SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Selasa, 26 Februari 2013

KELUHAN SEORANG GURU BAHASA MELAYU DAN KAEDAH MENGATASI MASALAH

     Saya tidak pasti adakah seorang guru bahasa Melayu mengalami masalah sama, iaitu menyemak latihan pelajar terutama karangan, rumusan, ringkasan, dan tidak diselitkan lagi latihan komsas, tatabahasa dan sebagainya. Namun, paling perit, menyemak karangan. Setiap minggu saya menghadapi masalah yang sama kerana bilangan pelajar  saya seramai 109 orang, iaitu melibatkan ting. 5K, 5H, 4S dan 4H.. Pada setiap minggu, antara latihan saya berikan kepada pelajar ialah latihan penulisan secara bergilir, sama ada karangan mahupun rumusan  serta pemahaman teks. Untuk latihan karangan berfokus, melibatkan karangan berfokus diri, berfokus keluarga, berfokus masyarakat, berfokus negara, berfokus antarabangsa, dan komsas. Di samping itu, latihan tatabahasa dan latihan komsas antologi juga saya berikan setiap minggu.
      Penyemakan setiap latihan di atas sangat memberi impak kepada kehidupan saya sejak saya mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu selama lebih kurang 23, namun mungkin kerana kebiasaan, senario kesukaran menyemak tersebut dapat saya serap, bak kata peribahasa Melayu, alah bisa tegal biasa.Oleh sebab, kebiasaan juga, saya tidak 'reti' menyemak ala kadar saja kerana saya akan cuba sedaya upaya membetulkan setiap kesalahan pelajar sama ada kesalahan sekecil ejaan, tanda baca, sehinggalah kesalahan frasa mahupun ayat. Kemungkinan pelajar yang pernah belajar dengan saya akan faham cara semakan saya. Justeru, sekirannya saya memberi sebuah karangan kepada pelajar dan sebuah rumusan serta pemahaman teks, bermakna dalam seminggu saya perlu menyemak 109 buah karangan. Jika dulu, saya tidak bercermin mata, kini saya tidak boleh tidak, perlu memakai cermin mata. Mungkin juga faktor umur, tetapi kekerapan menyemak dan menatap pelbagai jenis tulisan pelajar menyebabkan saya suasana tersebut berlaku. Hakikatnya saya redha dengan situasi berlaku. Itupun, saya tidak berbicara berkaitan menyemak latihan bahasa yang lain.
        Dalam pada itu, sebelum ini saya pernah berbicara mengenai tiga kriteria pelajar di SMKASAS, antaranya pelajar yang dalam kategori cemerlang dalam menghasilkan karangan iaitu pelajar yang berjaya menguasai kemahiran mengarang semenjak di tingkatan tiga, kedua pelajar dalam proses untuk berubah dan telah mulai merasa nikmat menghasilkan kerangan cemerlang sama ada di tingkatan empat atau lima. Mereka ini sentiasa cuba untuk menghasilkan karangan cemerlang setiap kali membuat latihan. Justeru, pelajar kategori kedua ini yang menarik perhatian kerana saya sentiasa melihat perubahan mereka, anologinya situasi mereka ini seperti melihat pertumbuhan pokok yang sentiasa membesar dan mengeluarkan rimbunan daun menghijau  serta sudah ada berbuah untuk saya menikmati kemanisan dan kelazatannya. Cuma kini saya bergelut dengan pelajar dalam kategori ketiga, bantut tumbesarannya dan perlu saya siram setiap hari dan memberikan baja berkualliti tinggi.
           Justeru, seperti biasa, saya sudah mendedahkan kriteria karangan cemerlang atas kepada pelajar saya. Memang hakikat seorang guru perlu bersabar dan meneruskan tanggungjawab untuk memastikan pelajar kategori tiga ini mengerti erti kecemerlangan. Pelbagai usaha telah saya lakukan, antaranya mendedahkan Jadual Pengembangan Idea untuk pengenalan, isi dan penutup, program mecari maklumat mengikut topik, bertujuan untuk memantapkan kematangan mereka mengolah isi karangan, dan terbaru bahan berkenaan dimantapkan lagi dengan menghasilkan folio agar hasilannya lebih lengkap dan tepat berdasarkan perincincian maklumat lebih teratur serta bermakna. Selain itu, pelajar diminta menyalin karangan sebaya terbaik dengan alasan apabila mereka menyalin karangan sebaya cemerlang atas mereka akan dapat melihat kreativiti rakan sebaya dalam menghasilkan karangan. Selain itu, saya sudah mula mendedahkan mereka teknik menyemak rakan sebaya. Justeru, saya telah menghasilkan borang semakan guru dan borang semakan rakan sebaya kerana dengan adanya borang berkenaan, guru dan murid mudah untuk menyemak karangan dengan hanya sekadar mencatat kriteria karangan rakan sebaya sama ada karangan tersebut cemerlang atau tidak, di samping mengkategorikan karangan rakan mereka Cemerlang Atas, Cemerlang, Cemerlang bawah, kepujian atau hanya sekadar memuaskan.
              Namun, kita hanya berusaha, pokok pangkalnya, pada pelajar itu sendiri untuk berjaya. Paling utama bagi saya sebagai seorang guru, saya tidak akan kenal erti mengalah kerana saya ingin melihat anak didik saya berjaya sebagai mana suburnya pokok dan manis serta lazatnya buah yang dihasilkan. Mungkin, ada yang mempersoalkan kenapa pelajar menyemak karangan rakan sebaya, mantapkah semakan mereka, dan kenapa rakan sebaya diminta menyemak karangan rakan sebaya lain. Jawapan utama, tanya kepada nawaitu dan niat seseorang guru untuk melakukan kaedah berkenaan. Jika nawaitunya baik, dan tujuannya untuk memantapkan karangan mengajar, sudah tentu pahala yang guru tersebut tetapi sebaliknya.... faham-faham je la. Rasionalnya, bukan keutamaannya kepada kesenangan guru, tetapi apakah natijahnya iaitu, semakan pelajar bermakna pelajar akan mengaplikasi kemahiran tatabahasa sama ada kemahiran mengesan kesalahan ejaan, pembentukan kata, penggunaan kata kerja, penggunaan kata bantu, binaan frasa, binaan ayat, penggunaan tanda baca dan pelbagai lagi kemahiran berbahasa lain semasa menyemak karangan rakan sebaya.. Kita juga perlu faham bahawa karangan merupakan hasilan atau kemahiran berbahasa paling tinggi bagi seorang pelajar justeru, mereka juga akan dapat melihat kreativiti berbahasa seperti membina ayat bermutu tinggi serta pengaplikasian frasa menarik dalam kalangan rakan sebaya yang merupakan aksesori bahasa paling berkesan dalam menghasilkan karangan cemerlang atas. Dalam pada itu, pelajar juga akan mengesan pemilihan pengenalan karangan rakan sebaya paling mantap kerana pengenalan perlu dipilih berdasarkan kesesuaian tema atau tajuk sesbuah karangan. Setiap pelajar mempunyai sebab untuk menghasilkan jenis pengenalan tertentu semasa mengarang mengikut kreativiti mereka dan begitu juga penutup.
           Walaupun begitu, seorang guru bertanggungjawab akan sentiasa menyemak semula karangan rakan sebaya untuk memastikan semakan pelajar mencapai standard kualiti karangan sebagaimana dihasilkan oleh rakan mereka. Tambahan pula, seorang rakan akan berusaha untuk mengesan kesalahan rakan sebaya mereka sehingga khatam, sedangkan seorang guru jika menyemak 109 buah karangan tidak akan dapat berbuat sebegitu rupa. Guru juga perlu ingat, semakan paling cepat akan memberi impak kepada pelajar kerana pengetahun dan ingatan mereka terhadap karangan tersebut masih subur dan pengesanan kesalahan pelajar akan menyedarkan mereka kesalahan yang dilakukan. Arahan menyemak rakan sebaya ini tidak boleh dilakukan sentiasa kerana berbalik kepada nawaitu seseorang guru. Sebagai cadangan tambahan, aktiviti ini perlu didedahkan seawal mungkin, contohnya jika boleh kaedah ini perlu didedahkan semasa pelajar di tingkatan dua atau tiga lagi. InsyaAllah, guru akan mendapatkan hasilnya selepas itu. Selain itu, pelajar juga dahagakan komen guru, dan komen rakan sebaya. Juga dinasihatkan, supaya pelajar perlu diberi penjelasan kenapa rasionalnya kaedah ini dijalankan. Selamat Mencuba, Semoga Berjaya kerana jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya, yang bulat tidak akan datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang, dan alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan.

CONTOH BORANG SEMAKAN GURU:-
 CONTOH BORANG SEMAKAN RAKAN SEBAYA



Tiada ulasan: