh, saya pasti dan yakin anda memang boleh. Jika ada teguran yang dibuat oleh pentadbir dan guru-guru, anggaplah itu adalah teguran yang membina kejayaan. Kepada rakan-rakan pendidik teruskan usaha kalian. Untuk prestasi mata pelajaran BM memuaskan cuma,  8  orang pelajar tidak mencapai sasaran "A"   dan kami kalangan guru BM akan berusaha untuk membatu mereka InsyaAllah.  Kami akan lakukan yang terbaik untuk anda.

SELAMAT MENGHADAPI PMR 2011 KEPADA SEMUA PELAJAR TING. 3 SMKASAS

Saya mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan PMR 2011 kepada semua pelajar ting. 3 SMKASAS. Nasihat saya kepada pelajar supaya membaca soalan dengan berhati-hati dan jawaplah soalan dengan sempurna. Sebelum peperiksaan guru-guru boleh membantu anda tetapi semasa peperiksaan andalah yang mampu membantu diri anda, guru-guru, pentadbir dan warga SMKASAS hanya mampu mendoakan kejayaan anda. 
         Mata pelajaran pertama esok ialah bahasa Melayu kertas 1 dan 2, diharapkan segala yang dibincangkan pada pukul 11.30 hingga 1.00 petang tadi dalam Program Pecutan X-Plus jadikan sebagai bekalan untuk membantu menjawab soalan. Walaupun program sepatutnya bermula pada pukul 10.00 pagi tetapi disebabkan kekakangan kerana program bersama Puan Pengetua, Guru Mata Pelajaran Ting. 5 di dan pelajar SPM di Dewan Kluster serta pemantauan Ketua Pengawas dan Pengawas PMR yang akan mengelola peperiksaan esok, Program Pecutan hanya dapat bermula pada pukul 11.30 pagi, namun saya cuba untuk menyampaikan tips terakhir untuk persediaan pelajar menghadapi PMR berdasarkan baki masa yang ada. Namun, saya puas hati kerana dapat menyampaikan input yang perlu disampaikan kepada pelajar walaupun kesempitan masa.
           InsyaAllah pada malam ini saya akan ke sekolah untuk bersama anak-anak pelajar ting. 3 untuk membantu jika ada sebarang masalah yang timbul dan saya akan cuba untuk membantu setakat yang saya mampu sekiranya ada sebarang soalan atau masalah yang masih bermain di minda pelajar. Saya pasti dan yakin pelajar ting.3 mampu utuk menjawab soalan bahasa Melayu PMR dengan baik dan memncapai kecemerlangan dalam kertas Bahasa Melayu. Teruskan usaha anda dengan iringan doa dan restu ilmu daripada saya dan guru mata pelajaran lain , semoga anda semua berjaya dengan cemerlang. Saya juga mendoakan anda semua cemerlang untuk kertas peperiksaan yang lain. Amin.