SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Khamis, 5 Ogos 2010

POST MORTEM PPT TING. 5 DAN KISAH SEORANG IBU

Pada pukul 2.10 petang, Tuan Pengetua dan Ketua Panitia Mata Pelajaran Ting. 5 bersidang buat kali kedua setelah persidangan pertama membincangkan post mortem PPT Ting. 3  yang dijalankan pada minggu lepas. Antara tujuan post mortem ini dijalankan adalah untuk melihat sejauh mana perkembangan markah TOV, ETR dan keputusan OTI dan ATR yang menjadi tumpuan dalam membicarakan prestasi pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan awam samada PMR mahupun SPM. Namun, fokus perbincangan pada hari ini menjurus kepada prestasi 20 pelajar berpotensi mendapat keputusan A penuh dalam peperiksaan SPM dan sedikit perbincangan mengenai program kepung atau gempur 100. Cuma dalam perbincangan, hari ini banyak masa difokuskan kepada pelajar yang berprestasi dan dalam masa yang sama pelajar yang dikepung kurang diberi perhatian samada keberkesanannya dan masalah yang dihadapi. Saya sendiri tidak terfikir untuk bertanya tentang keberkesanannya kerana pada masa yang sama saya terpaksa bersedia dengan data untuk menjawab sebarang soalan daripada Tuan Pengetua. Sedangkan jika diambil kira daripada masa dan tempoh program tersebut agak lama, kerana pelajar yang dikepung sudah tidak pulang ke rumah dalam tempoh sebulan dan seterusnya mereka hanya dapat menginjak kaki ke rumah masing-masing pada cuti Hari Raya. Sepatutnya agenda bertumpu kepada keberkesanan program berkenaan tetapi Tuan Pengetua lebih berminat membicarakan 20 orang pelajar berpotensi sahaja sedangkan perbincangan perlu menjurus kepada kualiti prestasi keseluruhan pelajar. Mungkin Tuan Pengetua ingin melihat prestasi mereka ketika keputusan Percubaan SPM  apabila diketahui  dan peperiksaan tersebut akan bermula pada 18/8/2010. InsyaAllah kita lihat perkembangannya nanti.
         Disamping itu, perbincangan juga berfokus kepada perebutan panitia mata pelajaran untuk mengambil ruang menjalankan aktiviti kecemerlangan terutama melibatkan mata pelajaran kritikal dan sebagai ketua panitia Bahasa Melayu saya juga mengambil kesempatan untuk meminta tuan pengetua memberi ruang untuk Panitia B. Melayu menjalankan akitiviti kecemerlangan, tambahan pula mata pelajaran bahasa Melayu diharapkan oleh Tuan Pengetua mengekalkan prestasi kesemua pelajar mencapai gred A+ dan A dalam peperiksaan SPM pada tahun ini dan saya berpendapat panitia Bahasa Melayu juga berhak untuk mendapat keistimewaan yang selama ini diberikan kepada panitia yang lain. Tambahan pula, saya telah ditegur oleh Tuan Pengetua ETR Panitia Bahasa Melayu perlu menjurus kepada keputusan terbaik SPM dan slalah satu rujukannya ialah berdasarkan keputusan SPM terbaik tahun sudah.Alhamdulillah, akhirya Tuan Pengetua bersetuju memberikan ruang kepada semua panitia untuk menjalankan program kecemerlangan masing-masing.Pada pandangan saya situasi ini amat baik dan membina kerana setiap panitia mengetahui tugasan dan  objektif yang perlu dicapai bedasarkan ETR yang disasarkan di awal tahun. Justeru, komitmen seperti ini perlu diteruskan agar pencapaian prestasi pelajar sekolah ini terus meningkat selaras dengan taraf sekolah kluster akademik yang diperoleh pada tahun lepas.
          Dalam masa yang sama, di hujung pembincangan saya telah dimaklumkan salah seorang pelajar telah disyakki mengalami simptom demam denggi dan kebetulan saya bertugas sebagai warden hari ini. Sebagai tindakan susuluan saya terpaksa membawa pelajar berkenaan ke Hospital Changkat Melintang setelah habis mesyuarat kira-kira pukul 4.50 petang.  Kebetulan pula, dalam taklimat berkenaan saya telah menyatakan bebanan kerja saya yang bertambah kerana bertugas sebagai guru mata pelajaran peperiksaan dua ting. 3 dan satu ting. 5 dan satu lagi untuk kelas ting. 2. Sebagai impaknya saya terpaksa berada di hospital sehingga pukul 6.40 petang. Saya lebih suka membicarakan masalah tersebut dalam mesyuarat untuk melepaskan stress, tambahan pula saya juga ketua panitia Bahasa Melayu dan saya berharap Tuan Pengetua mengetahui bebanan tugas saya tersebut. Jika perlu saya rela jawatan warden dilepaskan kepada orang lain dan setakat ini saya masih mampu bertahan. Sesampai di rumah jam menunjukkan pukul 7.20 petang dan pada pukul 7.50 saya menghantar anak saya ke kelas tuisyen kemudian saya mandi dan sembahyang Maghrib. Selepas itu, saya amat keletihan dan tertidur dan digerakkan isteri saya untuk mengambil anak saya di kelas tuisyen. Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk tidak ke sekolah kerana yang penting saya perlu merehatkan diri saya. Nasib saya baik, kerana Ustaz Zaki ada di hospital kerana menghantar baju pelajar ting. 6 bawah yang mengalami sakit perut dan ditahan di wad. Oleh sebab, pelajar lelaki yang saya bawa dibenarkan pulang Ustaz Zaki mencadangkan pelajar berkenaan pulang ke asrama mengikut beliau.
          Berbalik kepada  kisah seorang ibu, saya tertarik melihat reaksi seorang ibu yang  kebetulan membawa anaknya ke hospital akibat kemalangan jalan raya. Beliau begitu tabah dan cekal kerana dalam keadaan terhinjut-hinjut memapah anaknya yang berdarah di bahagian muka dan kaki ke luar daripada kereta dan pemuda yang membawa anaknya pula seorang pemuda yang prihatin kerana sanggup menghantar mereka ke hospital walaupun tidak mempunyai kaitan persaudaraan. Kalau dilihat daripada situasi awalnya, saya berpendapat ibunya juga terlibat dalam kemalangan yang melibatkan lori dan motor di Changkat Cermin. "Makcik sakit kaki , entah mengapa makcik hilang sakit kaki tersebut kerana terkejut melihat anak makcik berada di bawah lori," katanya dalam keadaan menahan air mata daripada menitis ke pipinya.Katanya lagi," Makcik ingat anak makcik dah tiada kerana motosikal yang dinaikinya juga berada di bawah lori. Makcik dah tak peduli handpone dan beg duit makkcik tertinggal di tempat kejadian, yang paling penting  ialah nyawa anak makcik. " Begitulah kisah kehidupan yang saya lihat sendiri semasa saya menunggu keputusan doktor samada  pelajar yang saya bawa perlu dimasukkan ke dalam wad atau dibenarkan pulang ke asrama. Apa yang penting di sini adalah nilai tabah dan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya. Diharapkan pelajar-pelajar perlu sedar betapa seorang ibu kasih dan sayang kepada anda. Oleh sebab itu tunaikan tanggungjawab anda belajar dan memenuhkan harapan ibu bapa untuk melihat anda berjaya samada di sekolah mahupun di IPT. Jadilah insan kamil yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Tiada ulasan: