SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Jumaat, 26 April 2013

TAHNIAH KEPADA PASUKAN SHAHIBBA SMKASASS 2013

     Pada hari ini 25 April 2013, pasukan Shahibba SMKASAS terdiri daripada tiga orang pelajar tingkatan satu iaitu adik Wan Nur Husna bt Wan Yunus (1K), Nurul Aina bt. Khairul Anuar (1H), dan Nurul Huda bt. Veddin (1H) telah menyertai pertandingan berkenaan di SMK Sultan Muhammad Shah, Parit. Pasukan Shahibba ini telah ditubuhkan dalam masa seminggu setelah saya menghadiri mesyuarat penyelarasan pertandingan pada minggu lepas. Dalam pada masa yang sama, saya juga tidak mempunyai pengalaman dari sudut syarat dan cara permainan Shahibba dijalankan tetapi setelah mengesan ketiga-tiga pelajar berkenaan pernah menyertai Pertandingan Shahibba di sekolah rendah, kelebihan yang ada saya gunakan sepenuhnya untuk menggunakan kemahiran pelajar berkenaan dan mula meminta mereka membuat latihan dalam masa tiga hari. Pada masa yang sama, saya telah memberikan mereka panduan permainan Shahibba disamping membaca dan memahami syarat dan cara permainan Shahibba dijalankan berdasarkan Kertas Peraturan Standard Sahibba yang dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
     Tambahan pula, saya juga telah dilantik sebagai Hakim Pertandingan kerana setiap sekolah yang menyertai pertiandingan ini dikehendaki menghantar seorang hakim, dan rata-rata kami guru dari tujuh buah sekolah yang terlibat dalam pertandingan tidak pernah didedahkan tatacara permainan ini dijalankan. Tambahan pula, inilah kali pertama pertandingan ini djalankan di peringkat daerah. Agak kelakar juga, kerana dalam masa lebih kurang 40 minit taklimat hakim dberikan kepada kami, kami sudah menjadi hakim pertandingan baru ini. Saya berasa bertuah kerana pendedahan  perihal permainan Shahibba membolehkan saya menubuhkan pasukan Shahibba sekolah. Setelah diadakan tiga kali pertandingan untuk pertandingan awal, separuh akhir dan final, salah seorang peserta SMKASAS telah berjaya menjadi johan pertandingan iaitu adik Wan Nur Husna bt. Wan Yunus. Dalam masa yang sama, keletihan setelah berpanas dan berhujan semasa pertandingan Bola Baling selama dua hari iaitu 22 dan 23 April 2013, terubat dengan kejayaan pelajar berkenaan.
        Berbalik kepada adik Wan Nur Husna, beliau sebenarnya tidak disenaraikan sebagai peseta kerana tidak sihat sepanjang dua hari latihan dijalankan tetapi semalam dia berjumpa saya untuk menyertai pertandingan berkenaan, sedangkan saya telah memilih seorang lagi calon lain untuk mewakili sekolah. Pada masa yang sama saya terpaksa membuat keputusan dan meminta beliau dan calon peserta ketiga sama-sama membuat keputusan kerana saya perlu bertindak seperti menarik rambut di dalam tepung, tepung tidak berterabur dan rambut tidak putus. Akhirnya, setelah saya maklumkan Wan merupakan peserta Shahibba yang mendapat tempat keenam dalam pertandingan Shahibba peringkat negeri untuk sekolah rendah tahun lepas dan akhirnya, adik Nurul Itqan bersetuju untuk memberi laluan kepada adik Wan Nur Husna untuk mewakili sekolah dalam pertandingan berkenaan. Percaturan saya mengena, dan berbaloi. Justeru, beliau akan mewakili pasukan Daerah Perak Tengah ke peringkat negeri pada 22 Mei 2013 yang akan diadakan di Daerah Kinta Selatan.
         Berdasarkan penelitian saya, pasukan Shahibba SMKASAS mempunyai jati diri yang tinggi, berdisiplin, dan mudah dilentur kerana mereka mengikut arahan kerana berada di tempat latihan setelah saya mendapatkan pelepasan kelas dan prep untuk mereka berlatih. Paling membanggakan, salah seorang daripada mereka sanggup membawa peralatan Shahibba daripada rumah untuk tujuan sesi latihan. Justeru, daya usaha, keinginan, dan disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh mereka perlu ada pada pelajar SMKASAS dalam apa juga pertandingan. Oleh sebab itu, saya membuat kesimpulan antara faktor kekalahan pasukan Bahas, peserta sajak dan pantun sebelum ini berfokus kepada kurangnya jati diri, disiplin, serta usaha untuk berjaya dalam kalangan pelajar yang terlibat. Semoga tulisan tidak seberapa ini, serta ciri-ciri kejayaan peserta Shahibba ini perlu dijadikan iktibar kepada pelajar lain. Jika ada kemahuan, di situ ada jalan, alang-alang menjeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan, usaha tangga kejayaan....... banyak lagi peribahasa dan kata-kata hikmat yang menyentuh konsep usaha yang perlu ada dalam kalangan pelajar yang ingin berjaya. Terima kasih juga saya ucapkan kepada Cikgu Tengku Hermawany bt. Raja Abd. Manan yang sudi menjadi guru pengiring kerana dalam berat sanggup juga bersama-sama pelajar dan kehadiran beliau juga membantu memberi semangat kepada pelajar untuk berjaya dalam pertandingan Koku-akademik ini. Tahniah kepada pelajar yang terlibat.

GAMBAR SEMASA PERTANDINGAN SHAHIBBA 

Tiada ulasan: