SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Sabtu, 6 Oktober 2012

PERISTIWA BERLAKU SEPANJANG SEMINGGU

Alhamdulillah, saya berjaya mengharungi liku-liku kehidupan sebagai guru sepanjang minggu ini dengan jayanya. Bermula hari Selasa, Rabu, dan Khamis, saya berjaya hadir untuk kelas tuisyen malam untuk Ting 3S, 5S bermula pukul 9.00 malam hingga 10.00 malam kecuali hari Khamis bermula pukul 8.15 malam atas permintaan pelajar kelas Ting. 3K. Pada minggu ini juga saya dimaklumkan saya dan bertugas Cikgu Mohd. Zafrullah bertugas, dan oleh sebab Cikgu Zafrullah sibuk, maka saya terpaksan mengendalikan ucapan guru bertugas semasa perhimpunan mingguan pada hari Jumaat.
       Selain itu, pada hari Rabu telah diadakan post  mortem untuk peperiksaan Percubaan SPM 2012 dan sekali lagi saya terpaksa menyiapkan powerpoint untuk tujuan tersebut. Pada pukul 2.45 petang, setelah post mortem STPM diajalankan dari pukul 12.30 hari, semua ketua panitia berada di dewan besar bersama mendengar post mortem berkenaan. Hal ini jarang berlaku di SMKASAS tetapi atas kehendak Puan Pengetua. Diharapkan pelajar akan mendengar rintihan guru mata pelajaran hasil pembentangan Ketua Panitia Mata Pelajaran. Dalam pembentangan post mortem tersebut, saya telah menyelitkan peristiwa mengembirakan guru-guru bahasa Melayu, apabila pada tahun 2009, daripada 122 orang pelajar SPM, seramai 111 orang pelajar telah mendapat gred "A+" sementara 11 pelajar pula mendapat gred "A" dalam mata pelajaran bahasa Melayu. Justeru, saya meminta pelajar bersungguh-sungguh membuat persiapan dalam menghadapi peperiksaan SPM dan sentiasa cuma menghasilkan hasil kerja yang cemerlang. Bak kata pepatah jika tidak dipecahkan runyung, manakan dapat sagunya. Seterusnya, peribahasa Melayu juga ada menyebut, Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Post Mortem tersebut berlangsung sehingga pukul 6.00 petang. Saya terpaksa balik awal dengan kebenaran Tuan Pengetua kerana pada sebelah malamnya saya ada kelas tuisyen.ini.
       Pada hari Jumaat juga, pada pukul 10.30 pagi Tuan Pengetua mengarahkan semua pelajar Ting. 3  dan Guru Mata Pelajaran ke Dewan Besar untuk Majlis Restu Ilmu kerana pelajar Ting. 3 akan menghadapi peperiksaan PMR pada hari Selasa ini bersamaan 9/10/2012. Dalam ucapan saya, pelajar dimaklumkan bahawa prestasi terbaik PMR adalah pada tahun 2010 kerana daripada 129 orang pelajar yang menduduki peperiksaan PMR hanya dua orang calon mendapat B, pada tahun 2010 seramai 13 orang calon mendapat B dan gred tersebut disumbangkan oleh pelajar Ting. 3B. Justeru, pada tahun ini saya memberi kepercayaan kepada pelajar Ting. 3B untuk menyumbangkan keputusan yang memberangsangkan guru kerana kejayaan pelajar akan meyentuh perasaan guru kerana jika keputusannya baik guru akan bergembira bersama pelajar sebaliknya jika pelajar tidak berjaya mendapat keputusan cemerlang, guru turut bersedih dengan keputusan tersebut. Saya juga berkata, guru-guru tidak akan mengalah sehingga tarikh sebenar peperiksaan berlangsung. Justeru, pada hari Ahad ini akan diadakan sesi kem BM untuk pelajar bermula pukul 8.00 pagi hingga 10.00 pagi dan pada hari Isnin kem BM akan bermula pada pukul 12.00 tengah hari sehingga 4.00 petang. Oleh sebab itu, kami guru BM akan sentiasa membuat perancangan terbaik untuk mereka InsyaAllah.
        Namun begitu, untuk kem hari Ahad, kami terpaksa berbahagi tugas kerana Cikgu Sirajuddin akan mengendalikan Program Pecutan SPM untuk BM yang berlangsung di Pusat Latihan UITM, Sungai Galah apabila Panitia BM menjemput Hajah Zaiton Guru Pakar BM DG 52 rakan saya sama-sama menyemak kertas BM2 untuk memberi ceramah kepada pelajar SPM Ting. 5, dan insyaAllah saya dan Cikgu Rahayu akan mengendalikan Kem PMR di sekolah. Sesungguhnya hati saya ingin ke Pusat Latihan UITM, tetapi saya perlu memberi keutamaan untuk pelajar PMR di sini kerana mereka semaikin hampir dengan peperiksaan.
          Untuk makluman, seramai 100 orang pelajar ting. 5 dan leebih kurang 60 orang pelajar STPM kini berada di Pusat Latihan UITM, Sungai Galah menyertai Program Pecutan SPM dan STPM anjuran pihak sekolah. Jika saya hendak luahkan, badan saya dah hilang tenaga untuk mengerjakan semua tugasan. Tambahan pula, saya bersyukur kepada Allah, dalam sesibuk macam mana pun, saya berjaya juga mengendalikan Teknik Menjawab SPM di SMK Lambor Kiri, namun saya tidak berpuas hati kerana semasa menyiapkan bahan Powerpoint, saya tergesa-gesa memandangkan tugas saya yang begitu banyak. Namun kesyukuran juga kepada Allah kerana taklimat yang saya sampaikan selama dua jam dapat memberi sumbangan kepada pelajar Melayu di sana. Cuma oleh sebab masa yang terhad saya hanya dapat memberi tumpuan kepada rumusan, pemahaman umum, pemahaman prosa moden, pemahaman prosa klasik, pemahaman puisi dan soalam komsas novel. Untuk bahagian tatabahasa saya hanya dapat menyentuh sedikit sahaja kerana kekangan masa. Alhamdulillah saya berjaya juga menjalankan tugas saya yang agak mencabar pada minggu ini. Keluhan ini hanya akan dirasa oleh seorang guru yang bergelar guru. Nikmatnya hanya Allah yang tahu. Alhamdulilah.
           Tidur saya sungguh nyenyak malam tadi, belum sempat berfikir panjang, saya labuhkan kepala ke bantal, saya sudah melupakan masalah dan kerja bertimbun. Nikmatnya tidur saya malam tadi. Alhamdulillah sekali lagi. Cuma saya akan meneruskan tugasan dengan terus merancang program untuk hari-hari yang mendatang. Apabila saya terjaga daripada tidur, teringat pula satu tugasan besar yang mungkin tugasan atau bebanan........Aset kerajaan MYSPATA masih belum siap lagi. Kuatkan diriku Ya Allah dalam menangani tugasan yang bertimpa kerana sebalik bebanan ada kemanisannya.

Tiada ulasan: