SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Ahad, 27 Jun 2010

SEKALI AIR BAH SEKALI PASIR BERUBAH

Sekali lagi saya mengaitkan peribahasa dalam penulisan saya pada pagi ini. Peribahasa ini bermaksud apabila berlaku fenomena banjir sesekali sudah pasti  pantai akan berubah dan suasana ini boleh dianologikan dalam kehidupan manusia. Manusia yang normal dan memahami kedudukannya sebagai pelaksana dalam sesebuah organisasi mahu tidak  mahu perlu menerima perubahan berkenaan dan perubahan tersebut pula bergantung kepada persepsi orang yang menerima tugasan. Jika tugasan tersebut diterima dengan tangan terbuka, alhamdulillan, sebaliknya jika tidak impaknya adalah kepada klien iaitu orang yang menerima perkhidmatan kita kerana klien merupakan insan yang perlu kita utamakan. Namun, perlu diingat konsep memberi dan menerima perlu ada, barulah sesuatu kerja itu dapat berlaku dalam suasana kondusif, baik kepada pemberi mahupun penerima. Barulah konsep tersebut setara. Justeru, saya berdoa kepada Illahi agar suasana tersebut akan wujud dalam setiap institusi kerana setiap pelaksana dan penjalan tugas juga ada hati nurani, ada perasaan, ada jiwa dan bukan robot kerana bagi saya setakat ini setelah 22 tahun bertugas, saya cuba melakukan segala yang terbaik dan bagi saya seorang hamba ,orang boleh berbuat apa saja kepada saya dan saya akan cuba membantu mereka, walaupun saya sendiri kadang-kadang terseksa kerana itulah konsep kerjaya saya sebagai seorang guru. Cuma saya juga ada jiwa dan perasaan dan kini saya berasa jiwa saya cepat  tersentuh, bak kata  orang zaman sekarang sensitif kepada persekitaran.
           Suasana ini sebenarnya berlaku di setiap tempat saya bertugas, semasa di SK Kampung Lengkuas, dan SK. Padang Tenggala saya tidak menghadapi sebarang masalah mungkin kerana sekolah tersebut kecil dan bilangan pelajar tidak ramai tetapi di SK. Seri Iskandar saya menghadapi pelbagai dugaan dan saya berpendapat semuanya berlaku kerana kita adalah pelaksana bertanggung jawap dan di sinilah bermulanya cabaran dalam kehidupan saya sebagai seorang guru. Ringkasnya, pada suatu ketika saya dipertanggungjawabkan sebagai Setiausaha PIBG merangkap Setiausaha Kecemerlangan sekolah, bayangkan dalam mesyuarat PIBG selain membentangkan minit mesyuarat PIBG saya juga perlu membentangkan laporan kecemerlangan sekolah. Apabila saya terfikir kenapa saya sering diberi tanggungjawap dengan tugasan yang besar dalam kerjaya saya. Saya sendiri tidak boleh menjawabnya, hanya pentadbiran yang boleh memberi ulasan kerana bagi saya orang lain yang mentafsir diri kita. Begitu juga di SMKASAS situasinya lebih kurang sama saja. Di sekolah lama juga saya  cepat melatah kerana bebanan tugas. Di sini juga situasi yang sama berlaku ada saja tugasan yang saya terima. Saya masih ingat lagi kata-kata mantan Pengetua SMKASAS iaitu Allahyarham Ustaz Suhot semasa saya dilantik menjadi Setiausaha Sukan suatu masa dulu dan sebelum dia berkata selanjutnya saya terus menolak jawatan yang saya rasa terlampau besar dan berat untuk saya pikul tambahan pula saya baru saja posting, dan paling teruknya saya guru sekolah rendah sebelumnya. Berkali-kali saya merayu untuk menolak jawatan tersebut, timbul kata-katanya, "Cikgu saya melantik cikgu menjadi setiausaha sukan setelah membuat pertimbangan yang teliti dan ini adalah kepercayaan saya." Ustaz lantiklah orang lain di sekolah ini kerana lebih ramai cikgu di SMKASAS ini yang lebih layak memegang jawatan tersebut." kata saya. Cikgu ini pengalaman dan cikgu mungkin akan menjadi pentadbir suatu hari nanti dan semua pengalaman tersebut akan membantu cikgu ." Oleh sebab saya tidak mahu mendengar syarahannya saya cuma mendiamkan diri tanpa mengatakan persetujuan atau menolak pelawaan. Semua kisah lama dan baru ini saya kaitkan semula dengan peribahasa yang pernah saya bicara sebelum ini " Berat Mata Memandang Berat Lagi Bahu Memikul." 
             Kini, suasana kerjaya saya tegang semula  dan situasi ini  sudah mulai menghantui saya, secara jujur saya katakan saya begitu prihatin terhadap kerja yang saya lakukan dan saya tidak reti nak berpura-pura semasa bertugas baik semasa mengajar, menyemak kertas mahupun melahirkan bahan-bahan P&P seperti bahan mengajar, bahan untuk ceramah sama ada berbentuk teknik untuk menjawab soalan atau kemahiran berkaitan tatabahasa dan bahan untuk membimbing cara-cara untuk menghasilkan penulisan. bukan saya ingin berbangga dengan diri saya tetapi nawaitu utama saya adalah untuk pelajar-pelajar saya. Namun ada baiknya, kerana pada suatu ketika bahan-bahan itu yang menyelamatkan saya. Contohnya pada awal tahun ini saya telah dipantau oleh penyelia JPN dan sebenarnya saya bukanlan sebagai sasaran awal tetapi guru bahasa yang lain tetapi disebabkan suasana yang tidak mengizinkan beliau menyatakan untuk memantau ketua panitia bahasa Melayu tetapi saya tidak pernah menolak sedangkan saya kenal beliau semasa bersama-sama berkursus Sastera di Pulau Pinang cuma bezanya beliau menyertai kursus tersebut bukan peserta seperti saya tetapi sebagai wakil penyelia JPN. Perak kerana pada ketika itu terdapat tiga pesertua kursus  iaitu guru daripada negeri Perak, Kelantan, dan Pulau Pinang. Peringkat awalnya saya terkejut kerana selain itu beliau juga ingin melihat fail panitia. Saya menyuruh pelajar saya mengambil LCD dan saya terus membuka empat "pendrive" saya dan memilih bahan sesuai untuk melaksanakan P&P. Alhamdulillah  P&P tersebut berjaya saya laksanakan dan saya juga berjaya memberikan penerangan mengenai fail panitia dan perancangan yang dijalankan oleh Panitia BM untuk kecemerlangan mata pelajaran tersebut. Saya juga membuka fail post mortem kertas peperiksaan percubaan PMR 2009 dan dia menyatakan rasa kagum dengan bahan yang saya buat, disamping modul Ting.3. Sepatutnya saya boleh menyuruh setiausaha saya untuk memberi penerangan fail tersebut tetapi saya tidak mahu menyusahkan orang kerana banyak bahan dan maklumat saya buat sendiri kerana saya lebih berprinsip membantu orang lain. Selain itu, jika setiausaha panitia yang berjumpa dengan penyelia tersebut sudah pasti beliau akan menghadapi masalah terutama untuk menjelaskan program dan bahan yang perlu diketengahkan untuk diseliakan. Namun, saya perlu mengubah situasi tersebut kerana apa yang saya lalukan tidak tepat kerana ilmu tersebut saya yang dapat sedangkan setiausaha tidak mengalaminya. Memang, setiusaha akan rasa selamat tetapi setiausaha akan rugi kerana itulah ilmu yang amat berharga dan mematangkan kita sebagai seorang guru. Namun, paling saya bangga apabila tiga minggu lepas saya terbaca laporan penyeliaan berkenaan yang telah dikeluarkan oleh JPN dan keputusan hasil penyeliaan terhadap P&P saya dan fail panitia memberangsangkan, alhamdulillan.
              Selanjutnya, saya memikirkan bagaimana saya hendak menyemak karangan dalam seminggu sebanyak 120 karangan secara purata jika saya memberi mereka sebuah karangan seminggu. kepada pelajar. Untuk makluman dalam seminggu saya selalunya memberi 2  karangan untuk kelas peperiksaan. Apa nak jadi selepas ni? Hal ini tidak termasuk lagi latihan tatabahasa, ringkasan, rumusan, komsas novel dan sebagainya.  Sebagai penyelesaiannya, mungkin saya boleh bergantung kepada kaedah semakan rakan sebaya tetapi kaedah semakan ini juga memerlukan saya melakukan pemantauan supaya karangan yang disemak betul-betul berkualiti. Pening-pening. Bukan mudah untuk mencemerlangkan insan tetapi saya perlu lakukan kerana terbukti keesahannya cuma badan saja yang terseksa. Jika dulu saya boleh berihat sedikit semasa mengajar mata pelajaran Siviks,  itupun saya mengajar seperti mengajar mata pelajaran B. Melayu kerana di situ ada ilmu mengenai sahsiah dan penting untuk anak didik dalam menyeimbangkan rohani, jasmani, emosi dan mental. .Mana rehat saya selepas ini, tetapi fikiran saya masih positif, belum cuba belum tahu. Bayangkan, saya perlu menampi tiga kelas peperiksaan, kini kelas 2S sebagai kelas tambahan saya dan saya bukanlah orang yang sempurna, kerana saya banyak kekurangan. Cuma saya berserah kepada takdir Allah.
             Akibatnya mulut saya seperti tidak boleh ditutup, kini nak bercakap sahaja. Pentadbiran sepatutnya memahami perubahan ini terutama situasinya berkait pula dengan anak saya yang bakal mengambil peperiksaan SPM tahun ini. Saya juga ada keluarga di rumah dan saya ada mendengar rungutan sahabat-sahabat apabila kini  masa rehat hari Sabtu habis kerana ada saja program sekolah dijalankan pada hari tersebut. Perlu diingat, semua guru juga ada anak-anak yang perlu dididik di rumah. Kadang-kadang saya terkedu apabila saya cuba memberi pandangan dan ada pandangan saya tidak diambil peduli sedangkan impaknya saya sudah nampak terutama dalam menjalankan sesuatu program melibatkan akademik pelajar. Saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan orang lain, jangan kita menganggap pandangan orang lain tidak betul kerana adakalanya pandangan itu juga perlu diambil perhatian. Saya teringat kepada kisah seorang majikan berbangsa Jepun telah meminta pandangan pentadbirnya mencari resolusi untuk menyelesaikan masalah syarikat mereka tetapi masalah tersebut tidak juga dapat diselesaikan. Sehinggalah majikan tersebut berjumpa seorang tukang sapu kebetulan bekerja disyarikatnya dan dia memberi pandangan bagaimana untuk menyelesaikan masalah syarikatnya. Pada mulanya, pekerja tersebut risaua kerana orang yang berbual dengannya adalah orang paling dihormati di syarikat tempatnya bekerja. Alangkah terkejutnya beliau apabila pandangan tukang sapu itu lebih baik daripada berpuluh-puluh orang kanannya yang selama hari ini merupakan penasihatnya. Majikannya bukannya marah sebalik berbangga kerana mempunyai pekerja yang mempunyai buah fikiran yang matang dan kreatif. Hasil pandangan tukang sapu tersebut akhirnya syarikatnya berjaya menyelesaikan masalah dan majikan tersebut berjaya mengelak daripada mengalami kerugian besar. Selepas itu, tukang sapu itu diangkat menjadi penasihatnya. 
            Saya ingin menganalogi kisah di atas, antaranya jangan kita beranggapan program yang kita cadangkan baik dan berkesan kerana pandangan seorang individu tidak sama dengan pandangan ramai, kerana adakalanya kita terlupa situasi tempat, pelajar dan masalah dihadapi berbeza. Saya bukan kata program itu tidak elok kerana setiap program baik tetapi adalakanya kita terlupa ada yang perlu diperincikan agar program yang kita hendak jalankan kondusif dengan persekitaran kita supaya impak yang diperolehi sejajar dengan objektif yang dirancang. Ada banyak tempat untuk kita berbincang, terutama sekali dalam mesyuarat kurikulum dan selepas itu keputusan setiap program yang diputuskan boleh dibincang dalam panitia mata pelajaran untuk diperhalusi kerana di sinilah tempat pelaksana merancang dan melaksanakan program, berkenaan kemudian penyeliaan program akan dibicarakan dalam unit kecemerlangan sama ada untuk menjadual dan menyelia pelaksanaan setiap program. Melalui proses ini setiap perancangan akan difahami setiap warga pelaksanan dalam sesebuah institusi dan sudah pasti impaknya cemerlang. Jangan kita bekerja seorang diri kerana impaknya tidak seberapa dan paling utama hanya Allah saja yang layak memiliki kesempurnaan, insan biasa hanya sekadar menjalankan tugas dan kejayaannya adalah kerana keizinan Tuhan Rabbul Jalil. Perlu diingat, ada program yang dijalankan tidak disenangi oleh orang lain dan kita tidak mahu ada hati yang terguris kerana orang yang bekerja keras selama ini mendapati impak program terdahulu terkena pada anak sendiri. Cuba kita fikirkan adakah insan yang bergelar bapa ingin melihat anaknya menghadapi masalah kerana sesuatu program yang tidak memberi kebaikan kepada anaknya. Jawabnya tidak sama sekali, sekurang-kurangnya mereka juga akan meluahkan rasa tidak puas hati. Saya harap pisang tidak berbuah dua kali, perhalusi setiap perancangan dan pastikan perbincangan diadakan secara terbuka dengan mengambil tahu impaknya kepada insan yang lain kerana setiap insan ada naluri ,perasaan dan jiwa. Saya faham Tuan Pengetua mempunyai tanggungjawab yang berat dalam melayari bahtera sesebuah institusi tetapi dalam pada itu juga perlu berhati-hati dalam menerima sebarang cadangan dan program yang hendak dilaksanakan. Saya adalah seorang yang berfikiran terbuka dan saya juga manusia biasa yang mempunyai kekurangan. Namun, jika saya bersalah dan pandangan saya tidak berepa tepat tegurlah saya kerana sekali lagi saya mengingatkan saya amat menghormati pentadbiran yang berpegang kepada konsep memberi dan menerima, dan konsep ini perlu diperluaskan dalam pelbagai sudut kerana kejayaan kita adalah kejayaan bersama. Namun, saya bangga kerana menjadi pendidik di SMKASAS.
               Akhirnya, saya berdoa kepada Illahi agar saya masih kuat untuk menjalankan tugas saya ini sebaik-baiknya. InsyaAllah saya cuba mengelakkan daripada implikasi peribahasa, Yang dikejar tak dapat, yang dikendong bercicirian." Memang saya sedar untuk menghasilkan seorang Insan Kamil cemerlang memang susah tetapi tidak mustahil jika ada perancangan, disusuli dengan bahan, dan hasil kerja yang dilatih tubi, apa yang kita kehendaki akan diperoleh. Cuma yang saya risau saya ada tugas lain seperti warden, ketua panitia, kelas tuisyen, dan akhirnya keluarga. Sesekali biarlah kita berfikir secara lebih jauh, memikirkan impak daripada perancangan dan bukan terlampau ghairah memikirkan untuk menambah program sahaja dan jika perlu dijalankan pastikan program tersebut kondusif untuk pelajar. Semalam semasa Program bersama waris saya ada mendengar ibu bapa yang mengatakan anak-anak mereka stress  untuk balik semula ke sekolah apabila mendengar program kepung yang akan dijalankan pihak sekolah, sedangkan guru sendiri belum tahu apa sebenarnya perincian program berkenaan sehingga sukar untuk menyatakan secara jelas tentang program berkenaan. Begitu juga, saya ada mendengar guru-guru menyatakan anak murid mengemis memohon kepada guru supaya markah mereka dinaikkan supaya tidak terlibat dalam program kepung. Walaupun, mata pelajaran B. Melayu tidak ada yang kena kepung tetapi usaha ke arah mencemerlangkan prestasi mata pelajaran ini juga sukar dan memerlukan perbincangan bersama-sama guru mata pelajaran bahasa agar program yang dijalankan betul-betul menuju kepada sasarannya kerana kesepaduan dan kerjasama antara guru amat perlu untuk tujuan tersebut. Sama-sama kita fikirkan program berkenaan dan apa saja program yang hendak dirancang biarlah untuk kebaikan mereka kerana kita sayang anak didik, sayang sekolah dan sayang segala-galanya yang kita telah capai selama ini. Tambahan lagi, jika boleh biar program kepung tersebut bersesuaian dengan pelajar teribat dan bertambah baik jika pelajar yang tidak kena kepung juga terasa ingin menyertai program tersebut setelah mendapati kebaikannya kepada mereka. Jangan sebab nila setitik habis musnah susu sebelanga.
               

Tiada ulasan: