SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Khamis, 1 November 2012

TAHNIAH PASUKAN SENDALOKA SMKASAS DAN KREW

        Pada 31/10/2012, pasukan sendaloka SMKASAS terdiri pelajar ting. 3, telah terlibat dalam Pertandingan Sendaloka Anjuran PPD Perak Tengah. Program ini melibatkan pelajar yang sedang mengikuti Program Selepas PMR 2012. Sememangnya, pelajar yang terlibat hanya mengambil masa sehari untuk membuat persediaan sama ada untuk mengenali peraturan dan cara sendaloka dijalankan. Tabik hormat juga kepada Cikgu Ahmad Sirajuddin yang sentiasa bersedia memberi tunjuk ajar dalam masa sesuntuk itu untuk mengajar kumpulan sendalokan berkenaan. Untuk makluman, persembahan kumpulan sendaloka ini sama seperti sketsa lucu seperti Pimai Pimai Tang Tu, yang satu ketika dulu amat menarik perhatian penonton dan tajuknya Ponteng Sekolah.
               Saya telah mengikuti mereka ke Dewan Besar  Felcra Changkat Lada kerana peruntukan untuk program berkenaan telah ditanggung oleh Ahli Parlimen Kampung Gajah. Tambahan pula Cikgu Sirajuddin sibuk dengan persediaan sebagai Ketua Pengawas Peperiksaan SPM 2012 dan saya pula mempunyai masa lapang pada hari berkenaan. Saya faham pasukan berkenaan memerlukan guru pengiring untuk memberi semangat dan bantuan jika kumpulan berkenaan memerlukan pertolongan sebelum, semasa dan selapas pertandingan. Sepanjang saya menyaksikan gelagat dan telatah lucu mereka secara spontan semasa mempersembahkan sendaloka berkenaan, paling saya tertarik adalah sikap kreatif krew sketsa berkenaan kerana di atas pentas tiada sebarang peralatan disediakan, cuma yang ada kerusi. Dalam masa saya bersarapan pagi di Gerai Makan di Changkat Lada, krew sketsa yang membantu membawa peralatan telah menyelesaikan masalah iaitu untuk menyediakan "prop" meja untuk persembahan mereka. Mereka sanggup meminjam meja daripada gerai berdekatan hanya sekadar untuk memastikan pelakon sketsa dapat menyampaikan lakonan mereka dengan baik. Antara peralatan yang dibawa dari sekolah ialah senduk, sudip, kuali, pakaian untuk pelakon, papan tanda " Peperiksaan Sedang Dijalankan" dan berbagai lagi.
              Sebelum pengumuman keputusan pertandingan, saya meminta pelakon terbabit supaya bersedia dengan berpakaian kemas dan berkasut tanpa membenarkan mereka memakai selipar untuk menjaga imej sekolah. Pada masa yang sama, mereka bertanya kepada saya, cikgu dah tahu siapa yang menang kerana pasukan yang mendapat tempat ketiga dan kedua telah diumumkan. Apabila keputusan mereka menjadi juara daripada sembilan pasukan sketsa yang bertanding mereka melompat keseronokan. Dalam hati saya memang kamu semua pelajar sekolah kluster yang berfikiran di luar kotak. Setelah turun daripada pentas mereka terlibat dan krew sketsa menyerbu saya dan terus bersalam. Terima kasih cikgu kerana memberi semangat dan bagi mereka kehadiran saya memang bermakna kepada mereka. Syabas kerana semangat sepasukan dan krew yang mantap membawa kamu ke arah kecemerlangan. Saya kata memang saya dah tahu dari segi aksi lucu pelakon dan juga krew yang hebat, sudah pasti kamulah juara. Tahniah, Cikgu Srajuddin, walaupun pertandingan tersebut tidak akan ke peringkat negeri tetapi kejayaan tersebut amat manis bagi saya dan warga SMKASAS. InsyaAllah esok, mereka akan menerima sijil dan hamper yang dimenangi semasa perhimpunan rasmi sekolah. Sesungguhnya aktiviti Program Selepas PMR 2012  menjadi kenangan kepada Pasukan Sketsa Ting. 3. Tahniah sekali lagi.

Tiada ulasan: