SELAMAT DATANG KE MOHDRAMSUL BLOGSPOT. KEHADIRAN ANDA MEMANG DIALU-ALUKAN.

BERBANGGALAH ANDA MENJADI PELAJAR DAN BEKAS PELAJAR SMKASAS

Saya amat mengalu-alukan kunjungan tuan-puan ke teratak ini. Semoga respon pengunjung akan memantapkan blogs yang dibina untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu tercinta.

Rabu, 30 Januari 2013

ERTI TANGGUNGJAWAB, MEMBUAT KEPUTUSAN, DAN HORMAT PEMIMPIN SERTA AKUR PERINTAH

         Perkataan dan frasa tanggungjawab, membuat keputusan, menghormati pemimpin dan akur perintah merupakan  perkara yang sering dihadapi oleh seseorang individu yang bergelar ketua dalam mengharungi kerja-kerja seharian. Pada masa yang sama, pengertian peribahasa Melayu, bagai menarik rambut dalam tepung , perlu direalisasikan dalam kehidupan.
           Situasi ini saya hadapi pada hari ini, apabila sebagai seorang Ketua Panitia Bahasa Melayu saya telah terpanggil untuk menyelesaikan pemahaman guru-guru bahasa Melayu dalam melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang diperkenalkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia dua tahun kebelakangan ini. Justeru, pada hari ini saya telah membuat keputusan untuk mengumpulkan guru-guru terlibat melaksanakan PBS melibatkan guru tingkatan 1 dan tingkatan 2 untuk melaksanakan Perbincangan Secara Profesional dalam masa lebih kurang 35 minit di Jabatan Bahasa Melayu. Antara objektif saya adalah untuk memastikan guru-guru tingkatan satu dan dua faham cara mengendali, melaksana, dan mengetahui borang dan fail yang perlu ada serta pada masa mengharapkan berlaku penyelarasan dalam pelaksanaan PBS. Tambahan pula, sehingga kini proses pengajaran telah berjalan selama lima minggu.
          Kesimpulannya, pertemuan sekejap secara perbincangan dalam masa lebih kurang 35 minit, telah berlaku penyelarasan dan guru-guru mula faham cara melaksanakan PBS dan kata putus telah dibuat untuk menyelaraskan borang-borang dan fail yang perlu digunakan dalam PBS. Setelah perbincangan saya bersyukur kerana guru mulai faham terutama guru baru dengan PBS, dan air muka guru penyelaras dan guru-guru Bahasa Melayu berseri-seri mengambarkan mereka puas hati pertemuan tersebut.
              Pada masa yang sama juga saya telah menerima teguran dari Guru Kanan Bidang yang sebelum itu sudah saya maklumkan bahawa kami akan mengadakan perbincangan mengenai PBS di Jabatan Bahasa. Hal ini mungkin setelah Pentadbiran, dan Guru-Guru Kanan mengadakan mesyuarat mingguan mereka pada setiap hari Rabu dan perkara tersebut telah ditimbulkan dalam mesyuarat berkenaan. Pada masa yang sama saya telah merujuk kepada PK Pentadbiran untuk menyatakan sebab utama kenapa guru-guru tingkatan satu dan dua sahaja yang terlibat dalam perbincangan atas dasar prioriti untuk menyelesaikan masalah dasar dalam panitia. Namun, Penolong Kanan Pentadbiran telah menjelaskan kenapa perkara tersebut tidak boleh dijalankan atas dasar kepentingan PdP, walaupun saya telah menjelaskan bahawa guru-guru telah meninggalkan kerja kepada pelajar ketika perbincangan tersebut diadakan. Apapun, saya akur dengan perintah ketua kerana beliau juga mempunyai sebab musabab untuk bertindak  demikian dan saya juga sebagai seorang ketua juga mempunyai sebab untuk bertindak demikian tetapi atas dasar orang bawahan saya akur dengan perintahnya. Namun, paling penting guru-guru Bahasa Melayu mampu tersenyum kerana selepas ini pelaksanaan PBS akan lebih mudah, sistematik dan untuk tindakan selanjutnya Penyelaras PBS tingkatan satu dan dua akan bertugas sebagai mentor kepada guru-guru PBS lain.
                Namun, saya bersyukur dan berpuas hati kerana tanggungjawab saya dudah saya sempurnakan dan sekaligus membantu pihak pengurusan sekolah untuk memastikan pelaksanaan PBS antara terbaik di SMKASAS. Cuma mungkin, dari sudut pengurusan masa selepas ini saya akur dengan perintah pentadbiran, tetapi tegasnya, kami guru-guru bahasa Melayu sentiasa berusaha untuk menjana kecemerlangan anak didik di SMKASAS.

PENDAFTARAN KEDUA PELAJAR TING. 1 DAN 4 SMKASAS 2013

        Alhmadulillah, selamat datang kepada pelajar baru SMKASAS 2013 untuk pendaftaran kali kedua pada hari Selasa bersamaan 29 Januari 2013. Agak ramai juga pelajar yang diterima masuk ke SMKASAS pada hari pendaftaran tersebut, dan suasana berkenaan menyebabkan Kedai Koperasi Sekolah menjadi tumpuan ibu bapa dan pelajar untuk membeli kelengkapan persekolahan. Diharapkan kehadiran pelajar berkenaan akan berterusan kerana ada segelintir pelajar yang telah mendaftar sebagai pelajar semasa pendaftaran pertama tidak dapat menerima suasana kehidupan baru di SMKASAS. Akibatnya, ada yang mengambil keputusan untuk berpindak ke sekolah lama.
           Saya sempat bertanya dengan pelajar senior berkaitan senario pelajar baru ting. 4 yang telah mendaftar pada pendaftaran pertama tetapi telah membuat keputusan untuk berpindah ke sekolah lama. Berdasarkan perbualan saya dengan pelajar berkenaan antara faktor utama perpindahan mereka adalah kerana cara pembelajaran guru di dalam kelas pantas dan pelajar tidak faham pengajaran guru. Dalam pada itu, saya bertanya kepada pelajar baru ting. 4 semasa saya mengajar di salah sebuah kelas untuk mengetahui sama ada pengajaran saya pantas atau tidak dan mereka berkata mereka faham pengajaran saya dan cara saya mengajar tidak laju. Justeru, saya menyarankan mereka agar bertanya kepada guru, dan berbincang dengan rakan sebaya sekiranya mereka tidak faham pengajaran guru. Oleh sebab itu, saya menerangkan kepada mereka kepentingan waktu prep dan menggunakan masa tersebut untuk mengisi lompong kemahiran yang mereka tidak faham semasa  proses PdP ( Pengajaran dan Pembelajaran) di dalam kelas. Saya menyaran agar mereka "study smart" terutama di sekolah kluster kecemerlangan ini.
                 Kesimpulannya, saya berdoa agar pelajar baru akan terus belajar di SMKASAS kerana mereka adalah antara pelajar terpilih untuk belajar di bumi SMKASAS yang penuh baraqah ini. Justeru, mereka juga perlu sedar bahawa ramai lagi pelajar di luar sana yang ternanti-nanti untuk masuk ke sini.

Sabtu, 26 Januari 2013

PROGRAM MENCARI BAHAN MAKLUMAT BERDASARKAN TOPIK.

SALAM KEPADA PELAJAR TING. 4S, 4H, 5K DAN 5H. SAYA TELAH MEMASUKKAN MAKLUMAT TUGASAN PROGRAM MENCARI MAKLUMAT UNTUK PENULISAN KARANGAN DI DALAM BLOG SPM. JUSTERU RUJUK MAKLUMAT BERKENAAN KE DALAM BLOG SPM SAYA. SEBARANG MASALAH HUBUNGI SAYA SEGERA SAMA ADA MELALUI  POP UP MY CBOX ATAU MELALUI FB SAYA. JIKA ADA MASALAH DALAM MENCARI MAKLUMAT TERUS HUBUNGI MELALUI SMS KE H/PHONE SAYA. HARAP MAKLUM.

Khamis, 17 Januari 2013

LAWATAN PENANDA ARAS KE SMK TAMAN TASIK DITUNDA

           Saya dimaklumkan oleh Tuan Syed Noh b. Habib Hasyim, Ketua Bidang Kemanusian bahawa lawatan Penanda Aras Ke SMK Taman Tasik ditunda kepada suatu tarikh lain. Hal ini kerana pihak pentadbiran sekolah berkenaan telah menghantar faks kepada pentadbiran SMKASAS memaklumkan  program pada tarikh tersebut terpaksa dibatal kerana pada masa lawatan pelajar sekolah tersebut turut bercuti sebagaimana pelajar SMKASAS. Diharapkan program berkenaan akan diteruskan pada masa yang ditentukan kemudian.
                Selain itu, Persatuan Ibu Bapa juga telah memohon Ketua Bidang, dan Ketua Panitia Mata Pelajaran untuk merancang program kecemerlangan akademik yang lebih berkesan dan seterusnya PIBG akan berusaha untuk mencari dana untuk menjayakan program berkenaan semasa bermalam di salah sebuah hotel di Taiping sekiranya program berkenaan diadakan. Saya mengucapkan terima kasih kepada YDP PIBG dan jawatankuasa yang begitu prihatin terhadap usaha untuk memperkasakan Program Kecemerlangan Akademik kerana usaha tanpa jemu organisasi ini akan memberi semangat kepada para pendidik untuk memartabatkan kecemerlangan pelajar SMKASAS. Saya juga dimaklumkan program lawatan dan penginapan ini ditaja oleh PIBG SMKASAS, terima kasih.
              Dalam masa yang sama juga, pada hari ini saya dimaklumkan seramai 16 prang pelajar lelaki dan 6 orang pelajar perempuan PMR SMKASAS 2012 telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke ke institusi pendidikan seperti MCKK, Sekolah Intergrasi Gopeng, KISAS, dan sebagainya. Walaupun para pendidik dan pentadbiran tidak menghalang pemergian mereka ke pusat-pusat pengajian yang berprestij tersebut, namun ada juga kalangan guru mengeluh kerana pelajar terbaik akan meninggalkan SMKASAS tepat kemenjadian mereka dalam akademik. Justeru, SMKASAS akan kehilangan 22 pelajar cemerlang. Namun, bagi saya, mereka merupakan wakil pelajar SMKASAS ke intistusi pendidikan cemerlang berkenaan, dan warga SMKASAS perlu berbangga kerana dapat melahirkan pelajar cemerlang seperti mereka. Saya berharap supaya mereka meneruskan usaha untuk berjaya dalam pendidikan kerana ruang seperti itu merupakan rezeki yang tidak perlu ditolak. Cuma saya mengharapkan supaya sepanjang mereka berada di institusi pengajian berkenaan, ingat-ingatlah warga pendidik SMKASAS yang pernah mengilap kecemerlangan anda di bumi pendidikan baraqah yang sentiasa melahirkan insan kamil. Tahniah kepada mereka dan selamat belajar di institusi pendidikan baru, namun ingat, anda masih pelajar yang pernah berada di institusi baraqah ini. Kami warga pendidik SMKASAS sentiasa mendoakan kecemerlangan anda.

Jumaat, 11 Januari 2013

LAWATAN PENANDA ARAS KE SMK TAMAN TASIK TAIPING

        Pada tengah hari tadi, saya dimaklumkan pihak pengurusan sekolah akan mengadakan lawatan penanda aras ke SMK Taman Tasik, Taiping Perak. Sebagai makluman, SMK Taman Tasik merupakan salah sebuah sekolah elit di bawah kelolaan JPN, dan pelajar yang terpilih masuk ke sekolah ini merupakan pelajar yang cemerlang dalam UPSR seperti kemasukan ke sekolah berasrama penuh. Dari segi pencapaian sekolah ini merupakan antara  sekolah 'top ten'  dan sebaris pencapaiannya dengan sekolah elit di negeri Perak termasuklah SMKASAS. Justeru, pemilihan lawatan penanda aras ini sesuai diadakan untuk menjalinkan kerjasama dan perkongsian ilmu. Antara keistimewaan sekolah ini adalah kerana dari segi lonjakan saunjan pencapain akdemik dan kokurikulumnya cukup hebat. Walaupun baru tujuh tahun beroperasi, sekolah ini mampu berada dalam kalangan 'top ten' sekolah elit di negeri Perak. Untuk makluman,  SMK Taman Tasik mula beroperasi pada 2 Januari 1996.
            Saya dimaklumkan, antara mereka yang terlibat dalam lawatan tersebut ialah barisan pentadbiran, guru-guru kanan bidang, ketua-ketua panitia mata pelajaran dan beberapa orang guru yang dipilih oleh pentadbiran sekolah. Justeru, saya bersetuju untuk menyertai lawatan tersebut, dan saya berharap pengisian ilmu sepanjang lawatan nanti boleh digunapakai di SMKASAS terutama program ke arah lonjakan saujana untuk meningkatkan pencapaian bahasa Melayu. Jika diizinkan Tuhan, lawatan tersebut akan diadakan pada 26 Januari 2013, Sabtu minggu keempat Januari. Saya juga dimaklumkan peserta lawatan akan bermalam di Taiping. Semoga program Kluster ini akan mampu mengubah paradigma terutama perancangan dan pelaksanaan aktiniti serta program bahasa Melayu di SMKASAS. Semoga lawatan tersebut akan berjaya. InsyaAllah.
              Selain itu, esok kira-kira pukul 8.00 pagi, semua guru SMKASAS akan menghadiri Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) bertajuk Pelan Strategik Ke Arah Memperkasakan Mata Pelajaran untuk Tahun 2012 hingga 2016. Tahniah kepada pengurusan SMKASAS, terutamanya Puan Pengetua, Ustazah Naemah bt. Ramli, PK Petadbiran, Puan Hasnah bt. Alang kerana memasukkan perkongsian ilmu berkaitan pelan strategik ke arah lonjakan saujana setiap mata pelajaran yang menjadi keutamaan sekolah. Justeru, ketua bidang, ketua panitia akan dapat merancang dan melaksanakan program dalam bentuk perancangan jangka panjang secara sistematik, dan berkualiti ke arah memperkasakan setiap mata pelajaran di SMKASAS. Diharapkan, setiap panitia akan faham dan pentadbiran pula boleh sama-sama menjelaskan arah tuju yang diharapkan agar kerangka pelan strategik yang dihasilkan jitu, sistematik, serta berkualiti selaras dengan matlamat untuk memperkasakan pencapaian akademik, kokurikulum, sahsiah, jati diri pelajar SMKASAS sebagai sebuah sekolah Kluster Kecemerlangan. Secara langsung juga, setiap warga pendidik dan pengurusan akan faham kepentingan pelan strategik yang menjurus kepada petunjuk-petunjuk prestasi utama ( KPI ) yang diterapkan dalam perkhidmatan awam bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan. Sejajar dengan visi, misi dan fungsi agensi, setiap organisasi perlu mengukur prestasi perkhidmatan yang diberikan bagi memastikan semua perkhidmatan berkenaan disampaikan kepada pelanggan dengan baik. Ini secara tidak langsung dapat memberikan gambaran yang jelas mengenai prestasi organisasi secara keseluruhannya.Bahkan, guru kanan bidang dan ketua panitia terutamanya akan faham bahawa kerangka pelan strategik berkenaan berkaitan dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang akan sentiasa dipantau oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Di situlah ertinnya kepentingan pelan strategik. Sekiranya, setiap organisasi akademik SMKASAS faham, sudah pasti perancangan pelan strategik tersebut akan dapat membantu pengurusan untuk menentukan hala tuju sekolah ke arah  memperkasakan SMKASAS secara holistik.
              Secara umumnya, program LADAP esok akan menjurus ke arah keberkesanan slogan berkenaan. Semoga SMKASAS akan terus Cemerlang, Gemilang, dan Terbilang. Diharapkan, warga pendidik SMKASAS harus bersama-sama dengan pengurusan sekolah dalam menjayakan slogan Memacu Trasformasi Pengurusan Ke Arah Memperkasakan SMKASAS Secara Holistik.

Gambar Sepanjang Latihan Dalam Perkhidmatan (Ladap) Bertajuk Perancangan Strategik
Bertempat Di Bilik Gerakan SMKASAS ( 12 Januari 2013/ Sabtu/ 8.00 pagi hingga 1.00 Ptg)
Penceramah Undangan En. Mohd. Izam b. Ramly Dari SMK Dato' Kamaruddin, Batu Kurau, Perak dan Rakan-Rakan Dari SMK Seri Kota, Taiping, Perak.
 Salah Seorang Penceramah Sedang Menjelaskan Cara Menghasilkan Perancangan Strategik

Gambar Pengetua SMKA Sultan Azlan Shah, Puan Naemah bt. Ramli sedang berbual-bual dengan penceramah program. Untuk makluman, kedua-dua penceramah merupakan guru SMK Seri Kota, Taiping semasa beliau menjadi PK. Pentadbiran sekolah berkenaan.

 
Kelihatan Cikgu Sirajuddin, Cikgu Hasnimah, Cikgu Rahayu sedang berbincang untuk mengisi bahan
untuk menghasilkan Rancangan Strategik Panitia Bahasa Melayu.

        Sepanjang program berkenaan, setiap organisasi Panitia Mata Pelajaran SMKASAS dapat memahami cara menghasilkan Rancangan Strategik dengan baik, tambahan pula penceramah yang hadir tidak kedekut ilmu dengan membenarkan guru-guru SMKASAS menyedut bahan perbengkelan yang dibentagkan pada hari tersebut ke dalam 'pen drive' masing-masing. Saya juga sempat bertanya dan menghulurkan Rancangan Strategik yang saya hasilkan untuk Panitia Bahasa Melayu yang telah saya hasilkan pada tahun lepas dan penceramah menyatakan Rancangan Strategik yang saya hasilkan baik dan mencadangkan beberapa penambahbaikan. Untuk makluman, Rancangan Strategik tersebut saya ubah suai berdasarkan Rancangan Strategik Kebitaraan Bahasa Inggeris yang saya peroleh daripada Ketua Bidang iaitu Cikgu Hazaliza. Daripada latihan ini saya mendapat penerangan yang lebih jelas formula  TOWS MATRIKS yang terdapat di dalam Rancangan Strategik yang selama ini memeningkan kepala.
         Terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada Puan Pengetua dan PK. Pentadbiran kerana aktiviti perkongsian ilmu seperti ini besar ertinya kepada kami Ketua Panitia dan umumnya guru-guru SMKASAS. Sekurang-kurangnya, dengan adanya perbengkelan seperti ini, penyelarasan dan keseragaman dalam menghasilkan Rancangan Strategik akan memantapkan hala tuju SMKASAS sepanjang lima tahun. Pada pandangan saya inilah yang dikatakan Memacu Transformasi  Pengurusan Ke Arah Memperkasakan SMKASAS Secara Holistik.


SLOGAN MEMACU TRANSFORMASI PENGURUSAN KE ARAH MEMPERKASAKAN SMKASAS SECARA HOLISTIK

       Alhamdulullah, SMKA Sultan Azlan Shah telah dinobatkan sebagai sebuah sekolah Kluster Akademik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada 15 Mei 2009 semasa pentadbiran mantan Pengetua iaitu Ustaz Arip b. Sa'aya. Pada tarikh saya menulis nukilan ini, sudah empat tahun SMKASAS menjadi sekolah Kluster Kecemerlangan. Justeru, bukan mudah untuk memperoleh sekolah kluster antaranya, sebuah sekolah tersebut perlulah menunjukkan peningkatan akademi, kokurikulum, dan pengurusan yang baik.  Slogan Baru yang dipekenalkan oleh Puan Pengetua Ustazah Naemah bt. Ramli dan pihak pengurusan iaitu Memacu Transformasi Pengurusan Ke Arah Memperkasakan SMKASAS Secara Holistik amat tepat sekali kerana warga SMKASAS perlu memperkasakan SMKASAS sebagai sebuah sekolah kulster.
       Sekiranya Slogan tersebut dibicara dari sudut bahasa, sama ada dari sudut morfologi, sintaksis dan semantik, slogan tersebut amat beerti dan luas pengertiannya. Dari sudut morfologi, istilah transformasi bermaksud perubahan bentuk dan apabila dibicarakan dari sudut sintaksis, perubahan yang dikehendaki ialah perubahan pengurusan.organisasi SMKASAS melibatkan pentadbiran yakni Pengetua, Penolong-Penolong Kanan, Guru Kanan Bidang, Ketua Panitia, dan seterusnya guru-guru yang bertanggungjawab sebagai golongan pelaksana setiap perancangan yang telah disediakan oleh pentadbiran. Istilah memperkasakan pula dari segi maksud bahasa menjurus kepada usaha memperkuat, meningkatkan kualiti, menjadikan sesuatu lebih hebat, dan apabila dikaitkankan pula istilah holistik sudah pasti kesan slogan tersebut cukup hebat kerana istilah yang digunakan saling melengkapi untuk memastikan kemenjadian SMKASAS sebagai sebuah sekolah kluster yang hebat. Justeru, tahniah diucapkan kepada pentadbir SMKASAS kerana daripada slogan sudah pasti SMKASAS akan  terus menjadi institusi yang terunggul di Daerah Perak Tengah dan 'top ten' di peringkat negeri Perak.
          Saya tertarik dengan slogan SMKASAS yang megah tertulis buat pertama kali di Buku Tugasan Guru yang diedarkan kepada Guru-guru SMKASAS semasa Mesuyarat Guru Kali Pertama pada 26 hb. Disember 2012 kerana impaknya besar kepada warga pendidik SMKASAS. Slogan ini memerlukan perubahan budaya kerja dalam kalangan guru-guru. Sudah pasti langkah pentadbiran tersebut amat sesuai kerana dalam dunia pendidikan yang globalisasi tidak ada yang tidak mustahil berlaku, maksud saya, institusi pendidikan di  Daerah Perak Tengah sentiasa berusaha menyaingi kedudukan SMKASAS. Oleh sebab itu, warga pendidik SMKASAS perlu mengorak langkah lebih jauh untuk terus memperkasakan institusi barakah ini secara holistik iatu secara menyeluruh. Untuk merealisasikan slogan ini, pentadbiran sekolah perlu kluster, guru-guru perlu kluster dan diikuti pelajar-pelajar perlu kluster. Sebagai seorang guru yang telah berada di institusi ini selama sebelas tahun, banyak perubahan yang saya hadapi. Contohnya, semasa mula-mula menjejaki di institusi ini buat pertama kali pada tahun 2002, saya hanya seorang guru biasa, dan saya terpegun dengan kehebatan Ketua Panitia Bahasa Melayu ketika itu, Ustaz  Ashaari dan saya sendiri berasa diri saya kerdil sebagai seorang guru bahasa Melayu. Mana tidaknya, saya hanya seorang guru sekolah rendah sebelum itu. Sehinggalah Ustaz Ashaari berpindah ke Kelantan, tugasan ketua Panitia di ambil alih oleh Cikgu Azlina dan kemudian, Cikgu Ariifin dan akhirnya Ustaz Arip melantik saya sebagai Ketua Panitia pada tahun 2009, pada ketika itu saya cuba menolak kerana tidak sanggup untuk mengendalikan pengurusan organisasi kecil Jabatan Bahasa, sebagai Ketua Panitia Bahasa Melayu. Sehinggalah pada tahun 2009 PMR mencapai keputusan terbaik SMKASAS dan 2010 SPM terbaik, apabila 100% pelajar SPM mendapat gred A pada tahun tersebut. Namun, kejayaan mata pelajaran bahasa Melayu, bukanlah hasil usaha saya seorang tetapi merupakan hasil kerjasama guru-guru Bahasa Melayu lain  iaitu, Cikgu Sirajuddin, Cikgu Ariffin, Cikgu Rahayu yang sentiasa bergelumang dengan kelas-kelas peperiksaan sama ada kelas bahasa Melayu Menengah Rendah dan Menengah Atas. Tidak lupa juga guru bahasa Melayu bukan kelas peperiksaan, kerana tanpa mereka yang mengasah pelajar SMKASAS dari tingkatan satu, sudah pasti kejayaan dan kecemerlangan tersebut dicapai. Terima kasih semua. 
           Setelah diadakan post mortem, dalam mesyuarat Panitia Bahasa Melayu pada hari Selasa lalu, didapati keputusan PMR dan SPM mata pelajaran merosot sedikit. Oleh sebab itu, kerjasama guru-guru bahasa Melayu amat diperlukan untuk melaksanakan pelan tindakan ke arah memperkasakan semula mata pelajaran bahasa Melayu.  Justeru, slogan baru sekolah amat penting dihayati  guru-guru dan membuat anjakan paradigma ke arah peningkatan pencapaian pelajar dalam peperiksaan awam. Tidak ada yang mustahil untuk pencapaian 100% kerana pada tahun 2010, panitia Bahasa Melayu telah berjaya membuktikannya apabila semua pelajar SPM pada tahun tersebut mencapai gred 'A'. Diharapkan pelajar SMKASAS juga perlu membuat anjakan paradigma, dengan menyedari bahawa mereka ialah pelajar kluster dan budaya pelajar kluster perlu ada dalam roh mereka dan diserlah melalui perbuatan, bukan sekadar mereka menumpang belajar di sekolah kluster. Akhirnya, Marilah warga SMKASAS bersama-sama pentadbiran Memacu Trasformasi Pengurusan Ke Arah Memperkasakan SMKASAS Secara Holistik. Sesungguhnya kita bangga berada di Institusi Pendidikan Baraqah ini.

Rabu, 9 Januari 2013

TERIMA KASIH ATAS KUNJUNGAN KE BLOG SAYA

     Boleh dikatakan setiap hari saya cuba untuk mengendalikan blog ini dengan memasukkan info baru terutama perkembangan sekolah , itupun sekiranya jika saya mempunyai masa lapang dan kesihatan yang mengizinkan. Namun, saya terus bersemangat untuk mengendalikan blog ini kerana semakin ramai yang cuma untuk mendapatkan maklumat perkembangan sekolah dan adakalanya saya memasukkan perkembangan diri saya. Sudah pasti, mereka yang sering mengunjungi blog ini merupakan bekas-bekas pelajar SMKASAS. Jika saya lihat melalui pengesanan "geovisite", pada malam ini seramai 318 orang sedang melayari blog ini, 316 pelayar blog dari Malaysia, 5 orang dari China, 3 orang dari Belgium, seorang dari Brunei, Australia, dan Indonesia. Kehadiran saudara dan saudari amat mengembirakan saya. Selamat Melayari blog mohdramsul.blogspot.com. Terima kasih.

Selasa, 8 Januari 2013

PENDAFTARAN PELAJAR TINGKATAN SATU 2013 DAN MESYUARAT PANITIA BAHASA MELAYU KALI PERTAMA 2013

         Pada hari ini Dewan Besar dipenuhi oleh ibu bapa dan pelajar yang mendaftar untuk kemasukan pelajar tingkatan satu 2013. Justeru, keadaan kawasan sekolah dipenuhi dengan kenderaan ibu bapa disamping ibu bapa sibuk untuk pembayaran yuran, serta membeli peralatan pelajar di kedai koperasi. Setelah pendaftaran, pelajar tingkatan satu mula menyesuaikan diri dengan persekitaran SMKASAS serta menerima taklimat dari Kaunselor SMKASAS iaitu En. Fazuan terutama untuk menerangkan program suaikenal dan Orientasi yang akan diadakan selama tiga hari. Memanglah sesuatu yang berbeza apabila ibu bapa sudah pulang ke rumah, pelajar tingkatan satu akan mulai berasa sedih dan pilu kerana kehidupan mereka yang selama ini sentiasa berada dengan ibu bapa tetapi kini bersama dengan warga pelajar SMKASAS. Tempoh selama seminggu memang sensitif dan sekiranya pelajar ini berjaya mengharungi tempo seminggu ini sudah pasti suasana kehiudpan baru ini akan menjadi kebiasaan kepada mereka. Namun, pelajar yang pernah menjadi penghuni asrama mungkin sudah faham, ada sesetengah pelajar akan mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri, mungkin seminggu, sebulan, dan ada yang memakan masa yang agak lama unuk menyesuaikan diri. Kini mereka perlu hidup berdikari untuk menguruskan pengurusan diri masing-masing. Kemungkinan, makana di asrama mungkin akan membelenggu sesetengah pelajar tingkatan satu. Mereka mungkin tidak akan dapat makan makanan semewah di rumah tetapi itulah adat kehidupan di asrama. Alah bisa tegal biasa, begitulah peribahasa bahasa Melayu yang dapat menjelaskan situasi pelajar berkenaan. Apapun, diharapkan pelajar baru SMKASAS ini akan dapat menyesuaikan di dunia serba baru ini.
          Pada hari ini juga, Mesyuarat Jabatan Bahasa dan Panitia Bahasa Melayu berlangsung pada pukul 3.00 petang. Sebagai Ketua Panitia, tugas saya adalah untuk membuat persiapan bagi memastikan mesyuarat Panitia Bahasa Melayu berjalan dengan baik dan tidak mengambil masa yang panjang. Justeru, saya perlu  menyediakan input yang lengkap berdasarkan agenda mesyuarat yang telah ditetapkan oleh pentadbiran sekolah. Antaranya, saya perlu membuat analisis  Peperiksaan Awam PMR 2013, Analisis Peperiksaan Dalaman terutama analisis Keputusan Peperiksaan Akhir Tahun Tingkatan 2 dan 4, dan perbandingan dengan Peperiksaan PMR dan Percubaan SPM. Hal ini penting kerana guru-guru Tingkatan 3 dan 5, perlu melihat kekuatan dan kelemahan pelajar terlebih awal untuk merangka strategi ke arah pencapaian keputusan peperiksaan 2013 yang lebih cemerlang. Di samping itu, saya juga perlu merangka program pemulihan atau pengayaan serta mengenal pasti pelajar yang bermasalah. Oleh sebab itu, saya berdepan dengan laptop pada hari ini untuk menyediakan suatu analisis yang terbaik untuk persiapan mesyuarat. Tambahan pula, saya juga perlu menjelaskan Pelan Strategik Untuk Panitia Bahasa Melayu untuk tahun 2012-2016 sebagaimana yang dikehendaki oleh pentadbiran dan begitu juga membincangkan Belanjawan Tahunan 2013 berdasarkan budget yang telah diperuntukan. Alhamdulilah, saya telah berjaya menyediakan analisis berkenaan setelah mendapatkan data daripada Guru Kanan setelah saya menjelaskan kepentingan data berkenaan untuk dijadikan bahan mentah untuk diproses sebagai bahan analisis untuk mesyuarat. Namun, analisis berkenaan bukanlah terbaik tetapi dapat membantu saya untuk menjalankan mesyuarat kerana bagi saya bahan perlu ada agar mesyuarat dapat berjalan dengan lancar dan input dapat diberikan kepada guru-guru Bahasa Melayu dalam mesyuarat Kali Pertama.
              Sebelum mesyuarat Panitia, Guru Kanan Bidang Puan Hazaliza telah memberikan input ringkas berkaitan dengan Bidang Bahasa melibat tiga Pantia Utama iaitu Panitia Bahasa Melayu, Panitia Bahasa Inggeris dan Pantia Bahasa Arab di Bilik Kluster. Antara agenda yang dibincangkan ialah:-
              1.  Dasar Kurikulum iaitu pekeliling yang diberi perhatian, namun pekeliling ini telah disentuh oleh 
                   Puan Pengetua dalam Mesyuarat Kurikulum kali pertama semasa dalam cuti dulu.
              2.  Sukatan Pelajaran dan Rancangan Pelajaran.
              3.  Persediaan Rekod Mengajar.
              4.  Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)
              5.  Bahan bantu mengajar.
              6.  Program Pemulihan dan Pengayaan ( Ting 1 dan 5 )
              7.  Penilaian dan Peperiksaan.
Agenda yang lain, dibincangkan dalam mesyuarat Panitia masing-masing kerana selepas itu Panitia Bahasa Melayu bermesyuarat di Bilik Gerakan SMKASAS. Alhamdulillah mesyuarat Panitia Bahasa Melayu tamat kira-kira pukul 4.45 petang dengan jayanya. Terima kasih kepada guru-guru bahasa Melayu yang hadir dan kerjasama guru-guru bahasa Melayu untuk tahun 2012 amat saya hargai. Berdasarkan perkembangan GPMP untuk peperiksaan PMR untuk subjek bahasa Melayu perlu diberi perhatian kerana Tahun 2012 dan 2012 PGMPnya 1.10 berbanding dengan GPMP tahun 2008, 2009, 2010 ialah 1.02. Justeru, Puan Rahayu dan Cikgu Sirajuddin yang bertanggungjawap untuk guru mata pelajaran Ting 3, tahun 2013 telah diberi mandat dan memikul tugas dan amanah untuk mengendalikan 4 kelas kerana pada tahun ini saya terpaksa meninggalkan tugasan tersebut kepada mereka atas perancangan pentadbiran
             Untuk analisis keputusan Peperiksaan Akhir Tahun Tingkatan 4 2012, dibandingkan dengan keputusan Peperiksaan Percubaan SPM 2012, berdasarkan analisis kekuatan pelajar agak sama. Justeru, saya dan Cikgu Arifin yang akan mengenadalikan kelas peperiksaan Tingkatan 5 tahun 2013, percaya bahawa jika dilakukan usaha yang terancang, sudah pasti, pelajar Tingkatan 5 pada tahun 2013 akan lebih menyinar. Oleh sebab itu, saya meminta guru-guru menjagar kelas peperiksaan agar menumpukan perhatian kepada pelajar yang mendapat Gred B dalam peperiksaan Akhir Tahun Tingkatan 2 dikesan dan seterusnya mereka perlu melakukan program terbaik untuk perubahan paradigma terhadap keputusan PMR yang terkakhir pada tahun ini. Saya akan membantu mereka jika diperlukan. Sementara saya berharap gandingan saya dengan Cikgu Ariffin akan dapat  meningkatkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan SPM 2013 sebagaimana kejayaan Peperiksaan SPM 2010, semua pelajar mencapai Gred A pada tahun tersebut. Saya berdoa agar pencapaian Panitia Bahasa Melayu tahun 2013 akan lebih cemerlang. IsnyaAllah.

                      TAHNIAH KEPADA PELAJAR YANG BERJAYA MENERUSKAN PENGAJIAN DI SMKASAS BUMI BARAKAH.

                       Ibu Bapa Sibuk Membeli Peralatan Anak-Anak Di Kedai Koperasi SMKASAS
Deretan Kereta Ibu Bapa Di Hadapan Dewan Besar As Shafie SMKASAS
MAAF KEDUDUKAN GAMBAR TIDAK DALAM KEADAAN SEPATUTNYA,
MASALAH KURANG ARIF MENUKARKAN GAMBAR MELALUI H/P KE BLOG.
INSYAALAH SAYA AKAN ATASI AKAN DATANG DENGAN MENDAPATKAN BANTUAN DARIPADA GURU IT.


Isnin, 7 Januari 2013

PERHIMPUNAN RASMI SMKASAS KALI PERTAMA

         Pada hari ini, buat pertama kali dalam sejarah SMKASAS diadakan pada hari Isnin. Perhimpunan pagi dijalankan dengan ringkas sebagaimana yang ditetapkan dalam jadual waktu iaitu selama 35 minit, bermula pukul 7.30 pagi dan ditamatkan pada pukul 8.00 pagi. Beberapa aktiviti penting dijalankan antaranya ialah perasmian Program 5S dan Program SUMUR. Di akhir perhimpunan guru-guru diberikan taklimat ringkas program pendaftaran pelajar tingkatan 1 pada keesokan harinya. Puan Pengetua dan Guru Bertugas pada minggu lepas En. Fazuan mengharapkan pelajar SMKASAS menyambut dan menerima kehadiran pelajar baru dengan wajah dan layanan yang istimewaan dan ceria.
        Pada sebelah petang, kira-kira pukul 3.00 petang, diadakan pendaftaran Kokurikulum melibatkan aktiviti Kelab, Persatuan dan Sukan Permainan. Saya sebagai guru penasihat Kelab Bola Baling telah menerima pendaftaran pelajar lelaki dan perempuan. Alhamdulillah pendafataran untuk Kelab Bola Baling tamat pada pukul 3.30 petang apabila bilangan ahli kelap telah cukup berdasarkan kuota yang telah ditetapkan. Selamat datang kepada pelajar tingkatan satu berjumlah 151 orang pelajar. Semoga pelajar tingkatan satu 2013 dapat menyesuaikan diri dengan suasana kehidupan di  SMKASAS.

Sabtu, 5 Januari 2013

MARI BERKENALAN DENGAN FROG 1 BESTARI NET

BAGAIMANA FROG VLE MEMBANTU GURU DALAM Pd P.  KLIK VIDEO DI BAWAH

PENGGUNAAN FROG VLE MAMPU MEMBANTU MEMPERKASAKAN SMKASAS SEBAGAI SEBUAH SEKOLAH KLUSTER AKADEMIK CEMERLANG, GEMILANG, DAN TERBILANG.

BAGAIMANA MENGGUNAKAN FROG VLE. UNTUK MAKLUMAT, SILA KLIK SETIAP VIDEO DI BAWAH.



MEMACU TRANSFORMASI  PENGURUSAN KE ARAH MEMPERKASAKAN SMKASAS SECARA HOLISTIK. 







 





 

 SEMOGA MAKLUMAT DI ATAS AKAN MEMBANTU GURU-GURU SMKASAS UNTUK MENGENDALIKAN FROG VLE, WALAUPUN SAYA SENDIRI MASIH TIDAK BOLEH MENGAKSES LAMAN BERKENAAN KERANA MASALAH LOGIN. SEMOGA ADMIN  FROG SMKASAS AKAN DAPAT MEMBANTU SAYA. INSYAALLAH.

SESI PERSEKOLAHAN 2013

   Alhamdulillah, sesi persekolahan 2013 bermula. Pada 1/1/2013, guru kelas, guru buku teks dan guru kedai koperasi kesekolah untuk urusan pendaftaran pelajar ting. 2,3,4, dan 6 atas. Program pendaftaran berlangsung hingga pukul 12.00 hari. Saya bertugas mendaftar dan menerima yuran makan pelajar tingkatan 5 Ibnu Khladun kerana saya dilantik sebagau guru kelas berkenaan.Namun, pembayaran tersebut bergantung kepada ibu bapa untuk melunaskannya, tetapi kebanyakan ibu bapa lebih suka membayar wang berkenaan awal untuk mengelakkan pembayaran tertunggak. Objektif, kami guru tingkatan menerima pembayaran berkenaan adalah untuk mengelakkan pelajar membawa wang berlebihan ke asrama. Almaklum, pelbagai masalah mungkin timbul seperti kehilangan wang dan ini akan menimbulkan masalah kepada pelajar dan warden bertugas.
   Sepanjang tiga hari persekolahan, bermula pada 2,3 dan 4 Januari 2013, saya sungguh teruja untuk mengajar semula, tambahan saya tertanya-tanya, siapa pelajar yang mengisi kelas ting empat, kerana mereka merupakan pelajar ting 3 tahun lepas. Apabila saya menerima pelajar berkenaan saya dapati ada pelajar ting tiga yang pernah saya ajar dahulu tetapi pelajar tingkatan empat tahun ini tidak 'streaming', maksud pelajar yang masuk ke kelas berkenaan sama banyak iaitu pelajar sederhana dan bijak dikumpulkan dalam setiap kelas. Keadah pembahagian kelas seperti ini ada kelebihannya tidak akan wujud lagi kelas elit dan kelas bukan elit. Guru dan pelajar berasa seronok masuk ke kelas, disamping pelajar berbilang pencapaian ini kana mewujudkan sesi pengajaran dan pembelajaran yang menarik.
     Tiga hari persekolahah berlalu, pengajaran saya lebih berfokus kepada penjelasan mengenai format format kertas bahasa Melayu Menengah Atas. Almaklumlah, tahun ini saya mengajar semua kelas  menengah atas iaitu ting. 4S, 4H, 5K dan 5H. Untuk pelajar ting 5, pengajaran berfokus kepada mengingat semula format kertas Bahasa Melayu kerana mereka sudah tahu format tetapi untuk pelajar ting. 4, saya terpaksa memberi penerangan kepada format kertas Bahasa Melayu, agar mereka faham dan tidak tertekan dengan perubahan sukatan baru. Namun, saya telah meninggalkan kerja kepada mereka. Alhamdulillah, pengajaran pada tahun ini agak selesa dan seronok kerana fokus saya kepada satu sukatan pembelajaran yang sama iaitu mata pelajaran Bahasa Melayu Menengah Atas. Namun, ada juga rasa kurang seronok kerana dari sudut kepuasan mengajar, mengajar ting. 3 lebih puas kerana pembelajarannya lebih banyak menumpu kepada tatabahasa untuk kertas 1 yang saya anggap kertas yang kesukarannya agak tinggi, di samping pengajaran kertas dua melibatkan ringkasan, karangan berpandu, karangan umum dan komsas. Sedangkan pengajaran menengah atas pecahan soalannya lebih berterabur terutama kertas dua.
         InysaAllah, program Frog yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk sekolah terpilih akan menjadi pemangkin kepada sistem pengajaran dan pembelajaran secara maya di SMKASAS. Justeru, pada hari Jumaat, pukul 3.00 petang telah daiadakan Kursus Dalam Perkhidmatan (LADAP) 1 di Makmal Komputer SMKASAS yang dihadiri oleh Pentadbir, Guru Kanan Bidang dan Jawatankuasa Frog, namun saya masih bermasalah untuk membuka sistem ini oleh sebab masalah teknikal berkaitan login program berkenaan. Namun, berdasarkan Youtube, saya masih boleh mendapat info tentang pengendalian program berkenaan. Pada pandangan saya program berkenaan amat baik dan sesuai dengan capaian maklumat di hujung jari dan kesesuaiannya untuk dijadikan sebagai medan pengajaran dan pembelajaran secara maya selaras dengan perkembangan teknologi maklumat terkini. Justeru, tahniah kepada warga SMKASAS yang akan menggunakan program Frog dalam memangkin peningkatan akademik. Semoga SMKASAS akan terus Cemerlang, Gemilang, dan terbilang. InsyaAllah, guru-guru akan menerima pendedahan program tersebut dalam kursus LADAP fasa kedua.
    Kesimpulannya,saya tetap menganggap pengajaran kelas menengah atas juga seronok kerana pembelajaran lebih mencabar kerana semua jawapan beberntuk subjektif dan perlu kreatif serta pelajar berminda di luar kotak.Diharapkan program Frog akan membantu guru-guru berinteraksi dengan pelajar, pelajar dan guru, serta ibu bapa mampu mendapatkan info mengenai anak-anak mereka melalui program secara maya ini.

Pelajar Tingkatan 4 Al Haitham 2013
         Pelajar Tingkatan 4 Al Haitam 2013
GAMBAR BERSAMA-SAMA SAHABAT SEPERJUANGAN DAN JUGA GURU YANG PERNAH MENGAJAR SAYA DI SM SULTAN IDRIS SHAH, GOPENG, HJ SOFIAN.
 
 HJ SOFIAN DUDUK BERSEBELAHAN SAYA DAN TERIMA KASIH ATAS ILMU YANG DISUMBANGKAN DAN SELAMAT BERSARA DARI PROFESION PERGURUAN PADA TAHUN 2013.

Selasa, 1 Januari 2013

GAMBAR KENANGAN KEMALANGAN PADA 25/12/2011




     Alhamdulillah, saya kembali boleh berjalan seperti baiasa setelah genap setahun mengalami kemalangan ngeri pada 25/12/2012 semasa kami sekeluarga dalam perjalanan pulang dari Pahang menziarahi keluarga bapa saudara saya, Hj. Hassan bin. Saleh. Berdasarkan rentetan perjalanan kami sekeluarga, kami sebenarnya bertolak ke Negeri Sembilan untuk menghantar barang-barang anak saya ke rumah sewanya di Negeri Sembilan kerana melanjutkan pelajaran jurusan Diploma Akauntan di Politeknik Port Dickson. Setelah seharian dalam perjalanan dan singgah menghantar barang-barang keperluan anak saya di rumah sewanya , saya dan isteri mengambil keputusan untuk menginap di salah  salah sebuah hotel di Port Dickson. Kami telah menyewa sebuah apartmen di hotel berkenaan. Sesungguhnya, pada hari tersebut kami sekeluarga ceria kerana di sampng dapat berehat di apartment yang agak besar dan selesa. Anak-anak saya mengambil kesempatan mandi laut dan melihat panorama indah di sekitar hotel bertaraf lima bintang. Keesokan, harinya kami sekeluarga bersarapan pagi di hotel berkenaan dan seterusnya bertolak ke UITM Jengka Pahang, untuk mengambil barang-barang setelah anak saya tidak dapat melanjutkan pelajaran dalam jurusan Diploma Perhutanan. Sepanjang perjalanan, hati seorang ayah berasa sebak kerana anaknya, gagal meneruskan pengajian dalam bidang berkenaan tetapi saya perlu bersabar kerana banyak sebab mungkin menyebabkan anak saya gagal meneruskan pengajiannya tersebut mungkin faktor bidang atau jurusan tidak sesuai dengan dirinya dan banyak faktor lagi. Cuma saya, cuba untuk memberinya peluang dan ruang untuk menerusan pengajian  di institusi pendidikan lain. Itulah tanggungjawab saya.
      Sesungguhnya, pada cuti kali ini saya cuba untuk berehat dan menenangkan fikiran setelah letih menyemak kertas Bahasa Melayu 2 PMR dan SPM kerana pada setiap tahun itulah aktiviti sampingan saya. Wang dan ganjaran menyemak kertas berkenaan bukanlah merupakan objektif utama saya, tetapi sebagai guru Mata Pelajaran Bahasa Melayu, aktiviti menyemak kertas banyak memberi pengalaman dan mengukuh pengajaran saya di sekolah. Sememangnya, menyemak kertas peperiksaan meletihkan dan minda tertekan dengan masa sepenuhnya bertumpu kepada kertas yang perlu disemak, disamping di bahu pemeriksa tergantungnya masa depan seorang pelajar yang menaruh harapan kecemerlangan setelah lima tahun belajar di sekolah menengah dan kesilapan seorang pemeriksa kertas mampu merosakkan perjalanan seorang pelajar untuk melanjutkan pelajaransama ada untuk menyambung pelajaran mereka IPTA atau institusi pendidikan kerajaan lain. Justeru, baki cuti persekolahan tahun tersebut ingin saya gunakan untuk membalas masa-masa saya teringgal kasih sayang dan erti berkeluarga sepanjang menyemak kertas berkenaan. Hanya guru yang terlibat sahaja yang akan faham serti tekanan yang kami alami. Di samping itu, hati seorang bapa sedih apabila anak-anaknya gagal menerusan pengajian sebenarnya itulah yang saya fikirkan sepanjang perjalanan.
          Setelah sampai di UITM Jengka, Pahang dan mengambil barang anak-anak saya, saya bertanya kepada isteri saya ke mana kita selepas ini. Almaklumlah, setelah setahun membeli kereta Innova daripada rakan saya, saya ingin menggunakan kesempatan bercuti tahun tersebut bersama keluarga. Pada masa yang sama saya teringat bapa saudara saya yang membuka kedai dobi di Cherating, Pahang. Isteri saya bersetuju dan kami meneruskan perjalanan ke Cherating sambil menghubunginya. Pada masa yang sama saya tidak bertanya tempat tinggalnya dan perjalanan kami sehingga larut malam sehingga saya mengambil keputusan untuk berehat dan tidur di salah sebuah kedai minyak. Jika menyewa di hotel atau resort, alang kepalang kerana kami sampai di sana pada pukul 12.00 malam. Keesokkan, harinya barulah saya menghubungi bapa saudara saya semula, rupa-rupanya tanggapan saya saya salah kerana beliau bukan tinggal di Cherating tetapi di bandar Mahsuri dan kedainya di Pantai Teluk Cempedak, tergelak juga saya, namun saya seronok sekurang-kurangnya kami dapat berjalan sehinggan ke Pantai Cherating. paginya, barulah saya bertolak ke rumah bapa saudara saya. 
             Pada petangnya, kira-kira pukul 3.00 petang, saya mengambil keputusan untuk pulang setelah saya berehat dan tidur sebentar. Kemudian kami menersukan perjalanan pulang. Saya sungguh seronok kerana sebelum bertolak saya telah membaiki kereta Innova saya dengan menukar Exzover kereta dan menukar minyak hitam dan minyak gear aoutomatik kereta berkenaan. Dalam perjalanan pulang, saya mencadangkan kami singgah di Genting Highlands, Pahang. Sesampai sahaja di sana, saya mencadangkan pula kami menaiki kereta kabel, walaupun pada peringkat awal isteri saya menolak kerana perjalanan kami masih jauh lagi dan suasana pula sudah larut malam. Namun, saya terus untuk menaiki kereta kabel berkenaan kerana saya ingin cuti kami pada ketika itu betul-betul meninggalkan kenangan kami sekeluarga. Sesungguhnya, pada malam itu menaiki kereta kabel agak menakutkan kerana suasana pada malam itu agak sejuk dan kabus serta tiupan angin agak kuat sehingga mencemaskan saya sekeluarga. Apabila sampai di Pusat Beli Belah Genting Highlands, suasana sungguh meriah dan tambahan pula malam itu merupakan malam sambutan hari Krismas. puas kami berjalan sehingga naik letih dan kebas kaki saya. 
            Kira-kira pukul 12.30 malam, saya memutuskan kembali turun ke tempat parking kereta dan meneruskan perjalanan pulang. Pada masa yang sama perut mula berbunyi-bunyi kerana kelaparan. Saya mencadangkan  untuk kami berhenti makan di mana-mana restoren semasa dalam perjalanan pulang. Akhirnya, saya berhenti makan di salah sebuah restoren kira-kira pukul 2.00 malam dan saya makan sehingga dua pinggan nasi goreng kerabu. Sesampai di sebuah jalan rentas menuju ke Tanjung Malim, mata saya sukar untuk dicelikkan dan saya terlampau mengantuk. Tambahan pula, jalan tersebut agak kurang menyenangkan kerana jalan tersebut seperti tiada pengujungnya. Akhirnya, apabila sampai ke susur masuk ke Lebuh Raya Tanjung Malim, saya mengambil keputusan untuk anak saya memandu kereta. Oleh sebab begitu mengantuk saya terus terlelap sehingga saya dikejutkan apabila kereta kami  terbabas di Tronoh. Pada ketika itu saya mamai, sehingga saya tidak sedar saya berada di bawah dashbook kereta kerana tersepit . Semasa kemalangan berlaku, saya bertanya kepada anak tentang kejadian dan anak saya berkata kami terlibat dalam kemalangan, kemudian saya sedar anggota bomba sedang menyelamatkan saya. Anggota bomba meminta saya bersabar dan menutup kepala saya dengan kain dan memecahkan cermin kereta saya dan seterusnya berusaha untuk mengeluarkan saya. Berdasarkan, perbualan mereka, saya sedar usaha menyelamatkan saya agak sukar sehingga mereka terpaksa memotong beberapa bahagian kereta saya dan ketika itu timbul tanda tanya kerana saya rasa kaki saya kebas, adakah kaki saya masih elok dan timbul rasa takut jika kaki saya putus, dan saya akan cacat kerana keadaan kedua kaki saya pada ketika terasa seperti tertindih.Setelah gagal mengeluarkan saya, pihak bomba meminta saya untuk memberi respon kerana mereka cuba menyelamatkan saya dengan cara menarik kereta saya dengan dua lori kren yang sudah sedia ada di situ. Menurut mereka, semasa lori tersebut menarik kereta , mereka risau bahagian kereta yang dipotong akan menyebabkan badan saya tersepit dan akan menambah kecederaan saya. Akhirnya, usaha anggota berjaya dan saya dapat diselamatkan tetapi apabila mereka mengeluarkan saya saya menjerit kesakitan kerana tulang peha saya patah.
                Saya dikejarkan ke hospital Batu Gajah, kemudian ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, dan kemudian di hantar ke Hospital Pantai Puteri, Ipoh, Perak. Saya sampai di Hospital Pantai Puteri pada petang hari kedua selepas kemalangan dan Dato' Dr. Vasan Sinnadurai telah mengarahkan saya di X-ray dan kemudian membuat keputusan pai esokknya saya akan dibedah dan meminta saya berpuasa pada malam itu. Sepanjang, perjalanan ke tiga Hospital, sakit akibat kepatahan tulang peha amat menyeksakan saya. Akhirnya pada pagi keesokkan harinya saya dibedah dengan diberi suntikan di bahagian belakang badan saya dan setelah diberi oksigen, saya tidak sedarkan diri dan kemudian bermula babak kedua selepas pembedahan, saya amat sakit untuk menggerakkan kaki saya. Setelah seminggu di hospital saya memohon untuk balik ke rumah, dan pada hari Ahad ketika Sambutan Tahun baru seperti hari ini saya keluar daripada Hospital Pantai Puteri. Terima kasih saya kepada isteri saya kerana beliau tetap bersama saya selama seminggu di hospital untuk menjaga saya. Di rumah pula, saya dijaga oleh ankan saya Fahmiddin, sehingga mandi dan membuang air kecil dan air besar dia membantu saya. Terima kasih saya ucapkan. Akhirnya setelah berulang alik ke Hospital Pantai Puteri untuk menjalani pemeriksaan dan latihan fisioterapi selama empat bulan, dan bercuti sepanjang tempoh berkenaan, saya kembali ke sekolah. Namun, dalam saya bergerak tanpa memakai tongkat, lutut saya masih sengal terutama lutut saya yang banyak membantu pergerakan saya. Alhamdulillah banyak pengajaran dan kesabaran yang saya peroleh sepanjang peristiwa berkenaan.
                  Setelah kemalangan, isteri saya berkata bahawa mereka telah berhenti di Tapah dan Gopeng sebelum kemalangan dan saya tidur mati ketika itu. Apa yang menakutkan saya, iaitu ketika di Tapah isteri saya telah mengisi minyak sehingga penuh. Justeru, Allah masih saya kepada saya sekeluarga kerana kemungkinan sekiranya berlaku percikan api, kemungkinan perkara yang buruk akan kami hadapi , terutama saya yang terperangkap selama dua jam di dalam kereta. Walaupun kereta saya total lost, namun saya bersyukur kerana pihak insuran Syarikat Kurnia telah membayar RM 65.000.00 daripada RM 69.000.00 yang diinsurankan. Saya redha kemalangan yang berlaku dan bersyukur isteri dan lima anak saya yang lain selamat. Sehingga sekarang saya masih belum membelli kereta baru, dan insyaAllah jika tidak ada halangan dan keizinan Tuhan, saya akan membeli kereta Innova baru pada hujung bulan satu atau bulan Februari 2013 nanti. Saya terpaksa, bertangguh kerana kos perbelanjaan untuk menyekolah dan perbelanjaan pengajian tinngi anak saya perlu diambil kira. Anak saya Fitri melanjutkan pelajaran di Kolej Profesioanal Mara Seri Iskandar dalam bidang R&D Komputer, Firdaus bidang Diploma Akauntan di Politeknik, Behrang, dan Fahmiddin di Kolej Risda Melaka dan jurusan Diploma Perniagaantani. Sementara tiga orang lagi anak saya masih bersekolah, Anis di SMK Raja Perempuan, Ipoh, dan Faqihuddin Tahun Lima di SK. Titi Gantong dan Fariha Najla di Tadika Pasti Gelung, Pepuyu, insyaAllah.
                    Semoga perjalanan hidup saya akan bertambah baik untuk tahun 2013. Saya berdoa anak-anak saya akan berjaya dalam pengajian mereka dan saya akan cuba membantu mereka hingga ke tahap yang paling tinggi begitulah harapan saya seorang bapa. Sesungguhnya, kasih saya seorang bapa terhadap anaknya tidak berbelah bagi dan saya akan berusaha untuk meningkatkan mutu dan profesyen saya sebagai seorang guru pada tahun 2013. Semoga Allah merahmati keluarga saya dan tahun 2013 Allah akan memberi hidayah agar iman dan ketakwaan akan menerangi keluarga saya. Di samping, semoga Allah memberikan rezeki yang halal, seterusnya memberikan kekuatan tenaga dan kesihatan yang berkekalan untuk saya menyumbangkan ilmu kepada anak didik SMKASAS.  Saya juga redha dengan ketentuaan qadho dan qadar Illahi, tetapi saya beryukur atas kejayaan, kegembiraan, rezeki, dan hidayah yang Allah telah limpahi kepada saya dan famili untuk tahun 2012.  SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2013.