SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Selasa, 20 Disember 2011

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN PMR 2011

SEMOGA ANAK DIDIK SMKASAS AKAN MENDAPAT KEPUTUSAN CEMERLANG DALAM PEPRIKSAAN PMR 2011 YANG AKAN DIUMUMKAN SECARA RASMI OLEH KPM PADA 22/12/2011 BERSAMAAN HARI KHAMIS.

SKIM BARU SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM DAN MESYUARAT GURU AMBANG SESI PERSEKOLAHAN 2012

         Kakitangan Awam terutama guru sudah ada yang menandatangani borang  tawaran sama ada menerima atau menolak Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam ditawarkan kepada mereka. Kakitangan SMKASAS dan staf akan menandatangani Skim SBPA berkenaan pada 27/12/2011, bersamaan hari Selasa depan. Justeru, masih ada ruang untuk setiap kakitangan SMKASAS  mengambil peluang untuk memahami skim yang ditawarkan oleh pihak kerajaan sejelas-jelasnya sebelum menandatangani skim berkenaan. Namun, hakikatnya ialah nawaitu seseorang dalam melaksanakan tanggungjawapnya terhadap amanah yang diberikan. Sekiranya, seseorang kakitangan tersebut melakukan kerja mereka kerana tanggungjawab dan amanah secara hakiki,  sudah pasti tugas yang diamanahkan dilaksanakan secara terbaik. Oleh sebab itu, apa skim yang ditawarkan tiada bezanya kerana setiap kerja yang dilakukan tetap sama, yakni sentiasa bersifat rajin, tekun, cuba untuk memperbaiki kelamahan yang ada hanya untuk diri, pelajar, ibu bapa, pentadbir, bangsa, dan agama. Paling utama rezeki, kebahagian, kesempurnaan diri adalah anugerah Allah. Apabila sesuatu kerja dilaksananakan dengan sebaik mungkin, maka lahirlah kepuasan bekerja.
          Disamping itu, pada hari Selasa juga akan diadakan mesyuarat guru, dan pada pendapat saya pada hari berkenaan setiap kakitangan terutama pendidik akan dapat melihat hala tuju pentadbiran sekolah terutama pada hari berkenaan pentadbir baru Pn. Hasnah bt. Alang buat pertama kalinya bersama warga SMKASAS dalam membicarakan usaha mengangkat kecemerlangan SMKASAS. Memang tak sabar rasanya untuk menunggu tarikh mesyuarat guru berkenaan.Disamping itu, sudah pasti post mortem pertama keputusan PMR akan dilakukan secara umum untuk melihat sejauh mana prestasi pelajar tingkatan tiga tahun 2011 semasa mesyuarat berkenaan. Justeru, sama-sama kita berdoa agar anak didik SMKASAS akan mencapai keputusan yang cemerlang pada hari Khamis ini kerana secara rasmi KPM telah mengumumkan keputusan peperiksaan akan diumumkan pada hari berkenaan jam 9.00 pagi di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya. Calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas jam 10.00 pagi pada hari yang sama. Malangnya, pada hari berkenaan saya akan ke Politeknik Teluk Kemang, Negeri Sembilan dan UITM Pahang atas urusan anak-anak, namun saya telah meminta Cikgu Sirajuddin untuk mengendalikan post mortem keputusan peperiksaan berkenaan bagi pihak saya dan saya tidak sabar untuk mengetahui keputusan berkenaan semasa saya dalam perjalanan ke Negeri Sembilan. Saya berdoa perjalanan saya akan pergi dan balik dengan selamat. Amin.

Ahad, 18 Disember 2011

TAHUN 2011 SEMAKIN HAMPIR MENINGGALKAN KITA DAN TAHUN 2012 PULA SEMAKIN MENGHAMPIRI

      Sedar atau tidak kalender tahun 2011 semakin hampir ke penghujungnya dan sudah pasti setiap insan cuba menilai kejayaan tahun 2011 dan perancangan tahun 2012. Sudah pasti ada insan yang puas hati dengan kejayaan yang diperoleh sepanjang tahun 2011 dan munkin ada yang sebaliknya. Namun, kesimpulannya kita sendiri yang merancang segala urusan kehidupan dan penentuannya adalah kuasa Ar-Rabb. Justeru, jika kita berjaya mengendalikan kehdupan pada tahun 2011, teruskan usaha dan perancangan untuk tahun 2012.
      Sebagai seorang guru, kejayaan mereka adalah berdasarkan pencapaian pelajar, sebagai contoh untuk guru-guru yang mengajar mata pelajaran PMR kejayaan mereka diukur berdasarkan prestasi keputusan PMR nanti. Begitu juga dengan SPM. Sudah pasti guru-guru kini berdoa semoga keputusan pelajar untuk kedua-dua peperiksaan awam berkenaan cemerlang. Begitu juga saya, memang saya tidak sabar untuk mengetahui keputusan PMR yang masih belum ada kata putus atau secara rasmi untuk diumumkan dan sekarang bergantung kepada Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah Lembaga Peperiksaan. Ada khabar angin yang mengatakan keputusan PMR akan diumumkan pada 22 atau 23 Disember 2011.
      Saya mengharapkan pencapaian pelajar ting. tiga pada tahun ini lebih baik daripada tahun lepas dan saya amat mengharapkan pada tahun 2011, semua pelajar berjaya mendapat gred A dalam keputusan PMR kerana pada tahun-tahun lepas ada sahaja pelajar yang mendapat gred B dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Sebagai seorang guru, usaha untuk meningkatkan pencapaian mata pelajaran yang dipertanggungjawapkan  akan sentiasa berterusan pada setiap masa. Namun, sebagai seorang manusia, kejayaan yang hakiki lebih menyeluruh kerana kejayaan berkenaan bukan sahaja diukur dari segi kejayaan dari segi kerjaya sahaja tetapi melibatkan diri, keluarga, masyarakat, dan agama. Keseluruhannya sebagai manusia saya masih banyak kekurangan dan perlu lebih banyak penambahbaikan untuk mengecapi kejayaan yang lebih hakiki.
        Berbalik kepada kerjaya, pada tahun 2012, SMKASAS mungkin akan menempa pelbagai perubahan baru terutama dari segi suasana pentadbiran. Tak sabar rasanya untuk menghadiri mesyuarat pengurusan pada hujung tahun ini kerana melalui mesyuarat akhir tahun saya akan dapat melihat sejauh mana pentadbir terutama Ustazah Naemah bt. Ramli akan berganding bahu dengan Penolong Pentadbiran baru Pn. Hasnan bt. Alang menerajui SMKASAS tetapi saya yakin hala tuju mereka adalah untuk memartabatkan SMKASAS sebagai sebuah sekolah kluster yang terunggul di negeri Perak malah mungkin labih jauh lagi iaitu untuk meletakkan SMKASAS sebagai sebuah sekolah berprestasi tinggi. Sama-samalah kita mendoakan kejayaan SMKASAS. Saya juga berdoa semoga  pentadbir, warga pendidik, dan pelajar SMKASAS dapat membawa SMKASAS sebagai sebuah sekolah terbaik di negeri Perak. Amin.

Selasa, 13 Disember 2011

SELAMAT BERTUGAS PENOLONG KANAN PENTADBIRAN BARU SMKASAS

Selamat Datang Ke SMKASAS Pn. Hasnan bt. Alang. Beliau merupakan Penolong Kanan Pentadbiran SMK Sultan Abdul Jalil Shah, Seberang Perak menggantikan tempat Pn. Bainah bt. Ab. Dollah yang telah bertukar ke SMK CM Yusof, Tanjung Tualang, Perak sebagai Pengetua sekolah berkenaan. Semoga kehadiran Pn. Hasnah bt. Alang akan menyemarakkan semangat para pendidik SMKASAS untuk melonjakkan kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Azlan Shah ke Puncak Kecemerlangan.

Isnin, 5 Disember 2011

FORMULA TATABAHASA

KEPADA PELAJAR YANG DIHORMATI, ANDA BOLEH MERUJUK FORMULA TATABAHASA DAN JAWAPANNYA DI HALAMAN BLOG CIKGU MOHD RAMSUL, BLOGSPOT (HALAMAN BAHASA MELAYU). HALAMAN TERSEBUT TERDAPAT DI BAWAH BLOG INI. HARAP MAKLUM

Selasa, 29 November 2011

BLOG KHAS BAHASA MELAYU SPM SUDAH BEROPERASI

Alhamdulillah, blog kedua saya yang diwujudkan khas untuk memfokus perbincangan kertas bahasa Melayu SPM sudah mula beroperasi. Saya juga sudah berjaya mereka bentuk blog tersebut untuk lebih menarik dilayari. Doakan untuk saya mewujudkan blog yang ketiga membicarakan khas untuk kertas bahasa Melayu PMR. Doakan saya untuk menjayakan kehadiran blog ketiga tersebut. Kepada saudara Azam, terima kasih kerana menjadi orang pertama menjadi ahli dalam blog saya tersebut. Terima kasih.

Ahad, 27 November 2011

MAKLUMAN KEPADA PELAJAR BLOG SAYA BARU AKAN BEROPERASI DI ALAMAT CIKGUMOHDRAMSUL.BLOGSPOT

UNTUK MAKLUMAT PELAJAR SEMUA, INSYAALAH BLOG BARU INI AKAN MEMBICARAKAN BAHASA MELAYU KESELURUHAN DAN SAYA AKAN MEMASUKKAN SEGALA BERKAITAN DENGAN KEMAHIRAN BAHASA SAMA ADA TATABAHASA, KOMSAS DAN KARANGAN.  SAYA BERDOA BLOG INI AKAN DAPAT MEMBANTU PELAJAR DALAM MEMPERKASAKAN BAHASA MELAYU SAMA ADA PMR DAN SPM. PELAJAR BOLEH MENDAPATKAN ALAMAT BLOG INI DI DALAM BLOG SAYA INI DI BAHAGIAN BLOG YANG BOLEH DILAYARI. HANYA KLIK SAJA NAMA BLOG BARU TERSEBUT ANDA SUDAH BOLEH MELAYARI BLOG BARU BERKENAAN.

ANTARA PAPARAN ATAU MAKLUMAT PERTAMA YANG SAYA MASUKKAN ADALAH SKEMA CADANGAN JAWAPAN KERTAS BAHASA MELAYU KERTAS 2 SPM 2011.

MENENANGKAN FIKIRAN DALAM CUTI HUJUNG TAHUN

Alhamdulillah, semalam (26/11/2011) setelah mengahdiri Kenduri Berkhatan Cucu salah seorang penduduk Taman RPT Titi Gantong, saya berkesempatan membawa isteri dan anak-anak ke Teluk Batik. Setelah sampai di Teluk Batik saya meninggalkan isteri dan anak-anak di situ dan saya pula memancing di Marina Island. Malangnya tidak ada ikan mengusik mata pancing tetapi kepada kaki pancing setiap kali melontar batu pancing dan batu pancing jatuh ke permukaan laut sudah mengujakan hati saya. Perasaan tenang menguasai diri apabila melihat persekitaran Marina Island dan Pulau Pangkor di hadapan tempat memancing.
        Jam menunjukkan pukul 6.45 petang, isteri menelefon saya dan meminta saya mengambil mereka di Teluk Batik dan saya bergegas mengemaskan alatan memancing dan apabila isteri saya bertannya tetang umpan, saya ketawa di dalam hati kerana umpan baru saja terusik sedikit, saya telah membeli udang hidup sebanyak 20 ekor dan kedai menjual umpan tersebut memberi 2 ekor lebih dengan harga RM 6.00 dan umpun-umpun RM 4.00 memang saya membazir tetapi itulah lumrah kaki pancing kalau boleh nak memancing terus sepanjang hari, malangnya cuaca petang itu tidak berapa baik kerana hujan turun dengan lebatnya dan menghalang untuk saya meneruskan aktiviti memacing. Saya membawa anak dan isteri menjamu selera di salah sebuah restoran berdekatan dengan jalan masuk ke Kuaters TLDM saya tak ingat nama restoren tersebut. Saya memesan  lima air Milo ais, segelas air tembikai,  dan segelas Nescafe panas. Makanan pula saya oder nasi untuk tujuh orang, siakap masak masam manis, kailan goreng dengan ikan masin, tomyam campur,dan  telur dadar. Punyalah lambat hidangan sampai dan air minuman dah dekat nak habis, saya kata orang rumah saya sepatutnya perlu ada papan peringatan di restoren tersebut " Sabar Separuh Daripada Iman" tetapi memang odernya lambat sampai. Tak silap saya sejam setengan menunggu makanan sampai. Dalam pada itu, saya dan keluarga melihat salah seorang pelayan yang menghantar makanan ke meja pelanggan lain terjatuh dalam hujan yang agak lebat timbul rasa kasihan dan ada juga pelanggan yang merungut kerana kelambatan restoren tersebut menghidangkan makanan. Ada dua orang pelanggan otai yang datang terus balik kerana kata mereka restoren tersebut tidak melayan pelanggan dengan cekap dan pantas.
           Setelah makan, saya membayar harga makanan yang saya oder, jumlah semuanya RM 107.50. Agak terkedu juga saya dengan harga yang boleh tahan mahalnya tetapi saya puas hati kerana dapat membawa anak dan isteri makan di restoren tersebut. Dalam hati saya, inilah kali pertama dan terakhir saya akan ke restoren tersebut. Begitulah pengalaman untuk perjalanan hidup saya semalam, dan pada hari ini 27/11/2011 saya akan ke pusat Tuisyen Impian Sinar untuk mengajar seorang pelajar UTP dan masa untuk sesi tersebut bermula pukul 11.00 pagi dan akan berlanjutan selama tiga jam. InsyaAllah untuk mengajar bahasa saya boleh bertahan lebih tiga jam kerana pengalaman dan bahan yang saya ada banyak untuk persiapan tuisyen. Semoga Allah memberi kekuatan kepada saya untuk meneruskan saya untuk hari ini. Alhamdulillah.

Jumaat, 25 November 2011

SEPANJANG CUTI HUJUNG TAHUN 2011

Sepanjang cuti ini saya cuba mengisi masa dengan menceriakan bahagian dalam dan luar rumah seperti menebas sekeling rumah, mengemop lantai, membersih bilik air dan membentulkan pili air dapur yang rosak, dan mengganti lampu 'downlihgt' yang terbakar. Selain itu, mengambil dan menghantar anak kembar sama ada cuti semester atau  pulang ke UITM dan Politeknik Teluk Kemang Port Dikson, mengambil dan menghantar anak saya yang sedang menghadapi Peperiksaan SPM 2011 ke stesen bas Bota, mengambil anak perempuan saya di SMK Raja Perempuan yang menghabiskan sesi persekolahan ting. 1. Memang letih kerja-kerja melibatkan rumah dan anak-anak namun itu lumrah tugas seorang bapa.
           Sementara itu, saya bersyukur kerana semakan kertas 2 PMR Bahasa Melayu telah selesai dan seminggu lagi akan menanti kerja menyemak kertas 2 Bahasa Melayu SPM 2011. Tugas tersebut memerlukan penumpuan secara berfokus, namun alah bisa tegal biasa. InsyaAllah, pada hari Ahad ini pula, akan bermula tuisyen individu dengan seorang pelajar UTP. Beliau tidak pernah mengambil kertas BM SPM  sebelum ini kerana  beliau mengambil A level disalah sebuah sekolah antarabangsa di Doha, Qatar. Sudah tiga bulan saya mengajar beliau dan alhamdulilah beliau seorang pelajar yang mudah diajar dan pada bulan kedua, beliau telah ,mendapat markah 91% semasa ujian yang saya adakan. Kebanyakan soalan yang saya sediakan untuk beliau adalah soalan SPM tahun-tahun lepas. Memang saya takjub dengan perkembangannya dalam pembelajaran bahasa Melayu. Kemudian, kelas tuisyen dalam cuti untuk pelajar ting. 4 sebagai persediaan untuk menghadapi SPM 2011 akan bermula pada 4/12/2011. Semua kelas ini akan berjalan di Kelas Tuisyen Impian Sinar yang dikelolakan oleh Dr. Mohd. Noor bekas Guru Mat. Tambahan SMKASAS yang sekarang sudah berpencen awal dengan kebenaran Kementerian Pelajaran.
                Sebelum itu, sebelum cuti dahulu, saya menjadi fasilitator untuk Pelajar Cemerlang dan Halus ( Pelajar Harapan Lulus ) Peringkat Daerah Perak Tengah anjuran PPD dan Yayasan Perak. Saya memang berpuas hati dengan aktiviti sepanjang tahun 2011 belum lagi saya ceritakan aktiviti di sekolah. Alhamdulilah, Allah memberikan saya kekuatan untuk meneruskan aktiviti saya sebagai seorang guru Bahasa Melayu. Diharapkan setiap aktiviti yang saya jalani memberi saya ruang untuk meningkatkan kepakaran saya dalam kemahiran berbahasa  meliputi aspek penguasaan tatabahasa serta kreatif menggunakan bahasa terutama aspek penulisan. Alhamdulilah juga kerana saya dapat memenuhkan masa lapang sepanjang cuti ini dengan aktiviti yang berfaedah.

Rabu, 23 November 2011

SELAMAT MENJALANI PEPERIKSAAN SPM 2011 KEPADA PELAJAR SMKASAS

Saya mendoakan pelajar dapat menjawab soalan peperiksaan dengan berhati-hati dan jawap soalan berdasarkan fokus yang ditanya. Semoga SPM 2011 merupakan peperiksaan awam yang terbaik buat pelajar dan sekolah. Lupakan kenangan lalu kerana anda pelajar cemerlang. Saya percaya dengan kebolehan anda.

PK PENTADBIRAN SMKASAS AKAN KE SMK DATO' BENDAHARA CM YUSOF TG. TUALANG, PERAK

Setelah beberapa kali ditawarkan menjadi Pengetua, Pn. Bainah Ab dollah menolak, kali ini beliau terpaksa menerima tawaran menjadi Pengetua SMK Dato' Bendahara CM Yusof  Tanjung Tualang, Perak. Pada pendapat saya, SMKASAS kehilangan seorang pentadbir yang serba boleh, tahan lasak yang selama ini membantu sekolah ke arah kecemerlangan kerana beliulah seorang  pentadbir yang memainkan peranan besar membantu Tuan dan Puan Pengetua menaikkan nama SMKASAS sehingga menjadi Sekolah Kluster Pendidiikan.
        Namun, walaupun beliau akan ke sekolah baru tetapi hatinya masih terpaut di SMKASAS. Berdasarkan ucapan Pn. Bainah semasa Program Akhir Tahun SMKASAS yang diadakan pada 18/11/2011 di Dewan Makan Asrama, beliau dengan perasaan sebak berjanji akan tetap bersama SMKASAS dalam program sekolah terutama kelas tambahan Matematik Tambahan untuk pelajar. Pn. Naemah bt. Ramli, Pengetua SMKASAS berkata, tenaga Puan Bainah masih diperlukan di SMKASAS dan jalinan kerjasama bukan dengan beliau sahaja, SMKASAS akan cuba berhubung dan bekerjasama dengan sekolah baru Pn Bainah terutama dalam usaha meningkatkan prestasi kedua-dua sekolah. Tambahan pula Pn. Bainah berkata beliau akan tetap tinggal di Tronoh dan hubungan dengan SMKASAS dengan dirinya masih dekat. Apapun tahniah sekali lagi kepada Pn. Bainah atas kenaikan pangkat yang diterima. Teruskan usaha anda untuk meningkatkan Kualiti Sekolah Baru.
              Warga SMKASAS sentiasa memberi kerjasama penuh kepada Puan Pengetua untuk meneruskan kecemerlangan SMKASAS. Antara fakta yang saya teruja apabila Pn. Bainah memberi gambaran bahawa JPN Perak mengharapkan SMKASAS akan termasuk dalam golongan Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun 2013. InsyaAllah sama-sama kita menuju ke arah berkenaan, biarpun Pn. Bainah sudah tiada tetapi mereka yang masih berada di bumi SMKASAS akan meneruskan usaha murni berkenaan.

ALHAMDULILLAH SAYA MASIH MAMPU MENGENDALIKAN BLOG INI

Punca utama saya tidak boleh mengendalikan blog ini kerana saya keliru dengan password antara blog lama ini dengan blog yang saya baru wujudkan. Namun, apabila saya teringat password lama barulah saya dapat mengendalikan blog ini. Alhamdulillah setelah 2 bulan saya kehilangan panduan untuk menguruskan blog ini baru hari ini saya dapat menyelesaikan masalah saya. Selamat berblog semula. Antara peristiwa terbaru berlaku di sekolah ialah Program Antarabangsa SMKASAS apabila SMA Muhamadiyah 1 Yogjakarta, Indonesia telah memetarai Perjanjian Dengan SMKASAS untuk melengkapkan Program Sekolah Kluster pada 11/11/2011. Sekiranya sesiapa ingin mengetahui dengan lebih lanjut berita menarik ini sila buka face book Smka Sultan Azlan Shah. Di sana ada berita dan gambar perjanjian atau MOU antara dua sekolah ini. Jika dapat saya akan cuba usahakan untuk memasukkan berita dan gambar MOU tersebut ke dalam blog ini.

Rabu, 19 Oktober 2011

SEBAGAI SEORANG GURU AKU TERPAKSA MELEPASKAN KEMARAHAN SUPAYA PELAJAR BERDISIPLIN

Pada setiap tahun api kemarahan perlu dilempias kepada pelajar dan nawaitunya untuk mendisiplinkan mereka dan mengukir penyataan tersirat tentang hampirnya peperiksaan. Mungkin ada bekas-bekas pelajar SMKASAS telah menerima impak kemarahan saya, dan tidak terkecuali kena penangan saya jika P@P saya tidak diberi perhatian. Tujuannya untuk memastikan mereka betul-betul faham setiap kemahiran dan format soalan agar mereka dapat menjawab soalan di dalam dewan peperiksaan. Saya tidak kisah jika pelajar membenci saya kerana menerima penangan saya, hatta jika seorang bapa pun akan melakukan perkara yang sama jika terpaksa. Namun, selalunya saya akan "counter" balik tindakan yang saya ambil dan rasionalnya saya berbuat demikian.
          Hari ini, kejadian yang sama berlaku di Pusat Sumber Sekolah, semasa program sentuhan akhir SPM. Semasa kejadian, kelas 5K, 5S, 5H, dan 5B terlibat. Pada peringkat awal, saya berseloroh dengan pelajar perempuan kerana pelajar lain lambat masuk ke PSS, dan saya berkata beginilah konsep P@P moden, guru terpaksa menunggu pelajar, namun perasaan seorang guru mulai menguasai diri saya dan saya terpaksa mengulangi perkara yang sama setiap tahun tetapi tahun ini saya cuma beredar dari pusat sumber dan memberi arahan kepada pelajar supaya "meminang " saya di bilik guru jika program ingin diteruskan. Dalam masa 15 minit, seorang pelajar muncul di bilik guru dan mengajak saya ke PSS untuk program berkenaan. Saya pun bergerak dan sesampainya di PSS, saya mengarahkan pelajar seramai 77 orang supaya berada di ruang tayangan untuk memberi penerangan prosedur dan aktiviti yang perlu dilakukan pada hari itu. Api kemarahan mulai menggelodak apabila hanya segelintir pelajar lelaki yang berkumpul di belakang pelajar perempuan. Memang jika suasana pembelajaran tidak sesuai pelajar tidak memberi tumpuan arahan saya, ada yang bersembang di kerusi membaca di sudut sebelah pejabat pengurusan PSS, ada yang membaca akhbar dan pelajar perempuan dah mulai gelisah kerana mungkin dah nampak muka saya kemerahan.......memang sesiapa yang pernah melihat saya marah akan tahu betapa nada suara saya bergema di dalam PSS. melempiaskan kemarahan dan untuk mengelakkan daripada sesuatu berlaku saya terus ke luar dan meminta Cikgu Arifin yang kebetulan baru sampai di PSS mengambil alih program. Cikgu Sirajuddin pula terkebil-kebil di dalam pejabat pengurusan PSS dan mukanya kemerahan terkejut mendengar jeritan saya. Saya maklum, cikgu Sirajuddin memang takut apabila saya marah. Saya memang ingat nasihat salah seorang guru besar semasa saya mengajar di sekolah rendah dulu, antara nasihatnnya, jika cikgu marah ke luar cepat dari kelas kerana takut pelajar akan mendapat kesannya. Memang saya risau, jika ada kalangan pelajar yang bertindak bercakap, dan menunjukkan pergerakan yang tidak saya suka, pelajar tersebut memang saya tampar. Alhamdulillah tahun ini saya dapat mengelakkan sebarang penangan kena kepada pelajar berbanding tahun-tahun sebelumnya. Jika ada pelajar yang terkena penangan saya pada masa lalu, itulah hakikat seorang guru untuk mendidik semuanya perlu saya lakukan kerana dulu saya semasa belajar tidak ada guru yang prihatin dengan pelajarnya, akibatnya saya cuma mendapat gred yang rendah dalam mata pelajaran bahasa Melayu dan terpaksa mengambil kertas peperiksaan Julai  untuk memperbaik gred saya. Jika tidak saya tidak akan menjadi seorang guru sekarang. Pada kesempatan ini, saya memohon kepada pelajar-pelajar yang pernah kena penangan saya memaafkan tindakan saya dan saya lakukan semua atas kesedaran untuk mendidik.
            Impaknya, beberapa orang pelajar Ting. 5B berjumpa saya memohon maaf atas kejadian yang menyebabkan saya begitu marah di hadapan seramai 77 orang pelajar dan mereka kesal kerana kejadian berkenaan. Saya maklum, baru beberapa hari lalu saya memuji kelas 5B tahun ini kerana bersih daripada tindakan yang saya lakukan berbanding pelajar Ting. 5B tahun lepas kerana 7 orang pelajar kelas tersebut menerima penangan saya. Alhamdulullah, keputusan BM mereka cemerlang.Saya cuba menjelaskan bahawa ting. 5B tahun ini masih saya hormati kerana kemarahan saya di PSS tersebut melibatkan kelas lain yang masih tidak tahu cara saya mengajar. Apapun, tahniah kepada mereka kerana latihan yang saya arah dihantar pada hari Jumaat lepas telah ada di atas meja selepas kejadian saya telefon cikgu Ariffin untuk mengarahkan Rabiatul mengumpul semua kerja berkenaan. Saya teruja apabila  beberapa orang pelajar yang datang berjumpa saya dengan air muka ketakutan kerana lambat menghantar kerjanya dan saya menyatakan kepada mereka jangan takut itulah erti seorang guru mendidik, membuat tindakan berbentuk hukuman jika berlaku kesalahan. Saya berkata, hari semalam jangan dikenang kerana saya lebih mengutamakan hari-hari yang mendatang kerana itu lebih utama. Memang pada hari ini saya cuba mengelak dari bertembung dengan pelajar ting. 5 tetapi terjumpa juga dan kebanyakan pelajar ting. 5B memohon maaf daripada saya. Dalam pada masa yang sama sebenarnya saya ada menyediakan bahan powerpoint untuk mereka dan bahan berkenaan saya bina sehingga pukul 4.00 pagi bertajuk "Masteri Penulisan Karangan Kertas 1". Keadaan tersebut yang menyebabkan saya marah kerana sifat saya jika dah marah saya akan membebel dan masa akan habis begitu saja. Saya juga teruja kerana menurut cikgu Sirajuddin kelas senyap saja pada hari itu. Alhamdulillah aku seorang guru. 
             Pada masa yang sama saya terus ke bilik PAI untuk menumpu perhatian kepada 20 orang pelajar lagi yang digolongkan dalam kumpulan pelajar elit ting 5 kerana mereka diberi keutamaan sebagai pelajar yang diharapkan mendapat keputusan semua A dalam semua mata pelajaran SPM 2011. Namun, kelas elit tidak memberi kepuasan mengajar kerana mereka dah pandai dan kebanyakan pelajar saya di tingkatan 3 dulu. Salah seorangnya pernah saya tampar dulu  semasa di kelas elt 3K, inilah erti kemarahan seorang guru untuk mendidik anak muridnya dan pada masa yang sama saya tegur pelajar berkenaan dan dia ketawa kepada saya. "Betul cikgu", mungkin katanya dalam hati secara monolog.

Isnin, 17 Oktober 2011

SEKALI BERTEMU DENGAN PUAN PENGETUA PANJANG BICARA

Alhamdulillah buat pertama kali saya bertemu dengan Puan Pengetua panjang bicaranya. Sebagai seorang pendidik bicara berfokus adalah keutamaan saya. Falsafah ini saya guna pakai sepanjang saya menjadi pendidik di SMKASAS, dan saya masih ingat nostalgia lama bicara dengan Tuan Pengetua dahulu, bermula dengan Allahyarham Ustaz Suhot Sayuti, Ustaz Musa, dan paling akhir Ustaz Arip dan terkini dengan Puan Pengetua, Ustazah Naemah. Perbicaraan saya telus, kerana saya tidak suka berselindung semasa berbicara. Jika saya tidak suka saya nyatakan ketidaksukaan saya, jika saya suka, saya nyatakan kesukaan saya.
          Sebagai seorang pendidik yang profesional, pada hari ini saya berbicara dengan Puan Pengetua selama satu jam. Alhamdulillah, perbicaraan saya memang berfokus tentang kerjaya dan permasalahan saya. Saya lebih suka berbicara secara telus kerana berbicara dengan Puan Pengetua keputusannya akan lebih tepat berbanding berbicara dengan orang lain yang tidak tentu keputusannya. Saya tidak mahu perbicaraan saya dimanipulasi dengan pelbagai andaian oleh orang lain, impaknya keputusan tidak dapat dibuat dan kemungkinan besar saya pula dipandang serong oleh orang lain. Saya berkata kepada Puan Pengetua konsep saya bekerja berfokus kepada " memberi dan menerima " dan bukan pula saya hendak sesuatu kelebihan atau keistimewaan tetapi saya hendak kepuasan bekerja kerana apabila kita puas bekerja hati kita akan tenang. Saya dapat memberi input kepada kemenjadian Insan Kamil di SMKASAS.
           Saya juga tidak suka menunjuk-nunjuk kerana konsep saya bekerja, pekerjaan saya dinilai  oleh Maha Kuasa yang meminjamkan saya kudrat, pemikiran, dan cara saya bekerja. Saya kata kepada Puan Pengetua, rumah saya adalah pejabat saya untuk saya memikir tindakan dan pelaksanaan saya dalam P@P dan saya apabila bekerja menekankan soal tanggungjawab kerana saya lebih memikirkan soal ketentuan Tuhan yang baik dibalas pahala dan jahat dibalas dengan dosa kerana profesion guru ialah "periuk nasi" saya Itu adalah perjanjian kita dengan Tuhan. Saya bersyukur kerana itulah cara saya lakukan jika saya ada masalah dan setelah empat generasi SMKASAS ditadbir pentadbir SMKASAS cara begini lebih berkesan dan apabila kita berbicara yang benar kita akan dapat kebenarannya. Alhamdulillah, saya mendapat nikmat dan hakikat bertugas sebagai seorang guru.
             Terima kasih Puan Pengetua kerana memahami diri saya seadanya. Kita bersama-sama meningkatkan kualiti SMKASAS sebagai sebuah Institusi Pendidikan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Akhirnya, saya menyatakan konsep diri saya tidak suka bercakap tanpa keperluan kerana saya bangga menjadi pendidik di SMKASAS untuk melahirkan lebih ramai insan kamil. Doakan saya sentiasa bekerja dan berusaha untuk melahirkan kecemerlangan insan yang dapat memberi sesuatu kepada agama dan bangsa. Banggalah anda menjadi seorang pendidik kerana seorang insan yang digelar pendidik mempunyai pelbagai keistimewaan. Pendidik ialah seorang pelawak untuk mengembirakan pelajarnya, pendidik seorang ibu dan bapa untuk menjaga kebajikan anak didiknya, pendidik seorang doktor untuk merawat pelajar yang memerlukan rawatannya, pendidik seorang jurutera untuk membina insan kamil sempurna, pendidik seorang peguam untuk membela dan menghukum pelajarnya, pendidik seorang tukang sapu untuk mengujudkan keceriaan pelajarnya, pendidik seorang penjual kerana menjual ilmunya, banyak lagi kerja pendidik. Justeru, jika pendidik dipanggil kerahmatullah gelaran pendidik kekal bermain dimulut anak muridnya kerana pendidik tetap mendidik dan generasi insan kamil akan sentiasa ingat kepada pendidiknya.

PULANGNYA BAPA SEORANG PELAJAR KERAHMATULLAH

Pada petang Ahad, kira-kira pukul 4.30 petang saya dihubungi oleh seorang pelajar, Intan Musfirah pelajar Ting. 4S tetapi saya sendiri tidak perasan deringan telefon bimbit saya, tetapi apabila saya lihat ada panggilan tertunda saya pun menghubungi nombor berkenaan. Apabila saya angkat, saya terdengar suara pelajar berkenaan dan kemudian  ibunya bercakap dengan saya melalui telefon menyampaikan berita kepulangan seorang bapa dan suaminya  kerahmatullah. Justeru, ibu berkenaan memohon agar anaknya berada di rumah kerana masih kesedihan atas pemergiaan bapanya yang meninggal dunia petang semalam kerana menghidap kanser. Beliau meminta pandangan saya atas kesedihan anaknya dan meminta pendapat saya kerana anaknya akan pulang semula ke sekolah pada petang Selasa. Beliau risau kerana peperiksaan akhir tahun akan bermula esok.
          Sebagai insan seagama, seorang guru yang mengajar anaknya mata pelajaran BM, saya lebih dahulu meminta beliau bersabar kerana itu adalah ketentuan Tuhan Maha Kuasa, saya mengucapkan takziah atas kejadian yang menimpa keluarganya, dan lebih dahulu tugas beliau yang utama sebagai seorang ibu menenangkan perasaan  anaknya  dan mengenai peperiksaan akhir tahun  anaknya  saya memaklumkan boleh  ditunda kemudian. Saya memberitahunya bahawa saya akan menguruskan peperiksaan tertunda anaknya dengan guru kelas, guru mata pelajaran dan setiausaha peperiksaan. Saya juga faham, ibunya sebagai seorang guru sebenar maklum dengan situasi berkenaan. Apapun bacaan Al Fatihah saya sedekahkan kepada Allahyarham, semoga Allah menghimpunkan rohnya dalam kalangan orang mukmin. Jika sesiapa membaca blog ini sedekahkan Al Fatihah kepada roh ayahanda pelajar berkenaan.

Ahad, 16 Oktober 2011

PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN UNTUK PELAJAR TING. 1, 2, 4, DAN 6 RENDAH 2011

Esok 17/11/2011 pelajar tingkatan 1, 2, 4 dan  6 rendah akan menghadapi Peperiksaan Akhir Tahun 2011. Saya berdoa agar anda akan mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran. InsyaAllah. Berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan.

Jumaat, 14 Oktober 2011

SELAMAT BERCUTI SEMPENA HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN KOKURIKULUM SMKASAS 2011

Tahniah saya ucapkan Majlis Pengerusi-Pengerusi Kokurukulum SMKASAS, Penyelaras Unit Kokurikulum, Jawatankuasa Pelaksana, Kru Muktemidia Kokurikulum dan sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung dan tidak langsung menjayakan program Hari Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum SMKASAS 2011. Tahniah juga kepada setiap unit kokurikulum kerana dalam masa terhad anda memang kreatif dalam menjayakan pameran unit-unit masing-masing. Buat pertama kali setiap unit diberi peluang untuk mendedahkan aktiviti, peralatan dan demontrasi setiap aktiviti melibatkan setiap unit Kelab dan Persatuan, Unit Beruniform dan Unit Kelab Sukan dan Permainan. Tahniah juga kepada kru multimedia yang diketuai oleh saudara Ikhwan Rusli dan Mohammad Faiz kerana persembahan multimedia di Dewan Besar menggamatkan setiap pelajar yang menyaksikannya. Walaupun masa tayangan tersebut singkat iaitu selama 7 minit memang banyak memberi impak kepada penonton mengenai aktiviti Kokurikulum di SMKASAS pada tahun 2011.
          Sempena Hari Anugerah berkenaan PK Pentadbiran telah mengisytiharkan cuti peristiwa esok pada pukul 4.30 petang setelah selesai program berkenaan. Walaupun begitu, saya terpaksa ke PPD pada pukul 3.00 petang untuk menghadiri Mesyuarat Pelaksanaan Program Galus Perak Tengah. Namun, saya amat gembira kerana memang para pelajar SMKASAS kreatif dan mempunyai bakat kepimpinan yang diharapkan. Tahniah, dan Selamat Bercuti kepada guru-guru dan para pelajar. Perasmi Hari Anugerah berkenaan ialah Dato' Hj. Zaim b. Abu Hasan Adun Belanja.

Khamis, 13 Oktober 2011

HASIL PEMANTAUAN PERSEDIAAN PAMERAN SEMPENA HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN KOKURIKULUM 2011

Sesampai saya di sekolah pada pukul 9.20 malam, ada segelintir pelajar sedang menyiapkan premis mereka dan mulanya timbul tanda tanya ke mana pelajar yang lain kerana hanya ahli Persatuan Bahasa Melayu yang berada di premis mereka dan begitu juga ahli kelab Sepak Takraw yang sedang mengalas meja untuk pameran. Apabila saya tanya ahli kelab dan unit beruniform yang lain mereka berkata, kebanyakan mereka berada di dalam makmal bahasa. Saya terus memantau aktiviti unit berkenaan. Apabila saya sampai di makmal bahasa seperti tidak ada tanda pelajar di dalam kerana tidak ada satu kasut pelajarpun di luar. Setelah saya buka pintu makmal bahasa, saya rasa teruja kerana setiap unit berada di tempat duduk komputer berkenaan kerana masing-masing cuba menyiapkan maklumat dengan melayari internet.
         Saya dapati, ada antara mereka sedang mencetak bahan, dan saya bertanya adakah dikenakan bayaran untuk setiap helai bahan berkenaan, dapatan saya sehelai bahan bercetak RM0.30 dan jika hitam putin RM0.10. Tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada pelajar, kerana sanggup menggunakan wang sendiri untuk tujuan pameran di premis mereka. Kedatangan saya pada malam ini selain memantau adalah untuk membantu Kelab Bola Baling saya kerana Mohammad Faiz bercadang untuk mencetak bahan untuk premis mereka. Dalam masa yang sama Kelab Bola Sepak juga meminta simpati daripada saya untuk mencetak bahan mereka. Atas dasar ingin memberi motivasi kepada mereka saya pun memberi ruang mencetak bahan mereka, cuma terdapat sedikit masalah kerana "pendirive" mereka mengandungi banyak virus. Memang, saya takut "virus" berkenaan akan merosakkan sistem komputer saya kerana terdapat banyak bahan p@p dalam simpanan  tetapi atas dasar tidak mahu mengecilkan hati dan memberi motivasi, saya cuba scan "pendrive" berkenaan dan kesannya sebayak 70 jenis virus dikesan dalam dua "pendrive" tersebut.
            Dengan tawakal dan nawaitu membantu mereka, saya pun terus mencetak bahan berkenaan kebanyakan berbentuk gambar dan ada juga maklumat. Cuma saya menyelami hati pelajar dan mengandaikan saya berada di tempat mereka betapa besar hati saya jika seorang guru membantu saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Hidzir, Cikgu Sirajuddin dan Ustazah Hanan kerana berada bersama pelajar kerana ketika inilah guru-guru berfungsi membantu pelajar kerana pelajar memang memerlukan bantuan untuk aktiviti sebelum dan semasa Hari Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum esok. Memang saya keletihan, kerana petang tadi pukul 4.30 baru balik ke rumah dan semalam menyelaraskan mesyuarat perancangan dan persiapan untuk pameran dan kelas petang dan balik pukul 5.00 petang. Hanya Allah yang tahu tanggungjawab seorang guru, dan balik ke rumah mengadap laptop untuk perancangan pengajaran esok pula dan begitulah setiap malam. Saya pernah bertekak dengan dua orang  ibu bapa apabila mereka mempertikaikan kerja guru SMKASAS lima tahun yang lalu sehinggakan saya menghempas meja dan keluar dari kelas serta meminta Ustazah Rodziah ketika itu sebagai guru kedua untuk melayan kerenah ibu bapa kerana di SMKASAS sebenarnya bukan tempat untuk bersenang lenang. Hanya mereka yang bertugas di bumi SMKASAS akan mengetahui situasi berkenaan.Ibu bapa berkenaan mempertikaikan keputusan anaknya dalam peperiksaan kerana mendapat gred "B" dalam peperiksaan, setelah saya nyatakan keputusan tersebut boleh diperbaiki dan setiap guru mengambil berat setiap pelajar yang berada di SMKASAS. Namun, bapa pelajar berkenaan terus menyalahkan guru dan pentadbir menyebabkan anaknya mendapat gred "B" dalam mata pelajaran tertentu. Selain itu, bapa pelajar tersebut juga menyalahkan PIBG, saya terpaksa mempertahankan guru dan pentadbir serta PIBG kerana saya ketika itu setiusaha PIBG. Saya terus menyatakan bahawa kerja seorang guru di SMKASAS berat dalam pada itu saya dan guru-guru di SMKASAS akan berusaha untuk memastikan anak-anak pelajar mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Ibu bapa berkenaan tetap menyatakan bahawa kerja guru-guru mudah dan disampuk oleh seorang ibu bapa dengan membandingkan kerja di sekolahnya kerana beliau seorang guru. Oleh sebab saya tidak dapat menahan marah dan sebelum keluar daripada kelas semasa perjumpaan ibu bapa pelajar dengan guru, saya menyuruhnya berjumpa dengan pengetua jika dia masih tidak berpuas hati. Apabila saya terkenang peristiwa tersebut, saya ketawa kerana bekerja sebagai seorang guru, kita mesti tabah melawan arus serta onak dan duri. Jika benar, kita perlu mempertahankan kebenaran. Pada masa yang sama ketika itu saya sibuk dengan aktiviti bahas ala parlimen dan pada tahun tersebut peserta bahas menjadi johan peringkat negeri.
           Namun saya beryukur kerana dalam kesibukan berkenaan, tiga artikel dapat saya tulis pada hari ini. Tujuan saya menulis di blog ini sekadar untuk memaparkan suasana di SMKASAS dan sepatutnya para pelajar bertuah kerana berada di bumi SMKASAS. Pada pandangan saya, jika para pelajar dapat menggunakan kesempatan yang ada, di sinilah para pelajar dapat menempa ilmu kepimpinan dan menjadi seorang pelajar kreatif dalam mengendalikan sebarang program sekolah selain daripada menimba ilmu akademik. Agak malang jika pelajar SMKASAS menjadi "katak bawah tempurung" tanpa mempedulikan sebarang aktiviti yang sentiasa berjalan di sini. InsyaAllah, apabila keluar daripada SMKASAS, ilmu yang anda tempa di sini amat berguna ketika anda berada di IPT dan di tempat kerja nanti. Buktinya ramai pelajar yang berjaya di luar sana telah menggunakan masa dan kreativiti mereka selama berada di bumi pendidikan bertuah ini. Segala onak duri yang dialami di sini akan berbuah menghasilkan buah yang enak apabila anda keluar dari institusi pendidikan ini.

Rabu, 12 Oktober 2011

PERSEDIAAN UNIT KOKURIKULUM SEBELUM HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN KOKURIKULUM

InsyaAllah selepas saya menulis artikel ini saya akan ke sekolah untuk memantau persiapan Unit Kokurikulum yang ditugaskan untuk membuat pameran pada pagi sebelum hari anugerah. Setiap cawangan unit yang terbagai kepada Unit Beruniform, Kelab dan Persatuan, dan Kelab Sukan Permainan telah diberi tugasan untuk mempamerkan unit masing-masing. Begitulah amanat yang telah diberikan keada setiap unit. Contohnya Unit Kelab Sukan dan Permainan telah diamanahkan untuk membuat tayangan mengenai pencapaian aktiviti Sukan dan Permainan sepanjang tahun 2011 dan memberikan tips-tips ringkas cara untuk menggunakan alatan sukan dan cara untuk bermain permainan berkenaan. Tugasan berkenaan telah dipikul oleh saudara Ikhwan Rusli dan saudara Mohamad Faiz. InsyaAllah tayangan multimedia tersebut akan diadakan di Dewan Kluster. Selain itu, pengerusi unit permainan pula akan mempamerkan alatan yang terbabit dengan kelab mereka serta membuat demontrasi. Antara demontrasi yang akan dijalankan pada sebelah pagi ialah acara sepak raga ratus, congkak, memanah.
         Begitu juga unit beruniform akan menunjukkan kawad kaki setiap unit melibatkan PKBM Laut, KRS, Puteri Islam dismping setiap unit berkenaan akan mempamerkan pakaian dan aksesori pakaian unit berkenaan. Sementara, Kelab dan Persatuan akan mempamerkan maklumat dan aktiviti yang melibatkan aktiviti kelab dan bahan yang berkaitan contohnya Persatuan Bahasa Melayu akan mempamerkan buku skrap, buku-buku dan majalah berkaitan bahasa, dan sebagainya. Diharapkan setiap unit memberikan persembahan mengikut kreativiti masing-masing, begitulah antara amanat yang diberikan kepada setiap unit semasa taklimat penyelaras dan majlis pengerusi-pengerusi Kokurikulm semalam. Untuk memastikan persiapan berjalan lancar, pada malam ini saya akan ke sekolah untuk membuat pemantauan. Semoga setiap unit akan memainkan peranan mereka. Langkah ini diambil untuk mendidik setiap pengerusi, jawatankuasa kelab dan ahli persatuan dan unit beruniform berdikari disamping menonjolkan kreativiti masing-masing sebagai seorang pelajar sekolah kluster.

AMANAT PUAN PENGETUA UNTUK PELAJAR TING.1,2,4, DAN 6 RENDAH 2011

PK Pentadbiran telah menyampaikan amanat Puan Pengetua kepada pelajar Ting. 1, 2, 4,dan 6 Rendah berkaitan dengan Peperiksaan Akhir Tahun yang dijadualkan pada 17/10/2011. Puan Pengetua memberi peringatan bahawa setiap pelajar yang akan menghadapi peperiksaan akhir tahun perlu mengelakkan diri daripada mendapat gred E dan gagal dalam peperiksaan berkenaan. Sekiranya pelajar mendapat gred berkenaan mereka perlu menghadapi peperiksaan ulangan.
                     Justeru, sebagai langkah tambahan pelajar Ting. 1,2,4 dan 6 Rendah tidak dibenarkan balik ke rumah untuk memastikan mereka membuat persiapan menghadapi peperiksaan pada cuti hujung minggu. Saya memang bersetuju dengan tindakan berkenaan kerana antara faktor utama menyebabkan keputusan peperiksaan selaras yang disediakan oleh sekolah mahupun JPN rendah kerana pelajar mengambil mudah peperiksaan berkenaan. Tambahan pula, keputusan peperiksaan berkenaan akan diambil kira sebagai tov untuk bandingan dengan peperiksaan dan ujian pada tahun hadapan. Tambahan lagi, keputusan tersebut akan diambil sebagai bidang keberhasilan yang ditetapkan di bawah NKRA yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan. Secara mudahnya, melalui bidang keberhasilan ini pihak kerajaan menawarkan new deal atau satu Bai’ah baru  kepada semua pengetuan dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing. Justeru, pendidik terutama guru SMKASAS dan pelajar perlu mengambil peluang untuk meningkatkan prestasi keputusan setiap peperiksaan kerana penilaian akan dibuat daripada semasa ke semasa oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menilai peningkatan prestasi pelajar dalam peperiksaan.Bukan wang yang kita perlu dahulukan tetapi standard kualiti sekolah, jika boleh membuktikan standard kualiti cemerlang setelah dianugerahkan sebagai sekolah Kluster Akademik kita perlu mencapai sekolah berprestasi tinggi sama taraf dengan sekolah berasrama penuh yang lain.
                  Saya berkata begitu kerana SMKASAS tidak ada bezanya dengan sekolah berasrama penuh lain  kerana pelajar yang diterima masuk ke sekolah ini merupakan pelajar yang mencapai keputusan terbaik sama ada peringkat UPSR untuk kemasukan ting. 1 mahupun PMR untuk kemasukan ting. 4. Cuma guru dan pelajar perlu faham apakah maksud bidang keberhasilan dan new ideal atau baiah yang dimaksudkan. Semoga usaha pihak pentadbiran, guru-guru dan pelajar akan menyerlahkan kehebatan SMKASAS sebanar. Semoga SMKASAS akan berdiri antara sekolah berprestasi tinggi di Malaysia. InsyaAllah.

Isnin, 10 Oktober 2011

HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN KOKURIKULUM 2011

Sedar atau tidak sesi Persekolahan 2011 semakin sampai ke penghujungnya. Disamping itu, satu lagi acara gilang gemilang selain hari anugerah kurikulum atau hari anugerah kecemerlangan akademik ialah Hari Anugerah Kecemerlangan Kokrikulum kerana pada hari tersebut akan diumumkan Tokoh Pelajar Lelaki, Tokoh Pelajar Perempuan, Tokoh Guru Lelaki dan Perempuan Cemerlang Kokurikulum, Persatuan, Kelab Sukan dan Permainan, serta  Unit Beruniform paling aktif pada tahun 2011 akan disytiharkan pada hari berkenaan. Mereka atau Unit Kokurikulum yang dinobatkan paling aktif dalam aktiviti kokurukulum akan menerima sijil penghargaan dan kepada pelajar dan guru yang terpilih sebagai individu paling aktif akan menerima plak, sijil penghargaan dan tokoh pelajar mungkin akan menerima sepasang baju sukan.
                 Alhamdulillah, pada pagi tadi kira-kira pukul 10.45 pagi, jawatankuasa pemilih melibatkan saya sebagai penyelaras Kelab Sukan dan Permainan, Cikgu  Ahmad Sirajuddin sebagai penyelaras Unit Beruniform dan Cikgu Rahayu sebagai penyelaras Kelab dan Persatuan bersama Cikgu Syed Noh sebagai jawatankuasa induk membentangkan hasil pemantauan Papan Kenyataan, Fail, dan keaktifan setiap unit yang dipertanggungjawapkan untuk memilih unit-unit kokurukulum paling aktif dan juga tokoh pelajar dan guru melibatkan kategori lelaki dan perempuan untuk menerima hadiah yang disediakan untuk Hari Anugerah Hari Kecemerlangan tersebut. Semua nama berkenaan "RAHSIA" untuk mendebarkan para hadirin termasuk tetamu kehormat yang hadir pada hari tersebut. Disamping itu, tadi juga dibincangkan acara-acara yang akan diadakan pada hari tersebut. Untuk memantapkan acara, esok akan diadakan mesyuarat antara Majlis Pemimpin pelajar serta kru penting hari anugerah Kokurikulum 2011 untuk memastikan persediaannya kerana Hari Anugerah Kokurikulum tersebut akan diadakan pada 13 Oktober 2011 bersamaan hari Khamis, tiga hari daripada sekarang. Banyak kerja yang perlu dijalankan disamping  latihan penuh untuk acara tersebut akan dijalankan pada pagi hari Khamis .
                     Didoakan acara tersebut akan berjalan dengan mantap disamping mengekalkan antara acara yang paling "grand" dalam diari SMKASAS.

TERIMA KASIH KEPADA TETAMU YANG MENJENGUK BLOG INI

Adakalanya, saya teruja apabila melihat "geovisite" widget yang boleh mengesan kehadiran tetamu blog ini kerana mereka bukan sahaja dari Malaysia tetapi Moscow, Tapei, Jepun, Mesir USA, dan banyak lagi. Saya pasti mereka "INSAN KAMIL YANG PERNAH BERADA DI BUMI SMKASAS". Terima kasih kerana mengunjungi blog ini dan saya bangga anda menjadi wakil SMKASAS di setiap penjuru dunia. Teruskan usaha anda menimba ilmu setinggi yang boleh dan kemudian bertebaranlah di bumi Allah ini menjalankan tugasan masing-masing. Ingat-ingatlah kami di sini dengan mendoakan kesihatan kami warga pendidik, kejayaan adik-adik dalam peperiksaan PMR, SPM dan STPM sebagaimana anta dan inti pernah berada di tempat yang sama seperti mereka. Sekali-sekala khabarlah berita jika sibukpun dengan ucapan salam semoga hubungan kita sentiasa terjalin.
Doakan agar saya dapat terus menulis di dalam blog ini.

PMR SEMAKIN HAMPIR PENGHUJUNGNYA DAN SPM SUDAH MENGGAMIT PELAJAR TING. 5 2011

Setelah bergelumang dengan pelajar Ting. 3, tugasan untuk Ting. 5 perlu diberi fokus utama supaya mereka mampu membuat persiapan menghadapi peperiksaan SPM. Namun, semangat pelajar Ting. 5 terutama pelajar Ting. 5B amat membanggakan saya kerana pada hari Jumaat lepas salah seorang pelajar mencadangkan saya hadir pada sebelah malamnya untuk mengajar dan saya mencadangkan kelas tersebut diganti pada hari lain untuk saya membuat persiapan yang mantap agar setiap pengisian untuk kelas tersebut dapat memberi impak maksima kepada pelajar.
           Namun, setelah saya memberi penjelasan dan alasan saya kepada pelajar berkenaan, dia bersetuju kerana saya akan cuba untuk menentukan tajuk yang akan dibincang serta bahan yang perlu digunakan. Antaranya saya akan cuba membuat bahan pengajaran dengan menggunakan  Powerpoint dan menggunakan laptop dan LCD kerana cara begini dapat memberi kesan yang mendalam kepada pelajar. Tambahan pula, saya telah menggunakan kaedah yang sama di dalam kelas dalam proses pengajaran dan pembelajaran penulisan karangan menggunakan teknik Jadual Pengembangan Idea untuk menunjukkan betapa perenggan pengenalan, isi dan penutup perlu ditulis dengan baik supaya karangan yang dibina berkesan. Begitu juga  pelajar didedahkan cara menyisipkan frasa menarik kerana jika saya bercakap sahaja pelajar tidak ,memberi penumpuan yang berfokus semasa perbincangan. Impaknya, semasa mengarang mereka tidak menulis karangan mereka secara kreatif dan sering mengabaikan kriteria karangan cemerlang yang diharapkan.
            Walaupun proses menyediakan bahan mengambil masa yang panjang kerana penyediaan bahan saya perlu  memikirkan kesesuaian bahan dengan tajuk yang hendak diajar,  menyusun bahan dari mudah ke senang dan menyelitkan selingan berupa gambar, catatan sama ada fakta atau video agar tumpuan pelajar dapat dimaksimakan tetapi kesan penggunaan sebegini  amat mujarab semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung di dalam kelas. Paling saya utamakan ialah proses P @ P berjaya. Tambahan pula, dari hari ke hari, dari minggu ke minggu, bulan ke bulan bahan P@P saya bertambah dan bahan tersebut  boleh saya aplikasi  semasa mengajar dan boleh dibuat penambaikan dari semasa ke semasa. Adakalanya, saya terpaksa menganggap malam itu siang untuk menyediakan bahan berkenaan kerana saya faham erti sebenar menjadi seorang guru. Barulah saya sedar sekarang kata-kata guru saya terdahulu, guru ibarat lilin membakar dirinya untuk orang lain.
               Pada malam ini, saya terpaksa meluangkan masa untuk menyediakan bahan untuk P @ P esok tetapi  apabila saya lihat jadual, esok saya akan mengajar kelas ting. 4S sahaja dan kelas ting. 3 tidak berjalan kerana mereka akan menghadapi peperiksaan PMR untuk hari yang keempat dan lusa terakhir. Kelas ting. 4 pula satu masa sahaja dan esok saya akan membincangkan latihan Kertas Contoh Peperiksaan Buku Latihan Twitter kertas 2 set 2. Baru saya teringat hari Rabu ini  puan pengetua meminta semua ketua panitia mata pelajar menghantar post mortem peperiksaan percubaan SPM 2011dengan analisa secara terperinci kekuatan dan kelemahan pelajar semasa menjawab soalan tersebut. Pada masa yang sama, di sudut meja, saya terpadang buku latihan karangan pelajar belum bersemak, ada dua kerja yang perlu saya buat, dan esok pula akan diadakan mesyuarat antara Ketua Penyelaras Kokurikulum dengan PK Kokurikulum untuk menentukan Kelab Sukan dan Permainan yang perlu dianugerahkan Sijil dan Hadiah semasa Hari Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum yang akan dijalankan pada minggu hadapan. Nasib baik saya sudah memantau Papan Kenyataan, Fail Kelab Sukan dan Permainan serta kejayaannya pada tahun 2011 pada minggu ini, bukan minggu lepas kerana jam menunjukkan pukul 1.00 malam kerana saya juga Ketua Penyelaras Kelab Sukan dan Permainan.
              Nak diceritakan satu persatu tugas, banyak, jangan cerita tugas lain di luar sekolah. Kesimpulannya, kepada pelajar yang telah berjaya mendapat gred cemerlang BM, terima kasih kerana itulah hadiah yang paling berharga untuk saya. Susah juga untuk melahirkan seorang insan kamil yang berjaya. Fikir-fikirkanlah. Namun, tugas guru paling murni dan ceritanya ada dalam sajak yang saya siarkan dalam blog ini.

Jumaat, 7 Oktober 2011

PEPERIKSAAN PMR 2011 SESI MINGGU PERTAMA BERAKHIR

Alhamdulillan peperiksaan PMR 2011 telah berakhir. Apabila saya tanya beberapa orang pelajar, kertas bahasa Melayu Kertas 1 aras soalannya agak tinggi, dan kertas bahasa Melayu 2 rata-rata pelajar menyatakan soalannya mudah kerana kebanyakan soalan telah dibincangkan dan ada soalan yang keluar semasa  peperiksaan percubaan Negeri Perak. Saya juga berasa gembira kerana dalam kekangan masa saya telah membuat penekanan terhadap kemahiran tatabahasa ketika Program Pecutan X-Plus PMR 2011 iaitu sehari sebelum peperiksaan PMR dan penjelasan saya menggunakan formula tatabahasa memang berkesan. Cuma pelajar yang tidak mengambil peluang untuk mendengar penerangan saya sewaktu program tersebut akan rugi, terutama pelajar yang berada di belakang Bilik Kluster. Namun saya segera membuat teguran kepada pelajar yang duduk di belakang agar serius mendengar penjelasan saya kerana masa yang tinggal cuma 1 jam 20 minit lebih kurang.
               Ketika ini saya cuma mampu berdoa mereka akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksan tersebut. Setelah saya baca dan analisis soalan kertas satu PMR 2011, memang saya setuju dengan kata-kata pelajar bahawa aras soalan kertas berkenaan memang tinggi tetapi pelajar yang menguasai kemahiran tatabahasa akan mendapat kelebihan menjawab soalan berkenaan. Semoga mereka berjaya mendapat kecemerlangan. Amin.
                   Peperiksaan PMR 2011 akan bersambung semula pada hari Isnin dengan mata pelajaran Matematik 1 dan 2, dan Kemahiran Hidup dan hari Selasa mata pelajaran Bahasa Arab. Justeru, dalam masa yang berbaki tiga hari ini pelajar akan menghadiri kem untuk mata pelajaran yang berlangsng pada minggu kedua. Semoga, program tiga hari yang dijalankan oleh guru  mata pelajaran terbabit akan memberi kesan maksima kepada pelajar. InsyaAllah.

Selasa, 4 Oktober 2011

NUKILAN SEORANG INSAN BERGELAR GURU

Seorang pujangga pernah menukil cheritera,
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta...
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Kata orang,
Dialah kandil kemerlap pada malam gelita
Diala purnama berkaca dalam cerah cahaya
Dialah dian yang membakar diri
Dialah memberi tanpa meminta balasnya budi
Dialah menghulur tanpa diketahui tangan kirinya
Dialah anak jati yang bersemangat tinggi

Dia, guru itu
Saban hari, kerjanya mengajar tulis, baca, kira
Di situ, anak-anak mengenal erti huruf dan suku kata
Di situ, anak-anak mengerti makna kata dan gunanya
Di situ, anak-anak memahami erti, ilmu itu apa?
Wajah hatinya sebersih wajah nabi.
Hari ini kuajar mengenal huruf agar esok nanti mengenal kata,
Hari ini kau kenal makna esok nanti kau tahu bual bicara,
Hari ini seorang guru mencatat cerita hidupnya dalam diari kecil sahaja
esok nanti catatanya menjadi riwayat seorang Perdana Menteri.


Dialah, guru itu
Dialah yang melukis dengan berus cinta dan kanvas putihnya
Dialah yang mencorak garis, kotak, bulat, bujur dan segala bentuknya
Dialah yang menghias bunga, daun, ranting dan segala bentuk pohonnya

Dialah, guru itu
Hari ini masih mengajar di situ dan saban pagi muridnya memanggilnya, guru
Dialah nanti orang panggil guru meski jalannya bertongkat kayu
Dialah nanti orang panggil guru meski nanti hanya tinggal nisannya yang kaku.



 INGAT, 
WALAUPUN HUJAN RIBUT, TAUFAN MELANDA SABAN WAKTU,
AKU MASIH SEORANG GURU,
BERKELANA KERANA INGAT YANG SATU,
BERKORBAN DIRI SEBAGAI SEORANG GURU,
UNTUK SESIAPA INSAN DAHAGAKAN ILMU.

SAMPAI BILA PERJALANAN HIDUPUKU?
SELAGI MANA INSAN KAMIL MEMERLUKU....
HADIAHKANLAH AKU KECEMERLANGANMU.
SUPAYA HIDUPKU......CERIA....SELALU,
AKU BERGELAR SEORANG GURU... 

DOAKALAH KESIHATANKU,
MENONGKAH ARUS SEMAKIN BERLIKU.

Isnin, 3 Oktober 2011

PROGRAM BERSAMA PUAN PENGETUA, PK. PENTADBIRAN, GURU-GURU MATA PELAJARAN DAN PELAJAR SPM 2011

Pada hari ini, Puan Pengetua dan PK Pentadbiran Mengarahkan Pelajar Ting. 5 yang akan mengambil peperiksaan SPM 2011,  Guru-Guru Mata Pelajaran SPM untuk berada di Dewan Kluster SMKASAS secara "ad hoc" kerana ada sesuatu yang ingin dibincangkan secara telus.  Program bersama dengan Puan Pengetua ini diadakan untuk meluahkan perasaan Pentadbir, Guru-guru mata pelajaran di hadapan pelajar Ting. 5. Saya secara ikhlas memuji tindakan drastik Puan Pengetua kerana mengumpulkan semua pendidik dan pelajar untuk meluahkan rasa hati masing-masing supaya rasa tidak  puas hati yang terbuku dalam kalangan pendidik diluahkan terus di hadapan pelajar.
                 Pokok perbincangan dari hati ke hati pada pertemuan ini merujuk kepada keputusan Peperiksaan Percubaan SPM 2011 yang mengecewakan bukan sahaja guru-guru malah pentadbiran. Intipati pertemuan ini bukan terus menyalahkan para pelajar tetapi sekurang-kurangnya para pelajar akan dapat memahami bahawa pentadbir dan guru mata pelajaran memang mengambil berat setiap perkembangan akademik pelajar terutama prestasi mereka. Hal ini kerana rumusan keputusan Peperiksaan Percubaan SPM 2011 yang telah berakhir seminggu yang lepas menunjukkan tidak seorangpun pelajar mendapat keputusan semua "A" dan ini jika dibiarkan boleh memberi impak kepada keputusan SPM sebenar.  Hanya seorang pelajar sahaja yang mendapat 10 A, dan kertas Matematik Tambahannya pula sekadar mendapat gred "D".Justeru, antara yang perlu dilakukan oleh setiap pelajar adalah mengubah sikap mereka terutama untuk membuat persediaan dalam masa 40 hari sebelum peperiksaan SPM bermula. Guru-guru telah membuat satu ketetapan untuk terus membantu pelajar dan situasi ini perlu disahut oleh setiap pelajar.
                   Walaupun situasi ini mencalar prestasi peperiksaan Percubaan SPM buat pertama kalinya di SMKASAS tetapi saya yakin, kesedaran dan pertemuan bersemuka guru-guru dan pelajar pada pagi tadi memberi impak yang besar kepada pelajar Ting. 5. Tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada Puan Pengetua dan Penolong Kanan Pentadbiran kerana pertemuan ini memberi kesan yang besar kepada pelajar yang selama ini mungkin berasa perkembangan akademik mereka tidak diperhatikan secara serius oleh pihak pentadbiran dan guru mata pelajaran. Justeru, sikap belajar di saat-saat akhir perlu dibanteras daripada terus menular dalam kalangan pelajar dan saya mengharapkan kepada pendidik SMKASAS anggaplah ini sebagai satu cabaran dan kepada pelajar pula anggaplah suasana pagi dianalogikan sebagai situasi penjaga atau ibu bapa menasihati anak-anaknya. Ingat tidak ada guru atau ibu bapa yang ingin melihat kegagalan pelajarnya.
                         Kesimpulannya, disamping usaha pendidik SMKASAS mengubah senario yang berlaku, perlu ada suatu kesedaran dalam kalangan pelajar iaitu tidak ada sesiapa yang boleh mengubah nasib dirinya melainkan orang itu sendiri yang mengubah nasibnya. Saya mendoakan tindakan Puan Pengetua, PK Pentadbiran dan guru-guru mampu membantu peajar untuk mengubah segala-galanya pokoknya kesedaran disamping kerjasama erat antara warga SMKASAS. Tidak ada sifat malu untuk kita berkongsi masalah kerana dengan masalah itu akan menjurus kepada kejayaan. Pelajar SMKASAS boleh dan ingat, adik-adik PMR telah menunjukkan peningkatan kualilti akademik terbaik dalam Peperiksaan Percubaan PMR 2011 dan esok mereka akan menghadapi peperiksaan sebenar dan diharapkan anda menunjukkan presatasi sebenar semasa peperiksaan SPM, insyaAllah. Pelajar ting. 5 boleh, saya pasti dan yakin anda memang boleh. Jika ada teguran yang dibuat oleh pentadbir dan guru-guru, anggaplah itu adalah teguran yang membina kejayaan. Kepada rakan-rakan pendidik teruskan usaha kalian. Untuk prestasi mata pelajaran BM memuaskan cuma,  8  orang pelajar tidak mencapai sasaran "A"   dan kami kalangan guru BM akan berusaha untuk membatu mereka InsyaAllah.  Kami akan lakukan yang terbaik untuk anda.

SELAMAT MENGHADAPI PMR 2011 KEPADA SEMUA PELAJAR TING. 3 SMKASAS

Saya mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan PMR 2011 kepada semua pelajar ting. 3 SMKASAS. Nasihat saya kepada pelajar supaya membaca soalan dengan berhati-hati dan jawaplah soalan dengan sempurna. Sebelum peperiksaan guru-guru boleh membantu anda tetapi semasa peperiksaan andalah yang mampu membantu diri anda, guru-guru, pentadbir dan warga SMKASAS hanya mampu mendoakan kejayaan anda. 
         Mata pelajaran pertama esok ialah bahasa Melayu kertas 1 dan 2, diharapkan segala yang dibincangkan pada pukul 11.30 hingga 1.00 petang tadi dalam Program Pecutan X-Plus jadikan sebagai bekalan untuk membantu menjawab soalan. Walaupun program sepatutnya bermula pada pukul 10.00 pagi tetapi disebabkan kekakangan kerana program bersama Puan Pengetua, Guru Mata Pelajaran Ting. 5 di dan pelajar SPM di Dewan Kluster serta pemantauan Ketua Pengawas dan Pengawas PMR yang akan mengelola peperiksaan esok, Program Pecutan hanya dapat bermula pada pukul 11.30 pagi, namun saya cuba untuk menyampaikan tips terakhir untuk persediaan pelajar menghadapi PMR berdasarkan baki masa yang ada. Namun, saya puas hati kerana dapat menyampaikan input yang perlu disampaikan kepada pelajar walaupun kesempitan masa.
           InsyaAllah pada malam ini saya akan ke sekolah untuk bersama anak-anak pelajar ting. 3 untuk membantu jika ada sebarang masalah yang timbul dan saya akan cuba untuk membantu setakat yang saya mampu sekiranya ada sebarang soalan atau masalah yang masih bermain di minda pelajar. Saya pasti dan yakin pelajar ting.3 mampu utuk menjawab soalan bahasa Melayu PMR dengan baik dan memncapai kecemerlangan dalam kertas Bahasa Melayu. Teruskan usaha anda dengan iringan doa dan restu ilmu daripada saya dan guru mata pelajaran lain , semoga anda semua berjaya dengan cemerlang. Saya juga mendoakan anda semua cemerlang untuk kertas peperiksaan yang lain. Amin.

Rabu, 28 September 2011

PROGRAM RESTU ILMU UNTUK PELAJAR TINGKATAN 3 YANG BAKAL MENGHADAPI PMR

Pada hari Sabtu ini, akan diadakan Program Restu Ilmu, Bacaan yasin dan Solat Hajat untuk pelajar tingkatan 3 sahaja. Buat pertama kali dalam sejarah, program ini diasingkan kerana program restu ilmu untuk pelajar SPM akan diadakan pada hari yang lain dengan tujuan untuk mengelakkan kesesakan di Dewan Besar dan juga pihak pentadbir berpendapat tempoh peperiksaan SPM masih jauh lagi. Keputusan pentadbir berkenaan tepat kerana situasi restu ilmu awal bagi pelajar ting. 5 akan memberi impak sampingan kerana jika program ini dijalankan sekarang kemungkinan situasi program ini tidak memberi kesan kepada mereka apabila peperiksaan dijalankan nanti.
       Pada hari ni, pukul 2.30 petang, Imam Muda Hassan Adli b. Yahaya  telah mengadakan Road Show di Dewan Besar SMKASAS. Beliau adalah Johan Imam Muda terbitan TV 9 untuk Tahun Kedua Program Realiti berkenaan diadakan. Pelajar dapat bersoaljawab dengan beliau disamping beliau menceritakan cabaran untuk berjaya menjadi Imam Muda disamping pelajar boleh mengambil iktibar bagaimana untuk berjaya dalam kehidupan terutamanya kehidupan sebagai seorang pelajar. Terima ksih kepada Imam Muda Hassan Adli yang sudi datang ke SMKASAS. Pelajar amat ceria menerima kedatangan beliau.

PEMANTAUAN SEKOLAH MENENGAH LUAR BANDAR CEMERLANG KOKURIKULUM PERINGKAT KEBANGSAAN

Pemantauan telah dijalankan oleh tiga orang pemantau daripada JPN Kelantan, JPN Pulau Pinang dan JPN Kedah. Kesimpulannya, ada komen pemantau yang menyebelahi sekolah terutama dari segi sambutan kepada pemantau dengan perbarisan kawad kaki unit beruniform terdiri daripada kontinjen PKBM (L), KRS, Pengakap, dan Persatuan Puteri Islam. Selain itu, papan unit kokurikulum yang ceria, persembahan pelajar terutama unit multimedia serta kejayaan kokurikulum sekolah yang melibatkan kejayaan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Namun terdapat sedikit kelemahan dalam sistem fail kerana dalam masa dua minggu  timbul masalah untuk melengkapkan  fail yang melibatkat banyak unit kecil di bawah unit sukan dan permainan, unit beruniform dan kelab persatuan. 
     Namun, dari segi pengalaman kita telah berjaya melengkapkan sistem fail yang lebih baik berbanding sebelumnya. Kemudian perubahan pentadbiran apabila Ustaz Arip b. Sa'aya yang berpindah ke Sarawak menjadi ketua sektor di JPN dan kedatangan Puan Naemah bt. Ramli juga memberi sedikit kesan sampingan kerana ada beberapa bahan yang terdapat di dalam sistem fail yang perlu ditandatangani oleh Puan Pengetua sedangkan prosidur kerja seorang pentadbir tidak boleh mengesah dan meluluskan sebarang sistem fail yang bukan di bawah pentadbirannya kerana ada tarikh dalam sistem fail yang di "back date". Namun, Puan Pengetua berasa bangga kerana setiap penyelaras unit kokurikulum yang diselaraskan olen En. Ahmad Sirajuddin  sebagai Penyelaras Unit Beruniform, En. Mohd. Ramsul Abd. Rahiman, Penyelaras Kelab Sukan dan Permainan, Pn. Rahayu bt. Karim Penyelaras Kelab dan Persatuan, PK Kokurikulm Ustaz Fadzlan Shahidi, dan pelajar menampakkan usaha yang gigih untuk persiapan pemantauan. Akibatnya ada penyelaras yang terpaksa bersengkang mata hingga pukul 4.00 pagi untuk persiapan pemantauan sedangkan pada minggu yang sama dengan pemantauan saya dan Cikgu Sirajuddin terpaksa menyemak kertas peperiksaan percubaan SPM 2011.
          Saya teruja dengan kata-kata Cikgu Sirajuddin, ada juga kebaikan pemantauan berkenaan kerana kami dapat banyak pengalaman baru  yang kami terima dan paling utama situasi persiapan untuk pemantauan banyak mengajar kami bersifat sabar, berani menghadapi onak dan duri dan paling utama situasi berkenaan bertambah mematangkan kami untuk menjadi seorang pendidik yang serba tahu teruatama mentadbir badan dan unit kokurikulum. Berdasarkan perbincangan saya, Cikgu Sirajuddin , PK. Koku dan Puan Pengetua, pada tahun hadapan kita akan merancang untuk menganjurkan kem untuk semua pengerusi-pengerusi unit kokurikulum yag terdiri daripada pemimpin pelajar supaya mereka didedahkan dengan cara mentadbir unit kokurikulum mereka serta menguruskan sistem fail yang sistematik. Sesungguhnya kami akan cuba sedaya upaya untuk melahirkan Insan Kamil yang cemerlang dari segala aspek sama ada Akhlak, Sahsiah, Akademik dan Sosial sebagaimana yang tertera dalam Slogan SMKASAS. Semoga SMKASAS akan cemerlang dalam segala aspek, insyaAllah. Terima kasih kami ucapkan kepada pemantau yang hadir kerana banyak membimbing bagaimana untuk memantapkan Unit Kokurikulum Sekolah.

Jumaat, 23 September 2011

PROGRAM LATIHAN DALAM PERKHIDMATAN (LADAP) DAN SAMBUTAN HARI RAYA SMKASAS 2011

Pada 24 September 2011, esok, Program Ladap peringkat sekolah akan diadakan. Saya telah diberikan tugas untuk menyampaikan SLOT berkenaan Program PASAK X-PLUS iaitu berkaitan dengan Kaedah Menambahbaikan Pengajaran dan Pembelajaran dari jam 8.00  hingga 10.30 pagi. Justeru, saat dan ruang yang diberi saya akan cuba untuk berkongsi pengalaman untuk menjelaskan sejarah program PASAK di negeri Perak yang bermula dengan Program Pasak 100 dan kini dijenamakan semula kepada Pasak X-Plus dan cara untuk melaksanakannya di sekolah. Oleh sebab itu, pada malam ini saya terpaksa menyusun bahan supaya esok penjalanan slot tersebut akan teratur dan pengisiannya akan mencapai objektif iaitu untuk menjelaskan kepada guru-guru cara untuk melaksanakannya. Diharapkan dengan adanya program Pasak ini guru-guru akan dapat menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan dan akan dapat meningkatkan prestasi akademik pelajar.
      Selepas program LADAP dijalankan, semua guru dan kakitangan SMKASAS akan bersama-sama untuk acara sambutan Hari Raya Aidil Fitri 2011 anjuran Kelab 3K SMKASAS. Diharapkan esok merupakan hari yang bermakna untuk semua Warga Pendidik dan kakitangan SMKASAS kerana dalam keletihan melaksanakan program akademik dan menunggu kedatangan pemantau Kecemerlangan Kokurikulum Peringkat Kebangsaan pada hari Selasa, 27 September 2011 sekurang-kurangnya, esok merupakan hari yang menenangkan fikiran walaupun esok saya juga ada tanggungjawab untuk melaksanakan program LADAP. 

Isnin, 19 September 2011

KELEGAAN DAN KESYUKURAN KEPADA WARGA SMKASAS

Pada hari ini, berita tentang pemantauan Kokurikulum yang ditunda tarikhnya ke 27 September 2011, mengembirakan PK Koku, Setiausaha Koku, Penyelaras  dan Ketua-ketua Unit Kokurikulum sama ada unit Pakaian Seragam, Persatuan dan Kelab Sukan Permainan kerana diberi sedikit ruang masa untuk memperlengkap data dan bahan yang perlu ada di dalam fail. Sesungguhnya berita tersebut melegakan kami dan sekurang-kurangnya memberi peluang untuk pemantau melihat "juadah"  yang terbaik daripada Jawatankuasa Kuasa Kokurikulum SMKASAS. Saya juga merakamkan jutaan terima kasih kepada bekas-bekas pelajar yang begitu peka dan mengambil tahu tentang perkembangan SMKASAS dengan bertanya kepada saya  perkembangan semasa yang berlaku di SMKASAS. Sesungguhnya anda semua "INSAN KAMIL" yang pernah dilahirkan di bumi pendidikan SMKASAS. Doakan kejayaan SMKASAS walaupun pemantauan ini melibatkan persaingan sengit antara sekolah-sekolah yang menjadil wakil negeri di Malaysia. Namun tidak ada yang mustahil sekiranya kita mempunyai kekuatan tersendiri. Sentiasa Menerajui Kegemilangan Akhlak, Akademik & Sosial. Doakan kejayaan Kami Yang Masih Berdiri di Bumi  Pendidikan SMKASAS.

Khamis, 15 September 2011

PERUBAHAN MENDADAK PERSEKITARAN SMKASAS

Jika dirakam dengan video atau gambar, sukar untuk digambarkan perubahan persekitaran SMKASAS kerana semua papan kenyataan Unit Kokurikulum berwajah baru, dinding antara laluan Dewan Besar ke Bilik KH dicat baru dan paling menarik taman bunga di sebelah Dewan Besar berwajah baru, ditumbuhi dengan pokok ekpress dan di bahagian bawahnya di tanam dengan rumput kerpet, sememang sesiapa melihatnya akan teruja. Inilah impak menanti kedatangan pemantauan Kokurukulum yang bakal tiba pada 19 dan 20 September ini iaitu hari Isnin dan Selasa ini.

Isnin, 12 September 2011

SITUASI TEKANAN DAN CABARAN MULAI DIRASAI WARGA SMKASAS

Pencalonan SMKASAS sebagai  sebuah Sekolah Menengah Cemerlang Kategori Luar Bandar ke peringkat Kebangsaan mulai meragut ketenangan dan mulai dirasai bukan sahaja dalam kalangan pendidik malah pelajar. Bilangan hari yang berbaki sebelum kedatangan pemantau, telah menyebabkan warga SMKASAS terpaksa mengeluarkan keringat untuk tujuan tersebut. Pada hari ini mesyuarat kedua persediaan dan melaporkan gerak kerja setiap unit kokurikulum tekah dijalankan dan langkah tersebut sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tekanan kerana setiap unit kokurikulum mendapat gambaran tindakan yang akan diambil untuk memperlengkap setiap aspek bagi melengkapkan keperluan setiap unit sebelum dipantau oleh pihak pemantau yang akan tiba di SMKASAS pada 19, dan 20 September ini.
     Kemungkinan, pencalonan ini ada rahmatnya dan kepada guru yang terlibat dengan kelas peperiksaan terutama membimbing pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan SPM dan pelajar tingkatan 3 yang akan menghadapi PMR sudah pasti perlu berkorban masa dan tenaga kerana mereka terpaksa menyemak kertas peperiksaan dan menjalankan kelas flexi yang merupakan program "touch up" terakhir sebelum peperiksaan berlangsung. Pada masa yang sama, esok unit akademik JPN akan turun memantau perjalanan persediaan program sebelum PMR. Apapun yang penting ialah niat atau nawaitu guru perlu satu iaitu ikhlas dan bertanggungjawab kerana jika hanya dengan iktikad sebgitu semua masalah akan dapat diselesaikan. InsyaAllah, saya bangga menjadi warga pendidik SMKASAS. Semoga Warga Pendidik dan Pelajar SMKASAS terus cemerlang. Amin.

Jumaat, 9 September 2011

SMKASAS DICALONKAN SEBAGAI WAKIL NEGERI PERAK KE PERTANDINGAN SEKOLAH CEMERLANG KOKURIKULUM PERINGKAT KEBANGSAAN 2011 KATEGORI SEKOLAH MENENGAH LUAR BANDAR

Keputusan JPN Negeri Perak mencalonkan SMKASAS Sebagai Wakil Sekolah Menengah Kategori Luar Bandar Dalam Pertandingan Kecemerlangan Kokurikulum bersama dengan MCKK sebagai wakil sekolah menengah kategori lbandar ke pertandingan peringkat kebangsaan amat mengembirakan warga sekolah. Namun, pelbagai tugas perlu dipikul untuk menghadapi pertandingan tersebut kerana pelbagai persediaan perlu dilakukan sebelum panel penilaian perinkat kebangsaan akan turun memantau pada 19 dan 20 September 2011. Semoga semua pihak, termasuk bekas-bekas pelajar mendoakan kejayaan SMKASAS.

Isnin, 29 Ogos 2011

MODUL BAHASA MELAYU PMR DAN SPM 2012

USAHA UNTUK MENINGKATKAN PENGUASAAN BAHASA MELAYU PMR DAN SPM 2012 PERLU BERTERUSAN DAN SALAH SATUNYA ADALAH DENGAN MENERBITKAN MODUL BAHASA MELAYU PMR DAN SPM YANG AKAN DIGUNAKAN OLEH PELAJAR YANG AKAN MENGHADAPI KEDUA-DUA KERTAS BERKENAAN PADA TAHUN HADAPAN. SUNGGUHPUN MENERBITKAN SESUATU MODUL MELIBATKAN PENGORBANAN MASA, PENGGARAPAN IDEA, MENILAI DARI SEGI KEBERKESANAN MODUL TERSEBUT KEPADA PELAJAR, SAYA AKAN CUBA UNTUK MENERBITKAN MODUL BERKENAAN DENGAN HARAPAN PELAJAR 2012 AKAN DAPAT MENGGUNAKAN MODUL BARU KERANA UNTUK PMR BEBERAPA KOMPONEN PERLU DITAMBAH, DISAMPING KOMPONEN SEDIA ADA PERLU DIOLAH SEMULA AGAR LEBIH MANTAP DENGAN MENAIP SEMULA BAHAN TATABAHASA DAN LATIHAN BERPERINGKAT DARI SOALAN MUDAH KE SUSAH, MENAMBAH CONTOH KARANGAN TERBAIK, DAN MENGUBAH KESELURUHAN BAHAN KOMSAS ANTOLOGI DAN NOVEL KERANA PADA TAHUN HADAPAN PELAJAR TING. 3 AKAN MENGHADAPI KESELURUHAN SOALAN PMR MENJURUS KEPADA KOMSAS BARU APABILA PELAJAR TINGKATAN TIGA AKAN DIPERKENALKAN BAHAN ANTOLOGI DAN NOVEL BARU. JUSTERU, PUSINGAN PEMBELAJARAN KOMSAS ANTLOGI DAN NOVEL AKAN LENGKAP. 
         SEMEMANGNYA, USAHA UNTUK MENERBITKAN MODUL INI AMAT MEMERITKAN DAN MEMERLUKAN BANYAK MASA UNTUK MELAKUKANNYA, NAMUN SAYA AKAN CUBA MENERBITKANNYA BERMULA DARI SEKARANG KERANA SAYA MEMPUNYAI KOMITMEN UNTUK MENGAJAR DAN ADAKALANYA KOMITMEN SAYA DIPERLUKAN DI PERINGKAT DAERAH DAN NEGERI. BEGITU JUGA MODUL UNTUK PELAJAR SPM AKAN SAYA CUBA UNTUK MENGHASILKANNYA KERANA SAYA SUDAH ADA BAHAN UNTUK TUJUAN TERSEBUT CUMA UNTUK MEMURNIKANNYA. SAYA MELAKUKAN SEGALANYA KERANA PENERBITAN MODUL YANG TERDAHULU BANYAK MEMBERI IMPAK POSITIF DALAM MENINGKATKAN PRESTASI PELAJAR DALAM MENGUASAI KEMAHIRAN BAHASA MELAYU SAMADA KOMPONEN TATABAHASA, KOMSAS, DAN PENULISAN. SAYA BERDOA SEMOGA ALLAH MEMBERIKAN KEKUATAN KEPADA SAYA MENYIAPKAN KEDUA-DUA MODUL BERKENAAN DAN SAYA JUGA MENGHARAPKAN DOA PELAJAR AGAR SAYA DIBERI KEKUATAN DARI SEGI KESIHATAN DAN MASA UNTUK SAYA MELAKUKANNYA. INSYAALLAH.

Ahad, 28 Ogos 2011

PERINGATAN KEPADA PELAJAR YANG BAKAL MENGHADAPI PMR DAN SPM 2011

Assalamualaikum, kepada pelajar ting. 3 dan 5 2011, ingat anda telah dibekalkan kerja rumah yang agak banyak dan anda perlu menggunakan masa dengan sebaik mungkin kerana cuti Hari Raya pada kali ini hanya 7 hari dan kerja yang anda terima mengikut subjek, yakni PMR 9 subjek dan SPM 11 subjek. Justeru, anda perlu membahagikan masa dengan sebaik-baiknya kerana apabila pulang ke sekolah semula anda perlu  menyerahkan kerja anda di pondok jaga dan pastikan kerja anda bermutu dan jangan buat seperti melepaskan batok ditangga dan kerja tersebut perlu TERBAIK dan bermutu sebagaimana anda menjawab soalan ketika peperiksaan sebenar. Untuk Bahasa Melayu, pelajar ting. 3S, 3H dan ting. 5B saya ingin melihat jawapan anda bermutu. Selamat Hari Raya dan menjawab latihan yang diberikan dengan sebaik-baiknya. Ingat "Masa Itu Emas."

Rabu, 24 Ogos 2011

BULAN RAMADHAN SEMAKIN MENINGGALKAN KITA DAN BULAN SYAWAL AKAN MENJELMA

ASSALAMUALAIKUM KEPADA SEMUA PELAJAR  DAN BEKAS PELAJAR, SAYA INGIN MENGAMBIL KESEMPATAN DI BULAN RAMADHAN YANG MULIA INI UNTUK MEMOHON KEMAAFAN JIKA ADA SALAH SILAP SAYA DARI SEGI PERBUATAN DAN TUTUR KATA SEPANJANG SAYA MENGAJAR DAN SEMUA ITU SAYA LAKUKAN ADALAH UNTUK KEBAIKAN DAN SAYA MEMOHON MAAF JIKA ADA  HATI-HATI YANG TERSENTUH ATAS TINDAKAN SAYA. BERKENAAN. DIKESEMPATAN INI SAYA JUGA INGIN MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA YANG AKAN MENJELMA TIDAK LAMA LAGI. DOAKAN KESIHATAN SAYA SIHAT DAN DAPAT MENDIDIK ANAK-ANAK BANGSA.

Ahad, 21 Ogos 2011

LAMAN FACE BOOK SMKA SULTAN AZLAN SHAH

Kepada semua pelajar dan bekas pelajar,  anda boleh mendapat info terkini sebarang aktiviti dan program sekolah tercinta melalui alamat FB "Smka Sultan Azlan Shah." Untuk mendapatkan face book berkenaan pelajar perlu menaip mengikut alamat berkenaan dengan setiap permulaan aksara atau huruf ditulis huruf besar kerana terdapat banyak alamat face book berkaitan sekolah dibina oleh para pelajar.  Jika alamat yang dibuka betul, ada gambar paparan Dewan Besar As Shafie di paparan face book berkenaan. Justeru, jika tersilap anda akan membuka face book yang salah. Selamat melayari fb sekolah dengan gambar terkini berkaitan aktiviti yang telah berjalan.  Face Book berkenaan dibina oleh Cikgu Bainah dengan bantuan Cikgu Ahmad Sirajuddin. Harap maklum.

LAWATAN DATO' PENGARAH JABATAN PELAJARAN PERAK KE SMKASAS

Kami guru-guru SMKASAS mengalu-ngalukan lawatan Dato' Pengaran Jabatan Pelajaran Perak Dato' Mohd Rauhi bin Mohd Isa, DPMP, PMP, KMN, AMP, PPT,  ke SMKASAS yang dijadualkan pada hari Selasa 22/8/2011. Antara fokus kehadiran beliau adalah untuk melihat sendiri Post Mortem keputusan Peperiksaan Percubaan PMR 2011, Peperiksaan Pertengahan Tahun Ting. 5, dan peperiksaan dalaman sekolah. Semoga kehadiran Dato' akan meningkatkan motivasi kami guru-guru SMKASAS untuk merealisasikan slogan JPN Perak, Perak Sentiasa Di Puncak Kecemerlangan.

Rabu, 17 Ogos 2011

PERSEDIAAN MENGHADAPI PROGRAM KECEMERLANGAN BM SPM 2011

        Pada 20/8/2011 Program Pecutan SPM telah diadadakan di Dewan Besar SMKASAS dan alhamdulillah ketiga-tiga Guru Bahasa Melayu SPM 2011 telah hadir membantu pelajar SPM 2011 dalam membuat persiapan untuk menghadapi kertas Bahasa Melayu 1. Saya, Cikgu Ahmad Sirajuddin dan Cikgu Ariffin berusaha untuk membantu pelajar menghasilkan karangan berpandu, karangan umum berfokus diri, keluarga, negara, antarabangsa dan berfokus komsas. Berdasarkan tinjauan saya, usaha ini mencapai objektifnya kerana pelajar pada peringkat awal agak sukar menentukan hala tuju soalan terutama terdapat skema soalan Solaf yang diberikan JPN agak lari daripada  kehendak soalan cuma saya memberi penjelasan ada kebaikannya skema yang diberikan supaya pelajar menggunakan daya kreatif dan KBKK untuk mentafsirkan kehendak soalan. 
            Memang jelas, pelajar berjaya mengesan kesilapan berkenaan dan tahniah saya ucapkan kepada mereka kerana tidak mengikut bulat-bulat skema yang diberikan sebagai panduan sebelum mereka membuat pembentangan yang menjurus kepada penggunaan penta minda dan karangan yang lengkap. Selepas pembentangan , guru terus membuat komentar kelemahan dan kekuatan karangan yang dibina berdasarkan kriterian kerelevanan idea, pengolahan karangan, bahasa dan penggunaan ejaan dan tanda baca. Namun, begitu, masa yang dioeruntukkan agak terhad dan beberapa soalan tidak dapat dibentangkan dan akan dibincangkan dalam perjumpaan pecutan kedua pada hari Selasa ini. Ucapan terima kasih saya ucapkan kepada Cikgu Sirajuddin dan Cikgu Ariffin kerana kehadiran cikgu amat bererti kerana setiap guru mempunyai kekuatan tersendiri untuk memastikan program yang dijalankan memberi impak yang maksima ke arah penguasaan menulis karangan yang baik. Saya berdoa, program pecutan seperti ini akan dapat meningkatkan lagi mutu kemahiran mengarang para pelajar. Semoga program pecutan yang seterusnya akan dapat membatu pelajar untuk persediaan menghadapi peperiksaan Percubaan SPM  yang akan diadakan pada hari  Rabu (7/9/2011). Diharapkan juga pada hari Selasa (23/8/2011) program yang akan dijalankan akan memberi impak positif kepada kemahiran pelajar menjawab soalan kertas Bahasa Melayu 2 dan pada hari Isnin (5/9/2011)  akan diadakan rumusan dan perbincangan terakhir terhadap kedua-dua kertas sebelum mereka menghadapi peperiksaan Percubaan SPM 2011. 
       Saya memohon kepada semua warga SMKASAS dan juga bekas-bekas pelajar SMKASAS mendoakan kejayaan pelajar SPM pada tahun ini agar mereka memperoleh keputusan cemerlang sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh pelajar-pelajar SPM 2009 dan 2010. Sebagai guru kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan kejayaan berkenaan dan saya mengharapkan pelajar juga berusaha ke arah mencapai kecemerlangan berkenaan. Tidak ketinggalan juga saya mendoakan agar pelajar SPM 2011 cemerlang dalam 11 kertas SPM 2011. Amin.

Selasa, 16 Ogos 2011

POST MORTEM PEPERIKSAAN PERCUBAAN PMR 2011 DAN HALA TUJU PUAN PENGETUA SMKASAS

     Pada hari ini jam 2.00 petang, semua ketua panitia mata pelajaran membuat analisis pencapaian peperiksaan PMR  2011. Saya, sudah pasti pembentang pertama membuat analisis pencapaian mata pelajaran Bahasa Melayu dan kesimpulannya seramaI 130 mendapat gred A dan 6 orang mendapat gred B. Selain itu, setiap ketua panitia mata pelajaran dikehendaki membuat rumusan tentang kekuatan, kelemahan, dan program yang perlu diambil oleh setiap panitia supaya program kecemerlangan pelajar diisi sepenuhnya dalam masa satu bulan setengah sebelum PMR berlangsung.
      Rumusan  pembentangan setelah semua panitia membuat laporan  memperlihatkan seramai 17 orang pelajar memperoleh 9A, 15 orang 8A 1B, dan Puan Pengetua mengharapkan pencapaian pelajar mendapat keputusan 9A seramai 80 orang. Justeru, Puan Pengetua mengharapkan setiap panitia perlu merancang program kecemerlangan agar paling minimum setiap panitia mata pelajaran perlu memfokus seramai 80 orang pelajar mendapat gred A untuk merealisasikan impian berkenaan. Terpikul di bahu setiap panitia untuk untuk merealisasikan kejayaan berkenaan, dan Puan Pengetua membuat penekanan bahawa kecemerlangan berkenaan boleh dicapai sekiranya semua pihak bekerjasama dan semua impian pasti boleh digapai.
       Berdasarkan perwatakan Puan Pengetua, saya membuat tanggapan bahawa setiap pengetua yang menjadi ketua organisasi SMKASAS mempunyai gaya tersendiri mengelola institusi pendidikan ini dan Puan Pengetua menampakkan jiwa keibuan yang lebih mengambil berat soal keselesaan agar suasana kondusif dalam kalangan pelajar perlu diutamakan supaya  mereka dapat belajar dengan sempurna. Tahniah saya ucapkan, kerana pendekatan berkenaan tepat dan sesuai dilaksanakan kerana proses pembelajaran akan menjadi lebih dominan sekiranya jiwa pelajar sentiasa tenang apabila hati budi mereka kita selami dan sudah pasti mereka akan lebih proaktif untuk menggapai kecemerlangan yang diimpikan. Puan Pengetua juga berharap usaha kaunselor perlu menggembleng tenaga untuk memastikan pelajar sentiasa terpanggil untuk sama-sama berusaha menggapai kecemerlangan disamping ketua panitia dan guru-guru merancang pengisian program yang bermutu agar sisa-sisa waktu sebelum PMR dapat dipenuhi dengan aktiviti yang boleh menggilap kemahiran pelajar dalam mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan tersebut.
           Perlu diingat setiap pembaharuan memerlukan pengorbanan setiap warga SMKASAS, setiap kali bah setiap kali pantai akan berubah. Saya amat berkeyakinan dengan usaha kukuh dan sokongan PK. Pentadbiran, Puan Bainah dan Pengetua serta bantuan PK yang lain, Puan Pengetua mampu untuk membuat perubahan berkenaan. InsyaAllah, semoga dengan doa dari bekas-bekas pelajar dan warga SMKASAS, institusi pendidikan ini mampu untuk menggapai kecemerlangan. Selepas ini, usaha akan terus dilakukan untuk kita melihat kecemerlangan pelajar SPM 2011 pula.  Saya bangga menjadi tenaga pendidik SMKASAS.

Jumaat, 12 Ogos 2011

PEPERIKSAAN PERCUBAAN PMR TELAH BERLALU, BAGAIMANA PULA PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM?

Saya masih menunggu peperiksaan percubaan SPM,  dan cuma tinggap Program Pecutan SPM. Semoga usaha yang terakhir ini akan membuahkan hasil dan begitu juga kelas flexi juga merupakan program yang banyak memberi impak kepada calon SPM. Semoga SPM 2011 akan membuahkan hasil dan pelajar SPM tahun ini diharapkan sentiasa bersedia dan memberi tumupuan setiap program yang dijalankan. Andalah yang menentukan kecemerlangan Bahasa Melayu SMKASAS dan begitu juga mata pelajaran yang lain. Pastikan setiap latihan dan kerja yang diberikan siap. Kepada pelajar 5B tolong siapkan kerja karangan anda, dan nasihat saya anda sekarang sudah berada di kedudukan 90 meter terakhir dalam acara larian 100 meter, pecutlah dan jangan berkhayal lagi. Saya akan cuba membantu anda.

Isnin, 8 Ogos 2011

KEPUTUSAN SEMAKAN KERTAS BAHASA MELAYU PERCUBAAN PMR 2011

Bersyukur kehadrat Illahi  kerana dalam masa lima hari saya berjaya menyelesaikan semakan kertas Bahasa Melayu Percubaan seramai 67 orang pelajar dan keputusannya semua layak mendapat gred "A". Keputusan ini amat mengembirakan saya walaupun begitu lapan orang pelajar perlu diberi perhatian kerana markah mereka paling minimum untuk mendapat gred tersebut. Kesimpulannya, saya amat gembira kerana selama saya mengajar di SMKASAS inilah keputusan Peperiksaan Percubaan yang terbaik pernah dicapai oleh pelajar dan paling membanggakan kelas yang terlibat ialah kelas 3S dan 3H. Justeru, saya cuba untuk membimbing mereka untuk mendapat markah cemerlang atas. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada saya untuk merealisasikan kecemerlangan pelajar PMR tahun 2011 supaya pencapaiannya setanding dengan keputusan SPM 2009 dan 2010. Tahniah semua pelajar berkenaan. Saya bangga dengan pencapaian anda.

Ahad, 7 Ogos 2011

MINGGU PEPERIKSAAN PERCUBAAN UNTUK PELAJAR TINGKATAN 3 DAN GERAK GEMPUR UNTUK SPM, DAN PELAJAR LAIN MINGGU UJIAN SELARAS 2

Sebelum terlambat, selamat menjalani peperiksaan Percubaan PMR 2011 kepada pelajar Ting. 3,  Minggu Gerak Gempur SPM  untuk pelajar Ting. 5 dan Ujian Selaras kepada pelajar bukan kelas peperiksaan. Saya mendoakan anak didik SMKASAS sukses dan cemerlang dalam semua ujian yang sedang berjalan. Usaha Tangga Kejayaan.

ULASAN SOALAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN PMR 2011

Ulasan Kertas Soalan Percubaan Bahasa Melayu berdasarkan semakan skrip soalan pelajar.Soalan peperiksaan percubaan PMR tahun ini agak mencabar, namun rata-rata pelajar boleh menjawab Kertas Soalan 1 dengan baik tetapi untuk Kertas Soalan 2 banyak pelajar terperangkap dengan kehendak soalan kerana tidak membaca arahan soalan dengan baik. 
        Soalan bahagian Ringkasan tidak menjadi masalah kerana pelajar dapat menjawab soalan dengan baik tetapi untuk soalan pemahaman teks terutama soalan kedua dan ketiga banyak pelajar tidak menjawab soalan dengan tepat. Namun, soalan kedua terdapat di dalam teks dan soalan ketiga perlu pendapat sendiri. Manakala soalan karangan berpandu, terdapat segelintir pelajar yang tidak dapat mengawal kepanjangan patah perkataan. Sementara soalan karangan umum, ada sebilangan pelajar yang menjawab soalan peribahasa tetapi tidak menulis karangan mengikut maksud peribahasa, Carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum juga. Mereka lebih memfokus penulisan karangan nereka berdasarkan tema hubungan rakan sebaya sedangkan tema karangan sepaptutnya perlu memfokus hubungan adik beradik atau keluarga yang bermasalah tetapi akhirnya hubungan tersebut bertaut semula. Pelajar yang menulis karangan sebegini sudah pasti tidak memperoleh markah cemerlang kerana jawapan karangan mereka dianggap lari daripada tajuk. Justeru, pelajar perli berhati-hati menjawab soalan jenis ini dan paling utama pastikan mereka betul-betul faham maksud peribahasa sebelum menulis karangan tersebut.
           Begitu juga pelajar yang menjawab soalan Kepentingan Rumah Terbuka, ada sebilangan tidak mengetahui objektif utama program tersebut dijalankan kerana kurang membaca menyebabkan jawapan mereka ditulis secara umum dan hanya aktiviti rumah terbuka di peringkat individu sahaja difokuskan sedangkan program tersebut dijalankan di peringkat negeri dan kebangsaan untuk merapatkan hubungan antara kaum dan pemimpin. Pelajar yang kreatif dan luas pembacaannya akan mengaitkan program berkenaan dengan program 1 Malaysia yang diilhamkan oleh Dato' Najib Tun Razak Perdana Menteri Malaysia.
            Ada juga pelajar yang menjawab soalan surat kiriman rasmi dan penulisan soalan ini perlu kreatif membalas surat rakan dengan tajuk sahabat anda meminta pandangan tetang sikap remaja  di negara ini yang tidak gemar membaca dan pelajar diingatkan untuk menguasai karangan sebigini jika memilih tajuk berformat karangan tersebut. 
            Soalan berkaitan keperihalan pula, pelajar diminta menulis karangan perkhemahan unit beruniform dengan memfokus kepada menceritakan suasana dan pengalaman mereka sepanjang mengikuti aktiviti berkenaan. Justeru, pelajar seharusnya membuat pemerihalan mengenai suasana hutan dan keadaan alam sekitarnya disamping menceritakan pengalaman mereka.Pelajar yang gagal memfokus penulisan karangan kepada kedua-kedua  fokus penulisan tersebut tidak akan mendapat markah yang tinggi.
                Akhirnya, soalan yang didapati pelajar terperangkap dengan soalan kerana gagal memahami soalan adalah di bahagian soalan komsas novel. Pelajar dikehendaki menulis peristiwa yang mengambar keberanian ketiga watak utama novel iaitu novel tingkatan satu kepada watak Zarina, novel tingkatan 2 kepada watak Kapten Hassan dan novel tingkatan 3 watak Kudin. Namun, ada segelintir pelajar menjawab hanya berdasarkan satu atak sajaha, dan mereka sudah pasti akan mendapat markah rendah soalan berkenaan iaitu 4 markah daripada 10 markah yang diperuntukkan. Tegasnya, kesilapan pelajar ini ada kebaikannnya kerana kesalahan mereka masih boleh ditegur dan diperbaiki sebelum peperiksaan PMR sebenar. Diharapkan guru-guru mata pelajaran Bahasa Melayu perlu mengambil berat masalah di atas dan membantu pelajar agar lebih fokus kepada arahan soalan sebelum menjawab jawapan tersebut. Semoga mata peajaran Bahasa Melayu pelajar SMKASAS akan cemerlang pada tahun ini.InsyaAllah.

Jumaat, 5 Ogos 2011

SELAMAT MENYAMBUT KEDATANGAN BULAN RAMADHAN YANG MULIA

Selamat Menyambut Kedatangan Bulan Ramadhan Yang Mulia. Assalamualaikum kepada semua Anak Didik SMKASAS serta bekas-bekas pelajar, semoga sepanjang bulan mulia ini kita penuhi dengan amalan yang bermanfaat. Salam sayang anda yang membuka blog ini. Doakan blog ini akan ceria semula. InsyaAllah.

PENGETUA BARU SMKASAS

Selamat Datang Diucapkan Kepada Pengetua Baru SMKASAS, Puan Naemah bt. Ramli semoga kehadiran puan akan menyemarakkan Pusat Pendidikan Ini. Selamat Bertugas Kepada Mantan Pengetua SMKASAS Ustaz Arip B. Sa'aya di Bumi Kenyalang Sebagai Ketua Sektor Jabatan Pendidikan Sarawak. Sekali Air Bah Sekali Pantai Berubah.

Rabu, 23 Februari 2011

ASSALAMUALAIKUM KEPADA SEMUA PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

TERLEBIH DAHULU SAYA MEMOHON MAAF KERANA BLOG INI SUDAH LAMA TIDAK BEROPERASI DAN SAMPAIKAN SALAM SAYA KEPADA SEMUA PELAJAR DAN SAYA MENDOAKAN ANDA BERJAYA DI DUNIA DAN AKHIRAT. JADILAH INSAN KAMIL YANG SEJATI. AMIN

PERTANDINGAN BOLA BALING MSSD DAERAH PERAK TENGAH 2011

TARIKH : 1,2, DAN 3 FEBRUARI 2011
HARI      :  SELASA, RABU DAN KHAMIS
TEMPAT : DI PADANG SMK LAYANG-LAYANG KIRI.
MASA : 2.00 PETANG
Keputusan pertandingan Pasukan Lelaki Bawah 18 tahun menjadi Johan Kejohanan Bola Baling MSSD Perak Tengah dan Pasukan Perempuan Bawah 18 tahun hanya memasuki pertandingan peringkat Suku Akhir sahaja. Pada tahun ini seramai 5 orang pemain telah dipilih sebagai pemain daerah ke peringkat negeri tetapi dasar SMKASAS telah menghalang 4 orang pemain untuk menyertainya iaitu Aitf Haqani, Shah Aizat, Mohamad Faiz dan Mohamad Syazwan kerana soal prestasi akademik. Namun, saya yakin mereka pasrah menerima keputusan kerana pada masa yang sama terdapat program untuk pelajar ting. 5 yang dijalankan pada masa yang sama dengan Kejohanan Bola Baling Peringkat  Negeri yang dijalankan di Pengkalan Hulu Perak ( 11 hingga 14 Mac 20110). Pada masa yang sama saya yang telah tersenarai sebagai jurulatih pasukan Bola Baling Bawah 18 Tahun Perak Tengah mengambil keputusan menarik diri atas kapasiti pemain yang hanya seorang pemain SMKASAS dilepaskan untuk menyertai pasukan daerah iaitu Mohammad Khairul Nizam ( Biem). Namun, sebagai penasihat Bola Baling SMKASAS, keputusan sebagai Johan Pasukan Lelaki selama lima tahun, dalam masa 6 tahun kejohanan merupakan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan, tambahan pula dalam tahun 2009, 2010 dan 2011 Pasukan Bola Baling SMKASAS telah menjuarai pertandingan tersebut secara berturut-turut dan terima kasih kepada semua pemain, terutama 4 orang pemain yang saya perkatakan di atas kerana meneruskan penguasaan Bola Baling peringkat daerah. Saya juga mengucapkan tahniah kepada semua pemain bola baling yang pernah menyarung jesi untuk pertandingan sebelumnya, kemenangan ini adalah usaha anda semua. Tahniah! Tahniah! dan Tahniah.

KEPUTUSAN SPM 2010 DIJANGKA SELEPAS CUTI PERTENGAHAN SEMESTER PERTAMA

SEMOGA ALLAH MEMBERKATI SEGALA PENAT LELAH PELAJAR SPM 2010 DAN MARILAH KITA SAMA-SAMA MENDOAKAN KEJAYAAN MEREKA DALAM PEPERIKSAAN BERKENAAN. AMIN

PELANCARAN ALBUM KUMPULAN NASYID KLUSTER SUFWANTUNUR SMKASAS

HARI:  KHAMIS
TARIKH : 24/2/2011
MASA: 2.OO PETANG
TEMPAT : DEWAN BESAR AS SHAFIE
TAHNIAH KEPADA MEREKA YANG TERLIBAT.