SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Sabtu, 14 Ogos 2010

HARAPAN TUAN PENGETUA DAN CABARAN SERTA KESUNGGUHAN YANG PERLU ADA PADA PELAJAR DAN GURU.

Menyingkap kembali suasana resah pelajar ting. 3 sebelum menghadapi  peperiksaan percubaan PMR minggu lepas sudah terurai, tetapi kini impak daripada keputusan peperiksaan menjadi igauan bukan sahaja dirasai pelajar malah pentadbir dan warga pendidik yang terlibat dengan kelas peperiksaan. Sehingga kini, pelajar ting. 3H resah menunggu keputusan markah mereka sedangkan pelajar ting. 3K, 3S sudah boleh bertenang kerana keputusan mereka boleh dikatakan cemerlang apabila semua pelajar berkenaan mendapat gred A dalam peperiksaan berkenaan. Sehingga kini, saya masih lagi menyemak kertas jawapan pelajar ting. 3H. Setiap kali bertemu, pelajar 3H bertanya keputusan mereka. Untuk makluman pelajar, saya boleh mempercepat semakan tetapi impaknya jika saya berbuat demikian sudah pasti menjurus kepada kualiti semakan. Justeru, saya lebih suka menyemak dan mengesan kelemahan pelajar kerana pengesanan masalah pelajar membolehkan saya merangka program pemulihan dan menentukan kaedah yang perlu diambil setelah peperiksaan. 
        Perlu diingat, masa yang masih berbaki sebelum peperiksaan sebenar paling penting dan ketika ini latihan akan menjurus kepada pengukuhan kemahiran yang masih lemah, antaranya masalah utama yang dapat saya kesan kalangan pelajar ting. 3H ialah  kemahiran mereka memilih isi teks ringkasan, dan cara menjawab soalan pemahaman teks, masalah menulis karangan berpandu dan karangan umum, serta menjawab soalan komsas novel. Mereka kerap tersasar semasa menulis beberapa isi teks samada kerana kelemahan memilih perkataan yang sesuai atau meminda isi menyebabkan isi mereka tidak membawa maksud isi sebenar sehingga tersasar dari skema jawapan, begitu juga dari segi menjawab soalan pemahaman teks terutama soalan ketiga, mereka gagal menjawab soalan secara bercapah iaitu menjurus kepada kesan kepada pelajar, keluarga, institusi pendidikan, masyarakat, dan jawapan yang diberi hanya menjurus kepada pelajar sahaja dan jika ada jawapan yang ditulis tersasar terlampau jauh sehingga kepada perpaduan, dan ekonomi negara.
       Begitu juga karangan berpandu, terdapat segelintir pelajar gagal menggunakan stastitik yang terdapat dalam graf untuk memulakan penulisan sehingga karangan mereka terlampau umum dan hanya menyingkap peningkatan keputusan PMR sahaja semasa mengarang. Justeru, jawapan mereka seoalah-olah tidak berpandu kepada graf tetapi menjawab soalan karangan secara umum. Sungguhpun begitu kebanyakan pelajar berjaya menulis faktor-faktor menyebabkan berlakunya peningkatan jumlah pelajar memperoleh gred A dalam PMR. Malangnya, ada segelintir pelajar masih gagal menulis frasa menarik dalam karangan mereka. Justeru, kesimpulannya pelajar gagal menjawab soalan yang berpandukan graf dan latihan yang menjurus kepada soalan ini akan dipertingkat dan dipelbagaikan. Sementera soalan berkaitan karangan umum ada pelajar yang masih gagal membina ayat yang gramatis, menyelitkan frasa menarik dalam karangan mereka sedangkan berkali-kali saya mengingatkan peri penting istilah dan frasa menarik dalam karangan mereka untuk menentukan karangan tersebut cemerlang. Pelajar seolah-olah tidak membuat semakan setelah mengarang. Jika mereka membaca semula karangan mereka sudah pasti mereka akan mengesan kesalahan ayat samada dari segi pemilihan perkataan, mahupun dari segi semantiknya ataupun dari segi makna atau maksud ayat yang tidak mengambarkan maksud sebenar yang hendak disampaikan.
            Akhir sekali, kebanyakan pelajar gagal membaca kehendak soalan komsas novel. Jawapan mereka kebanyakan menjurus kepada peristiwa sedih dan gembira watak utama berdasarkan satu novel sahaja sedangkan soalan meminta mereka menulis peristiwa sedih dan gembira watak utama novel Merdeka!Merdeka dan Kapten Hassan Wira Bangsa. InsyaAllah, apabila sesi persekolahan dibuka semula dan pelajar balik semula ke sekolah, saya akan cuba untuk membuat post mortem jawapan pelajar, tetapi malangnya kertas jawapan kelas 3K yang saya harapak dikumpulkan pada hari ini masih belum saya terima. Hali ini berlaku kerana pada pagi tadi saya tersilap membaca jadual dan terlepas pandang waktu kelas 3K dan sehingga habis kelas saya tidak dipanggil. Mungkin tidak rezeki saya untuk masuk ke kelas 3K hari ini kerana saya sibuk menyemak kertas 3H.
             Sementara pelajar Ting.5, minggu depan anda pula akan menghadapi peperiksaan percubaan SPM. Saya berdoa agar anda dapat menjawab soalan peperiksaan berkenaan dengan sebaik-baiknya dan aplikasi semua kemahiran semasa menjawab soalan. Saya berdoa semoga anda sukses dan berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut. InsyaAllah. Sesungguhnya, Tuan Pengetua, Guru-guru mendoakan semua pelajar ting. 3 dan 5 akan mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Justeru, kepada pelajar dan guru terlibat, harapan dan amanat tersebut merupakan cabaran dan sama-sama kita berusaha untuk memastikan kecemerlangan berterusan terutama dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan umumnya mata pelajaran yang lain. Saya telah memutuskan untuk mengadakan mesyuarat Panitia Bahasa Melayu pada hari Khamis minggu depan untuk membincangkan post mortem keputusan Peperiksaan Percubaan PMR dan mengatur program dan latihan yang perlu untuk mengatasi format soalan peperiksaan yang masih belum dikuasai pelajar kerana melalui perbincangan bersama sudah pasti sebarang permasalahan akan dapat dirungkai. InysaAllah.

Tiada ulasan: