SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Isnin, 6 Februari 2012

BERCUTI PANJANG TETAPI MEMBOSANNKAN SEMOGA ADA PENGAKHIRANNYA

Hari demi hari berlalu dan kini sudah masuk sebulan lebih saya di rumah, kadang kala terasa beban saya ditanggung oleh rakan-rakan guru di sekolah terutama Cikgu Sirajuddin, Cikgu Ariffin dan Cikgu Rahayu kerana mereka sekarang mengambil alih kelas peperiksaan iaitu Ting. 3K, 3S dan 5S yang sepatutnya berada di bawah pengurusan saya sebagai seorang guru mata pelajaran Bahasa Melayu. Buat mereka, terima kasih banyak-banyak kerana sudi memberi pengisian ilmu kepada anak didik berkenaan. InsyaAllah, apabila sihat semula dan boleh berjalan seperti biasa, saya akan mengambil alih semula kelas berkenaan. Saya berdoa semoga pelajar yang sedia ada akan memperoleh ilmu kebahasaan daripada ketiga-tiga rakan guru di atas.
       Saya juga tidak pasti untuk kelas seterusnya, kerana sepatutnya saya perlu mengajar sebuah kelas lagi, rasanya ting. 4. Apa pun, diharapkan kelas berkenaan juga diuruskan guru bahasa Melayu dengan baik. Buat masa ini, saya masih bercuti dan setiap minggu saya ke Hospital Pantai Puteri untuk rawatan fisoterapi dan pada 14/2/2012 saya akan berjumpa Dr. Pakar untuk mengetahui perkembangan diri saya. Pagi Sabtu lalu,saya ada bertanya kepada pakar fisioterapi untuk mengetahui jangka masa saya boleh berjalan semula dan beliau mengagak kemungkinan saya boleh berjalan dalam masa sebulan lagi. Jawapan fisioterapi tersebut agak mengecewakan saya kerana saya berharap saya boleh berjalan semula dalam jangka masa terdekat dan tidaklah selama yang dijangkakannya. Saya berdoa semasa pertemuan dengan Dr. Pakar pada hari Selasa depan keputusan sebenar akan diputuskan kerana cuti saya akan tamat pada tarikh berkenaan. Buat masa sekarang pergerakan saya terbatas apabila terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan. Semoga saya boleh berjalan seperti biasa selepas ini. 
         Kini saya rindu akan alam persekolahan untuk mengajar seperti biasa.  Perasaan rindu akan pelajar, rakan-rakan guru dan persekitaran sekolah kerap melanda. Saya juga risau kerana saya mengajar kelas peperiksaan dan kini sudah sebulan lebih mereka belajar tanpa saya dan buat masa kini saya mengharapkan guru ganti berkenaan mengganti tugasan saya. Sesungguhnya jasa mereka sukar saya lupakan, cuma ucapan terima kasih atas pengorbanan mereka selama ini. Kepada para pelajar yang disayangi, doakan saya supaya boleh bertugas seperti biasa semula. Memang saya rindu kepada anak didik saya. Semoga kita dapat berjumpa semula. InsyaAllah.
          Kepada pelajar yang menziarahi saya, terima kasih saya ucapkan. Pada hari ini saya telah dikunjungi oleh Rashid dan sahabat-sahabatnya, setelah menghadiri majlis perkahwinan rakan sekelas mereka Fatin. Selamat pengantin baru kepada Fatin, semoga bahagia ke anak cucu.

Tiada ulasan: