SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Selasa, 8 Jun 2010

Gambar Hari Terakhir Kem Sahsiah dan Kem Matematik Tambahan 2010 ( GAMBAR TERKINI SMKASAS- KLIK PADA GAMBAR UNTUK PAPARAN SEMUA GAMBAR)


Alhamdulillah, kehidupan saya pada hari ini berjalan seperti dirancang. Pada hari ini, saya telah berkesempatan menyiapkan bahan untuk teknik menjawab kertas Bahasa Melayu SPM di SMK Seri Iskandar pada 22/6/2010. Justeru, saya ke SMKSI pada pukul 12.55 tengah hari dan sempat menyerahkan bahan tersebut kepada kerani sekolah berkenaan. Lega rasanya hati saya kerana tugas pertama selesai dan saya boleh menumpu perhatian kepada semakan kertas soalan PPT yang masih melambak belum disemak. Kemudian saya bersama anak saya singgah ke Masjid Daerah untuk menunaikan sembahyang Zohor sebelum ke sekolah untuk mengambil anak kembar saya yang kebetulan akan habis kem sahsiah pada pukul 3.30 petang. Saya terus ke pejabat dan mengambil surat rasmi Jemputan Teknik Menjawab SPM dari SMKSI. Kemudian, saya mengambil skema Peperiksaan Pertengahan Tahuh Ting.4 kerana guru SMA Maahad Al Aziz memerlukan skema tersebut dan saya cuba masukkan ke dalam blog saya supaya boleh diterima oleh beliau yang kini berada di Kelantan. Saya harap tugasan ini akan beres dan terima kasih kepada Cikgu Sirajuddin yang banyak membantu menyediakan soft dan hard copy bahan berkenaan.
Dalam masa yang sama saya teringat untuk mengambil gambar sekolah dan sebelum itu saya sempat mengambil gambar keindahan sekitar Masjid Daerah Perak Tengah dan gambar SMK Seri Iskandar yang terletak berhampiran masjid berkenaan di samping gambar sekeliling kawasan pemancar TLDM Seri Iskandar. Dalam hati saya begitu pesat pembangunan Daerah Perak Tengah terutamanya kawasan Seri Iskandar kerana pada suatu masa dahulu persekitarannya penuh dengan hutan dan kawasan lombong besar.Dalam pada itu, saya sempat mengambil gambar kem Matematik Tambahan, dalam masa yang sama juga saya terkenangkan kem Bahasa Melayu dan Teknik Menjawab bahasa Melayu yang masih belum diadakan lagi, sedangkan saya sudah memberi teknik menjawab PMR di SMA Maahad Al Aziz dan diikuti teknik SPM di SMKSI setelah tamatnya cuti persekolahan.
Kadang-kadang saya terkesima apabila memikirkan banyaknya kerja yang perlu saya buat, hati ini masih di bakar untuk merealisikan pembetukan Alumni SMKASAS dan dengan tekat itulah saya pandai membina blog dan face book hanya dengan kaedah cuba dan buat saja pada peringkat awalnya. Kini blog saya ini berkembang dan dilayari banyak pelajar dan bekas-bekas pelajar.Sudah pastilah untuk memantapkan blog ini saya perlu mengendalinya sebaik mungkin dengan sentiasa memasukkan info baru agar bahan tersebut dapat ditatap dan bahannya boleh mengimbau memorabila pelajar yang pernah berada di sini. Pada masa yang sama, saya cuba untuk memastikan tujuan asal blog ini tidak lari objektifnya, iaitu untuk memantapkan kemahiran bahasa pelajar-pelajar saya. Jika saya fikirkan, kerja sampingan dan kerja kerja wajib Allah saja yang tahu. Apa yang penting itulah kisah kehidupan, apabila saya mengimbau kembali kisah kerja saya yang terdahulu, semuanya berakhir dengan perasaan seronok dan liku-liku kehidupan itulah yang banyak mendewasa dan mematangkan saya. Justeru, saya puas hati akan setiap kerja-kerja yang saya buat.
Setelah saya amati, gambar-gambar SMKASAS semasa saya mula-mula menginjak bumi SMKASAS sebagai seorang guru pada tahun 2002, dan saya amati pula gambar SMKASAS sekarang, dalam hati saya bermonolog dalaman, "Alangkah bangganya saya menjadi seorang pendidik di SMKASAS". Jika suatu masa dahulu setiap kali masuk ke kawasan sekolah dan asrama sekolah, sayu hati ini apabila melihat kesuraman SMKASAS. Namum, kepesatan pembangunan dan juga usaha pentadbir menceriakan kawasan persekitaran sekolah semuanya berubah. Saya berharap bekas-bekas pelajar di luar sana lihatlah perubahan sekolah anda tempat "Insan Kamil Dilahirkan". Nampakkah perubahannya. Itu belum saya masukkan gambar prasarana baru di bahagian dalam bangunan. InsyaAllah, doakan usaha saya untuk memasukkan gambar-gambar prasarana baru di SMKASAS selepas ini untuk sama-sama kita nikmati panoramanya.
Kesimpulannya, kepada pelajar-pelajar SMKASAS yang kini berada di bumi SMKASAS apa yang kamu semua perlukan sudah ada di hadapan mata dan mungkin jika ditanya kepada bekas-bekas pelajar sudah pasti mereka terkilan kenapa panorama dan prasarana yang ada tidak tersedia semasa mereka berada di bumi pendidikan ini? Jawapannya, rezeki dan kuasa Tuhan di samping usaha pentadbiran dan kewangan kerajaan. Namum, perlu diingat, semuanya tidak akan kita kecapi tanpa usaha guru-guru dan bekas-bekas pelajar terdahulu kerana tanpa keputusan peperiksaan yang mantap dan ranking SMKASAS di peringkat negeri antara sepuluh sekolah terbaik Perak pada setiap tahun sudah pasti SMKASAS KLUSTER AKADEMIK tidak akan diperoleh. Dengan itu, saya mengharapkan kepada pelajar-pelajar SMKASAS ayuh majukan diri anda dan dengan dokongan dan bimbingan guru-guru dan pentadbiran yang sentiasa haus dengan istlah kecemerlangan, teruskan kecemelangan anda agar SMKASAS sentiasa Cemerlang, Gemilang dan Terbilang selaras dengan Slogan Sekolah "SMKASAS" -Sentiasa Menerajui Kegemilangan Akhlak, Sahsiah, Akademik & Sosial. Didoakan semoga SMKASAS akan terus melahirkan golongan pelajar kelas pertama kerana di sinilah Insan Kamil Dilahirkan.
Sebagai seorang guru, saya memohon dan mendoakan semoga Allah merahmati semua pelajar-pelajar SMKASAS terutama anak saya Mohammad Fitri dan Mohammad Firdaus, belajarlah bersungguh-sungguh kerana tidak ada ucapan dan harapan untuk melihat kamu semua berjaya. Lupakan segala kesenokan dan gangguan yang ada di luar sana kerana semuanya boleh melalai dan mengalpakan. Sementara itu, kepada semua bekas-bekas pelajar doakan semua warga SMKASAS termasuk pelajar-pelajar,kakitangan sekolah,guru-guru, dan pentadbir sekolah sentiasa cemerlang, gemilang dan terbilang. Sementara, kami semua warga SMKASAS mendoakan kejayaan kamu semua kerana kamu adalah merupakan model Insan Kamil Yang Pernah Dilahirkan Di sini. Amin.

Tiada ulasan: