SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Sabtu, 29 September 2012

PROGRAM SEMINAR KEIBUBAPAAN, BACAAN YASIN, SOLAT HAJAT (SIRI KE-3), PAMERAN KERJAYA, DAN PAMERAN PENCEGAHAN DADAH.

           Pada hari ini telah diadakan program empat serangkai iaitu Program Seminar Keibubapaan, Bacaan Yasin, Solat Hajat (siri ke-3), Pameran Kerjaya, dan Pameran Pencegahan Jenayah. Antara objektif program ini adalah untuk menyedarkan ibu bapa, pelajar yang akan mengambil peperiksaan awam pada hujung tahun ini betapa pentingnya hari-hari berbaki sebelum peperiksaan bermula. Hal ini kerana PMR akan bermula  9 hari lagi, SPM 36 hari, dan STPM 46 hari lagi. Disamping itu sebagai acara selingan diadakan pameran kerjaya melibatkan beberapa buah IPTA, pameran dadah serta klinik kesihatan untuk ibu bapa dan guru-guru.
            Semasa slot Program Seminar Keibubapaan, Tuan Hj. Mior Shahrin b. HJ. Mior Mohd Yusuf, Yang Dipertua PIBG SMKASAS meminta ibu bapa supaya lebih perihatin terhadap anak-anak yang akan menghadapi peperiksaan pada tahun ini kerana kejayaan anak-anak juga bergantung kepada tanggungjawab ibu bapa. Tambahan pula pihak sekolah telah menjalankan pelbagai usaha untuk kejayaan anak-anak mereka. Puan Pengetua dalam ucapannya, mengharapkan ibu bapa sentiasa mengawasi anak-anak  terutama ketika bercuti kerana baru-baru ini Peperiksaan Pra PMR telah diadakan dan beliau kecewa kerana keputusannya prestasi pencapaian mereka jatuh berbanding keputusan Peperiksaan Percubaan PMR kendalian Jabatan Pelajaran Perak. Antara faktor yang dikesan mempengaruhi kejatuhan keputusan berkenaan adalah kerana anak-anak dibenarkan balik kampung selama tiga hari sempena cuti Hari Jadi Malaysia yang lalu. Pengerusi Majlis menambah (Mohd. Ramsul Abd. Rahiman), pada masa yang sama pihak sekolah berpendapat kebenaran bercuti diberi memandangkan seminggu sebelumnya pelajar tingkatan 3 telah menghadiri Kem Kecemerlangan Di Pusat Latihan UITM, Sungai Galah, di Kampung Gajah. Sepanjang Kem tersebut guru-guru pakar Mata Pelajaran telah dijemput untuk memberi teknik menjawab kepada pelajar. Namun, malangnya kemungkinan pelajar tidak mengambil kesempatan mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Pra PMR ketika bercuti di kampung. Tambahan pula, peperiksaan tersebut hanya dijalankan peringkat sekolah sahaja dan kemungkinan mereka tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Justeru, diharapkan baki hari yang tinggal sebelum peperiksaan PMR selama 9 hari perlu digunakan oleh pelajar untuk persediaan menghadapi peperiksaan dan guru-guru mata pelajaran akan berusaha untuk menyediakan pembelajaran secara sistematik dan berkualiti untuk membantu pelajar bersedia menghadapi peperiksaan awam. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu menenangkan jiwa anak-anak dan tidak memberi tekanan kepada mereka, kerana kegagalan anak-anak bukan bermakna kegagalan dalam peperiksaan sebenar dan berilah kepercayaan kepada sekolah terutama guru-guru mata pelajaran untuk mengatasi situasi tersebut, dan ibu bapa pula perlu berdoa agar anak-anak mereka berjaya kerana doa mereka mustajab.
             Slot terkakhir ialah ceramah keibubapaan oleh Ustaz Yasruddin bin Osman salah seorang penceramah bebas yang sering kedengaran suaranya di Radio FM Perak. Konklusinya, beliau memberi penegasan untuk berjaya cemerlang dalam peperiksaan, ibu bapa dan anak-anak perlu memberi penekanan kepada kecemerlangan iman, amalan positif yang ditegaskan oleh Rasulullah dan sahabat perlu diberi penekanan, selain usaha anak-anak dan diakhiri dengan doa ibu bapa, pelajar, guru-guru dan warga sekolah. Ceramah tamat jam 12.15 tengah hari dan ibu bapa disajikan makanan dan minuman yang siap dibungkuskan. Ibu bapa dan guru kemudiannya bergerak ke masjid untuk menunaikan Solat Zohor secara berjemaah dan kemudian membaca Surah Yasin dan Solat Hajat untuk meminta Allah menenang dan mempermudah anak-anak menjawab soalan peperiksaan awam pada bulan Oktober dan November ini. Sama-samalah kita mendoakan kejayaan mereka. Wasalam.
           

Tiada ulasan: