SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Komen Guru Tentang Jawapan Ujian Selaras 1 PMR SMKASAS 2010

salammualaikum kepada semua pelajar tingkatan 3 SMKASAS yang disayangi. Dalam halaman ini saya akan membuat beberapa komen dengan membandingkan jawapan pelajar berdasarkan beberapa skrip jawapan Ujian Selaras 1 yang telah saya semak. Justeru, diharapkan komen-komen tersebut akan dapat memandu  pelajar menghasilkan ringkasan, pemahaman teks dan juga karangan berpandu yang cemerlang dalam peperiksaan pertengahan tahun, percubaan dan PMR 2010. InsyaAllah.

Sila lihat soalan Ujian Selaras 1 2010.


Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tuliskan sebuah ringkasan tentang faktor-faktor berlakunya jenayah penyeludupan manusia di Malaysia. Panjang ringkasan  anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud petikan.

       Jenayah penyeludupan dan perdagangan manusia di peringkat antarabangsa semakin  berleluasa. Kegiatan tersebut menjadi masalah yang serius kepada kebanyakan negara, termasuklah Malaysia. Kegiatan yang tidak bermoral itu dapat menjejaskan imej, prestasi dan nama baik negara kita.

       Keadaan politik, ekonomi dan konflik kaum yang beriaku di negara tertentu mendorong kebanyakan rakyatnya berhijrah ke negara lain. Kemakmuran Malaysia menarik minat kaum pendatang dari seluruh dunia untuk datang ke negara ini. Kebanyakannya sanggup masuk ke Malaysia melalui saluran yang tidak sah. Keadaan ini merancakkan kegiatan penyeludupan dan pedagangan manusia. Kedudukan di tengah-tengah negara Asean turut menjadikan Malaysia antara lokasi paling strategik sebagai destinasi atau transit bagi kegiatan penyeludupan manusia. Pesisiran pantai Malaysia yang panjang menyukarkan tugas pihak berkuasa untuk mengekang kegiatan ini.  Oleh sebab itu, penjenayah yang terbabit mudah meloloskan diri, Malah, dalang kegiatan ini pun amat sukar dikesan.

       Kurangnya kerjasama antara kerajaan Malaysia dengan negara-negara jiran seperti  Singapura, Indonesia dan Thailand menyebabkan jenayah penyeludupan manusia terus menular. Kegagalan memanfaatkan kekuatan teknologi sepenuhnya memungkinkan Malaysia terus menjadi sasaran penjenayah. Malah, sikap segelintir pegawai penguat kuasa di negara ini yang sanggup bersekongkol dengan sindiket yang berkenaan semakin memburukkan keadaan.

       Semua pihak perlu menggembleng tenaga untuk membasmi kegiatan jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini. Penularan jenayah ini sangat membimbangkan kerana turut melibatkan rangkaian pengedaran dadah global serta kegiatan pemalsuan pasport, dokumen, kad kredit dan sebagainya.
Soalan Pemahaman:
1.   Beri maksud menggembleng tenaga dalam petikan.    ( 2 markah)
2.   Nyatakan dua akibat daripada kesukaran pihak berkuasa mengekang kegiatan  penyeludupan dan
      perdagangan manusia?               ( 4 markah )
3.   Pada pendapat anda, bagaimanakah kita dapat membasmi kegiatan penyeludupan dan perdagangan
      manusia di Malaysia?

      Komen umum:-
      1.   Ringkasan di atas mudah kerana isinya mudah di kesan berdasarkan kata kunci faktor-faktor.
            ( Isi merujuk ayat yang diwarnakan)
      2.   Bahasa atau istilah yang digunakan mudah dan senang untuk diubah istilahnya.
      3.   Agak malang sekiranya pelajar gagal mengesan isi yang terdapat di dalam teks.

 Contoh jawapan ringkasan terbaik ( US1 2010) diubah suai daripada ringkasan Azizul Hasyim Hj. Ayub 3K.

     Antara faktor berlakunya jenayah penyeludupan  manusia di Malaysia adalah kerana  pengaruh keharmonian masyarakat Malaysia dan situasi politik, ekonomi yang tidak stabil dan konflik kaum di negara asal pendatang. Selain itu, kedudukan di tengah-tengah negara Asean  menjadikan Malaysia lokasi paling strategik sebagai tempat  kegiatan jenayah ini. Tambahan pula, kerajaan Malaysia kurang menjalinkan kerjasama membanteras kegiatan jenayah tersebut dengan negara jiran  disamping kesukaran pihak berkuasa mengekang kegiatan tersebut kerana persisiran pantai Malaysia yang panjang. Situasi ini bertambah rumit apabila ada sesetengah pegawai penguat kuasa berkomplot dengan sindiket  berkenaan.
                                                                                                                  84 patah perkataan.
Markah  =      Isi            10                                                                                         
                      Bahasa     10
                      Jumlah      20     
 Ringkasan di atas cemerlang kerana pelajar mengubah beberapa istilah, mempelbagai ayat 
( ayat majmuk dan tunggal) , dan menggunakan penanda wacana.  Tiada sebarang kesalahan bahasa dikesan sementara isi cukup.

Ringkasan Kurang Baik
    Terdapat pelbagai faktor-faktor ( Kesalahan Jamak ) berlakunya jenayah penyeludupan manusia di Malaysia. Antaranya kebanyakan pandatang asing sanggup masuk ke Malaysia melalui saluran tidak sah.  Selain itu, kedudukan Malaysia di tengah-tengah negara Asean   lokasi  paling strategik sebagai destinasi  bagi kegiatan penyeludupan. Tambahan pula, persisiran pantai yang panjang menyukar tugas pihak berkuasa untuk mengekang kegiatan ini. Malah, sikap segelintir pegawai penguat kuasa di negara ini yang sanggup bersekongkol dengan sindiket ini................... ( Ayat tergantung)
                                                                                                              67 patah perkataan

Markah      Isi        :   8
                 Bahasa :    7
                  Jumlah : 15     

Kesalahan yang di kesan:-
1.   Kesalahan kata jamak tidak perlu diikuti dengan kata  ganda.
2.   Isi tidak lengkap , Malah, sikap segelintir pegawai penguat kuasa di negara ini yang sanggup
      bersekongkol dengan sindiket ini..... sepatutnya disambung ... menyumbang peningkatan masalah jenayah
      ini.
3.  Isi tidak cukup sedangkan patah perkataan 67 sahaja.
4.  Tidak perlu pengenalan seperti  Terdapat pelbagai faktor berlakunya jenayah penyeludupan manusia di
     Malaysia. Sepatutnya terus saja kepada isi , contoh,  Antara faktor berlakunya jenayah penyeludupan di
     Malaysia kerana..................
5.  Pelajar diingatkan supaya tidak melakukan kesalahan sama ada ejaan, binaan frasa dan  ayat , tanda baca
     kerana setiap kesalahan yang dilakukan boleh menjejaskan markah bahasa.

Contoh kedua ringkasan kurang baik.
     Antara berlakunya jenayah penyeludupan manusia di Malaysia adalah (kerana) keadaan politik, ekonomi, dan konflik kaum yang berlaku di negara tertententu mendorong kebanyakan rakyatnya berpindah ke negara lain. Selain itu, kedudukan di tengah-tengah negara Asean menjadikan Malaysia lokasi yang strategik sebagai destinasi.......modus operandi penjenayah berkenaan ( Ayat tergantung )  Disamping itu, persisiran pantai Malaysia yang panjang dan kegagalan memantapkan kekuatan teknologi sepenuhnya menyukarkan tugas pihak berkuasa.....membenteras jenayah berkenaan ( Ayat tidak lengkap). Akhirnya, sikap segelintir pegawai penguat kuasa di negara ini yang bersekongkol dengan sindiket dan kurangnya kerjasama dengan negara jiran menyebabkan jenayah penyeludupan manusia terus menular.

Komen guru:-
1.  Isi karangan di atas cukup tetapi terdapat kesalahan binaan ayat.
2.  Ingat, sebarang kesalahan tatabahasa sama ada kesalahan ayat, frasa, ejaan, tanda baca dan apa sahaja
     kesalahan bahasa memberi impak kepada markah bahasa.
3. Amalkan membina ayat majmuk semasa menghasilkan ringkasan anda kerana binaan ayat sedemikian
    dapat mengurangkan jumlah patah perkataan.

Komen jawapan pemahaman teks.
1. Soalan satu, pelajar kerap tidak dapat menjawab maksud frasa yang disoal. Sepatutnya pelajar memfokus perkataan yang terdapat dalam frasa berkenaan jangan huraikan maksud frasa berkenaan. Contohnya perkataan yang difokus dalam frasa ialah menggembleng  tenaga oleh sebab itu jawapan anda perlulah ke arah memberi maksud perkataan berkenaan sahaja. menggembleng = mengumpul, menyatu, berkejasama, memadukan  dan  tenaga = usaha, kekuatan, kudrat. Justeru, jawapan sepatutnya ialah Frasa menggembleng tenaga bermaksud mengumpul kudrat/  menyatukan usaha/ mamadukan usaha.

2. Kebanyakan pelajar salah menjawab soalan ini kerana tidak memahami kehendak soalan dengan berhati-hati.. Soalan berbunyi, Nyatakan dua akibat daripada kesukaran pihak berkuasa mengekang kegiatan  penyeludupan dan  perdagangan manusia?  Jawapan soalan ini ada dalam petikan dan ayat yang disoal juga terdapat dalam petikan, maksud soalan memerlukan anda menjawab dengan kata kunci dua akibat/ impak/impikasi dan dua akibat tersebut ialah pejenayah yang terbabit dapat meloloskan diri dan dalang sindiket amat sukar dikesan. Jawapan pelajar sepatutnya, Dua akibat  daripada kesukaran pihak berkuasa mengekang kegiatan  penyeludupan dan  perdagangan manusia ialah pejenayah yang terbabit dapat meloloskan diri dan dalang sindiket amat sukar dikesan.

3. Sepatutnya, soalan ini mudah dan pelajar boleh menjawab soalan berkenaan asalkan jawapan menjurus kepada langkah-langkah membanteras aktiviti jenayah berkenaan. Soalan berbunyi, Pada pendapat anda, bagaimanakah kita dapat membasmi kegiatan penyeludupan dan perdagangan manusia di Malaysia. Jawapannya yang dicadangkan:-
1. menguatkuasa undang-undang agar penjenayah berkenaan dapat dihukum setimpal dengan kesalahan.
2. menambah bilangan pegawai penguat kuasa agar usaha memantau dan membanteras jenayah berkenaan dapat dilakukan dengan berkesan.
3. menggunakan peralatan berteknologi tinggi sedia ada sepenuhnya untuk mengesan penyejayah berkenaan.
4. mengenakan tindakan tegas kepada pegawai yang bersubahat dengan sindiket penyenayah berkenaan.