SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Khamis, 6 Disember 2012

MESYUARAT KEWANGAN DAN PERBINCANGAN DI BILIK GERAKAN SMKASAS



          Alhamdulillah pada pukul 8.30 pagi tadi, saya telah menerima sms daripada Pn. Noor Hasnah bt. Alang, PK Pentadbiran SMKASAS untuk menghadiri mesyuarat Kewangan SMKASAS yang sepatutnya bermula pada pukul 9.00 pagi. Agak terkejut saya menerima mesej berkenaan, namun saya sampai ke sekolah pada pukul 8.50 pagi kerana sudah semestinya ada hal penting yang ingin dibincangkan. Antara perbincangan yang diadakan bersama dengan Puan Pengetua, beberapa ketetapan telah dibuat, antaranya hasil pembentangan yang dibuat oleh Pn. Nubiha berkaitan dengan wang masih terkumpul dalam akaun kerajaan perlu dihabiskan untuk memastikan penggunaan wang sekolah sifar. Keputusannya wang berbaki berkenaan akan digunakan untuk membeli ‘ink printer’ untuk kegunaan guru-guru, dan pembelian pen ‘white board dan refillnya sekali’. Saya memuji tindakan Puan Pengetua dan PK. Pentadbiran kerana buat pertama kali mengundang kami ketua panitia mata pelajaran berbincang tentang kewangan sekolah dan saya mencadangkan Puan Pengetua sentiasa memberi ruang kepada kami ketua panitia untuk sama-sama berbincang dan membuat keputusan bersama dengan pentadbiran sekolah, selain dapat membuat keputusan dengan cepat, dan telus.
           Dalam perbincangan tersebut Puan Pengetua memaklumkan secara tidak rasmi bahawa keputusan PMR 2012 akan diumumkan pada 19/12/2012. Di samping itu, Puan Pengetua meminta kami memberi pandangan perihal perjalanan sekolah pada tahun hadapan. Saya mencadangkan supaya pihak sekolah memberi ruang kepada guru-guru untuk menggunakan peralatan Pengajaran dan Pembelajaran seperti Lcd , makmal komputer, bilik bahasa, dan dewan kluster untuk memantapkan sistem pembelajaran pada tahun hadapan. Selain itu, saya mencadangkan supaya ada penambahbaikan dalam menjalankan teknik atau program menjawab soalan sama ada PMR atau SPM yang telah dijalankan di Pusat Latihan UITM Sungai Galah. Antaranya ialah jadual program, kerana fokus utama yang perlu diambil kira ialah ruang masa yang penuh perlu ditumpukan kepada program menjawab soalan, justeru, jadual program perlu ditepati, terutama jangan ada lagi masalah pelajar lambat sampai ke dewan semasa program berkenaan dijalankan kerana situasi ini akan merugikan pelajar kerana motivator akan gagal menyampaikan input terutama untuk membantu pelajar dari segi teknik menjawab soalan peperiksaan. Paling utama adalah untuk menjaga nama dan imej sekolah berdasarkan pandangan motivator yang diundang, kemungkinan pelajar akan dipersalahkan kerana tidak menepati jadual program sedangkan, faktor utamanya adalah kerana dalam program tersebut ada program lain seperti tazkirah dan sebagainya. Saya mencadangkan supaya waktu tazkirah tersebut dipinda ke waktu yang lain supaya pelajar berada di dewan selepas solat Maghrib. Saya berpandangan sedemikian kerana saya sendiri mengalami masalah berkenaan kerana ketika menyampaikan kuliah pada program berkenaan pelajar sampai lewat dan ada pengisian yang tidak dapat disampaikan sepenuhnya tempoh masa program yang terhad.
           Pada masa yang sama juga, saya mengucapkan terima kasih kepada Puan Pengetua dan PK Pentadbiran kerana buat pertama kali mengurangkan bebanan guru dalam p & p. Sehinggakan cadangan pembahagian guru mata pelajaran yang dicadangkan oleh panitia diubah dan setiap guru hanya dibenarkan mengajar dua kelas peperiksaan sahaja. Contohnya, jika sebelum ini dalam perbincangan panitia, saya akan mengajar kelas ting 3S, 3B, 4S, dan 5K tetapi jadual baru yang ditunjukkan kepada saya, saya akan mengajar dua kelas ting 4, dan dua kelas ting. 5. Namun, semasa PK Pentadbiran menunjukkan jadual yang telah siap disediakan, saya tidak melihat secara teliti kelas mana yang akan saya ajar tahun hadapan tetapi yang pastinya saya akan mengajar ting 5K kerana pelajarnya ialah pelajar ting 4K tahun lepas. Apapun, tahniah kepada pentadbir sekolah kerana saya pernah bercakap dalam mesyuarat, apa tindakan pentadbir untuk mengurangkan kerja kami yang sentiasa berat. Justeru dalam mesyuarat akhir guru 2012, guru-guru akan terkejut dengan reformasi yang dibuat oleh Puan Pengetua. Namun, apa yang diharapkan oleh Puan Pengetua ialah Ketua Panitia Mata Pelajaran perlu berbincang dengan guru mata pelajaran di bawahnya untuk merancang p & p berkesan. Maksudnya, walaupun saya tidak mengajar kelas ting. 3, saya boleh menyumbangkan tenaga semasa tuisyen, penyediaan bahan p & p, penyelenggaraan rancangan mengajar, dan sebagainya. Justeru, saya nampak betapa hebatnya jika mesyuarah diutamakan dalam merancang program sekolah kerana perbincangan untuk menentukan sesuatu perubahan perlu disertai setiap organisasi yang ada dalam struktur sekolah.
             Dalam perbincangan tersebut, Puan Pengetua mengharap dan mendoakan keputusan PMR dan SPM tahun ini meningkat. Justeru, kami sebulat suara menyokong Puan Pengetua dan bersama-sama mendokan kecemerlangan pelajar setelah menjalankan pelbagai usaha untuk peningkatan pencapaian akademik pelajar. Hal ini kerana, kami dimaklumkan selepas ini JPN, BPI dan PPD akan sering melawat sekolah berdasarkan laporan Lembaga Nazir yang telah berkampung di sekolah pada bulan November dahulu. Cuma saya cadangkan kepada Puan Pengetua untuk mendapatkan kertas laporan tersebut untuk memudahkan pihak sekolah mengkaji kelemahan dan kekuatan hasil pemantauan yang dijalankan. Hal ini kerana, untuk membuat perubahan PPD, Ketua Sektor Pendidikan Islam JPN dan BPI perlu  turun ke sekolah untuk berbincang dan memantapkan pentadbiran sekolah dan tidak perlu ada unsur merahsiakan kelemahan dan kekuatan sekolah kerana kelemahan tersebut perlu diperbaiki dan kekuatan pula perlu ada usaha penambahbaikan, barulah kecemerlangan boleh terhasil. InsyaAllah, kami guru-guru SMKASAS akan memberi sokongan dan bantuan kepada pihak pentadbir sekolah kerana kami mahu SMKASAS menjadi institusi pendidikan yang cemerlang bukan di peringkat daerah sahaja, malah negeri dan juga kebangsaan.
        Dalam perbincangan tersebut juga, ketetapan dibuat untuk mengkaji dan membuat keputusan dalam usaha memartabatkan SMKASAS perlu ada doktrin atau prosidur dalam menetapkan supaya pelajar yang tidak mencapai tahap kecemerlangan diharapkan akan ditukarkan ke sekolah lain. Namun, dalam prosidur berkenaan perlu ada kaedah amaran dengan memanggil ibu bapa ke sekolah berbincang  keputusan pelajar sebelum tindakan menukar sekolah diambil. Justeru, dengan adanya pendekatan sedemikian, sekurang-kurangnya pelajar akan ada kesedaran dan usaha untuk memastikan mereka adalah dalam kalangan pelajar cemerlang dan pelajar kluster untuk terus berada di institusi pendidikan ini. Di samping itu, setiap doktrin yang diperkenalkan perlu diperhalusi dengan membawa perbincangan tersebut ke peringkat PIBG, PPD, JPN dan BPI kerana tindakan ini melibatkan perundangan. Apapun yang penting pelajar SMKASAS perlulah pelajar kluster, bukan sekadar pelajar yang menumpang belajar di sekolah kluster.
          Kesimpulannya, tahniah pentadbir sekolah kerana reformasi yang dilakukan dan sama-sama kita berdoa setiap perubahan itu akan ada kebaikannya. Kepada pelajar dan bekas pelajar, doa anda diperlukan dalam memperkasakan SMKASAS. Doakan pelajar PMR dan SPM 2012 cemerlang dan doakankan juga usaha sekolah dan doakan juga kesihatan guru-guru SMKASAS untuk melahirkan lebih ramai “Insan Kamil” cemerlang. InsyaAllah.

Tiada ulasan: