SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Penanda Aras Karangan Bahasa Melayu SMKASAS ( SPM)


PENANDA ARAS KARANGAN CEMERLANG JENIS FAKTA/KEPERIHALAN

Ibu
Bergenang air mataku
Terbayang wajahmu redup sayu,
Kudusnya kasih yang engkau hamparkan,
Bagaikan laut yang tak bertepian,
Biarpun kepahitan telah engkau rasakan,
Tidakpun kau berasa jemu,
        Mengasuh,
        Mendidik demi semua anakmu,
        Dari  kecil hingga dewasa,
Sedutan Lagu Nasyid Kumpulan Aiman

Lagu kumpulan nasyid Aiman di atas begitu beerti buat saya. Berdasarkan lagu kumpulan nasyid Aeman tersebut, saya pasti setiap insan yang bergelar anak pasti  akan berasa sebak  apabila meneliti setiap bait lagu yang dinyanyikan. Begitulah  besar pengorbanan seorang ibu. Ibu merupakan insan mulia yang sukar ditukar ganti dan beliau sanggup berkorban apa sahaja dan terkorban untuk mendidik dan memelihara anak-anaknya dari kecil hingga dewasa. Peribahasa ‘Syurga di bawah tapak kaki ibu”, menambahkan lagi bukti betapa besarnya peranan seorang ibu dalam keluarga dan seorang bapa tidak diberi penilaian sebegitu besar berbanding seorang ibu.. Jelaslah bahawa pengorbanan seorang ibu amat besar bagi seorang anak.

            Seorang ibu sanggup berkorban dan terkorban demi melihat seorang insan bergelar anak lahir ke dunia fana ini. Setelah mengendong kita setiap masa dalam kandungannya selama sembilan bulan, berhadapan pula dengan pelbagai alahan, namun seorang ibu sentiasa tabah dan pasrah menunggu kelahiran seorang insan yang bergelar ‘cahaya mata ‘ bagi ibu dan bapa. Lazimnya, apabila tiba saat-saat kelahiran kita,  persis kata peribahasa Melayu nyawa seorang ibu ibarat nyawa di hujung tanduk. Rasa kesakitan dan perit pedihnya semasa melahirkan kita dilalui ibu dengan tabah. Namun, setelah kelahiran insan bergelar anak di sisinya,  rasa sakit seorang ibu akan hilang, tambahan pula apabila melihat bayi comel yang  dikendong selama sembilan bulan menangis bagaikan meminta siibu segera membelai dan membendungnya. Jelaslah, saat-saat mencemaskan seorang ibu semasa melahirkan kita merupakan pengorbanan awal seorang ibu kepada kita. Nazam Kasih Ayah dan Ibu oleh Roslan Madun di bawah dapat mengambar suasana keadaan siibu sebelum dan setelah kita dilahirkan.

Nazam Kasih Ayah dan Ibu



Ibu mengandung sembilan bulan
Lebih dan kurang tak ditentukan
Lahirkan dikau berapa kesakitan
Berpantang pula minum dan makan

Cukuplah masa sampai ketika
Lahirlah engkau ke dalam dunia
Barulah suka ibu dan bapa
Kepada engkau sangat kasihnya


            Pengorbanan ibu seterusnya adalah sentiasa melayan rengetan seorang anak yang sentiasa kelaparan. Siibu selalunya akan meninggalkan sebarang kerja harian dan rutin sepatutnya dilakukan oleh mereka memasak, menyelenggara rumah tangga khusus untuk membelai dan menyusukan kita tidak kira masa, sama ada waktu pagi, petang, mahupun malam. Tambahan pula bebanan ibu yang berkejaya tidak dinafikan, setelah penat lelah di pejabat belum selesai, apabila tiba di rumah mereka terpaksa melayan kita. Bagi seorang ibu, segala rengetan dan ragam kita ibarat hiburan dan mereka tidak kenal erti bosan dan sentiasa tabah melayan kerenah kita Tambahan pula, seorang ibu akan sentiasa makan dan minum  makanan yang berkhasiat cuma untuk memastikan setiap titis susu yang  diberikan kepada kita sentiasa memberi nutrien yang membolehkan kita melawan sebarang penyakit agar kita sentiasa membesar dengan pertumbuhan badan dan tulang yang sihat. Tegasnya, ketabahan dan usaha ibu melayan dan membelai kita semasa kita kecil sukar dibalas dengan wang ringgit. Bait-bait lagu Roslan Madun di bawah menjelaskan lagi pengorbanan seorang ibu.

Berapalah dian dengannya tanglung
Diangkat dituam lalu dibedung
Sudahlah jaga lalu didukung
Kasih dan sayang tidak tertanggung

Tidaklah tentu siang dan malam
Bangun memangku di dalam kelam
Terkejut jaga di tengah malam
Tidurpun tidak lekat di tilam

            Setelah kita membesar, ibu pula akan melayan ragam kerenah dan kehendak kita yang menjadi-jadi. Adalanya dalam melayan kehendak kita, seorang ibu sanggup bergolok bergadai untuk memenuhi permintaan kita. Tambahan pula, kadang kala  permintaan kita tidak sepadan dengan  keadaan dan keupayaan ekonomi ibu kita, namun atas dasar kasih dan sayang terhadap kita, beliau sanggup memenuhi permintaan kita tersebut. Oleh sebab itu, sebagai seorang anak, kita perlu berfikir dan berusaha untuk tidak membebankan ibu dan bapa. Justeru, pastikan permintaan kita tidak menyebabkan mereka rungsing dan bersedih kerana seorang ibu tidak akan memperlihatkan riak muka kesedihan mereka kepada kita anak tersayang. Perlu diingat sakit pening ibu kita impaknya kepada kita juga, sudah pasti gangguan kesihatan siibu menyebabkan makan minum kita tidak akan terjaga. Paling utama, kita perlu memastikan kesihatan ibu kita sentiasa dalam keadaan baik dan jangan kerana keletah kita ibu kita menanggung bahananya. Situasi ragam kita sewaktu kecil dapat digambarkan dalam nazam Rosli Madun seperti bait-baitnya di bawah.

Rela ibumu menanggung hutang
Kain dan baju tidak dipandang
Basah di ampai kering di pinggang
Didukung galas tidak berenggang

            Setelah kita dewasa ibu akan menjaga kita bagai menatang minyak yang penuh. Bukan sahaja menjaga makan dan minum, ibu juga sentiasa memastikan di dada kita penuh dengan ilmu sama ada ilmu dunia mahupun akhirat. Ibu dan bapa akan berusaha mencari tempat yang sesuai dan terbaik untuk kita menimba ilmu. Contohnya, kita dihantar ke sekolah berasrama untuk meneruskan pengajian kerana di tempat sedemikian kita boleh belajar dengan lebih baik kerana prasarana di situ lengkap untuk pembelajaran yang kondusif, disamping guru-guru yang mengajar di tempat tersebut kebanyakannya guru yang berkaliber dan terpilih. Justeru, mereka tidak sayang melabur wang dan ringgit untuk menyediakan kemudahan anak-anak mereka belajar , membayar yuran dan makan minum yang sudah pastinya tinggi kosnya. Kesimpulannya, ibu sentiasa memberi ilmu pengetahuan yang secukup demi masa depan anakya yang cerah tambahan pula mereka faham hanya ilmu yang lengkap membolehkan anak mereka  menghadapi cabaran hidup zaman era globalisasi ini.

            Peranan ibu tidak akan ada perhentiannya kerana setelah kita dewasa mereka masih memantau perjalanan hidup kita. Namum, ada anak-anak yang tidak memahami tindakan seorang ibu tersebut dan sanggup menghaburkan kata-kata kesat kerana beranggapan tidakan ibu mereka tersebut dianggap mejaga tepi kain mereka. Alangkah hampa dan sedihnya perasaan seorang ibu lantaran tanggapan anak yang sedemikian rupa. Jika dirujuk dari sudut agama, memaling muka terhadap seorang ibu dianggap berdosa apatah lagi menghaburkan kata-kata kesat kepada mereka. Ibu mana yang ingin melihat kehidupan anaknya hancur. Justeru, sebagai seorang anak kita perlu sentiasa bersyukur kerana mempunyai seorang ibu yang terus menerus memberi perhatian terhadap diri kita. Perlu diingat, suatu masa nanti kita juga akan tua seperti mereka. Justeru, hormatilah ibu kita. Bak kata pepatah, seorang ibu boleh menjaga sepuluh orang anak, tetapi seorang anak mungkin tidak dapat menjaga seorang ibu.

            Kesimpulannya, jasa seorang ibu sukar untuk dibalas. Sementelahan ibu kita masih hidup, jagalah mereka kerana itulah caranya kita membalas jasa mereka. Pastikan makan minum ibu kita terjaga dan kesihatan mereka sentiasa baik. Sebagai seorang anak yang soleh kita perlu bersabar dengan gelagat mereka ketika mereka berumur. Bukan hasrat mereka untuk mengambil tahu perjalanan hidup kerana suka-suka atau untuk menekan kehidupan kita tetapi  tindakan tersebut dilakukan atas dasar sayang mereka terhadap kita. Kita perlu ingat ada pepatah mengatakan seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi seorang anak tidak mungkin dapat menjaga seorang ibu. Justeru, hormatilah, sayangi dan turuti nasihat seorang ibu sebagaimana mereka mengasihani diri kita.