SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Khamis, 8 Julai 2010

TUISYEN KELAS PEPERIKSAAN MENENGAH RENDAH ( 3K )

Saya tersentak, apabila melihat papan putih 'countdown' kelas Ting. 3 Ibnu Khaldun mencatatkan Peperiksaan Percubaan PMR hanya tinggal 25 hari lagi. Pantas saya bertanya kepada  pelajar sama ada mereka sudah bersedia menghadapi peperiksaan berkenaan kerana secara langsung saya boleh mengetahui tahap kesediaan mereka untuk menghadapi Peperiksaan PMR sebenar. Apabila saya lihat post mortem kelas ini, hati saya agak tenteram kerana  kesemua 31 orang pelajar 3K mencapai gred A dalam peperiksaan pertengahan tahun. Namun, hati saya berdebar apabila melihat post mortem kelas ting. 3 Ibnu Haitham kerana hanya 21 orang mendapat gred A dan 11 orang mendapat  gred B.

            Sebagai refleksi daripada maklumat berkenaan saya terus mengambil bahan tatabahasa untuk Kem Bahasa Melayu yang akan dilaksanakan pada 9/7/2010 bersamaan hari Jumaat ini untuk diserahkan kepada kelas 3K dan 3H. Saya terus mengarahkan mereka menyelesaikan bahan yang saya peroleh daripada salah seorang rakan Munsyi Dewan dan bahan tersebut yang telah saya 'upgrade' untuk memastikan impaknya terhadap penguasaan tatabahasa pelajar meningkat. Berdasarkan pengalaman mengajar selama 9 tahun di SMKASAS,  kertas 1 Bahasa Melayu PMR merupakan kertas paling sedikit menyumbangkan markah kerana pelajar gagal menjawab dengan cemerlang 30 daripada 40 soalan yang diperuntukkan dan tidak lain soalan tersebut berfokus kepada tatabahasa. Sementara 10 soalan lagi berfokus kepada kemahiran KOMSAS Antologi. Selain itu, saya juga mendapati terdapat beberapa orang pelajar kelas 3 Ibnu Haitham kurang mantap dalam menjawab soalan karangan terutamanya karangan berpandu. Pada pengamatan saya, salah satu sebab mereka gagal untuk menulis karangan berpandu dengan cemerlang adalah kerana mereka gagal untuk mengehadkan bilangan patah perkataan yang dikehendaki soalan. Justeru, sudah dua hari saya memfokus masalah ini semasa proses pengajaran dan pembelajaran  dan sudah pasti fokus utama saya adalah kepada pelajar yang masih lemah menguasai kemahiran penulisan karangan jenis ini. Adakalanya timbul rasa resah saya kerana sudah dua hari saya memaparkan karangan pelajar yang sama menggunaan LCD di papan putih kerana saya takut pelajar berkenaan akan aib dengan tindakan saya itu, tetapi oleh sebab kesedaran bahawa tindakan tersebut perlu demi kebaikannya, saya mengambil keputusan untuk meneruskan usaha berkenaan. Antaranya, saya cuba sedaya upaya menyemak karangan mereka secepat  mungkin dan membuat ulasan segera dengan menbuat 'scaning' menggunakan peralatan scan dan menghasilkan bahan menggunakan powerpoint dan memaparkan hasilan karangan tersebut menggunakan LCD di papan putih. Sebelum itu, saya meminta pelajar kelas 3K dan 3H meneruskan program semakan rakan sebaya untuk memudahkan saya menyemak karangan mereka disamping pelajar masih belum menguasai kemahiran mengarang ini saya dahulukan sebagai pemantauan berterusan.Selain itu, sebelum saya memaparkan karangan pelajar berkenaan saya memohon izin daripadanya untuk memaparkan karangan tersebut, di samping saya menjelaskan tindakan tersebut saya ambil untuk membaiki karangan berkenaan dengan bantuan pelajar. Sebagai serampang dua mata, saya sebenarnya ingin membetulkan kesilapan pelajar berkenaan agar pelajar lain tidak melakukan kesalahan yang sama semasa mengarang karangan jenis ini.

             Seterusnya, saya bertekad dalam kelas tuisyen malam ini saya akan memaparkan karangan terbaru pelajar berkenaan dan kemudian memfokus kepada bahan tatabahasa yang telah saya beri kepada pelajar pada pagi tadi untuk dibincangkan pada malam ini. Malang  bagi saya kerana saya dimaklumkan jadual saya pada malam ini mengajar kelas 3K. Namun, saya meminta pelajar 3H masuk ke kelas 3K jika guru yang bertugas mengajar kelas berkenaan tidak hadir Alhamdulillah, sehingga jam 9.30 guru yang sepatutnya mengajar kelas 3H tidak hadir dan mereka dapat turut serta dalam perbincangan. Secara langsung ruang berkenaan membolehkan saya menyampaikan maklumat secara serentak kepada 63 orang pelajar. Setelah saya membuat penerangan terhadap kesilapan yang dilakukan dalam karangan terbarunya dan meminta pelajar lain membuat ulasan baru saya memfokus kepada perbincangan utama iaitu bahan tatabahasa yang akan dibincangkan dalam Kem Bahasa Melayu pada hari Jumaat nanti. Pada malam ini rerpons pelajar terhadap bahan amat baik dan ada pelajar telah menjawab beberapa soalan yang dikemukan. Hal ini memudahkan saya, kerana pelajar boleh bertanya soalan-soalan yang sukar. Saya memaklumkan kepada mereka bahawa soalan-soalan dalam bahan berkenaan boleh diselesaikan dalam masa berbaki dua hari dan jika ada sebarang soalan yang masih sukar, mereka boleh merujuk saya. Saya juga meminta mereka menjadi duta dan membantu kelas-kelas tingkatan 3 yang lain untuk menjawab soalan yang terdapat dalam bahan berkenaan. Secara langsung, apabila pelajar sudah faham soalan dan menjawabnya, sudah pasti tugas saya untuk memberi penerangan tentang komponen tatabahasa dalam bahan berkenaan akan lebih mudah pada hari kem berkenaan.

              Kelas tuisyen malam ini berakhir pada pukul 10.50 malam dan semasa saya memandu untuk pulang, saya terserempak dengan Shahrolman bekas pelajar yang sedang melanjutkan pengajian di UTP dan beliau juga sekarang ini sedang membantu saya mengumpul data bekas-bekas pelajar SMKASAS. Pada ketika itu, beliau baru keluar daripada dewan besar. Timbul tanda tanya kenapa beliau berada di dewan besar kerana setahu saya pada malam ini cuma ada Program Minggu Kerjaya yang dikelolakan pihak kaunselor Cikgu Fazuan untuk pelajar Tingkatan 4,5 dan 6. Beliau menyatakan kehadirannya sebagai wakil UTP untuk memberi ceramah tentang program kerjaya tersebut. Sekali lagi saya kagum kerana beliau sering membantu sekolah, guru-guru dan adik-adiknya. Sekiranya alumni SMKASAS ada, saya berpendapat lebih banyak aktiviti yang boleh dilakukan bukan sahaja membantu adik-adik, malah pelbagai aktiviti boleh dirancang untuk menjalinkan ukhwah bekas-bekas pelajar dengan warga SMKASAS. Sudah pasti ilmu dan kepakaran yang dimiliki bekas-bekas pelajar yang berada di pelusok tanah air boleh dicurahkan terutama kepada adik-adik yang kini meneruskan perjuangan untuk menjadi Insan Kamil seperti anta dan inti. Kemungkinan apabila adanya pertautan dari segi ukhwah di bawah naungan organisasi bekas-bekas pelajar, semua perancangan boleh diatur. Oleh sebab itu, saya memohon bekas-bekas pelajar yang membaca tulisan ini untuk mambantu saudara Shahrolman dan bekas-bekas pelajar yang lain untuk membantu mengukuh atau menubuhkan sebuah alumni SMKASAS yang mampu menaungi bekas-bekas pelajar yang  kini berada di luar sana Saya berpendapat masalah utamanya untuk kalian hadir semula ke SMKASAS adalah kerana tidak ada satu organisasi yang mampu merancang dan mengatur program alumni dan ini menyukarkan bekas-bekas pelajar untuk hadir ke SMKASAS. Saya pasti dengan adanya usaha yang dilakukan oleh beberapa bekas pelajar ini sudah pasti kita akan dapat melihat satu organisasi alumni SMKASAS yang mantap. Hubungilah mereka dan maklumkan maklumat terkini anta dan inti agar memudahkan mereka menentukan tarikh pertemuan keramat yang mampu mempertemukan semula sahabat dengan sahabat, bekas pelajar dengan guru, dan bekas pelajar dengan adik-adik yang mempunyai hala tuju seperti anta dan inti pada suatu masa dulu. Maklumkan usaha murni ini kepada rakan-rakan dan saya hanya dapat berdoa agar usaha murni ini akan diberkati. Amin.

Tiada ulasan: