SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Khamis, 13 Oktober 2011

HASIL PEMANTAUAN PERSEDIAAN PAMERAN SEMPENA HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN KOKURIKULUM 2011

Sesampai saya di sekolah pada pukul 9.20 malam, ada segelintir pelajar sedang menyiapkan premis mereka dan mulanya timbul tanda tanya ke mana pelajar yang lain kerana hanya ahli Persatuan Bahasa Melayu yang berada di premis mereka dan begitu juga ahli kelab Sepak Takraw yang sedang mengalas meja untuk pameran. Apabila saya tanya ahli kelab dan unit beruniform yang lain mereka berkata, kebanyakan mereka berada di dalam makmal bahasa. Saya terus memantau aktiviti unit berkenaan. Apabila saya sampai di makmal bahasa seperti tidak ada tanda pelajar di dalam kerana tidak ada satu kasut pelajarpun di luar. Setelah saya buka pintu makmal bahasa, saya rasa teruja kerana setiap unit berada di tempat duduk komputer berkenaan kerana masing-masing cuba menyiapkan maklumat dengan melayari internet.
         Saya dapati, ada antara mereka sedang mencetak bahan, dan saya bertanya adakah dikenakan bayaran untuk setiap helai bahan berkenaan, dapatan saya sehelai bahan bercetak RM0.30 dan jika hitam putin RM0.10. Tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada pelajar, kerana sanggup menggunakan wang sendiri untuk tujuan pameran di premis mereka. Kedatangan saya pada malam ini selain memantau adalah untuk membantu Kelab Bola Baling saya kerana Mohammad Faiz bercadang untuk mencetak bahan untuk premis mereka. Dalam masa yang sama Kelab Bola Sepak juga meminta simpati daripada saya untuk mencetak bahan mereka. Atas dasar ingin memberi motivasi kepada mereka saya pun memberi ruang mencetak bahan mereka, cuma terdapat sedikit masalah kerana "pendirive" mereka mengandungi banyak virus. Memang, saya takut "virus" berkenaan akan merosakkan sistem komputer saya kerana terdapat banyak bahan p@p dalam simpanan  tetapi atas dasar tidak mahu mengecilkan hati dan memberi motivasi, saya cuba scan "pendrive" berkenaan dan kesannya sebayak 70 jenis virus dikesan dalam dua "pendrive" tersebut.
            Dengan tawakal dan nawaitu membantu mereka, saya pun terus mencetak bahan berkenaan kebanyakan berbentuk gambar dan ada juga maklumat. Cuma saya menyelami hati pelajar dan mengandaikan saya berada di tempat mereka betapa besar hati saya jika seorang guru membantu saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Hidzir, Cikgu Sirajuddin dan Ustazah Hanan kerana berada bersama pelajar kerana ketika inilah guru-guru berfungsi membantu pelajar kerana pelajar memang memerlukan bantuan untuk aktiviti sebelum dan semasa Hari Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum esok. Memang saya keletihan, kerana petang tadi pukul 4.30 baru balik ke rumah dan semalam menyelaraskan mesyuarat perancangan dan persiapan untuk pameran dan kelas petang dan balik pukul 5.00 petang. Hanya Allah yang tahu tanggungjawab seorang guru, dan balik ke rumah mengadap laptop untuk perancangan pengajaran esok pula dan begitulah setiap malam. Saya pernah bertekak dengan dua orang  ibu bapa apabila mereka mempertikaikan kerja guru SMKASAS lima tahun yang lalu sehinggakan saya menghempas meja dan keluar dari kelas serta meminta Ustazah Rodziah ketika itu sebagai guru kedua untuk melayan kerenah ibu bapa kerana di SMKASAS sebenarnya bukan tempat untuk bersenang lenang. Hanya mereka yang bertugas di bumi SMKASAS akan mengetahui situasi berkenaan.Ibu bapa berkenaan mempertikaikan keputusan anaknya dalam peperiksaan kerana mendapat gred "B" dalam peperiksaan, setelah saya nyatakan keputusan tersebut boleh diperbaiki dan setiap guru mengambil berat setiap pelajar yang berada di SMKASAS. Namun, bapa pelajar berkenaan terus menyalahkan guru dan pentadbir menyebabkan anaknya mendapat gred "B" dalam mata pelajaran tertentu. Selain itu, bapa pelajar tersebut juga menyalahkan PIBG, saya terpaksa mempertahankan guru dan pentadbir serta PIBG kerana saya ketika itu setiusaha PIBG. Saya terus menyatakan bahawa kerja seorang guru di SMKASAS berat dalam pada itu saya dan guru-guru di SMKASAS akan berusaha untuk memastikan anak-anak pelajar mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Ibu bapa berkenaan tetap menyatakan bahawa kerja guru-guru mudah dan disampuk oleh seorang ibu bapa dengan membandingkan kerja di sekolahnya kerana beliau seorang guru. Oleh sebab saya tidak dapat menahan marah dan sebelum keluar daripada kelas semasa perjumpaan ibu bapa pelajar dengan guru, saya menyuruhnya berjumpa dengan pengetua jika dia masih tidak berpuas hati. Apabila saya terkenang peristiwa tersebut, saya ketawa kerana bekerja sebagai seorang guru, kita mesti tabah melawan arus serta onak dan duri. Jika benar, kita perlu mempertahankan kebenaran. Pada masa yang sama ketika itu saya sibuk dengan aktiviti bahas ala parlimen dan pada tahun tersebut peserta bahas menjadi johan peringkat negeri.
           Namun saya beryukur kerana dalam kesibukan berkenaan, tiga artikel dapat saya tulis pada hari ini. Tujuan saya menulis di blog ini sekadar untuk memaparkan suasana di SMKASAS dan sepatutnya para pelajar bertuah kerana berada di bumi SMKASAS. Pada pandangan saya, jika para pelajar dapat menggunakan kesempatan yang ada, di sinilah para pelajar dapat menempa ilmu kepimpinan dan menjadi seorang pelajar kreatif dalam mengendalikan sebarang program sekolah selain daripada menimba ilmu akademik. Agak malang jika pelajar SMKASAS menjadi "katak bawah tempurung" tanpa mempedulikan sebarang aktiviti yang sentiasa berjalan di sini. InsyaAllah, apabila keluar daripada SMKASAS, ilmu yang anda tempa di sini amat berguna ketika anda berada di IPT dan di tempat kerja nanti. Buktinya ramai pelajar yang berjaya di luar sana telah menggunakan masa dan kreativiti mereka selama berada di bumi pendidikan bertuah ini. Segala onak duri yang dialami di sini akan berbuah menghasilkan buah yang enak apabila anda keluar dari institusi pendidikan ini.

Tiada ulasan: