SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Selasa, 1 Januari 2013

GAMBAR KENANGAN KEMALANGAN PADA 25/12/2011




     Alhamdulillah, saya kembali boleh berjalan seperti baiasa setelah genap setahun mengalami kemalangan ngeri pada 25/12/2012 semasa kami sekeluarga dalam perjalanan pulang dari Pahang menziarahi keluarga bapa saudara saya, Hj. Hassan bin. Saleh. Berdasarkan rentetan perjalanan kami sekeluarga, kami sebenarnya bertolak ke Negeri Sembilan untuk menghantar barang-barang anak saya ke rumah sewanya di Negeri Sembilan kerana melanjutkan pelajaran jurusan Diploma Akauntan di Politeknik Port Dickson. Setelah seharian dalam perjalanan dan singgah menghantar barang-barang keperluan anak saya di rumah sewanya , saya dan isteri mengambil keputusan untuk menginap di salah  salah sebuah hotel di Port Dickson. Kami telah menyewa sebuah apartmen di hotel berkenaan. Sesungguhnya, pada hari tersebut kami sekeluarga ceria kerana di sampng dapat berehat di apartment yang agak besar dan selesa. Anak-anak saya mengambil kesempatan mandi laut dan melihat panorama indah di sekitar hotel bertaraf lima bintang. Keesokan, harinya kami sekeluarga bersarapan pagi di hotel berkenaan dan seterusnya bertolak ke UITM Jengka Pahang, untuk mengambil barang-barang setelah anak saya tidak dapat melanjutkan pelajaran dalam jurusan Diploma Perhutanan. Sepanjang perjalanan, hati seorang ayah berasa sebak kerana anaknya, gagal meneruskan pengajian dalam bidang berkenaan tetapi saya perlu bersabar kerana banyak sebab mungkin menyebabkan anak saya gagal meneruskan pengajiannya tersebut mungkin faktor bidang atau jurusan tidak sesuai dengan dirinya dan banyak faktor lagi. Cuma saya, cuba untuk memberinya peluang dan ruang untuk menerusan pengajian  di institusi pendidikan lain. Itulah tanggungjawab saya.
      Sesungguhnya, pada cuti kali ini saya cuba untuk berehat dan menenangkan fikiran setelah letih menyemak kertas Bahasa Melayu 2 PMR dan SPM kerana pada setiap tahun itulah aktiviti sampingan saya. Wang dan ganjaran menyemak kertas berkenaan bukanlah merupakan objektif utama saya, tetapi sebagai guru Mata Pelajaran Bahasa Melayu, aktiviti menyemak kertas banyak memberi pengalaman dan mengukuh pengajaran saya di sekolah. Sememangnya, menyemak kertas peperiksaan meletihkan dan minda tertekan dengan masa sepenuhnya bertumpu kepada kertas yang perlu disemak, disamping di bahu pemeriksa tergantungnya masa depan seorang pelajar yang menaruh harapan kecemerlangan setelah lima tahun belajar di sekolah menengah dan kesilapan seorang pemeriksa kertas mampu merosakkan perjalanan seorang pelajar untuk melanjutkan pelajaransama ada untuk menyambung pelajaran mereka IPTA atau institusi pendidikan kerajaan lain. Justeru, baki cuti persekolahan tahun tersebut ingin saya gunakan untuk membalas masa-masa saya teringgal kasih sayang dan erti berkeluarga sepanjang menyemak kertas berkenaan. Hanya guru yang terlibat sahaja yang akan faham serti tekanan yang kami alami. Di samping itu, hati seorang bapa sedih apabila anak-anaknya gagal menerusan pengajian sebenarnya itulah yang saya fikirkan sepanjang perjalanan.
          Setelah sampai di UITM Jengka, Pahang dan mengambil barang anak-anak saya, saya bertanya kepada isteri saya ke mana kita selepas ini. Almaklumlah, setelah setahun membeli kereta Innova daripada rakan saya, saya ingin menggunakan kesempatan bercuti tahun tersebut bersama keluarga. Pada masa yang sama saya teringat bapa saudara saya yang membuka kedai dobi di Cherating, Pahang. Isteri saya bersetuju dan kami meneruskan perjalanan ke Cherating sambil menghubunginya. Pada masa yang sama saya tidak bertanya tempat tinggalnya dan perjalanan kami sehingga larut malam sehingga saya mengambil keputusan untuk berehat dan tidur di salah sebuah kedai minyak. Jika menyewa di hotel atau resort, alang kepalang kerana kami sampai di sana pada pukul 12.00 malam. Keesokkan, harinya barulah saya menghubungi bapa saudara saya semula, rupa-rupanya tanggapan saya saya salah kerana beliau bukan tinggal di Cherating tetapi di bandar Mahsuri dan kedainya di Pantai Teluk Cempedak, tergelak juga saya, namun saya seronok sekurang-kurangnya kami dapat berjalan sehinggan ke Pantai Cherating. paginya, barulah saya bertolak ke rumah bapa saudara saya. 
             Pada petangnya, kira-kira pukul 3.00 petang, saya mengambil keputusan untuk pulang setelah saya berehat dan tidur sebentar. Kemudian kami menersukan perjalanan pulang. Saya sungguh seronok kerana sebelum bertolak saya telah membaiki kereta Innova saya dengan menukar Exzover kereta dan menukar minyak hitam dan minyak gear aoutomatik kereta berkenaan. Dalam perjalanan pulang, saya mencadangkan kami singgah di Genting Highlands, Pahang. Sesampai sahaja di sana, saya mencadangkan pula kami menaiki kereta kabel, walaupun pada peringkat awal isteri saya menolak kerana perjalanan kami masih jauh lagi dan suasana pula sudah larut malam. Namun, saya terus untuk menaiki kereta kabel berkenaan kerana saya ingin cuti kami pada ketika itu betul-betul meninggalkan kenangan kami sekeluarga. Sesungguhnya, pada malam itu menaiki kereta kabel agak menakutkan kerana suasana pada malam itu agak sejuk dan kabus serta tiupan angin agak kuat sehingga mencemaskan saya sekeluarga. Apabila sampai di Pusat Beli Belah Genting Highlands, suasana sungguh meriah dan tambahan pula malam itu merupakan malam sambutan hari Krismas. puas kami berjalan sehingga naik letih dan kebas kaki saya. 
            Kira-kira pukul 12.30 malam, saya memutuskan kembali turun ke tempat parking kereta dan meneruskan perjalanan pulang. Pada masa yang sama perut mula berbunyi-bunyi kerana kelaparan. Saya mencadangkan  untuk kami berhenti makan di mana-mana restoren semasa dalam perjalanan pulang. Akhirnya, saya berhenti makan di salah sebuah restoren kira-kira pukul 2.00 malam dan saya makan sehingga dua pinggan nasi goreng kerabu. Sesampai di sebuah jalan rentas menuju ke Tanjung Malim, mata saya sukar untuk dicelikkan dan saya terlampau mengantuk. Tambahan pula, jalan tersebut agak kurang menyenangkan kerana jalan tersebut seperti tiada pengujungnya. Akhirnya, apabila sampai ke susur masuk ke Lebuh Raya Tanjung Malim, saya mengambil keputusan untuk anak saya memandu kereta. Oleh sebab begitu mengantuk saya terus terlelap sehingga saya dikejutkan apabila kereta kami  terbabas di Tronoh. Pada ketika itu saya mamai, sehingga saya tidak sedar saya berada di bawah dashbook kereta kerana tersepit . Semasa kemalangan berlaku, saya bertanya kepada anak tentang kejadian dan anak saya berkata kami terlibat dalam kemalangan, kemudian saya sedar anggota bomba sedang menyelamatkan saya. Anggota bomba meminta saya bersabar dan menutup kepala saya dengan kain dan memecahkan cermin kereta saya dan seterusnya berusaha untuk mengeluarkan saya. Berdasarkan, perbualan mereka, saya sedar usaha menyelamatkan saya agak sukar sehingga mereka terpaksa memotong beberapa bahagian kereta saya dan ketika itu timbul tanda tanya kerana saya rasa kaki saya kebas, adakah kaki saya masih elok dan timbul rasa takut jika kaki saya putus, dan saya akan cacat kerana keadaan kedua kaki saya pada ketika terasa seperti tertindih.Setelah gagal mengeluarkan saya, pihak bomba meminta saya untuk memberi respon kerana mereka cuba menyelamatkan saya dengan cara menarik kereta saya dengan dua lori kren yang sudah sedia ada di situ. Menurut mereka, semasa lori tersebut menarik kereta , mereka risau bahagian kereta yang dipotong akan menyebabkan badan saya tersepit dan akan menambah kecederaan saya. Akhirnya, usaha anggota berjaya dan saya dapat diselamatkan tetapi apabila mereka mengeluarkan saya saya menjerit kesakitan kerana tulang peha saya patah.
                Saya dikejarkan ke hospital Batu Gajah, kemudian ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, dan kemudian di hantar ke Hospital Pantai Puteri, Ipoh, Perak. Saya sampai di Hospital Pantai Puteri pada petang hari kedua selepas kemalangan dan Dato' Dr. Vasan Sinnadurai telah mengarahkan saya di X-ray dan kemudian membuat keputusan pai esokknya saya akan dibedah dan meminta saya berpuasa pada malam itu. Sepanjang, perjalanan ke tiga Hospital, sakit akibat kepatahan tulang peha amat menyeksakan saya. Akhirnya pada pagi keesokkan harinya saya dibedah dengan diberi suntikan di bahagian belakang badan saya dan setelah diberi oksigen, saya tidak sedarkan diri dan kemudian bermula babak kedua selepas pembedahan, saya amat sakit untuk menggerakkan kaki saya. Setelah seminggu di hospital saya memohon untuk balik ke rumah, dan pada hari Ahad ketika Sambutan Tahun baru seperti hari ini saya keluar daripada Hospital Pantai Puteri. Terima kasih saya kepada isteri saya kerana beliau tetap bersama saya selama seminggu di hospital untuk menjaga saya. Di rumah pula, saya dijaga oleh ankan saya Fahmiddin, sehingga mandi dan membuang air kecil dan air besar dia membantu saya. Terima kasih saya ucapkan. Akhirnya setelah berulang alik ke Hospital Pantai Puteri untuk menjalani pemeriksaan dan latihan fisioterapi selama empat bulan, dan bercuti sepanjang tempoh berkenaan, saya kembali ke sekolah. Namun, dalam saya bergerak tanpa memakai tongkat, lutut saya masih sengal terutama lutut saya yang banyak membantu pergerakan saya. Alhamdulillah banyak pengajaran dan kesabaran yang saya peroleh sepanjang peristiwa berkenaan.
                  Setelah kemalangan, isteri saya berkata bahawa mereka telah berhenti di Tapah dan Gopeng sebelum kemalangan dan saya tidur mati ketika itu. Apa yang menakutkan saya, iaitu ketika di Tapah isteri saya telah mengisi minyak sehingga penuh. Justeru, Allah masih saya kepada saya sekeluarga kerana kemungkinan sekiranya berlaku percikan api, kemungkinan perkara yang buruk akan kami hadapi , terutama saya yang terperangkap selama dua jam di dalam kereta. Walaupun kereta saya total lost, namun saya bersyukur kerana pihak insuran Syarikat Kurnia telah membayar RM 65.000.00 daripada RM 69.000.00 yang diinsurankan. Saya redha kemalangan yang berlaku dan bersyukur isteri dan lima anak saya yang lain selamat. Sehingga sekarang saya masih belum membelli kereta baru, dan insyaAllah jika tidak ada halangan dan keizinan Tuhan, saya akan membeli kereta Innova baru pada hujung bulan satu atau bulan Februari 2013 nanti. Saya terpaksa, bertangguh kerana kos perbelanjaan untuk menyekolah dan perbelanjaan pengajian tinngi anak saya perlu diambil kira. Anak saya Fitri melanjutkan pelajaran di Kolej Profesioanal Mara Seri Iskandar dalam bidang R&D Komputer, Firdaus bidang Diploma Akauntan di Politeknik, Behrang, dan Fahmiddin di Kolej Risda Melaka dan jurusan Diploma Perniagaantani. Sementara tiga orang lagi anak saya masih bersekolah, Anis di SMK Raja Perempuan, Ipoh, dan Faqihuddin Tahun Lima di SK. Titi Gantong dan Fariha Najla di Tadika Pasti Gelung, Pepuyu, insyaAllah.
                    Semoga perjalanan hidup saya akan bertambah baik untuk tahun 2013. Saya berdoa anak-anak saya akan berjaya dalam pengajian mereka dan saya akan cuba membantu mereka hingga ke tahap yang paling tinggi begitulah harapan saya seorang bapa. Sesungguhnya, kasih saya seorang bapa terhadap anaknya tidak berbelah bagi dan saya akan berusaha untuk meningkatkan mutu dan profesyen saya sebagai seorang guru pada tahun 2013. Semoga Allah merahmati keluarga saya dan tahun 2013 Allah akan memberi hidayah agar iman dan ketakwaan akan menerangi keluarga saya. Di samping, semoga Allah memberikan rezeki yang halal, seterusnya memberikan kekuatan tenaga dan kesihatan yang berkekalan untuk saya menyumbangkan ilmu kepada anak didik SMKASAS.  Saya juga redha dengan ketentuaan qadho dan qadar Illahi, tetapi saya beryukur atas kejayaan, kegembiraan, rezeki, dan hidayah yang Allah telah limpahi kepada saya dan famili untuk tahun 2012.  SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2013.
             

Tiada ulasan: