SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Rabu, 27 Januari 2010

Panduan Menulis Teks Rumusan SPM Kertas B. Melayu 2

BAHAGIAN 2 RUMUSAN DAN PETIKAN RUMUSAN
A. PENGENALAN
1. Soalan rumusan dikemukakan dalam Kertas BM 2 bahagian 1.
2. Soalan ini memperuntukkan 30 markah.
3. Pelajar perlu akur jumlah patah perkataan rumusan tidak lebih 120 patah perkataan.
4. Pelajar perlu mengambil perhatian terhadap soalan ini kerana mereka mudah untuk memperoleh markah penuh sekiranya faham kaedah menjawab soalan dengan format yang dikehendaki.

B. KAEDAH MENJAWAB SOALAN RUMUSAN
1. SEBELUM MENULIS RUMUSAN
a. Baca dan fahamkan arahan soalan supaya pelajar dapat mengesan kehendak soalan dengan tepat.
b. Gariskan kata kunci utama dan sampingan yang akan memandu pelajar untuk mencari
i) Isi tersurat ( Tersenarai dalam petikan)
ii) Isi tersirat ( Perlu ditulis sendiri berdasarkan kata kunci sampingan dan perkaitannya dengan isi tersurat/ Pendapat sendiri )
c. Baca petikan sekurang-kurangnya dua kali atau sehingga anda faham, kemudian gariskan isi tersurat yang terdapat dalam petikan berkaitan dengan kata kunci utama.
d. Untuk mendapatkan isi tersirat, anda perlu mengaitkan isi tersurat yang anda peroleh dan menulis perkaitannya berdasarkan kata kunci sampingan.

2. SEMASA MENULIS RUMUSAN
a. Penulisan Pendahuluan Rumusan ( 2 markah )
i. Pendahuluan rumusan perlu ditulis dalam satu ayat sahaja.
ii. Kata kunci yang perlu ditulis hanya kata kunci utama dan kata kunci sampingan tidak perlu disalin. Namun, tiada kesalahan jika kata kunci sampingan ditulis tetapi tindakan tersebut akan menambah bilangan perkataan dalam rumusan anda.
iii. Pastikan anda menukar kata kunci pertama dengan kata sama maksud untuk mendapat markah penuh bahagian pengenalan.
iv. Sekiranya kata kunci utama tidak diubah, pelajar akan mendapat 0 markah untuk bahagian pengenalan.

Di bawah disenaraikan kata kunci utama yang kerap dikemukan dalam soalan rumusan dan disenaraikan perkataan yang sama maksudnya untuk tujuan menukar perkataan fokus pertama:-
No. Kata Kunci Utama Kata Sama Maksud Dengan Kata Kunci Utama
1 Sebab-sebab punca-punca, faktor-faktor, potensi
2 Langkah-langkah usaha-usaha, cara-cara, tindakan-tindakan, cadangan-cadangan, teknik, modus operandi
3 Masalah kekangan, penghalang, karenah, batasan,
4 Faedah-faedah keperluan, , kepentingan, kesan-kesan positif, kebaikan, manfaat, kelebihan, kemaslahatan, afdal
5 Kesan-kesan akibat, keburukan, impak, implikasi, natijah
No. Kata Kunci Utama Kata Sama Maksud Dengan Kata Kunci Utama
6 Ciri-ciri sifat-sifat, kriteria,
7 Cadangan Usul, pendapat, pandangan,
8 Peranan fungsi, tanggungjawab, tugas, kewajipan
9 Faedah


Contoh soalan dan cara menulis pengenalan rumusan yang baik.
Contoh soalan rumusan

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-
usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan kesan-kesannya.


Contoh penulisan pengenalan rumusan

1. Petikan membincangkan langkah-langkah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. ( 2 markah )
2. Petikan membincangkan langkah-langkah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan kesan-kesannya. ( 2 markah )
3. Petikan membincangkan usaha-usaha mengurangkan kemalangan jalan-raya ( 0 markah)

Di bawah disenaraikan frasa yang boleh digunakan untuk memulakan pengenalan rumusan:-
1. Petikan teks memperkatakan......
2. Petikan teks menyentuh...
3. Petikan teks berkaitan...
4. Petikan teks membincangkan...
5. Petikan teks mengenai...
6. Petikan teks menerangkan..
7. Petikan teks menghuraikan..
8. Petikan teks menjelaskan
9. Petikan teks tentang.....


b. Penulisan isi tersurat ( 4 hingga 12 markah )
i. Isi tersurat ialah isi yang terdapat di dalam petikan teks dan panduan untuk menentukan isi ini berdasarkan kata kunci utama.
ii. Biasanya dalam petikan yang diberikan terdapat 9 hingga 10 isi tersurat.
iii. Calon perlu menulis sekurang-kurangnya 2 isi tersurat dalam bahagian ini.
iv. Markah calon akan hilang sekiranya, calon menulis perkataan cadangan / saranan seperti patut, mesti, perlu, boleh, atau harus dalam bahagian ini sekiranya kata kunci rumusan meminta calon menulis faktor atau kesan ( Telah berlaku). Kesimpulannya, calon tidak boleh menambah idea, cadangan atau membuat ulasan di bahagian ini.
v. Dicadangkan, calon menulis isi tersurat yang betul-betul mantap dan elakkan menulis isi tersurat yang rapuh.
vi. Elakkan juga menulis isi yang bertindan atau isi yang sama maksud ( Setara).
c. Penulisan isi tersirat ( 4 hingga 12 markah)
i. Calon mencari isi tersirat berdasarkan kata kunci sampingan atau arahan kedua dalam soalan rumusan.
ii. Pastikan isi tersirat tidak ada dalam petikan teks kerana isi yang tersenarai dalam teks bukan isi tersirat tetapi isi tersurat.
iii. Sebarang isi yang tidak ada perkaitan dengan isi tersurat atau tidak mempunyai perkaitan dengan kata kunci sampingan tidak dianggap sebagai isi tersirat.


d. Penulisan Kesimpulan ( 2 markah )
i. Kesimpulan sesuatu rumusan perlu ada ayat pandangan atau cadangan ( siapa yang terlibat) dan ayat harapan ( kesan daripada cadangan ) dengan menggunakan kata hubung agar/supaya.

2 ulasan:

sitiaiyshahabdullah berkata...

salam..cikgu..
terima kasih atas entri-entri blog cikgu yang berkaitan dengan panduan-panduan karangan dan sebagainya...
saya pernah menuntut ilmu bersama cikgu di smkasas dan sekarang saya di sbpi gopeng...masih ingat saya cikgu?..siti aiyshah...3k08
saya suka cikgu mengajar...cikgu hebat...dan rindu cara cikgu mengajar...semoga kesungguhan cikgu mengajar mampu melahirkan anak didik yg cemerlang...

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Assalamualaikum, terima kasih Aishah atas komen inti dan maaf daripada saya kerana sangat lama untuk membalas komen tersebut. Hal ini kerana baru sekarang saya tahu bagaimana nak balas komen dalanm blog ini. Aishah sila hubungi cikgu semula kerana cikgu ingin tahu perkembangan diri inti dan rakan-rakan.