SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Jumaat, 28 Mei 2010

MUSIM MENYEMAK KERTAS PEPERIKSAAN BERMULA DAN PADA MASA YANG SAMA TIMBUL BEBERAPA PERSOALAN SELAIN TUGAS RASMI DAN PERIBADI. BEGINIKAH TUGAS SEORANG INSAN BERGELAR GURU?

Kertas Peperiksaan Pertengahan Tahun Ting. 5 telah diterima dan saya baru menyemak beberapa skrip saja kerana kekengan masa dan perlunya perhatian diberikan terhadap ahli keluarga. Tambahan pula, rasa sengal dan letih pulang daripada Kuala Lumpur setelah membawa ayahanda rawatan susulan pada hari Rabu, dan pada hari Khamis mengambil anak ke Teluk Intan kerana cuti Hari Wesak masih terasa. Begitu juga, saya tersilap melihat jadual bertugas harian menyebabkan saya ke sekolah pada pagi tadi, sedangkan hari bertugas saya esok dan semuanya saya terima dengan redha. Sekurang-kurangnya di sekolah pagi tadi saya sempat memberi nasihat kepada dua putera saya yang sedang menghadapi peperiksaan dan mengingatkan mereka peri pentingnya menggunakan masa yang ada untuk mengulangkaji pelajaran serta strategi untuk menyelesaikan masalah yang ada. Hari ini saya juga sempat berbual dengan Cikgu Fazzuan yang kebetulan warden bertugas pada hari ini, dan beliau juga memberi nasihat kepada anak saya tentang persiapan menghadapi peperiksaan mereka yang saya dapati masih rapuh. Beginilah tugas seorang guru, dan seorang ayah dalam masa yang sama tugas seorang anak terhadap bapanya. Saya cuma berusaha di samping berdoa agar anak saya sedar dan faham tugas mereka, terutama dalam menghadapi peperiksaan PPT dan Peperiksaan SPM yang cuma tinggal beberapa bulan lagi.
       Saya juga terkejut kerana dimaklumkan oleh anak dan Cikgu Fazzuan bahawa program "Kepung"  akan dijalankan selepas peperiksaan PPT dijalankan. Cuma saya kurang pasti persediaan untuk merealisasikan program tersebut dari sudut perancangan dan pelaksanaannya. Pertama, kenapa program tersebut dimaklumkan lewat sedangkan peperiksaan sudah bermula. Kedua, bagaimana  pandangan guru-guru, panitia, dan adakah program tersebut diperhalusi di peringkat mesyuarat kurikulum akademik untuk mendapat makluman balas agar setiap program yang dijalankan betul-betul sesuai dan kondusif untuk pelajar dan di peringkat jabatan setiap guru sudah memahami arah tuju program tersebut. Ketiga, bagaimana dari segi modulnya adakah bahan disediakan dan siapa yang bertindak sebagai fasilitatornnya. Keempat, bila program tersebut dijalankan dan dari pemantauannya siapa yang terlibat untuk memastikan program tersebut berkesan sebagai satu program alternatif untuk kecemerlangan pelajar. Umumnya, setiap program perlu ada kertas cadangan dan kertas cadangan tersebut perlu dibentangkan untuk mendapat persetujuan setiap ahli sebelum diiktiraf sebagai kertas kerja.
         Program 'Kepung' ini sebenarnya telah diperkenalkan di sekolah berasrama penuh bertujuan untuk mendenda pelajar-pelajar mereka yang mencapai keputusan peperiksaan di bawah target. Cuma perlu diingat, sebelum program tersebut berjalan adakah pelajar sudah bersedia kerana dari segi kedudukan pelajar yang berada di SBP mereka terdiri daripada pelajar cemerlang dan yang terpilih dan jika keputusan mereka jatuh mungkin atas dasar kealpaan dan kurang bersedia menghadapi peperiksaan. Sungguhpun begitu, pelajar ini sudah dimaklumkan lebih awal tentang program yang dijalankan. Berbeza dengan pelajar SMKASAS kerana ada kalangan pelajarnya masih belum menguasai kemahiran asas bagi mata pelajaran tertentu.Apa yang ditakuti jika program tersebut dianggap menyeksakan pelajar. Sudah pasti. timbul masalah lain terutama daripada disiplin dan rasa bersalah menyebabkan mereka berasa rendah diri dan sebagainya.
          Sebagai seorang guru dan ketua panitia Bahasa Melayu, saya sentiasa menyokong program sekolah terutama program tersebut berasaskan usaha untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar. Cuma apa yang penting, saya mengharapkan setiap program itu perlu diperhalusi perancancangannya, dan juga dari segi pelaksanaannya perlu dibincang bersama kerana sebagai sebuah sekolah kluster akademik, pelaksananya meliputi semua tenaga pengajar dan merekalah yang perlu memahami terlebih dahulu setiap program yang dijalankan. Begitu juga dari segi organisasi, setiap ahlinya bermula dari akar umbi iaitu guru, ketua panitia,  majlis mesyuarat jabatan, majlis mesyuarat kurikulum akademik, majlis mesyuarat pentadbiran dan biarlah setiap perancangan diperhalusi dari peringkat awal kerana setiap program yang dijalankan adalah program bersama, jika berjaya sama-sama kita menikmati kejayaannya kerana jika tidak dilakukan sudah pasti ada pihak yang berasa kurang senang hati, terutama apabila program yang dijalankan menemui kegagalan. Cuma saya akan cuba untuk mendapat penjelasan mengenai program ini daripada pihak pentadbiran kerana setiap program yang baik perlu disokong cuma penjelasan perlu ada agar program ini betul-betul program sekolah dengan setiap ahli yang menjadi warga SMKASAS menerima program tersebut dengan hati terbuka. Saya berbicara tentang program ini kerana saya sayang sekolah, sayang anak didik dan akhirnya saya ingin melihat Insan yang dilahirkan di sini ialah "Insan Kamil yang Cemerlang, Gemilang, dan Terbilang." InsyaAllah. Amin.
        
          

Tiada ulasan: