SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Ahad, 17 Mac 2013

PASUKAN BAHAS ALA PARLIMEN SMKASAS 2013 GAGAL KE AKHIR

        Percaturan dan Strategi Pasukan Bahas Ala Parlimen SMKASAS 2013 serba -serbi tidak menjadi walaupun guru penasihat telah turun padang membantu peserta bahas.  Sungguhpun, kami guru penasihat sudah mengenalpasti masalah pasukan bahas  iaitu pembahas bahagian pembangkang tidak mempunyai jati diri yang unggul untuk beraksi semasa pertandingan. Justeru, guru penasihat telah membuat peneguhan kepada tugasan pembahas yang bertanggungjawab di posisi pembangkang dengan membina teks, mempertontonkan tugasan video memfokus kepada tugasan YB. Pembangkang, dan menjelaskan bagaimana untuk membuat sesi pengulungan tetapi YB. Ketua Pembangkang tidak dapat mengawal perasaan takut dan tidak percaya kepada diri sehingga gagal untuk menjalankan tugas sama ada untuk memberi hujah, mahupun untuk mempertegaskan fakta dan menangkis  izin laluan daripada pihak lawan. Walaupun ketika pertandingan bahas antara SMKASAS dengan SMK Iskandar Shah saya tidak dapat menyaksikan pertandingan kerana bertugas sebagai hakim untuk pertandingan antara Sarjana dan SMK Changkat Lada, tetapi saya mendapat ulasan daripada Cikgu Sirajuddin. Namun, pihak juri hakim memaklumkan kepada saya markah antara SMKASAS dengan SMKIS tidak banyak perbezaannya.
           Namun, nasib mungkin tidak menyebelahi pasukan bahas tahun ini kerana daripada tiga perlawanan, hanya diperingkat usul pertama sahaja pasukan pembahas mendapat undian untuk menjadi kerajaan tetapi di peringkat usul kedua dan ketiga, undian lebih kepada tugasan pembahas sebagai peranan pembangkang. Namun, tahniah kepada YB. Pembangkang ketiga kerana beliau memang seorang pembahas yang berkeliber kerana dapat menjalankan peranan sama ada sebagai pembahas kerajaan atau peranan sebagai pembangkang ketiga, dan akhirnya walaupun pasukan bahas gagal untuk ke final, beliau telah dipilih sebagai pembahas terbaik untuk pertandingan usul ketiga. Justeru, tanggapan saya sebagai guru penasihat, pasukan bahas ala parlimen kali tidak akan pergi jauh kerana kemampuan pembahas bahagian pembangkang agak rapuh tetapi saya redha dengan ketentuan tersebut. Saya juga, yakin setiap pembahas inginkan kejayaan tetapi jika pergi jauh sekalipun, tugas guru penasihat bahas juga akan sukar kerana banyak yang perlu diperbaiki untuk memperkukuhkan jentera pembangkang, selain mereka sendiri tidak dapat memahami tugas yang dibawa. Apapun, saya mengucapkan terima kasih kepada pembahas, kerana sekurang-kurangnya pembahas dapat merasai betapa bahas parlimen merupakan aktiviti berbahasa berprestij tinggi, bukan sekadar perlu mahir berbahasa tetapi paling penting mengawal diri, perasaan dan memahami tugasan dan tanggungjawab tersebut bukan sekadar tanggungjawab kepada pasukan, tetapi tanggungjawab kepada sekolah dan juga tanggungjawab memahami garis panduan yang diberi oleh guru penasihat.
          Sungguhpun begitu, beberapa orang pembahas boleh terus berperanan sebagai pembahas pada tahun hadapan dan tugas guru penasihat adalah untuk membuat post mortem, dan memperbaiki kelemahan dari sudut penglibatan pelajar menengah atas dalam bahas pada hujung tahun ini dan dari sudut pengurusan guru penasihat, insyaAllah. Sepatutnya, lebih ramai lagi pelajar menengah atas perlu terlibat dalam pertandingan bahas peringkat sekolah untuk memudahkan guru penasihat memilih pelajar yang berkaliber menjadi wakil sekolah dan diselitkan bersama pembahas yang berpotensi yang ada sekarang. Justeru, tugas seorang guru penasihat pasukan bahas ala parlimen bukan mudah sebenarnya tetapi akan mudah jika pembahas mempunyai jati diri yang tinggi.
            Kekalahan pasukan bahas ini juga ada hikmahnya, kerana dalam masa yang sama, tugas guru bertimbun yang perlu saya hadapi, semakan Ujian Selaras 1 belum siap lagi sedangkan semakan perlu disiapkan sebelum 22 Mac 2013, kemudian soalan latihan karangan  untuk daerah perlu disiapkan sebelum 18 Mac 2013 ( Keputusan Mesyuarat Panitia Bahasa Melayu Daerah Perak Tengah, saya perlu membina modul soalan dan jawapan penuh mengikut tahap murid SMKASAS sebagai contoh untuk daerah), semakan buku latihan murid perlu dihantar ke bilik gerakan untuk semakan pentadbiran pada minggu hadapan untuk semua kelas yang saya ajar dan bermakna semakan buku latihan perlu mantap ) dan satu lagi masalah saya, saya perlu menumpu pasukan Bola Baling Sekolah yang masih belum melakukan latihan dan pemilihan pemain, dan pada 21 Mac pula keputusan SPM akan keluar dan sudah pasti post mortem perlu dibuat, dan saya juga belum mengisi borang cukai pendapatan 2012. Pening juga, tetapi seperti biasa, semua perkara berkenaan akan selesai, dan sejarah sebelum telah menunjukkan bahawa saya mampu menyelesaikan semua masalah tetapi dengan kekuatan daripada Allah, semoga Allah memberkati usaha saya selama ini untuk kebaikan sekolah dan anak didik tetapi adakalanya saya rungsing kerana anak saya sendiri tidak diberi perhatian sangat. Hai inilah nasib seorang guru. Semoga saya dapat mengatasi semua masalah dengan segera, insyaAllah. Mungkin juga doa pelajar, jika mereka ingat kita.
          

Tiada ulasan: