SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Rabu, 19 Oktober 2011

SEBAGAI SEORANG GURU AKU TERPAKSA MELEPASKAN KEMARAHAN SUPAYA PELAJAR BERDISIPLIN

Pada setiap tahun api kemarahan perlu dilempias kepada pelajar dan nawaitunya untuk mendisiplinkan mereka dan mengukir penyataan tersirat tentang hampirnya peperiksaan. Mungkin ada bekas-bekas pelajar SMKASAS telah menerima impak kemarahan saya, dan tidak terkecuali kena penangan saya jika P@P saya tidak diberi perhatian. Tujuannya untuk memastikan mereka betul-betul faham setiap kemahiran dan format soalan agar mereka dapat menjawab soalan di dalam dewan peperiksaan. Saya tidak kisah jika pelajar membenci saya kerana menerima penangan saya, hatta jika seorang bapa pun akan melakukan perkara yang sama jika terpaksa. Namun, selalunya saya akan "counter" balik tindakan yang saya ambil dan rasionalnya saya berbuat demikian.
          Hari ini, kejadian yang sama berlaku di Pusat Sumber Sekolah, semasa program sentuhan akhir SPM. Semasa kejadian, kelas 5K, 5S, 5H, dan 5B terlibat. Pada peringkat awal, saya berseloroh dengan pelajar perempuan kerana pelajar lain lambat masuk ke PSS, dan saya berkata beginilah konsep P@P moden, guru terpaksa menunggu pelajar, namun perasaan seorang guru mulai menguasai diri saya dan saya terpaksa mengulangi perkara yang sama setiap tahun tetapi tahun ini saya cuma beredar dari pusat sumber dan memberi arahan kepada pelajar supaya "meminang " saya di bilik guru jika program ingin diteruskan. Dalam masa 15 minit, seorang pelajar muncul di bilik guru dan mengajak saya ke PSS untuk program berkenaan. Saya pun bergerak dan sesampainya di PSS, saya mengarahkan pelajar seramai 77 orang supaya berada di ruang tayangan untuk memberi penerangan prosedur dan aktiviti yang perlu dilakukan pada hari itu. Api kemarahan mulai menggelodak apabila hanya segelintir pelajar lelaki yang berkumpul di belakang pelajar perempuan. Memang jika suasana pembelajaran tidak sesuai pelajar tidak memberi tumpuan arahan saya, ada yang bersembang di kerusi membaca di sudut sebelah pejabat pengurusan PSS, ada yang membaca akhbar dan pelajar perempuan dah mulai gelisah kerana mungkin dah nampak muka saya kemerahan.......memang sesiapa yang pernah melihat saya marah akan tahu betapa nada suara saya bergema di dalam PSS. melempiaskan kemarahan dan untuk mengelakkan daripada sesuatu berlaku saya terus ke luar dan meminta Cikgu Arifin yang kebetulan baru sampai di PSS mengambil alih program. Cikgu Sirajuddin pula terkebil-kebil di dalam pejabat pengurusan PSS dan mukanya kemerahan terkejut mendengar jeritan saya. Saya maklum, cikgu Sirajuddin memang takut apabila saya marah. Saya memang ingat nasihat salah seorang guru besar semasa saya mengajar di sekolah rendah dulu, antara nasihatnnya, jika cikgu marah ke luar cepat dari kelas kerana takut pelajar akan mendapat kesannya. Memang saya risau, jika ada kalangan pelajar yang bertindak bercakap, dan menunjukkan pergerakan yang tidak saya suka, pelajar tersebut memang saya tampar. Alhamdulillah tahun ini saya dapat mengelakkan sebarang penangan kena kepada pelajar berbanding tahun-tahun sebelumnya. Jika ada pelajar yang terkena penangan saya pada masa lalu, itulah hakikat seorang guru untuk mendidik semuanya perlu saya lakukan kerana dulu saya semasa belajar tidak ada guru yang prihatin dengan pelajarnya, akibatnya saya cuma mendapat gred yang rendah dalam mata pelajaran bahasa Melayu dan terpaksa mengambil kertas peperiksaan Julai  untuk memperbaik gred saya. Jika tidak saya tidak akan menjadi seorang guru sekarang. Pada kesempatan ini, saya memohon kepada pelajar-pelajar yang pernah kena penangan saya memaafkan tindakan saya dan saya lakukan semua atas kesedaran untuk mendidik.
            Impaknya, beberapa orang pelajar Ting. 5B berjumpa saya memohon maaf atas kejadian yang menyebabkan saya begitu marah di hadapan seramai 77 orang pelajar dan mereka kesal kerana kejadian berkenaan. Saya maklum, baru beberapa hari lalu saya memuji kelas 5B tahun ini kerana bersih daripada tindakan yang saya lakukan berbanding pelajar Ting. 5B tahun lepas kerana 7 orang pelajar kelas tersebut menerima penangan saya. Alhamdulullah, keputusan BM mereka cemerlang.Saya cuba menjelaskan bahawa ting. 5B tahun ini masih saya hormati kerana kemarahan saya di PSS tersebut melibatkan kelas lain yang masih tidak tahu cara saya mengajar. Apapun, tahniah kepada mereka kerana latihan yang saya arah dihantar pada hari Jumaat lepas telah ada di atas meja selepas kejadian saya telefon cikgu Ariffin untuk mengarahkan Rabiatul mengumpul semua kerja berkenaan. Saya teruja apabila  beberapa orang pelajar yang datang berjumpa saya dengan air muka ketakutan kerana lambat menghantar kerjanya dan saya menyatakan kepada mereka jangan takut itulah erti seorang guru mendidik, membuat tindakan berbentuk hukuman jika berlaku kesalahan. Saya berkata, hari semalam jangan dikenang kerana saya lebih mengutamakan hari-hari yang mendatang kerana itu lebih utama. Memang pada hari ini saya cuba mengelak dari bertembung dengan pelajar ting. 5 tetapi terjumpa juga dan kebanyakan pelajar ting. 5B memohon maaf daripada saya. Dalam pada masa yang sama sebenarnya saya ada menyediakan bahan powerpoint untuk mereka dan bahan berkenaan saya bina sehingga pukul 4.00 pagi bertajuk "Masteri Penulisan Karangan Kertas 1". Keadaan tersebut yang menyebabkan saya marah kerana sifat saya jika dah marah saya akan membebel dan masa akan habis begitu saja. Saya juga teruja kerana menurut cikgu Sirajuddin kelas senyap saja pada hari itu. Alhamdulillah aku seorang guru. 
             Pada masa yang sama saya terus ke bilik PAI untuk menumpu perhatian kepada 20 orang pelajar lagi yang digolongkan dalam kumpulan pelajar elit ting 5 kerana mereka diberi keutamaan sebagai pelajar yang diharapkan mendapat keputusan semua A dalam semua mata pelajaran SPM 2011. Namun, kelas elit tidak memberi kepuasan mengajar kerana mereka dah pandai dan kebanyakan pelajar saya di tingkatan 3 dulu. Salah seorangnya pernah saya tampar dulu  semasa di kelas elt 3K, inilah erti kemarahan seorang guru untuk mendidik anak muridnya dan pada masa yang sama saya tegur pelajar berkenaan dan dia ketawa kepada saya. "Betul cikgu", mungkin katanya dalam hati secara monolog.

Tiada ulasan: